Home Novel Cinta Cinta Atas Kertas
Cinta Atas Kertas
Sharifah Abu Salem
18/5/2015 15:04:06
58,337
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

4

LOCENG pintu rumah Nasreen ditekan berkali-kali. Suasana gelap mengepung persekitaran. Hanya cahaya malam menembus dari simbahan lampu di jalan raya depan rumah. Beberapa ketika kemudian pintu dibuka. Pembantu rumah Nasreen, Tuty melaung dari depan pintu.

“Shasha sudah tidur! Kata puan, besok saja tuan ambil,” beritahu Tuty.

Zarul termangu seketika. Dia mengangguk. Tuty menutup pintu.

“Cepatnya Shasha tidur? Selalu tunggu aku ambil.” Zarul melihat jam tangannya. Hampir pukul 10.00 malam. Dia melepaskan nafas kesal. Memang patut pun Shasha masuk tidur waktu begini. Dia berjanji akan datang mengambil Shasha pukul 6.00 petang. Dia terlewat lima jam. Pasti Nasreen mengamuk lagi. Selalu sangat dia mungkir janji. Dia melangkah ke arah keretanya. Dia masih menoleh-noleh ke arah rumah bekas bapa mertuanya.

‘Jangan perempuan tu buat tuntutan hadanah lagi sudah. Nanti dia tuntut hak penjagaan sepenuhnya. Alamat tak merasa aku bawa Shasha dua malam seminggu di rumah.’

Sebaik sahaja dia memboloskan diri ke dalam kereta, telefon bimbitnya berbunyi. Dia melihat nama Nasreen tertera pada skrin. Pasti Nasreen memarahinya lagi. Marah pagi tadi, bercampur marah kerana lewat mengambil Shasha. Perkara ini bukan sekali dua berlaku. Malah berkali-kali. Nasreen pernah mengugut untuk tidak membenarkannya mengambil Shasha lagi. Itu yang paling ditakutinya.

Siang tadi ketika dia dalam perjalanan ke rumah bekas bapa mertuanya, Nasreen menghubunginya. Lembut nada suaranya. “Kenapa buang bunga yang I hantar?”

“Kau dah bagi aku bunga tu, bunga tu dah jadi hak aku. Suka hati aku mana aku nak campak.” Selamba Zarul menjawab. “Jangan cuba nak beli jiwa aku dengan bunga! Sekejap lagi aku sampai. Bagitahu Shasha, aku dalam perjalanan!”

Itu siang tadi. Tetapi kali ini dia benar-benar mendengar suara Nasreen yang terjerit-jerit tidak tentu pasal.

“Zarul! You tak payah ambik Shasha. You tau tak sejak pukul berapa budak tu tunggu? Sejak pukul empat tau! You janji nak ambik dia empat setengah. Lepas tu terus ke Port Dickson, bermalam di Tiara Beach. Budak tu teruja sangat nak pergi, tau tak?!” marah Nasreen melepaskan kekesalan.

Zarul tidak sempat menjawab soalan Nasreen yang bertubi-tubi itu.

“You ni kalau tak pandai nak tunai janji, jangan berjanji dengan Shasha! Buat budak tu putih mata saja tau! Kalau nak jadi bapa Shasha, jadilah bapa yang bertanggungjawab, faham?!”

Zarul hendak menjelaskan punca kelewatannya, tetapi seperti biasa Nasreen tidak mahu mendengar apa-apa alasan daripadanya. Dia hanya mampu menahan perasaan. Walaupun sudah berkali-kali mengalami hal yang sama, suara Nasreen tetap menikam dan mneyakitkan hatinya.

‘Suka-suka dia nak tengking aku. Mentang-mentang aku bukan suami dia lagi. Shasha hanya alasan. Dia mengamuk sebab aku dah campak bunga dia pagi tadi. Pandai dia!’

“You tak boleh ambik Shasha hari ni. Sekarang dah pukul sepuluh malam. Ingat, you cuma boleh ambik dia sebelum pukul enam petang. Hak you bermalam dengan Shasha hari ni dah terbatal!”

Nasreen terus memutuskan talian.

Zarul termangu seketika. Dia menoleh ke belakang. Beg pakaiannya dan beg pakaian Shasha yang memang ada di rumahnya, kemas terletak di atas tempat duduk. Pelampung Donald Duck kegemaran Shasha juga dibawa sekali. Kalau tidak, sibuk Shasha mencari setiap kali dia membawa anak tunggalnya ke kolam renang. Shasha tidak mahu pelampung yang lain. Donald Duck itu juga pilihannya.

‘Ke mana aku?’ bisik hatinya selepas hak bermalamnya dengan Shasha minggu ini batal kerana kelalaiannya. Balik pun tak ada sesiapa di rumah. Paling tidak si Kune, kucing jantan hitam kembang ekor yang menjadi temannya. Kucing Siam yang dipelihara sejak lima tahun lalu itu tidak faham kesunyiannya. Kune tidak mampu membalas kata-katanya walaupun faham arahannya.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sharifah Abu Salem