9
NASREEN mundar-mandir di ruang tamu rumahnya. Baru beberapa jam
Shasha dibawa pergi, dia sudah merasai kehilangan yang amat sangat. Rumah besar
itu menjadi sunyi tiba-tiba. Tidak ada suara Shasha atau alunan piano yang
dimainkannya bergema di tengah ruang. Dia hendak menghubungi Zarul sekali lagi.
Tetapi dia baru sahaja menghubungi lelaki itu dan Zarul memberitahu Shasha sedang
bermain ombak di taman tema. |
“Awak tak payah bimbangkan dia. Saya jaga dia elok-elok. Awak ni
apa hal asyik telefon?” Zarul naik marah kerana dia kerap menelefon. “Kalau
Shasha dengan saya, awak sibuk telefon. Kalau dia dengan awak, ada saya asyik telefon?”
Kecut juga hati Nasreen untuk menelefon lagi. Bukan dia hendak
sangat mendengar suara Shasha sebaliknya memang dia ingin bercakap dengan
Zarul. Suara Zarullah yang dirinduinya.
“Yalah…I tak telefon you lagi! Tapi ingat, Shasha kena ada di
rumah ni sebelum pukul enam petang. Jangan lupa pulak,” Nasreen juga terpaksa
berkasar.
Bukan hendak memarahinya sangat, tetapi sekadar menunjukkan dia
juga boleh berkasar dan pura-pura menunjukan dia juga ada rasa benci dan
kemarahan.
Biar Zarul tahu cinta mereka sudah lama berkubur sedangkan pada
hakikatnya rindunya juga semakin subur. Kalau bukan kerana papanya, tidak
mungkin dia terseksa oleh rindu itu. Dia mungkin selalu marahkan Zarul kerana
kegagalan demi kegagalan perniagaannya. Tetapi tidak pernah dia terfikir untuk
mengakhiri perkahwinan mereka. Dia sayangkan Zarul. Bagaimana mungkin dia
meminta perpisahan sedangkan berenggang sekejap sahaja dia tidak tahan. Namun,
amukan papanya petang itu membuatkan kemarahannya juga meledak terhadap Zarul.
“Kurang ajar punya menantu. Dia boleh buat laporan kat Suruhan
Jaya Pencegahan Rasuah sebab papa ambil alih projek dia yang dah dibatalkan tu.
Dia kata papa bagi rasuah, sebab tu papa dapat projek tu. Polis, pegawai
pencegah rasuah penuh kat pejabat papa pagi tadi. Laki kau tulah, tak ada otak.
Sedap mulut saja tuduh bapak mentua dia!” merah padam wajah Datuk Rahim menahan
marah.
Nasreen tidak pernah nampak papanya semarah itu. “Dia tak balik
ke papa?” soalnya.
“Kalau nak mati… hah, cubalah balik! Beranilah dia balik sini,
aku tembak dia nanti!”
“Cuba papa bagitahu Erin, betul ke papa tak rasuah pegawai
kerajaan negeri untuk tender tu? Mana Zarul dapat info?” soal Nasreen sambil
menahan perasaan.
“Erin, gila ke papa nak rasuah orang? Papa dapat tawaran
mengemukakan tender baru selepas timbul masalah dengan Zarul. Kerajaan negeri
tak mau tangguh projek tu. Syarikat mana yang ada dana lebih, yang cukup modal,
yang boleh mulakan projek segera, yang boleh siapkan projek awal, syarikat itu
yang akan dapat projek tu. Zarul bukan tak tahu syarat kerajaan negeri. Papa
cuba saja hantar tender baru. Mana papa tahu yang nasib kita baik dapat projek
tu? Si Zarul pulak tak usul periksa, terus tuduh papa rasuah pegawai kerajaan
negri. Menantu tak guna,”
Nasreen menundukkan kepala mendengar cemuhan papanya terhadap
Zarul.
Kemarahan papanya lebih memuncak apabila beberapa orang pegawai
SPRM datang ke rumah dan meminta apa sahaja dokumen tender atau syarikat yang
disimpan di rumah itu. Sekali lagi papanya naik angin. Tidak cukup pejabatnya
di geledah, kini rumah pula.
“Aku bunuh laki kau kalau dia berani balik ke sini!” Papanya
memberi amaran selepas pegawai-pegawai tersebut pergi dengan membawa beberapa
fail.
Nasreen serba salah. Mana Zarul? Kenapa dia tak balik-balik lagi
walaupun sudah menjelang malam? Dia takut nak balik agaknya sebab dia tahu papa
tengah marah. Nasreen terkedu melihat papanya ketika dia melintas di bilik
orang tua itu. Papa nak bunuh Zarul?
“Erin! Kemas baju kita. Saya nak bawa awak pindah dari rumah tu.
Kita balik ke kondo!” Suara Zarul agak sayup menghubunginya jam 12.30 malam
itu.
“Kenapa awak tak balik? Rumah kecoh hari ni, awak tau tak!”
Nasreen cemas.
“Saya tau! Nak balik macam mana kalau papa tak bagi saya balik ke
rumah dia. Awak kemas, lima belas minit lagi saya sampai. Saya ambil awak
dengan Shasha!”
Nasreen keliru mendengar kata-kata Zarul.
Zarul takut balik atau papa tak bagi dia balik? Nasreen termenung
panjang memikirkan arahan Zarul. Pindah dari rumah papa. ‘Sekarang? Apa pula
kata papa nanti. Mesti papa sedih aku menyebelahi Zarul. Tapi dia suami aku.
Aku kena ikut dia ke mana sahaja dia pergi!’
Belm pun sempat dia mengangkat bag, papanya sudah menjenguk masuk
ke dalam bilik dan menegah.
“Papa tak izin Nasreen ikut Zarul keluar dari rumah ni. Dia dah
malukan keluarga kita, Erin masih nak ikut dia? Nasib baik papa tak kena lokap
kat balai tau? Kalau papa kena bawa ke balai, mesti reporter
datang. Lepas tu, muka papa terpampang kat mana-mana. Pemilik Rahim Corporation
ditangkap kerana rasuah! Mana kita nak letak muka?”
“Pa, dia suami Erin. Erin kena ikut ke mana saja dia nak bawa
Erin.” Nasreen cuba memujuk Datuk Rahim.
“Kalau kau ikut dia, kau bukan anak papa lagi!”
Nasreen terkejut mendengar kata-kata papanya. Beg yang dipegang
terlepas dari tangan. Dia harus menyebelahi siapa? Zarul atau papa? Kalau
Zarul, bermakna dia sudah tersingkir daripada keluarga. Kalau papa, Zarul akan
terkapai-kapai sendirian. Tetapi Zarul memang sudah cukup menyusahkan sepanjang
perkahwinan mereka. Banyak perkara yang membuatkan dia marah kepada Zarul.
Tindakan Zarul melaporkan papa kepada PSRM adalah kemuncak kemarahannya.
Sehinggalah apabila bapanya memberi cadangan bercerai.
Dia nekad menyebelahi keluarga. Anehnya Zarul begitu mudah
memenuhi kehendaknya. Malah ketika hak penjagaan secara bersama diputuskan
hakim, Zarul membenarkan Shasha menghabiskan lebih masa bersama ibunya. Nasreen
melepaskan nafas panjang.
Apa Zarul buat di Port Dickson malam-malam dengan Shasha? Ada
orang lainkah menemani mereka? Walaupun Shasha jujur memberitahu tidak ada,
namun hatinya dijentik cemburu. Mustahil selepas hampir dua tahun Zarul masih
bersendiri. Mesti Zarul ajar Shasha untuk berbohong. Kalau ada, siapa orang
yang bakal mengambil alih tempatnya?
Bosan memikirkan hal Zarul, Nasreen bergegas ke biliknya. Malam
mula mendatang. Malam mungkin boleh memberikan ketenangan. Dia menukar pakaian.
Mungkin menyertai kawan-kawan di kelab ekslusif kegemaran mereka boleh
menenangkannya.
Nasreen menghubungi Elisa dengan Wendy. Kedua-duanya sudah ada di
tempat mereka selalu melepak. Namun belum sempat kaki melangkah meninggalkan
bilik, dia terserempak dengan Datuk Rahim yang baru pulang dari pejabat.
“Nak keluar?”
“Yalah, pa. Nak ke mana? Shasha pun tak ada,”ujar Nasreen
selamba.
“Jadi dia ambik Shasha? Ingatkan dah tak ingat anak,” ujar Datuk
Rahim melangkah ke biliknya.
Nasreen menjeling. Kebencian papanya belum pudar. Malah semakin
bertambah. Sesekali bila tersebut nama Zarul di depannya, pasti Datuk Rahim
melenting. Tiada lagikah kemaafan papanya untuk Zarul?