3
“ABANG telefon Mia ke telefon Adira?” soal Hajah Salbiah sebaik
sahaja melihat kereta Mia menyusur masuk ke laman rumah. |
Haji Ismail turut memanjangkan leher. “Dua-dua,” jawabnya sambil
meletakkan batu asah ke lantai rumah.
“Tu Mia sampai seorang, mana Adiranya?” soal Hajah Salbiah pula.
“Jangan tak balik ,sudah.”
“Awak ni, Salbiah… Adira ke Mia?” soal Haji Ismail tidak puas
hati.
“Kalau boleh, biar Adira dulu. Dah berapa umur dia?” soal Hajah
Salbiah pula.
“Kan Kak Hafsah sebut nama Mia?” ujar Haji Ismail membetulkan
kain pelekat.
“Dia sebut saja, tapi…dia tak kisah Adira ke… Mia ke… Qhalif tu
pun dah 39 tahun. Adira boleh, Mia pun boleh,” ujar Hajah Salbiah lagi.
“Adira bawa kereta sendiri,” jawab Haji Ismail untuk menyenangkan
hati isterinya.
“Tak pandai berjimat langsung budak-budak ni,” rungut Hjah
Salbiah.
“Dah tahu minyak mahal, tol mahal… kongsi-kongsilah kereta tu nak
balik,” rungut Hajah Salbiah lagi.
Haji Ismail tersenyum melihat lenggang Mia menuju ke arahnya.
Anak bongsunya seperti selalu, nampak lincah dan riang.
“Assalamulaikum, mak! Assalamulaikum, abah!” Suara nyaring Mia
segera meriuhkan rumah yang biasanya sepi.
“Timbalan pengarah kita belum sampai?” soal Mia sambil bersalam
dengan Haji Ismail dan mencium Hajah Salbiah yang sibuk membersihkan daun
pisang.
“Kenapa tak naik kereta sekali dengan kakak? Buang minyak saja,”
rungut Hajah Salbiah lagi.
“Timbalan pengarah tak mahu naik kereta murah,” jawab Mia lalu
ketawa. Dia duduk bersandar ke tubuh emaknya.
“Eeii… nak menghimpit saja budak ni! Mak panaslah.” Hajah Salbiah
buat-buat marah. Tetapi apabila Mia memeluk bahunya, kepanasannya bagai
menghilang. Terasa nyaman pula dalam pelukan anak manjanya.
“Alah, mak… Mia nak manja-manja pun tak boleh,” rajuk Mia dengan
mulut memuncung.
“Dah kahwin nanti, manja-manjalah dengan suami,” ujar Haji Ismail
pula.
Mia mencebik. “Siapa nak kahwin?” Dia kurang selesa bila soal
kahwin timbul antara mereka. Dia terfikir seketika. Kemudian dia bersuara.
“Hah, mak, abah… bagitahu Mia betul-betul, pasal apa mak dengan abah suruh Mia
dengan Kak Di balik? Pasal apa?” Dia seperti sudah dapat meneka apa yang akan
dikatakan emak dengan abahnya.
“Tanya mak kau,” jawab Haji Ismail selamba.
“Tunggu kakak sampai,” jawab Hajah Salbiah sambil menyusun daun
pisang.
“Biasanya, kalau ada arahan-arahan tanpa notis macam ni, mesti
ada hal mustahak,” balas Mia pula. “Pasal tanah ke, abah?” Dia serkap jarang.
“Mungkin,” jawab Haji Ismail, tersenyum-senyum.
Hajah Salbiah menjeling suaminya.
“Okey…” Mia tidak begitu puas hati dengan jawapan abahnya.
“Alah, kita dua orang saja. Tanah abah ada lima bidang. Kalau
abah nak bahagi-bahagikan, Mia tak kisah tanah mana yang abah nak bagi Mia,”
ujar Mia selamba. “Tapi kalau boleh, jangan jauh sangat ke dalam,” sambungnya
lagi.
“Abah suruh balik, bukan
nak bincang pasal tanah.” Haji Ismail sengaja mengalih tajuk perbualan.
“Habis hal apa, abah?”
“Hal kau dengan kakak kau,” balas Haji Ismail.
“Ada orang nak masuk meminang kakak ke?” teka Mia.
Haji Ismail ketawa. “Kita tunggu kakak kau sampai.”
Mia merengus. Abahnya masih berteka-teki dengannya. Lantas dia
mengambil beg dan bangun lalu masuk ke dalam rumah.
Haji Ismail merenung ke arah jalan raya di depan rumah. Lambatnya
Adira! Ingatkan dia sampai dulu sebab sudah lebih empat jam berlalu selepas
Adira menelefonnya tadi.
Kasihan Adira. Betul kata isterinya. Kalau boleh biarlah Hajah
Hafsah melamar Adira untuk Qhalif. Mia muda lagi. Baru 26 tahun. Adira sudah
hampir 40 tahun. Ya ALLAH, tuanya anak daranya itu. Kalau Qhalif tak kisah umur
Adira, Alhamdulillah. Tapi kalau dia memilih Mia pun, Alhamdulillah juga. Mia
pun anaknya. Sekurang-kurangnya tidak sampai terlajak ke umur Adira sekarang.
Tetapi Hajah Hafsah selalu bertanya tentang Adira. Pantang
berjumpa di mana-mana, pasti Adira yang ditanya. Bukan Mia. Adakah itu bermakna
Hajah Hafsah memang memilih Adira untuk menjadi menantunya? Tidak mustahil.
Adira sudah 37 tahun. Tiga tahun lagi kalau Adira tidak boleh
melahirkan anak untuk Qhalif, bermakna peluang Qhalif menjadi ayah tertutup
sama sekali. Dalam usia 40-an, mungkin berbahaya untuk Adira melahirkan anak
pertama.
Mungkin Hajah Hafsah tidak kisah tentang menimang cucu daripada
Qhalif. Cucu yang dia ada sudah cukup untuk pasukan futsal tujuh sebelah.
“Hah! Menung! Ingat arwah Suhadahlah tu!” Hajah Salbiah
mengejutkan Haji Ismail daripada lamunan panjang.
“Awak ni. Cemburu kat orang yang dah tak ada pula,” balas Haji
Ismail sambil bangun meluruskan pinggang.
“Mau tak cemburu kalau awak asyik ingatkan dia.” Hajah Salbiah
merengus sambil mengutip reja daun pisang dan memasukkannya ke dalam bakul
sampah.Yang lebih halus hanya disapu dengan penyapu lidi.
“Dah tak ingat dah. Nak ingat apa kalau awak saja kat depan
mata?” Haji Ismail menggeleng-geleng. ‘Ah, Biah! Suka sangat mengungkit perkara
lama. Hal bekas tunang aku yang sudah tidak ada itu juga yang diungitnya!’
“Awak bagitau Mia ke yang Kak Hafsah nak pinang Adira ni?” soal
Hajah Salbiah pula.
“Kak Hafsah kata belum cakap siapa dia nak pinang? Mana tau kalau
dia pilih Mia?”
“Biah dah buat keputusan, bang. Adira kena jalan dulu. Kak Hafsah
pun faham. Memang dia selalu sebut nama Mia, tapi Adira pun dia suka. Abang
lupa, Kak Hafsah kan dah cakap siapa pun dia tak kisah asal dia dapat berbesan
dengan kita.”
Haji Ismail mengangguk.
“Kejap lagi Biah telefon Kak Hafsah. Kita lepaskan Adira dulu.
Abang jangan cakap apa-apa dekat Mia dengan Adira selagi Biah belum bercakap
dengan Kak Hafsah.”
“Suka hati awaklah, Biah. Kalau Qhalif nak dua-dua pun apa
salahnya?” gurau Haji Ismail. Tergelak dia.
Hajah Salbiah bercekak pinggang, memandang suaminya. Perasaan
marah menerpa. “Awak nak anak kita bermadu adik-beradik ke? Tak pernah dibuat
orang. Haram hukumnya, bang!”
“Tau! Abang gurau saja. Tak boleh ke?”
Hajah Salbiah membalas pertanyaan dengan jelingan lebih tajam.
Haji Ismail tergelak. ‘Manis juga jelingan mak budak-budak ni,’ pujinya di
dalam hati.
QHALIF merebahkan tubuhnya di atas katil sebaik sahaja tali
leher terlerai daripada lehernya. Dia meletakkan tangan di bawah kepala dan
matanya segera dipejamkan. Leganya selepas seharian memerah otak di pejabat.
Dalam keadaan prestasi perniagaannya yang masih menentu di Ipoh ini, banyak
perkara yang perlu difikirkan. Belum sampai setahun dia membuka cawangan di
sini. Mengikut perancangannya, jika semua berjalan lancar dia akan menguruskan
sepenuhnya Caliph Holdings di Kuala Lumpur. Adik iparnya Syukri akan mengambil
alih sepenuhnya tugas di pejabat cawangan Ipoh ini. Tetapi Tender-tender projek
amat lambat mendapat jawapan. Pihak bank pula memberi pelbagai alasan untuk
meluluskan pinjaman. Semuanya seperti halangan awal yang mencabar kesabaran.
Dia memicit kepalanya.
Dengan keadaan sekarang, rasanya hendak sahaja dia menolak
permintaan ibunya. Memang bukan waktu sesuai untuk membincangkan hal
perkahwinan. Tetapi, tidak boleh juga sebab usia semakin bertambah. Adik sudah
berkeluarga sedang dia masih terkapai-kapai sendirian. Soal cinta dan
perkahwinan bagai sudah terpadam di minda. Hanya ibunya yang berkali-kali
mengingatkannya. Itu pun setiap kali sambutan hari lahirnya tiba.
“Bila lagi Qhalif? Kawan-kawan kau sibuk bilang anak, kau, cukup
bilang umur saja?” soal ibunya entah berapa ratus kali. Biasanya soalan hanya
disambut dengan senyuman.
“Entah apa masalah kau ni, Qhalif. Tak pernah maunya bercakap
pasal kahwin,” rungut ibunya, juga untuk rungutan yang entah kali keberapa.
“Tak ada orang nak, mak.” Itu balasannya.
“Tak cari mana nak dapat? Putus cinta ke?”
Soalan Hajah Hafsah membuatkan dia tersenyum. Yang namanya cinta
itu memang tidak pernah hadir di dalam hatinya. Dia pernah merasainya seketika,
tetapi menghilang seiring waktu yang berlalu. Itu pun ketika usianya menginjak
17 tahun. Perasaan itu tidak pernah dipupuk, lantas hilang begitu sahaja. Sejak
itu cinta itu seperti tidak mahu hadir lagi.
KETUKAN di pintu mengganggu kelegaan yang baru dirasainya.
Hajah Hafsah menjenguk ke dalam bilik.
“Ada apa, mak?” soal Qhalif, bangun perlahan-lahan lalu merenung
Hajah Hafsah.
“Mak Cik Biah telefon.”
Qhalif tersenyum dan memintas. “Apa lagi, mak. Qhalif ikut saja
cakap mak. Qhalif tak memilih, mak,” ujar Qhalif, pasrah kepada segala-galanya.
“Yalah, mak tau! Ni mak nak bagitahulah ni.” Hajah Hafsah
melangkah masuk ke dalam lalu duduk di sisi anak bujangnya. “Adira! Setuju?”
soalnya.
Qhalif ketawa. Ibunya tidak faham kepasrahan hatinya. Dia redha
siapa pun jodohnya.
“Mak ingat biar Mia aje jodoh kau. Kau pun lebih kenal Mia, kan?
Tapi Mak Cik Biah kata Adira. Mak faham kenapa Mak Cik Biah nak lepaskan Adira
dulu,” kata Hajah Hafsah.
Qhalif hanya menggeleng.
“Dua-dua pun okeylah.” Hajah Hafsah mengukirkan senyuman
memandang anaknya.
“Qhalif taklah kenal sangat dengan Mia tu,” ujar Qhalif.
“Dulu pernah bersurat-surat mak dengar?” duga Hajah Hafsah lagi.
“Alah, masa tu Mia baru umur 15 tahun, mak. Dah dekat tujuh tahun
Qhalif di US, baru dia tulis surat sebab kami dah lama tak jumpa,” balas Qhalif
sambil membuka bajunya.
“Mana dia dapat alamat Qhalif?”
Qhalif hanya menjongketkan bahu. Tetapi dia tidak mahu
menceritakan kepada emaknya tentang dia pernah menulis kepada Adira selepas
beberapa bulan sampai di Amerika. Tetapi Adira jarang membalas suratnya. Kalau
balas pun, isi surat Adira sangat pendek. Kemudian Adira tidak lagi mengutus
surat kepadanya. Tujuh tahun selepas itu, dia menerima kembali surat-surat
daripada alamat yang sama.
Pada mulanya dia menyangkakan surat yang diterima datang daripada
Adira kerana dia hanya memberikan alamat itu kepada Adira. Bukan main gembira
dia membalas surat Adira. Dan kata-kata yang tertulis, semua ditujukan untuk
Adira. Sehinggalah apabila Mia mengirimkan gambarnya, baru dia sedar yang dia
menulis kepada orang yang salah.
Dan dia menyesal seperti memberi harapan kepada Mia melalui
surat-surat terdahulunya. Apabila Mia mengutus surat kepadanya, dia hanya
membalas dengan ayat yang ringkas. Tetapi surat Mia semakin berbaur cinta. Dan
dia sendiri takut untuk membalas perasaan cinta Mia.
Akhirnya Mia juga tidak mengutus apa-apa lagi kepadanya apabila
dia memberitahu kesibukan sebagai pelajar membuatkan dia tidak punya banyak
masa untuk menulis untuk Mia
Dia mengutus surat kembali kepada Adira pula. Dan persahabatan
mereka berlarutan tanpa pengetahuan Mia. Tetapi Adira bagai tidak selesa
apabila dia mula menyatakan perasaan sebenarnya kepada gadis itu. Dia ingin
meluahkan semua perasaan yang lebih istimewa itu, tetapi dia tidak tahu
bagaimana caranya. Dia menulis semua perasaan cintanya kepada Adira. Adira
membalas. Gadis itu takut dengan apa yang ditulis kepadanya. Entah apa yang
ditakutkan Adira, dia sendiri tidak tahu. Mungkinkah itu cuma alasan Adira
kerana Adira tidak punya perasaan yang sama?
Akhirnya perasaan itu terbiar begitu sahaja. 17 tahun berlalu
selepas surat Adira yang terakhir. Qhalif tidak menyangka nama Adira dengan Mia
ditimbulkan emaknya semula.
“QHALIF!”
Lamunan Qhalif berterbangan.
“Mak nak tanya sungguh-sungguh. Tak apa ke dengan Adira? Dia agak
berumur sikit, tapi tak adalah banyak sangat. Muda empat tahun saja dari
Qhalif. Tak apa ke?”
Qhalif memeluk bahu Hajah Hafsah. “Kalau mak dah suka, Qhalif pun
suka mak,” ujar Qhalif gembira.
“Alhamdulillah. Lega mak dengar. Baiknya anak mak, tak pernah
sakitkan hati mak… tak pernah bantah cakap mak,” sambung Hajah Hafsah sambil
memeluk dan mencium kening anaknya.
“Qhalif pun dah tua, mak. Memilih sangat pun tak ada faedahnya.
Kalau dia memang jodoh yang ALLAH tentukan, mestilah dia yang terbaik untuk
Qhalif. Betul tak, mak?”
Hajah Hafsah mengangguk.
Ada bunga-bunga cinta yang kembali mewangi di hati Qhalif. Adakah
cinta yang terbiar kini kembali segar dengan rancangan yang diatur emaknya. Dia
mengucapkan syukur kerana bakal ditemukan dengan Adira semula. Gadis berkulit
hitam manis itu pernah mengajarnya
memanjat pokok manggis sewaktu dia bertandang ke kampung mereka. Adira juga
yang mengajarnya memancing dan mengusiknya dengan cacing hidup. Dan yang
menolak dia terus masuk ke dalam parit itu adalah Mia kerana Mia agak nakal dan
lebih berani berbanding Adira.
Qhalif tersenyum bila terkenangkan kisah lampaunya.
“Hah, dah mula senyum-senyum tu?”
Teguran Hajah Hafsah sekali lagi mengejutkan Qhalif.
“Adira, yang hitam manis, pendiam tu kan, mak?” soal Qhalif,
mencari kepastian tentang gadis bernama Adira. “Rambut dia paras pinggang.
Ingat lagi masa tu dia kurus… tak banyak cakap.”
“Mengenang zaman kau orang kecik-keciklah ni?” Hajah Hafsah
mengusik.
“Mia tu… dia putih sikit.
Banyak cakap, lasak, suka usik Qhalif masa kita pergi kampung dia.” Bayangan
Mia semasa kecil bermain di minda Qhalif lagi.
“Itu, dekat 20 tahun lepas sayang. Masa tu Adira baru 17. Mia
pulak baru nak masuk lapan tahun, memang
nakal. Tapi, sama bijak dengan kakak dia. Dua-dua buat master,”
jelas Hajah Hafsah penuh bangga.
Qhalif masih tersenyum-senyum.
“Tapi, sekarang dah lain. Kalau kau nampak Adira, kau mesti
terkejut. Cantik… Memanglah Mia lebih cantik sebab dia jauh lebih muda! Tak
mengapa, nanti kita pergi sana, Qhalif boleh tengok sendiri. Jangan pulak bila
dah setuju kakaknya, terus nak adiknya pulak?”
“Qhalif terima jodoh Qhalif, mak. Mak jangan risau,” ujar Qhalif
meyakinkan Hajah Hafsah.
Malam itu, Hajah Hafsah tidak bertangguh menghubungi Hajah
Salbiah untuk menyampaikan persetujuan Qhalif melamar Adira.
Hajah Salbiah menarik nafas lega.
Tetapi sepanjang malam itu juga, Qhalif sukar memejamkan mata.
Tiba-tiba gadis hitam manis berambut panjang itu menjelma lagi dalam
ingatannya.