15
MIA menekan loceng pintu rumah kakaknya dengan harapan Adira
masih belum tidur. Jangkaannya tepat. Bunyi televisyen di ruang tamu menandakan
penghuni rumah memang belum tidur. Pintu dibuka beberapa ketika kemudian. Zara
muncul dengan wajah terkejut. |
“Mia? Lamanya tak datang?” Zara melebarkan pintu memberi laluan
kepada Mia.
“Alah, baru seminggu tak datang. Kak Zara belum tidur lagi ke?”
soal Mia melangkah masuk. “Mia dari kampung ni, mak kirim lauk untuk Kak Di. Tu
Mia singgah sini.” Dia melangkah ke meja makan. Bekas makanan yang dibawa
diletakkan atas meja. “Kak Di dah tidur
ke?”
“Ada dalam bilik dia. Entah apa masalah Di. Lepas dia call
emak Mia kat kampung, dia terus masuk bilik. Tak keluar-keluar sampai sekarang.
Kak Zara ajak dia makan pun dia tak nak,” ujar Zara.
Mia hanya tersenyum. “Dia risaukan maklah tu! Kak Zara tahu kan
dia tak terima jodoh yang mak pilihkan untuk dia?”
“Tau! Tapi kenapa dia tolak ya?” soal Zara pula.
“Kak Zara tahu ke kalau kakak dah ada boyfriend?Kakak
kata dia dah ada pilihan?”
Zara menggeleng.
“Ke saja alasan kakak sebab dia tak mau kahwin dengan pilihan
mak?”
Zara terdiam. Seingat dia, memang Adira tidak ada kekasih. Teman
biasa memang ramai, tetapi Adira tidak pernah serius untuk berkawan.
Lebih-lebih lagi kebanyakan kawan lelakinya jauh lebih muda darinya.
“Hal peribadi Dira, Kak Zara malas nak masuk campur. Takut dia
sensitif,” ujarnya sambil membelek lauk-lauk kiriman Hajah Salbiah.
“Kakak makanlah dulu. Mia
panggil Kak Di.” Mia bergegas meniti tangga ke bilik Adira.
Adira sedang membetulkan pakaiannya ketika Mia menolak pintu
bilik. Dia cepat-cepat mengesat matanya yang basah.
“Eh, Kak Di? Menangis ke?” Mia memerhatikan kakaknya.
“Mak macam mana, Mia? Dia marah kakak ke?” soal Adira merenung
adiknya.
Mia tersenyum. “Alah, marah sekejap saja, kak. Lepas tu mak okey.
Tapi, Mia terpaksa pujuk mak.”
“Kakak tak sempat nak bagitau mak yang Mia sanggup gantikan
kakak,” ujar Adira, pura-pura selamba.
“Mia dah cakap dengan emak, kak! Habis, mak terus menangis. Mak
risau Mak Cik Hafsah kecik hati. Mia pun bagitahu mak yang Kak Di minta Mia
gantikan tempat Kak Di.” Mia menunjukkan wajah sedihnya kepada Adira.
“Mak pun terus cakap dengan Mak Cik Hafsah yang Mia akan gantikan
Kak Di?” soal Adira lalu duduk di birai katilnya.
Mia mengangguk. Wajahnya masih mendung.
“Betul Mia boleh terima Qhalif? Mia belum jumpa dia lagi… nanti
Mia tak sukakan dia pulak.” Adira memandang adiknya.
Mia menarik nafas panjang. “Nak buat macam mana? Kak Di dah paksa
Mia terima dia?”
Adira tersentak mendengar kata-kata adiknya. ‘Aku paksa dia? Bukan ke dia memang
mengimpikan untuk hidup dengan Qhalif? Pandainya Mia. Sampai hati Mia kenakan
aku?’ Adira sedih mengenangkan perbuatan Mia tetapi dia tidak boleh menunjukkan
kesedihannya. Mia tidak perlu tahu dia menolak Qhalif kerana Mia.
“Kak, mak suruh kita balik tiga hari bulan depan sebab Mak Cik
Hafsah nak datang meminang. Kakak jangan tak balik pulak,” ujar Mia dengan
wajah gembiranya.
“Mana boleh tak balik? Mia kan nak bertunang?” Adira melemparkan
senyumannya.
Mia meminta izin untuk pulang ke rumahnya walaupun Adira dengan
Zara mempelawa bermalam di rumah mereka.
SEBAIK Mia balik ke rumahnya, Adira tidak dapat melelapkan
mata sepanjang malam. Dia sedih kerana melepaskan satu peluang yang tidak akan
ada duanya. Tetapi tak mengapalah demi Mia. Dia lebih rela kehhilangan Qhalif
daripada terpaksa bermusuh dengan Mia sepanjang hayat. Kalau Mia cintakan
Qhalif mungkin Mia akan melakukan apa sahaja demi cintanya.
Dia kenal sangat dengan Mia. Adiknya itu akan berjuang
habis-habiskan untuk mendapat apa yang dia inginkan. Bagaimana nanti kalau
Qhalif sudah menjadi abang iparnya dan cintanya semakin mendalam semula? Adakah
Mia nekad untuk merampas Qhalif daripada tangannya pula? Hanya ALLAH Yang Maha
Mengetahui. Kalau Mia tidak merampas Qhalif pun, mungkin dia akan menderita
sepanjang hayat.
‘Aku tak sanggup membiarkan hidup Mia terseksa kerana kegagalan
cintanya. Aku tak sanggup!’
AWAL pagi esoknya, Adira ke pejabat dengan semangat baru.
Dia nekad melupakan secebis kisah duka yang sempat singgah dalam hidupnya.
Kisah duka yang datang tiba-tiba dan dia mahu cepat menghapusnya.
Zain sudah menunggu Adira di pejabat sewal jam 8.00 pagi. Wajah
Zain ceria menatap wajah Adira. Adira hairan melihat Zain tersenyum-senyum ke
arahnya.
“Selamat pagi, Cik Adira. Encik Zarul kirim salam.”
Adira mengerutkan kening. Zarul? Dia cuba mengingati sesuatu.
“Encik Zarul yang tak mau bayar resit bengkel Cik Adira.” Zain
menjelaskan.
“Awak jumpa dia ke?” soal Adira sambil melangkah ke biliknya.
“Setiausaha dia, Cik Nadia telefon, tanya alamat Cik Adira.
Agaknya dia nak kirim cek melalui pos. Cik Nadia tak cakap apa-apa ke?” soal
Zain lagi.
“Saya dah minta dia dermakan duit tu pada Madrasah di Hulu Langat.
Nak bagi juga buat apa? Hari tu tak mau bagi, ni nak bagi pulak?” Adira menarik
nafas panjang. Kemudian menggelengkan kepalanya.
“Tak apalah, cik. Nanti cek tu sampai, kita hantarlah ke madrasah
tu. Dapat juga pahala memanjangkan sedekah orang,” ujar Zain.
Adira hanya mengangguk. Dia masuk ke biliknya. Telefon bimbitnya
berdering sebelum dia sempat duduk di kerusinya. Dia pantas menjawab panggilan
seperti biasa.
“Adira. Saya, Qhalif!”
Adira terkejut. Dia terdiam seketika. Qhalif telefon? Dia gelabah.
“Helo, Adira. Tolong bercakap dengan saya. Saya Qhalif. Ingat
saya lagi, kan?”
Adira semakin gugup. Dia merasa tubuhnya sejuk sekujurnya.
Bagaimanapun dia tidak mahu ketara di pendengaran Qhalif.
“Qhalif? Ya ALLAH… Qhalif anak Mak Cik Hafsah rupanya. Ya Qhalif,
ada apa telefon Kak Di pagi-pagi ni?” soal Adira disertai ketawa mesra.
“Adira… tak payahlah berkakak-kakak dengan saya. Saya lebih tua
daripada Adira,” ujar Qhalif yang kedengaran mesra dan masih lembut seperti
dulu.
“Qhalif kan nak jadi adik ipar kakak? Kena panggil saya
kakaklah.” Adira cuba bergurau.
“Saya nak jumpa Adira.
“Saya pun nak sangat jumpa Qhalif. Mak kata Qhalif nak datang ke
rumah. Nanti kita boleh jumpa kat rumah. Oh ya, Qhalif apa khabar sekarang?”
Adira cuba bercakap secara selamba dan ceria.
“Alhamdulillah. Saya macam inilah… ada buat bisnes sikit-sikit.
Adira pun dah berjaya dalam hidup. Ada kedudukan tinggi. Saya kagum.”
Adira menelan liur. Ini memang satu kejutan untuknya. Hanya
mendengar suara sahaja dia sudah begitu gementar. Bagaimana kalau dia berdepan
dengan Qhalif yang sebenarnya?
“Adira? kenapa senyap?”
Adira kehilangan kata-katanya.
“Err… saya rasa kita kena jumpa. Saya dah ada di KL.”
Adira terus menggigil. Qhalif datang mencarinya?
KUALA LUMPUR terasa membahang. Sesekali ke Kuala Lumpur,
Qhalif tidak pernah menyukai suasananya. Di sana sini bingit dan berbahang.
Sebab itu dia lebih suka memilih syarikat yang berpangkalan di Ipoh walaupun
pelanggan dan projeknya banyak di Kuala Lumpur. Yang lebih penting, di jantung kota
ini ada sesuatu yang sedang diingatinya. Namun untuk mencarinya dia tidak ada sebab yang kuat. Dia mungkin sudah
berkahwin. Cintanya mungkin untuk orang lain. Dia mungkin sudah melupainya.
Banyak soalan berlegar di benaknya tentang Adira tetapi dia tidak
mendapat jawapan kerana satu-satunya orang yang mampu memberi jawapan sedang
terlantar tidak mampu bergerak. Hampir sepuluh tahun Hajah Hafsah menghidap
strok. Dia tidak mampu bergerak apatah lagi berkata-kata.
Selama sepuluh tahun itu, Qhalif turut kehilangan hidupnya.
Selain bisnes, dia hanya memikirkan bila ibunya akan sembuh. Seluruh perhatian
diberi kepada ibunya dan perniagaan. Waktu lapangnya dia menemani Hajah Hafsah
menjalani rawatan terapi di hospital. Sepuluh tahun berlalu melupakannya kepada
Adira. Sehinggalah Hajah Hafsah akhirnya sembuh semula setahun yang lalu dan
mula membincangkan soal perkahwinannya. Apabila Hajah Hafsah menyebut nama
Adira sebulan lalu, nama itu sempat menggetarkan hatinya. Namun terdetik di
hatinya Adira yang itukah? Atau ada Adira yang lain?
Qhalif melihat jam tangannya. Lobi hotel dipenuhi pelancong
asing. Namun dia tidak ternampak seseorang yang mungkin Adira. Adira berjanji
menunggu di lobi hotel itu. Dia berbaju biru dan berselendang biru muda. Itu
pengenalan diri yang diberikan Adira.
Dia juga memberikan pengenalan dirinya. Kemeja T kuning dengan
jaket dan seluar kelabu. Mata Qhalif tidak lepas-lepas memandang ke pintu.
Kalau Adira muncul dia akan segera mengenalinya. Begitu juga Adira, dia pasti
akan segera mengenali aku.
“Assalamulaikum. Qhalif?”
Qhalif tersentak melihat gadis berbaju ungu menyapanya. Dia
bingkas bangun. “Adira?” Dia sedikit teruja.
“Bukan. Mia.”
Qhalif terkejut.
“Minta maaf, kakak lambat
sikit. Kakak minta Mia datang dulu. Qhalif dah lama tunggu ke?” soal Mia sambil
matanya tidak lepas-lepas memandang Qhalif.
Qhalif masih tergamam. Mengapa Mia pula yang datang sedangkan
Adira sudah berjanji untuk bertemu dengannya di sini?
“Saya menginap di sini. Untuk memudahkan Adira, saya minta dia
datang ke sini… err… tak sangka… saya juga jumpa Mia di sini.”
Wajah Mia yang cantik dan putih bersih itu memang tidak banyak
berbeza dengan Mia yang dulu.
“Mia tak berubah, macam dulu juga,” ujar Qhalif mula mesra.
Mia hanya tersenyum. “Qhalif banyak berubah. Dah lain… tapi suara
tu sama juga.” Dia memandang keliling. “Mana kakak ni?” Mia menunjukkan wajah
risau.
Qhalif menarik nafas panjang. Diakah yang bakal menjadi isteriku?
Dia memang cantik. Sopan dan nampaknya agak pemalu. Dulu dia tidak begini.
Kedewasaannyakah yang mengubah dirinya?
“Dulu Mia nakal masa kecik-kecik, kan?” soal Qhalif cuba
menghimbau kenangan lama.
“Qhalif ingat saya lagi ke?” soal Mia pula.
Qhalif mengangguk.
“Err…Qhalif tak balas surat saya yang dulu tu kan?”
Soalan Mia membuatkan Qhalif amat terkejut. Ternyata dia kekal
dalam ingatan Mia. Mungkinkah cintanya juga masih utuh. Dan Mia memang
mengharapkan cintanya sekarang. Kerana inikah TUHAN mempertemukan dia dengan
Mia terlebih dahulu, bukannya Adira walaupun mereka sudah berjanji. Atau
mungkin Adira sengaja memberi mereka peluang? Adakah Adira tahu mereka pernah
berutus surat satu ketika dahulu? Adakah Adira juga tahu Mia pernah meluahkan
perasaan cinta kepadanya?
“Saya minta maaf sebab saya pernah hampakan Mia. Maklumlah masa
tu kita budak-budak lagi. Saya pun tak faham apa erti hidup sebenarnya. Kalau
saya lukakan hati Mia, saya minta maaf,” ujar Qhalif penuh sopan selepas
berbual agak lama tentang kehidupan dan kerjaya.
Mia mendengar suara itu bagai alunan bayu lembut yang menyapa
indah di telinganya. Qhalif tidak berubah. Tetap sopan dan tutur katanya tetap
lembut dan menawan. Malah dia masih ingat tentang suratnya.
Eloklah kakaknya tak datang. Harap-harap dia tak datang langsung.
Bagilah dia peluang bercakap dengan Qhalif dulu. Lagipun dia yang akan
berkahwin dengan Qhalif, bukan Adira.
“Qhalif tak salah. Saya yang salah,” katanya. Mia lebih banyak
menundukkan wajahnya. Dia mengelak daripada asyik melihat ke wajah Qhalif. Dia
tidak mahu Qhalif salah anggap dalam pertemuan pertama ini. Biarlah Qhalif
menilai yang baik-baik sahaja tentang dirinya agar Qhalif tidak teragak-agak
untuk menerima dia sebagai isteri.
“Saya tak sepatutnya datang jumpa Qhalif sebab Qhalif nak jumpa
kakak, bukan saya.”
“Saya nak jumpa Mia dengan Adira. Tapi sebab saya cuma ada nombor
Adira, saya telefon dia. Kebetulan saya ada urusan di Kuala Lumpur,” ujar
Qhalif pula.
‘Qhalif belum tau ke kakak dah tolak dia? Mak Cik Hafsah tak bagitahu
ke aku yang akan gantikan tempat kakak? Susahlah macam ni. Nampak sangat aku
terhegeh-hegeh pulak. Takkan Mak Cik Hafsah belum bagitahu dia? Dia tak cakap
apa pun?’ Hati Mia mula curiga.
“Kenapa Mia senyap? Segan
dengan saya?” soal Qhalif pula.
“Tak! Err… saya rasa elok kalau saya berterus terang. Err…
mengenai perkahwinan Qhalif…”
“Dengan Mia?” Qhalif pantas memotong.
Mia mengangguk.
“Saya tahu Mia sudi terima saya. Sebab tu saya gugup bila saya
nampak Mia tadi. Saya tak sangka…”
“Saya ingat kakak sampai dulu… tapi dia bagitahu dia lambat
pulak…” Mia pula memotong.
“Itu semua tak jadi hal. Akhirnya saya pun kena jumpa Mia juga.
Alhamdulillah, saya dah jumpa Mia dulu.”
Mia menarik nafas lega. Barulah dia berani mengangkat muka
menatap wajah Qhalif. Kacaknya dia! Jauh lebih kacak daripada ketika dia
berusia 17 tahun. Sorotan matanya penuh kasih sayang. Dia juga masih banyak
tersenyum macam dulu. Tak sia-sia bertahun-tahun dia rindukan pemuda itu.
Dia menoleh ke arah pintu sambil meramas-ramas jarinya. Dia
memang mengharapkan Adira tidak muncul saat dia sedang bahagia bersama Qhalif.
Kalau bukan di lobi hotel, kalau hanya mereka berdua, pasti dia sudah memeluk
erat lelaki yang dirinduinya itu!
Namun, harapannya berkecai. Adira muncul dengan senyuman menuju
ke arah mereka berdua. Qhalif terus berdiri memandang Adira. Adira juga begitu
gugup berhadapan dengan Qhalif.
“Adira?” Qhalif menyapa.
Adira tersenyum ramah. “Wah! Nampaknya Mia lebih bertuah
berbanding kakak, dapat jumpa Qhalif dulu.”
Qhalif tergamam seketika. Ya TUHAN, cantiknya dia. Lebih cantik
daripada Mia.
“Qhalif rasa, kakak sama macam dulu ke atau dah nampak lain?”
Adira cuba mencipta keceriaan dalam setiap pertuturannya.
Qhalif serba salah hendak menjawab pertanyaan Adira. “Tak tau nak
cakap. Bagi saya, macam mana dua puluh tahun lepas, macam tu jugalah Adira ni…
tak berubah!” katanya.
Adira ketawa dan mencuit adiknya, kemudian bersuara. “Sebenarnya
kakak tengah tunggu orang. Kebetulan dalam perjalanan tadi Kak Di terima
panggilan telefon. Dah janji nak jumpa dia kat sini,” ujar Adira pula.
Wajah Qhalif berubah mendengar kata-kata Adira. Beberapa ketika
kemudian dia memandang ke pintu. “Tu dia dah sampai.”
Mia dengan Qhalif sama-sama memandang ke pintu.
Zarul sedang melangkah menuju ke arah mereka.
Qhalif terasa tubuhnya lemah. Memang betul dia sudah ada yang
punya!