Home Novel Cinta Cinta Atas Kertas
Cinta Atas Kertas
Sharifah Abu Salem
18/5/2015 15:04:06
23,896
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

15

MIA menekan loceng pintu rumah kakaknya dengan harapan Adira masih belum tidur. Jangkaannya tepat. Bunyi televisyen di ruang tamu menandakan penghuni rumah memang belum tidur. Pintu dibuka beberapa ketika kemudian. Zara muncul dengan wajah terkejut.

“Mia? Lamanya tak datang?” Zara melebarkan pintu memberi laluan kepada Mia.

“Alah, baru seminggu tak datang. Kak Zara belum tidur lagi ke?” soal Mia melangkah masuk. “Mia dari kampung ni, mak kirim lauk untuk Kak Di. Tu Mia singgah sini.” Dia melangkah ke meja makan. Bekas makanan yang dibawa diletakkan atas meja. “Kak Di dah tidur ke?”

“Ada dalam bilik dia. Entah apa masalah Di. Lepas dia call emak Mia kat kampung, dia terus masuk bilik. Tak keluar-keluar sampai sekarang. Kak Zara ajak dia makan pun dia tak nak,” ujar Zara.

Mia hanya tersenyum. “Dia risaukan maklah tu! Kak Zara tahu kan dia tak terima jodoh yang mak pilihkan untuk dia?”

“Tau! Tapi kenapa dia tolak ya?” soal Zara pula.

“Kak Zara tahu ke kalau kakak dah ada boyfriend?Kakak kata dia dah ada pilihan?”

Zara menggeleng.

“Ke saja alasan kakak sebab dia tak mau kahwin dengan pilihan mak?”

Zara terdiam. Seingat dia, memang Adira tidak ada kekasih. Teman biasa memang ramai, tetapi Adira tidak pernah serius untuk berkawan. Lebih-lebih lagi kebanyakan kawan lelakinya jauh lebih muda darinya.

“Hal peribadi Dira, Kak Zara malas nak masuk campur. Takut dia sensitif,” ujarnya sambil membelek lauk-lauk kiriman Hajah Salbiah.

“Kakak makanlah dulu. Mia panggil Kak Di.” Mia bergegas meniti tangga ke bilik Adira.

Adira sedang membetulkan pakaiannya ketika Mia menolak pintu bilik. Dia cepat-cepat mengesat matanya yang basah.

“Eh, Kak Di? Menangis ke?” Mia memerhatikan kakaknya.

“Mak macam mana, Mia? Dia marah kakak ke?” soal Adira merenung adiknya.

Mia tersenyum. “Alah, marah sekejap saja, kak. Lepas tu mak okey. Tapi, Mia terpaksa pujuk mak.”

“Kakak tak sempat nak bagitau mak yang Mia sanggup gantikan kakak,” ujar Adira, pura-pura selamba.

“Mia dah cakap dengan emak, kak! Habis, mak terus menangis. Mak risau Mak Cik Hafsah kecik hati. Mia pun bagitahu mak yang Kak Di minta Mia gantikan tempat Kak Di.” Mia menunjukkan wajah sedihnya kepada Adira.

“Mak pun terus cakap dengan Mak Cik Hafsah yang Mia akan gantikan Kak Di?” soal Adira lalu duduk di birai katilnya.

Mia mengangguk. Wajahnya masih mendung.

“Betul Mia boleh terima Qhalif? Mia belum jumpa dia lagi… nanti Mia tak sukakan dia pulak.” Adira memandang adiknya.

Mia menarik nafas panjang. “Nak buat macam mana? Kak Di dah paksa Mia terima dia?”

Adira tersentak mendengar kata-kata adiknya. ‘Aku paksa dia? Bukan ke dia memang mengimpikan untuk hidup dengan Qhalif? Pandainya Mia. Sampai hati Mia kenakan aku?’ Adira sedih mengenangkan perbuatan Mia tetapi dia tidak boleh menunjukkan kesedihannya. Mia tidak perlu tahu dia menolak Qhalif kerana Mia.

“Kak, mak suruh kita balik tiga hari bulan depan sebab Mak Cik Hafsah nak datang meminang. Kakak jangan tak balik pulak,” ujar Mia dengan wajah gembiranya.

“Mana boleh tak balik? Mia kan nak bertunang?” Adira melemparkan senyumannya.

Mia meminta izin untuk pulang ke rumahnya walaupun Adira dengan Zara mempelawa bermalam di rumah mereka.

SEBAIK Mia balik ke rumahnya, Adira tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam. Dia sedih kerana melepaskan satu peluang yang tidak akan ada duanya. Tetapi tak mengapalah demi Mia. Dia lebih rela kehhilangan Qhalif daripada terpaksa bermusuh dengan Mia sepanjang hayat. Kalau Mia cintakan Qhalif mungkin Mia akan melakukan apa sahaja demi cintanya.

Dia kenal sangat dengan Mia. Adiknya itu akan berjuang habis-habiskan untuk mendapat apa yang dia inginkan. Bagaimana nanti kalau Qhalif sudah menjadi abang iparnya dan cintanya semakin mendalam semula? Adakah Mia nekad untuk merampas Qhalif daripada tangannya pula? Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui. Kalau Mia tidak merampas Qhalif pun, mungkin dia akan menderita sepanjang hayat.

‘Aku tak sanggup membiarkan hidup Mia terseksa kerana kegagalan cintanya. Aku tak sanggup!’

AWAL pagi esoknya, Adira ke pejabat dengan semangat baru. Dia nekad melupakan secebis kisah duka yang sempat singgah dalam hidupnya. Kisah duka yang datang tiba-tiba dan dia mahu cepat menghapusnya.

Zain sudah menunggu Adira di pejabat sewal jam 8.00 pagi. Wajah Zain ceria menatap wajah Adira. Adira hairan melihat Zain tersenyum-senyum ke arahnya.

“Selamat pagi, Cik Adira. Encik Zarul kirim salam.”

Adira mengerutkan kening. Zarul? Dia cuba mengingati sesuatu.

“Encik Zarul yang tak mau bayar resit bengkel Cik Adira.” Zain menjelaskan.

“Awak jumpa dia ke?” soal Adira sambil melangkah ke biliknya.

“Setiausaha dia, Cik Nadia telefon, tanya alamat Cik Adira. Agaknya dia nak kirim cek melalui pos. Cik Nadia tak cakap apa-apa ke?” soal Zain lagi.

“Saya dah minta dia dermakan duit tu pada Madrasah di Hulu Langat. Nak bagi juga buat apa? Hari tu tak mau bagi, ni nak bagi pulak?” Adira menarik nafas panjang. Kemudian menggelengkan kepalanya.

“Tak apalah, cik. Nanti cek tu sampai, kita hantarlah ke madrasah tu. Dapat juga pahala memanjangkan sedekah orang,” ujar Zain.

Adira hanya mengangguk. Dia masuk ke biliknya. Telefon bimbitnya berdering sebelum dia sempat duduk di kerusinya. Dia pantas menjawab panggilan seperti biasa.

“Adira. Saya, Qhalif!”

Adira terkejut. Dia terdiam seketika. Qhalif telefon? Dia gelabah.

“Helo, Adira. Tolong bercakap dengan saya. Saya Qhalif. Ingat saya lagi, kan?”

Adira semakin gugup. Dia merasa tubuhnya sejuk sekujurnya. Bagaimanapun dia tidak mahu ketara di pendengaran Qhalif.

“Qhalif? Ya ALLAH… Qhalif anak Mak Cik Hafsah rupanya. Ya Qhalif, ada apa telefon Kak Di pagi-pagi ni?” soal Adira disertai ketawa mesra.

“Adira… tak payahlah berkakak-kakak dengan saya. Saya lebih tua daripada Adira,” ujar Qhalif yang kedengaran mesra dan masih lembut seperti dulu.

“Qhalif kan nak jadi adik ipar kakak? Kena panggil saya kakaklah.” Adira cuba bergurau.

“Saya nak jumpa Adira.

“Saya pun nak sangat jumpa Qhalif. Mak kata Qhalif nak datang ke rumah. Nanti kita boleh jumpa kat rumah. Oh ya, Qhalif apa khabar sekarang?” Adira cuba bercakap secara selamba dan ceria.

“Alhamdulillah. Saya macam inilah… ada buat bisnes sikit-sikit. Adira pun dah berjaya dalam hidup. Ada kedudukan tinggi. Saya kagum.”

Adira menelan liur. Ini memang satu kejutan untuknya. Hanya mendengar suara sahaja dia sudah begitu gementar. Bagaimana kalau dia berdepan dengan Qhalif yang sebenarnya?

“Adira? kenapa senyap?”

Adira kehilangan kata-katanya.

“Err… saya rasa kita kena jumpa. Saya dah ada di KL.”

Adira terus menggigil. Qhalif datang mencarinya?

KUALA LUMPUR terasa membahang. Sesekali ke Kuala Lumpur, Qhalif tidak pernah menyukai suasananya. Di sana sini bingit dan berbahang. Sebab itu dia lebih suka memilih syarikat yang berpangkalan di Ipoh walaupun pelanggan dan projeknya banyak di Kuala Lumpur. Yang lebih penting, di jantung kota ini ada sesuatu yang sedang diingatinya. Namun untuk mencarinya dia tidak ada sebab yang kuat. Dia mungkin sudah berkahwin. Cintanya mungkin untuk orang lain. Dia mungkin sudah melupainya.

Banyak soalan berlegar di benaknya tentang Adira tetapi dia tidak mendapat jawapan kerana satu-satunya orang yang mampu memberi jawapan sedang terlantar tidak mampu bergerak. Hampir sepuluh tahun Hajah Hafsah menghidap strok. Dia tidak mampu bergerak apatah lagi berkata-kata.

Selama sepuluh tahun itu, Qhalif turut kehilangan hidupnya. Selain bisnes, dia hanya memikirkan bila ibunya akan sembuh. Seluruh perhatian diberi kepada ibunya dan perniagaan. Waktu lapangnya dia menemani Hajah Hafsah menjalani rawatan terapi di hospital. Sepuluh tahun berlalu melupakannya kepada Adira. Sehinggalah Hajah Hafsah akhirnya sembuh semula setahun yang lalu dan mula membincangkan soal perkahwinannya. Apabila Hajah Hafsah menyebut nama Adira sebulan lalu, nama itu sempat menggetarkan hatinya. Namun terdetik di hatinya Adira yang itukah? Atau ada Adira yang lain?

Qhalif melihat jam tangannya. Lobi hotel dipenuhi pelancong asing. Namun dia tidak ternampak seseorang yang mungkin Adira. Adira berjanji menunggu di lobi hotel itu. Dia berbaju biru dan berselendang biru muda. Itu pengenalan diri yang diberikan Adira.

Dia juga memberikan pengenalan dirinya. Kemeja T kuning dengan jaket dan seluar kelabu. Mata Qhalif tidak lepas-lepas memandang ke pintu. Kalau Adira muncul dia akan segera mengenalinya. Begitu juga Adira, dia pasti akan segera mengenali aku.

“Assalamulaikum. Qhalif?”

Qhalif tersentak melihat gadis berbaju ungu menyapanya. Dia bingkas bangun. “Adira?” Dia sedikit teruja.

“Bukan. Mia.”

Qhalif terkejut.

“Minta maaf, kakak lambat sikit. Kakak minta Mia datang dulu. Qhalif dah lama tunggu ke?” soal Mia sambil matanya tidak lepas-lepas memandang Qhalif.

Qhalif masih tergamam. Mengapa Mia pula yang datang sedangkan Adira sudah berjanji untuk bertemu dengannya di sini?

“Saya menginap di sini. Untuk memudahkan Adira, saya minta dia datang ke sini… err… tak sangka… saya juga jumpa Mia di sini.”

Wajah Mia yang cantik dan putih bersih itu memang tidak banyak berbeza dengan Mia yang dulu.

“Mia tak berubah, macam dulu juga,” ujar Qhalif mula mesra.

Mia hanya tersenyum. “Qhalif banyak berubah. Dah lain… tapi suara tu sama juga.” Dia memandang keliling. “Mana kakak ni?” Mia menunjukkan wajah risau.

Qhalif menarik nafas panjang. Diakah yang bakal menjadi isteriku? Dia memang cantik. Sopan dan nampaknya agak pemalu. Dulu dia tidak begini. Kedewasaannyakah yang mengubah dirinya?

“Dulu Mia nakal masa kecik-kecik, kan?” soal Qhalif cuba menghimbau kenangan lama.

“Qhalif ingat saya lagi ke?” soal Mia pula.

Qhalif mengangguk.

“Err…Qhalif tak balas surat saya yang dulu tu kan?”

Soalan Mia membuatkan Qhalif amat terkejut. Ternyata dia kekal dalam ingatan Mia. Mungkinkah cintanya juga masih utuh. Dan Mia memang mengharapkan cintanya sekarang. Kerana inikah TUHAN mempertemukan dia dengan Mia terlebih dahulu, bukannya Adira walaupun mereka sudah berjanji. Atau mungkin Adira sengaja memberi mereka peluang? Adakah Adira tahu mereka pernah berutus surat satu ketika dahulu? Adakah Adira juga tahu Mia pernah meluahkan perasaan cinta kepadanya?

“Saya minta maaf sebab saya pernah hampakan Mia. Maklumlah masa tu kita budak-budak lagi. Saya pun tak faham apa erti hidup sebenarnya. Kalau saya lukakan hati Mia, saya minta maaf,” ujar Qhalif penuh sopan selepas berbual agak lama tentang kehidupan dan kerjaya.

Mia mendengar suara itu bagai alunan bayu lembut yang menyapa indah di telinganya. Qhalif tidak berubah. Tetap sopan dan tutur katanya tetap lembut dan menawan. Malah dia masih ingat tentang suratnya.

Eloklah kakaknya tak datang. Harap-harap dia tak datang langsung. Bagilah dia peluang bercakap dengan Qhalif dulu. Lagipun dia yang akan berkahwin dengan Qhalif, bukan Adira.

“Qhalif tak salah. Saya yang salah,” katanya. Mia lebih banyak menundukkan wajahnya. Dia mengelak daripada asyik melihat ke wajah Qhalif. Dia tidak mahu Qhalif salah anggap dalam pertemuan pertama ini. Biarlah Qhalif menilai yang baik-baik sahaja tentang dirinya agar Qhalif tidak teragak-agak untuk menerima dia sebagai isteri.

“Saya tak sepatutnya datang jumpa Qhalif sebab Qhalif nak jumpa kakak, bukan saya.”

“Saya nak jumpa Mia dengan Adira. Tapi sebab saya cuma ada nombor Adira, saya telefon dia. Kebetulan saya ada urusan di Kuala Lumpur,” ujar Qhalif pula.

‘Qhalif belum tau ke kakak dah tolak dia? Mak Cik Hafsah tak bagitahu ke aku yang akan gantikan tempat kakak? Susahlah macam ni. Nampak sangat aku terhegeh-hegeh pulak. Takkan Mak Cik Hafsah belum bagitahu dia? Dia tak cakap apa pun?’ Hati Mia mula curiga.

“Kenapa Mia senyap? Segan dengan saya?” soal Qhalif pula.

“Tak! Err… saya rasa elok kalau saya berterus terang. Err… mengenai perkahwinan Qhalif…”

“Dengan Mia?” Qhalif pantas memotong.

Mia mengangguk.

“Saya tahu Mia sudi terima saya. Sebab tu saya gugup bila saya nampak Mia tadi. Saya tak sangka…”

“Saya ingat kakak sampai dulu… tapi dia bagitahu dia lambat pulak…” Mia pula memotong.

“Itu semua tak jadi hal. Akhirnya saya pun kena jumpa Mia juga. Alhamdulillah, saya dah jumpa Mia dulu.”

Mia menarik nafas lega. Barulah dia berani mengangkat muka menatap wajah Qhalif. Kacaknya dia! Jauh lebih kacak daripada ketika dia berusia 17 tahun. Sorotan matanya penuh kasih sayang. Dia juga masih banyak tersenyum macam dulu. Tak sia-sia bertahun-tahun dia rindukan pemuda itu.

Dia menoleh ke arah pintu sambil meramas-ramas jarinya. Dia memang mengharapkan Adira tidak muncul saat dia sedang bahagia bersama Qhalif. Kalau bukan di lobi hotel, kalau hanya mereka berdua, pasti dia sudah memeluk erat lelaki yang dirinduinya itu!

Namun, harapannya berkecai. Adira muncul dengan senyuman menuju ke arah mereka berdua. Qhalif terus berdiri memandang Adira. Adira juga begitu gugup berhadapan dengan Qhalif.

“Adira?” Qhalif menyapa.

Adira tersenyum ramah. “Wah! Nampaknya Mia lebih bertuah berbanding kakak, dapat jumpa Qhalif dulu.”

Qhalif tergamam seketika. Ya TUHAN, cantiknya dia. Lebih cantik daripada Mia.

“Qhalif rasa, kakak sama macam dulu ke atau dah nampak lain?” Adira cuba mencipta keceriaan dalam setiap pertuturannya.

Qhalif serba salah hendak menjawab pertanyaan Adira. “Tak tau nak cakap. Bagi saya, macam mana dua puluh tahun lepas, macam tu jugalah Adira ni… tak berubah!” katanya.

Adira ketawa dan mencuit adiknya, kemudian bersuara. “Sebenarnya kakak tengah tunggu orang. Kebetulan dalam perjalanan tadi Kak Di terima panggilan telefon. Dah janji nak jumpa dia kat sini,” ujar Adira pula.

Wajah Qhalif berubah mendengar kata-kata Adira. Beberapa ketika kemudian dia memandang ke pintu. “Tu dia dah sampai.”

Mia dengan Qhalif sama-sama memandang ke pintu.

Zarul sedang melangkah menuju ke arah mereka.

Qhalif terasa tubuhnya lemah. Memang betul dia sudah ada yang punya!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sharifah Abu Salem