Home Novel Cinta Cinta Atas Kertas
Cinta Atas Kertas
Sharifah Abu Salem
18/5/2015 15:04:06
58,290
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

10

MIA merenung telefon bimbitnya yang berdering. Entah sudah berapa kali semenjak dia sampai dari kampung tiga hari lalu. Kalau bukan abah, mesti emak telefon. Yang pasti Adira. Mesti Adira risaukan dia kerana senyap selepas pulang mengejut sewaktu di kampung tempoh hari. Dia belum bersedia untuk bercakap dengan sesiapa. Berita baik yang dikatakan emak, sebaliknya menjadi berita melukakan hatinya. Dia hanya menghantar mesej kepada Haji Ismail dan Adira.

Jangan risau, Mia tak apa-apa. Nanti Mia telefon.

Pesanan itu juga yang dihantar berkali-kali untuk menyedapkan hati keluarganya.

Malam selepas Adira pulang ke Kuala Lumpur, dia menghantar mesej mahu datang ke rumah. Tetapi dia membalas dengan mengatakan dia masih berada di pejabat. Malam berikutnya Adira menghantar mesej yang sama, dia memberi alasan dia penat dan sudah tidur. Semalam Adira datang tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Dan dia mematikan diri di dalam rumah, tidak mahu berjumpa langsung dengan kakaknya.

Pasti kebimbangan kakaknya memuncak. Tetapi saat itu dia memang tidak mahu memandang kakaknya. Kakaknya adalah perampas. Kakaknya adalah orang yang memusnahkan harapannya. Bertahun-tahun dia cuba mencari di mana Qhalif, tiba-tiba Qhalif muncul untuk dimiliki kakaknya pula. Semua itu tidak adil.

Qhalif pun bukan cintakan kakaknya. Kalau dia tidak cintakan Adira, dia boleh juga menerimanya. Kenapa emak dan abah mencadangkan kakaknya? Kenapa bukan dia? Adira pernah mengaku di depan emak dan abah, lepaskan Mia dulu kalau Mia sudah ada pilihan.

Adira tidak mahu Mia menjadi sepertinya. Kalau boleh biarlah Mia mendirikan rumah tangga sebelum berusia 30 tahun. Inilah masanya yang paling sesuai. Dia sudah menjangkau 28 tahun. Memang paling ideal untuk mendirikan rumah tangga. Mengapa emak mencadangkan kakaknya?

Mia tersentak apabila telefon bimbitnya berdering lagi. Kali ini Karen menghubungi. Mia bengang. Tetapi dia terpaksa menjawabnya. Mana tahu kalau Encik Lim ada pesanan mustahak untuknya.

“Karen… apa hal?” Mia menjawab hendak tak hendak.

“Kakak awak telefon saya banyak kali. Dia tanya apa kena dengan awak.” Suara Karen juga cemas. Mia menjeling dan melepaskan nafas berat.

“Habis, apa awak bagitahu dia?” soal Mia penuh bimbang. Kalau Adira bertanya mengapa dia diarahkan membatalkan cutinya, pasti Karen juga hairan mengapa dia berbohong.

“Saya kata tak tau sajalah. Pasal awak bohong kakak awak?” soal Karen pulak.

Mia menarik nafas panjang. “Panjang ceritanya, Karen. Nantilah, besok saya cerita. Lagipun ini hal peribadi… saya belum bersedia nak cerita,” ujar Mia.

“Apa pun, tahniah!”

“Tahniah untuk apa?”

“Budak-budak ni kata awak ambil cuti sebab awak bertunang.”

Perasaan Mia bagai dibakar. Mukanya panas tiba-tiba. “Tak ada makna! Bukan sayalah! Kakak!” ujar Mia sambil menahan geram. “Belum tunang pun,dia orang baru datang merisik.” Dia bercakap dengan nada geram.

“Okeylah, Karen. Kalau kakak saya telefon awak bagitahu dia saya tak apa-apa. Saya cuma nak tenangkan fikiran.”

Mia memutuskan talian. Menyesal menjawab panggilan Karen. Hati semakin sakit. Perasaan semakin terbakar. Semua ini kerana Qhalif akan menjadi abang iparnya.

AWAL pagi Mia sudah keluar rumah untuk ke tempat kerja. Amat mengejutkannya bila mendapati Adira menunggu di tempat letak kereta kawasan pangsapurinya. Dia hendak mengelak bertemu kakaknya tetapi Adira sudah melihatnya terlebih dulu.

“Mia!” Adira memanggil dan bergegas ke arahnya.

Mia cuba menahan perasaan. “Apa hal pagi buta dah cari aku ni?” Hatinya sebal berhadapan dengan Adira.

“Mia tak apa-apa ke? Kenapa tak jawab call?”

Soalan Adira membuatkan hati Mia bengkak.

“Mia tak ada apalah, kak! Ada masalah kerja, itu saja. Mia nak tenangkan fikiran,” ujarnya sambil membuka pintu keretanya.

Adira merenung ke dalam mata adiknya. Mia tidak memandang tepat ke wajahnya. Dia seakan-akan membenci. Tetapi kenapa?

“Kak, Mia dah lambat.” Mia tergesa-gesa memboloskan diri ke dalam kereta. Belum sempat dia menutup pintu, tangan Adira sudah menahan.

“Kita pergi sarapan sekali Mia?” pelawa Adira.

Mia menggeleng. “Lain kali sajalah!” Dia tidak menghiraukan kakaknya. Dia terus menutup pintu kereta dan menghidupkan enjin. Seketika kemudian, kereta meluncur laju meninggalkan Adira yang sedang merenungnya.

‘Haruskah aku berterus terang pada kakak?’

Adira menggenggam erat surat berusia 15 tahun itu sambil matanya memerhati kereta Mia yang semakin jauh. Surat itu yang menyebabkan Mia jadi begitu. Bukan ada sebab lain. Bukan dia diarahkan membatalkan cuti. Bukan juga kerana dia mungkin dibuang kerja.

Hanya kerana surat Qhalif yang diterima Mia 15 tahun lalu itu membuatkan Mia merajuk. Ketika membaca surat itu di kampung tiga hari lalu, dia merasakan tubuhnya lemah sekali. Mia pernah berutus surat dengan Qhalif? Malah Qhalif menulis pasal cinta kepada Mia. Maknanya Mia memang lebih kenal Qhalif berbanding dirinya. Berapa lama keadaan itu berlaku? Setahun? Dua tahun? Atau sehingga kini? Mia tidak pernah bercakap mengenai Qhalif walaupun sekali selama ini. Sehinggalah Hajah Salbiah menyebut nama itu dan mengingatkan mereka tentang Qhalif. Mungkinkah ingatan Mia tidak pernah pudar tentang Qhalif. Seperti ingatannya yang masih subur terhadap pemuda yang berbudi bahasa itu? Namun surat Qhalif ini pasti memberi kesan besar dalam kehidupan Mia . Adakah surat yang lain selepas surat ini?

Cinta Mia ditolak. Qhalif tidak bersedia. Itu kisah dulu. Tetapi kini? Adakah Mia kembali menjalin hubungan dengan Qhalif dan di saat cinta sedang berbunga dia muncul untuk meracuni cinta itu?

Adira meninggalkan kawasan pangsapuri itu dengan deraian air mata. Dia begitu sebak kerana melukakan hati Mia. Dia datang untuk bertanya Mia tentang surat itu. Tetapi kebencian Mia terhadapnya begitu ketara. Mia tidak langsung melihat wajahnya. Keyakinan Adira semakin bertambah. Surat Qhalif itulah yang membuatkan Mia merajuk. Surat itulah yang membuatkan Mia terus membencinya. Ya ALLAH, adikku. Maafkan aku kerana tidak tahu rahsia di hatimu!

ADIRA menghampiri pejabat ketika telefon bimbitnya berdering. Nombor Haji Ismail tertera. Dia cepat-cepat mengesat matanya. Lalu menjawab panggilan abahnya.

“Assalamulaikum, abah! Ada apa, abah?” Lunak suara Adira mengaju pertanyaan. Walaupun dia maklum Haji Ismail tidak akan bertanya lain selain Mia.

“Di dah jumpa Mia?” soal Haji Ismail penuh harapan.

“Alhamdulillah. Sudah, abah. Mia tak apa-apa, cuma dia banyak kerja sangat abah. Kesian dia!” Adira berbohong.

“Alhamdulillah. Senang hati abah. Jadi, tak adalah dia kena buang kerja?” soal Haji Ismail walaupun nada suaranya semakin tenang.

“Tak adalah, abah. Pekerja gigih macam Mia, takkan nak kena buang kerja. Agaknya ada masalah syarikat. Sebab tu dia kena batalkan cuti.” Adira cuba meyakinkan bapanya lagi. Air mata mengiringi setiap tuturnya. Entah kenapa sebak itu seperti tidak mampu ditahan. Dia hampir teresak, tetapi cepat-cepat menahan perasaannya.

Agak lama Adira berbual dengan Haji Ismail. Tetapi sedikit pun dia tidak bertanya mengenai Qhalif. Dia tidak mahu menunjukkan obsesinya terhadap Qhalif. Dia juga tidak mahu dianggap sebagai anak dara tua yang tidak sabar hendak bersuami. Akhirnya perbualan berakhir dengan pesanan Haji Ismail supaya dia cepat-cepat memberi jawapan kepada risikan Qhalif. Adira tergamam. Nasib baik dia tidak terus menerima Qhalif dan mahu memikirkannya terlebih dulu. Sedangkan saat soalan itu diajukan Hajah Salbiah, dia berasa seribu rahmat sedang diturunkan ALLAH kepadanya.

Akhirnya ALLAH mengabulkan doanya. Doa agar dia mendapat khabar tentang Qhalif. Dia hanya ingin tahu mengenai Qhalif tetapi takut meletak harapan terhadapnya. Kalau ada pun harapan, dia tahu ia tidak mungkin kesampaian. Qhalif sudah melupakannya. Pasti! Qhalif tidak ingat pun budak kampung yang memperkenalkan dia kepada buah duku dan buah langsat, buah pulasan dan buah rambutan.Yang lucunya yang mana satu anak itik yang mana satu anak ayam pun Qhalif tidak pasti. Mungkin kerana dia dilahirkan di tengan bandar, dibesarkan dalam suasana yang sangat berbeza. Sebab itu dia tidak tahu banyak perkara di kampung.

Sebaik tiba di ruang pejabat dua hari lalu, dia disambut ucapan-ucapan tahniah, pelukan dan ciuman tanda kegembiraan kawan-kawan untuknya. Tetapi untuk apa? Pertunangan itu belum terjadi. Malah mungkin tidak akan berlaku sama sekali. Sepucuk surat lama itu menghancurkan harapannya untuk membina impian.

Dia sudah membuat keputusan sebaik sahaja memahami surat itu dan mengapa Mia tiba-tiba meninggalkan rumah. Mia lebih menaruh harapan terhadap Qhalif. Mungkin Mia sudah terlalu lama menanti saat itu. Pasti Mia begitu kecewa apabila penantian itu akhirnya membuahkan kecewa. Bagaimanapun mungkin dia akan menerima Qhalif sedangkan Mia lebih mengharapkannya?

SEORANG pemuda menghampiri keretanya sebaik sahaja Adira berhenti di depan bangunan pejabat.

“Cik Adira, kata nak minta saya tolong.” Penghantar surat di Muzaf Holdings tempat kerjanya itu menegur wajah Adira yang masih muram.

“Jadi tak?” soal pemuda itu lagi.

“Jadi… jadi… Nak minta Zain pergi ke satu pejabat ni. Lepas tu jumpa satu orang ni. Saya nak tuntut bayaran bengkel hari tu, boleh?” Adira mengeluarkan satu sampul surat dan kad panggilan milik lelaki bernama Zarul. “Tempat ni, boleh?” Dia menghulurkan kad itu kepada Zain.

Zain mengambil kad nama tersebut dan membelek seketika. Kemudian dia mengangguk.

“Boleh sangat! Saya dah biasa tempat ni,” ujarnya sambil mengambil sampul surat yang dihulurkan Adira.

“Kalau boleh Zain tunggu sampai dia bagi duit ya? Tak payah nak pergi dua, tiga kali,” saran Adira.

“Baik, cik.” Zain meninggalkan Adira.

“MACAM MANA, Di? Ada jumpa Mia?” Zara menyapa sebaik sahaja Adira melangkah ke biliknya.

Teman serumahnya yang juga setiausahanya itu kelihatan sangat bimbang. “Sudah, Zara. Tapi tak dapat bercakap pun. Mia nak cepat saja. Aku tak sempat nak cakap apa-apa,” balas Adira cuba bertenang. Zara mengikutnya masuk ke bilik sambil membawa fail.

“Fail apa tu, Zara?” soalnya sambil meletakkan beg tangannya. Kemudian melabuhkan punggung di kerusi.

“Encik Muzaf minta kita semak. Lepas tu bincangkan kertas cadangan ni masa mesyuarat minggu depan,” beritahu Zara sebaik duduk menghadap Adira.

Adira membelek seketika fail tersebut. Namun kesedihan pada wajahnya semakin ketara.

“Di, kau kenapa? Apa masalah kau dengan Mia sebenarnya? Kau bergaduh adik-beradik ke?” soal Zara ingin tahu.

Adira tersenyum pahit. “Biasalah, Zara. Mana ada adik-beradik yang tak pernah gaduh?”

“Habis tu, lepas kau balik kampung, kau dengan Mia asyik ada masalah. Mia tak datang langsung lepak ke rumah kita. Biasanya ada saja masa, mesti nak lepak rumah kita.” Zara mempersoalkan keadaan yang dia nampak sejak akhir-akhir ini. Perubahan Adira sangat ketara sebaik sahaja sahabatnya itu pulang tiga hari lalu. Dia mengharapkan berita gembira dari kampung dikongsi Adira dengannya. Tetapi wajah muram Adira bagai memberitahunya berita gembira itu memang tidak wujud.

Dia sudah menduga berita baik itu memang bukan untuk Adira. Bermakna Mia akan mendahului Adira. Dia tidak berani bertanya, takut melukakan hati Adira. Tiga hari berlalu. Dia menunggu kalau-kalau Adira mahu berkongsi apa sahaja, tetapi pertanyaannya dijawab sepatah-sepatah sahaja oleh Adira.

“Di, mesti mak abah kau bimbang sangat pasal kau dua beradik, kan? Kau pun satulah, Di… kenapa tak mau kahwin sampai sekarang. Encik Muzaf tu, aku rasa dia ada hati dengan kau. Terima sajalah kalau dia ajak keluar.” Zara mula mengusik.

“Tolonglah, Zara. Takkan aku nak kahwin dengan bos kita. Kau ni pun…” Adira menjeling Zara. Dia tidak pernah ada hati langsung terhadap Encik Muzaf itu.

“Apa salahnya?”

Adira menjegilkan biji matanya. Kurang senang dia digiatkan oleh sahabatnya itu.

Zara tergelak. “Okeylah, Di. Aku ada kerja nak buat. Kalau ada apa-apa, bagitahu tau?” Dia bangun lalu keluar dari bilik Adira. Dia seperti mengagak ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Adira. Biarlah dulu. Mungkin satu hari nanti Adira akan bercerita juga dengannya.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sharifah Abu Salem