8
BUNYI enjin kereta yang baru dihidupkan, mengejutkan Hajah
Salbiah. Dia menjenguk dari tingkap dapur. Nampak Mia sedang memasukkan beg
pakaian ke dalam keretanya. |
Adira kelam-kabut ke dapur. “Mak, Mia nak balik KL!” Dia mengadu. Wajahnya cemas.
“Sekarang ke?” soal Hajah Salbiah pula yang turut kalut.
“Ha’ah… Dia kata bos dia tak bagi cuti besok. Dia nak balik hari
ni juga!” beritahu Adira yang tergopoh-gapah keluar semula untuk memujuk
adiknya.
Hajah Salbiah mematikan api dapur. Dia baru sahaja hendak menumis
bawang untuk menggoreng sayur, lantas bergegas ke depan.
“Kenapa kelam-kabut nak balik? Tunggulah abah balik kejap lagi.
Nasi pun mak dah hidang. Makan dulu baru balik.” Hajah Salbiah menegur Mia yang
naik semula untuk mengambil komputer ribanya. “Mia! Dengar tak mak cakap ni?”
Mia tidak peduli dengan kata-kata emak. Dia perlu balik ke Kuala
Lumpur segera.
“Marah kat bos, janganlah marah kat mak pulak!” tempelak Hajah
Salbiah.
“Mana pulak Mia marah mak,” jawab Mia tanpa melihat ke wajah
emaknya. “Tak payah makanlah, mak. Mia kenyang lagi. Pagi tadi makan banyak.”
“Mana ada banyak? Yang kau beli tu banyak lagi atas meja. Siapa
yang nak makan?”
Mia meletakkan komputer ribanya di sebelah pintu. Dia hendak
bersalam dengan emak tetapi Hajah Salbiah menolak.
“Tak mau. Tunggu sampai abah balik. Makan dulu… baru mak salam.”
Hajah Salbiah merajuk dan terus ke dapur semula.
“Mak! Nanti orang lambat sampai KLlah.” Mia cuba membuatkan emak
mengerti.
Adira merenung wajah Mia. Wajah yang mendung dan hilang
keceriaannya. Tidak seperti semalam atau awal pagi tadi. Wajah ceria dan penuh
dengan senyuman. Namun, keceriaan itu menghilang selepas mendengar berita yang
disampaikan emak. Serius sangat Mia hendak aku siasat Qhalif. Hanya itu
anggapan Adira apabila melihat adiknya beria-ia mahu dia menyiasat Qhalif.
‘Mia ambil berat pasal aku. Mungkin dia tidak mahu aku jatuh ke
tangan lelaki yang salah. Kalau Qhalif yang sama, yang pernah mereka kenal dua
puluh tahun lalu itu, Qhalif itu memang sempurna segala-galanya. Tidak ada yang
perlu disiasat. Tidak ada apa yang perlu diragukan.’
Mendengar namanya sahaja,
Adira sudah dibuai angan. Hati yang tertutup rapat untuk lelaki, kini tiba-tiba
terbuka luas. Mungkinkah sememangnya Qhalif dikirim TUHAN untuk membuka pintu
hatinya selepas dia juga yang menutupnya sejak lebih 20 tahun yang lalu itu?
“Mia, kesianlah kat mak. Mak dah masak banyak. Semua yang kau
suka tau. Tunggulah kejap.” Adira menarik tangan Mia, menghalang dia pergi
tergesa-gesa begitu.
“Orang dah lambatlah, Kak Di. Balik nanti kena siapkan laporan.
Besok nak meeting.”
Alasan Mia tidak boleh diterima akal. Sejak bila pula Mia ambil
berat tentang lambat, laporan, mesyuarat? Selama ini tidak ada masalah bagi
Mia. Walau serumit mana masalahnya, Mia tidak pernah menganggapnya masalah.
Kenapa tiba-tiba sahaja dia ambil berat tentang arahan ketuanya untuk
membatalkan cuti? Sudah hilangkah kepakaran Mia memujuk rayu dan memberi
pelbagai alasan?
“Tunggu abah balik sekejap. Nanti abah kecik hati Mia balik tak
tunggu dia,” ujar Adira lagi.
“Alah, bukan tak balik lagi.”
“Mia berani lawan cakap mak?”
“Mak faham kerja Mia,” balas Mia melangkah terus ke kereta.
Adira kelam-kabut menghalang. “Mia tak kesian emak ke?”
Mia tidak peduli kata-kata Adira. Dia menutup pintu kereta dan
mula memandu dan meninggalkan Adira yang terjerit-jering memanggil namanya.
“Biarlah, Di! Dia dah tak nak tunggu abah dia, nak buat macam
mana? Kerja dia lagi penting daripada kita semua. Biarlah dia balik!” Hajah
Salbiah melaung dari meja makan.
Adira kecewa melihat
kereta Mia bergerak laju meninggalkan kawasan rumah.
“Tiba-tiba saja Mia ni nak balik. Biasanya pandai pulak menjawab
dengan bos dia,” rungut Adira melangkah masuk ke dalam dan menuju ke dapur.
Kenapa tiba-tiba Mia
sebegitu nekad? Jarang dia menghampakan mereka. Tetapi hari ini dia boleh
berubah pendirian. Mia ada buat kesalahan besarkah pada syarikat sehingga dia
dipaksa balik bekerja? Apa kesalahan Mia sehingga dia tidak berani meneruskan
cutinya? Mia akan kena pecatkah? Atau dia sekadar diberi amaran bersyarat?
“Kalau ya pun, bawalah balik lauk. Tunggu seminit saja lagi mak
nak ambil bekas. Sampai hati dia pergi tak cakap dengan mak.” Hajah Salbiah
menahan hiba. “Mia tak pernah buat mak macam ni. Sampai hati dia.” Air mata
Hajah Salbiah mengalir juga akhirnya.
Adira memeluk bahu emak untuk menenangkannya. “Mia ada masalah di
tempat kerja, mak. Mana dia pernah macam tu.”
“Masalah apa? Besar sangat ke masalah dia?” soal Hajah Salbiah
tidak puas hati. “Sampai tak boleh tunggu langsung abah dia balik. Ni nanti apa
kita nak jawab dekat abah?”
Adira menarik nafas panjang. “Nanti Di telefon Karen, kawan kerja
Mia. Mesti Karen tahu sebab apa dia diarahkan batal cuti. Di bimbang kalau… Mia
ada buat salah,” ujar Adira memujuk.
Hajah Salbiah pantas menoleh.
Adira gugup. “Maksud Di… manalah tau kalau Mia buat silap kat
mana-mana.” Dia membetulkan kata-kata.
“Dia kena masuk pejabat
besok, kan? Habis, apa hal kalau dia tergesa-gesa nak balik sekejapan ni? Kalau
balik malam nanti pun sempat sampai ke Kuala Lumpur tu! Empat jam, takkan tak
sampai,” rungut Hajah Salbiah lagi.
Adira kehabiskan kata-kata untuk memberi alasan. Tunggu saja abah
balik. Tengok apa pula kata abah bila dia balik didapati Mia tidak ada.
HAJI ISMAIL melenting bila diberitahu Mia sudah balik ke
Kuala Lumpur. Ketika dia sampai ke laman rumah sebentar tadi, dia hairan
melihat kereta Mia sudah tidak ada. Cepat-cepat dia keluar dari keretanya dan
bergegas terus ke dapur lalu bertanya kepada Hajah Salbiah dan Adira.
“Tak tunggu abah pun!
Beria-ia dia kirim buah enau. Abah cari sampai kuala! Balik pulak dia!”
Adira masih membisu. Dia mengambil pinggan dan gelas lalu
diletakkan di hadapan abah. “Kita makan dulu, abah,” ajaknya.
“Dia sempat makan ke?” soal Haji Ismail lagi. Wajahnya
membayangkan penyesalan.
“Tak! Tiba-tiba bos dia telefon. Ada hal mustahak di pejabat.”
Adira nampak riak kesedihan dan kekecewaan pada wajah ibu dan abahnya sewaktu
menghadap hidangan. Pasti emak paling kecewa kerana penat memasak lauk
kegemaran Mia. Ikan baung masak tempoyak memang kegemaran Mia. Selepas subuh
Haji Ismail mengajak Mia ke pasar tani mencari baung hidup. Seronok Mia kerana
baung segar idamannya ada di pasar tani. Haji Ismail tahu selera anak-anaknya.
Kalau Mia suka ikan sungai, Adira pula kurang. Malah ikan laut juga dia tidak
begitu gemar.
Air mata Hajah Salbiah menitis melihat hanya Haji Ismail mencuit
isi baung yang putih dan lembut itu. Tidak begitu lembut berbanding patin yang
banyak lemak. Adira tidak mahu menjamah langsung. Selera Hajah Salbiah sendiri
mati dengan kerenah Mia sebentar tadi.
Akhirnya kedua-duanya mendahului Adira membasuh tangan. Dan masih
senyap ketika mereka meninggalkan meja makan. Kecewa sungguh emak dengan abah.
Sampai hati Mia buat emak dengan abah macam ni.
Selepas solat zuhur, Adira berkira-kira hendak menghubungi Mia
dan bertanya sampai di mana tetapi hatinya berat. Ingin juga bertanya Mia apa
masalahnya, tetapi tunggulah dia sampai ke rumah.
Adira mengambil keputusan untuk masuk ke bilik Mia. Deretan novel
Mia yang banyak di dalam bilik selalu menarik perhatiannya. Salah satu mungkin
boleh dibaca menghabiskan masa petang. Adira menolak pintu bilik Mia.
Terkejut dia sebaik membuka pintu bilik. Keadaan di dalam agak
bersepah. Ada kotak terkeluar dari bawah katil. Dan beberapa keping surat dan
kad terletak di atas lantai. Adira mengemas dan memasukkan semula ke dalam
kotak. Tetapi sehelai surat yang hampir lusuh menarik perhatiannya. Dia
mengambil surat itu dan membacanya. Adira berdebar melihat nama Qhalif
menandatangani surat itu. Dan tarikh tertulis hampir 20 tahun lalu.
Dia termangu seketika! Mia pernah berutus surat dengan Qhalif? Mia
pernah meluah perasaan kepada anak muda itu? Mata Adira merenung tajam pada
nota yang menjelaskan makna cinta. Dan pandangannya perlahan-lahan kabur.
Patutlah!