10
MIA merenung telefon bimbitnya yang berdering. Entah sudah berapa
kali semenjak dia sampai dari kampung tiga hari lalu. Kalau bukan abah, mesti
emak telefon. Yang pasti Adira. Mesti Adira risaukan dia kerana senyap selepas
pulang mengejut sewaktu di kampung tempoh hari. Dia belum bersedia untuk
bercakap dengan sesiapa. Berita baik yang dikatakan emak, sebaliknya menjadi
berita melukakan hatinya. Dia hanya menghantar mesej kepada Haji Ismail dan
Adira. |
Jangan risau, Mia tak apa-apa. Nanti Mia telefon.
Pesanan itu juga yang dihantar berkali-kali untuk menyedapkan
hati keluarganya.
Malam selepas Adira pulang ke Kuala Lumpur, dia menghantar mesej
mahu datang ke rumah. Tetapi dia membalas dengan mengatakan dia masih berada di
pejabat. Malam berikutnya Adira menghantar mesej yang sama, dia memberi alasan
dia penat dan sudah tidur. Semalam Adira datang tanpa memberitahunya terlebih
dahulu. Dan dia mematikan diri di dalam rumah, tidak mahu berjumpa langsung
dengan kakaknya.
Pasti kebimbangan kakaknya memuncak. Tetapi saat itu dia memang
tidak mahu memandang kakaknya. Kakaknya adalah perampas. Kakaknya adalah orang
yang memusnahkan harapannya. Bertahun-tahun dia cuba mencari di mana Qhalif,
tiba-tiba Qhalif muncul untuk dimiliki kakaknya pula. Semua itu tidak adil.
Qhalif pun bukan cintakan kakaknya. Kalau dia tidak cintakan
Adira, dia boleh juga menerimanya. Kenapa emak dan abah mencadangkan kakaknya?
Kenapa bukan dia? Adira pernah mengaku di depan emak dan abah, lepaskan Mia
dulu kalau Mia sudah ada pilihan.
Adira tidak mahu Mia menjadi sepertinya. Kalau boleh biarlah Mia
mendirikan rumah tangga sebelum berusia 30 tahun. Inilah masanya yang paling
sesuai. Dia sudah menjangkau 28 tahun. Memang paling ideal untuk mendirikan
rumah tangga. Mengapa emak mencadangkan kakaknya?
Mia tersentak apabila telefon bimbitnya berdering lagi. Kali ini
Karen menghubungi. Mia bengang. Tetapi dia terpaksa menjawabnya. Mana tahu
kalau Encik Lim ada pesanan mustahak untuknya.
“Karen… apa hal?” Mia menjawab hendak tak hendak.
“Kakak awak telefon saya banyak kali. Dia tanya apa kena dengan
awak.” Suara Karen juga cemas. Mia menjeling dan melepaskan nafas berat.
“Habis, apa awak bagitahu dia?” soal Mia penuh bimbang. Kalau
Adira bertanya mengapa dia diarahkan membatalkan cutinya, pasti Karen juga
hairan mengapa dia berbohong.
“Saya kata tak tau sajalah. Pasal awak bohong kakak awak?” soal
Karen pulak.
Mia menarik nafas panjang. “Panjang ceritanya, Karen. Nantilah,
besok saya cerita. Lagipun ini hal peribadi… saya belum bersedia nak cerita,”
ujar Mia.
“Apa pun, tahniah!”
“Tahniah untuk apa?”
“Budak-budak ni kata awak ambil cuti sebab awak bertunang.”
Perasaan Mia bagai dibakar. Mukanya panas tiba-tiba. “Tak ada
makna! Bukan sayalah! Kakak!” ujar Mia sambil menahan geram. “Belum tunang
pun,dia orang baru datang merisik.” Dia bercakap dengan nada geram.
“Okeylah, Karen. Kalau kakak saya telefon awak bagitahu dia saya
tak apa-apa. Saya cuma nak tenangkan fikiran.”
Mia memutuskan talian. Menyesal menjawab panggilan Karen. Hati
semakin sakit. Perasaan semakin terbakar. Semua ini kerana Qhalif akan menjadi
abang iparnya.
AWAL pagi Mia sudah keluar rumah untuk ke tempat kerja. Amat
mengejutkannya bila mendapati Adira menunggu di tempat letak kereta kawasan
pangsapurinya. Dia hendak mengelak bertemu kakaknya tetapi Adira sudah
melihatnya terlebih dulu.
“Mia!” Adira memanggil dan bergegas ke arahnya.
Mia cuba menahan perasaan. “Apa hal pagi buta dah cari aku ni?”
Hatinya sebal berhadapan dengan Adira.
“Mia tak apa-apa ke? Kenapa tak jawab call?”
Soalan Adira membuatkan hati Mia bengkak.
“Mia tak ada apalah, kak! Ada masalah kerja, itu saja. Mia nak
tenangkan fikiran,” ujarnya sambil membuka pintu keretanya.
Adira merenung ke dalam mata adiknya. Mia tidak memandang tepat
ke wajahnya. Dia seakan-akan membenci. Tetapi kenapa?
“Kak, Mia dah lambat.” Mia tergesa-gesa memboloskan diri ke dalam
kereta. Belum sempat dia menutup pintu,
tangan Adira sudah menahan.
“Kita pergi sarapan sekali Mia?” pelawa Adira.
Mia menggeleng. “Lain kali sajalah!” Dia tidak menghiraukan
kakaknya. Dia terus menutup pintu kereta dan menghidupkan enjin. Seketika
kemudian, kereta meluncur laju meninggalkan Adira yang sedang merenungnya.
‘Haruskah aku berterus terang pada kakak?’
Adira menggenggam erat surat berusia 15 tahun itu sambil matanya
memerhati kereta Mia yang semakin jauh. Surat itu yang menyebabkan Mia jadi
begitu. Bukan ada sebab lain. Bukan dia diarahkan membatalkan cuti. Bukan juga
kerana dia mungkin dibuang kerja.
Hanya kerana surat Qhalif yang diterima Mia 15 tahun lalu itu
membuatkan Mia merajuk. Ketika membaca surat itu di kampung tiga hari lalu, dia
merasakan tubuhnya lemah sekali. Mia pernah berutus surat dengan Qhalif? Malah Qhalif menulis
pasal cinta kepada Mia. Maknanya Mia memang lebih kenal Qhalif berbanding
dirinya. Berapa lama keadaan itu berlaku? Setahun? Dua tahun? Atau sehingga
kini? Mia tidak pernah bercakap mengenai Qhalif walaupun sekali selama ini.
Sehinggalah Hajah Salbiah menyebut nama itu dan mengingatkan mereka tentang
Qhalif. Mungkinkah ingatan Mia tidak pernah pudar tentang Qhalif. Seperti
ingatannya yang masih subur terhadap pemuda yang berbudi bahasa itu? Namun
surat Qhalif ini pasti memberi kesan besar dalam kehidupan Mia . Adakah surat
yang lain selepas surat ini?
Cinta Mia ditolak. Qhalif tidak bersedia. Itu kisah dulu. Tetapi
kini? Adakah Mia kembali menjalin hubungan dengan Qhalif dan di saat cinta
sedang berbunga dia muncul untuk meracuni cinta itu?
Adira meninggalkan kawasan pangsapuri itu dengan deraian air
mata. Dia begitu sebak kerana melukakan hati Mia. Dia datang untuk bertanya Mia
tentang surat itu. Tetapi kebencian Mia terhadapnya begitu ketara. Mia tidak
langsung melihat wajahnya. Keyakinan Adira semakin bertambah. Surat Qhalif
itulah yang membuatkan Mia merajuk. Surat itulah yang membuatkan Mia terus
membencinya. Ya ALLAH, adikku. Maafkan aku kerana tidak tahu rahsia di hatimu!
ADIRA menghampiri pejabat ketika telefon bimbitnya berdering.
Nombor Haji Ismail tertera. Dia cepat-cepat mengesat matanya. Lalu menjawab
panggilan abahnya.
“Assalamulaikum, abah! Ada apa, abah?” Lunak suara Adira mengaju
pertanyaan. Walaupun dia maklum Haji Ismail tidak akan bertanya lain selain
Mia.
“Di dah jumpa Mia?” soal Haji Ismail penuh harapan.
“Alhamdulillah. Sudah, abah. Mia tak apa-apa, cuma dia banyak
kerja sangat abah. Kesian dia!” Adira berbohong.
“Alhamdulillah. Senang hati abah. Jadi, tak adalah dia kena buang
kerja?” soal Haji Ismail walaupun nada suaranya semakin tenang.
“Tak adalah, abah. Pekerja gigih macam Mia, takkan nak kena buang
kerja. Agaknya ada masalah syarikat. Sebab tu dia kena batalkan cuti.” Adira
cuba meyakinkan bapanya lagi. Air mata mengiringi setiap tuturnya. Entah kenapa
sebak itu seperti tidak mampu ditahan. Dia hampir teresak, tetapi cepat-cepat
menahan perasaannya.
Agak lama Adira berbual dengan Haji Ismail. Tetapi sedikit pun
dia tidak bertanya mengenai Qhalif. Dia tidak mahu menunjukkan obsesinya
terhadap Qhalif. Dia juga tidak mahu dianggap sebagai anak dara tua yang tidak
sabar hendak bersuami. Akhirnya perbualan berakhir dengan pesanan Haji Ismail
supaya dia cepat-cepat memberi jawapan kepada risikan Qhalif. Adira tergamam.
Nasib baik dia tidak terus menerima Qhalif dan mahu memikirkannya terlebih
dulu. Sedangkan saat soalan itu diajukan Hajah Salbiah, dia berasa seribu
rahmat sedang diturunkan ALLAH kepadanya.
Akhirnya ALLAH mengabulkan doanya. Doa agar dia mendapat khabar
tentang Qhalif. Dia hanya ingin tahu mengenai Qhalif tetapi takut meletak
harapan terhadapnya. Kalau ada pun harapan, dia tahu ia tidak mungkin
kesampaian. Qhalif sudah melupakannya. Pasti! Qhalif tidak ingat pun budak
kampung yang memperkenalkan dia kepada buah duku dan buah langsat, buah pulasan
dan buah rambutan.Yang lucunya yang mana satu anak itik yang mana satu anak
ayam pun Qhalif tidak pasti. Mungkin kerana dia dilahirkan di tengan bandar,
dibesarkan dalam suasana yang sangat berbeza. Sebab itu dia tidak tahu banyak
perkara di kampung.
Sebaik tiba di ruang pejabat dua hari lalu, dia disambut
ucapan-ucapan tahniah, pelukan dan ciuman tanda kegembiraan kawan-kawan
untuknya. Tetapi untuk apa? Pertunangan itu belum terjadi. Malah mungkin tidak
akan berlaku sama sekali. Sepucuk surat lama itu menghancurkan harapannya untuk
membina impian.
Dia sudah membuat keputusan sebaik sahaja memahami surat itu dan
mengapa Mia tiba-tiba meninggalkan rumah. Mia lebih menaruh harapan terhadap
Qhalif. Mungkin Mia sudah terlalu lama menanti saat itu. Pasti Mia begitu kecewa
apabila penantian itu akhirnya membuahkan kecewa. Bagaimanapun mungkin dia akan
menerima Qhalif sedangkan Mia lebih mengharapkannya?
SEORANG pemuda menghampiri keretanya sebaik sahaja Adira
berhenti di depan bangunan pejabat.
“Cik Adira, kata nak minta saya tolong.” Penghantar surat di
Muzaf Holdings tempat kerjanya itu menegur wajah Adira yang masih muram.
“Jadi tak?” soal pemuda itu lagi.
“Jadi… jadi… Nak minta Zain pergi ke satu pejabat ni. Lepas tu
jumpa satu orang ni. Saya nak tuntut bayaran bengkel hari tu, boleh?” Adira
mengeluarkan satu sampul surat dan kad panggilan milik lelaki bernama Zarul.
“Tempat ni, boleh?” Dia menghulurkan kad itu kepada Zain.
Zain mengambil kad nama tersebut dan membelek seketika. Kemudian
dia mengangguk.
“Boleh sangat! Saya dah biasa tempat ni,” ujarnya sambil
mengambil sampul surat yang dihulurkan Adira.
“Kalau boleh Zain tunggu sampai dia bagi duit ya? Tak payah nak
pergi dua, tiga kali,” saran Adira.
“Baik, cik.” Zain meninggalkan Adira.
“MACAM MANA, Di? Ada jumpa Mia?” Zara menyapa sebaik sahaja
Adira melangkah ke biliknya.
Teman serumahnya yang juga setiausahanya itu kelihatan sangat
bimbang. “Sudah, Zara. Tapi tak dapat bercakap pun. Mia nak cepat saja. Aku tak
sempat nak cakap apa-apa,” balas Adira cuba bertenang. Zara mengikutnya masuk
ke bilik sambil membawa fail.
“Fail apa tu, Zara?” soalnya sambil meletakkan beg tangannya.
Kemudian melabuhkan punggung di kerusi.
“Encik Muzaf minta kita semak. Lepas tu bincangkan kertas
cadangan ni masa mesyuarat minggu depan,” beritahu Zara sebaik duduk menghadap
Adira.
Adira membelek seketika fail tersebut. Namun kesedihan pada
wajahnya semakin ketara.
“Di, kau kenapa? Apa masalah kau dengan Mia sebenarnya? Kau
bergaduh adik-beradik ke?” soal Zara ingin tahu.
Adira tersenyum pahit. “Biasalah, Zara. Mana ada adik-beradik
yang tak pernah gaduh?”
“Habis tu, lepas kau balik kampung, kau dengan Mia asyik ada
masalah. Mia tak datang langsung lepak ke rumah kita. Biasanya ada saja masa,
mesti nak lepak rumah kita.” Zara mempersoalkan keadaan yang dia nampak sejak
akhir-akhir ini. Perubahan Adira sangat ketara sebaik sahaja sahabatnya itu
pulang tiga hari lalu. Dia mengharapkan berita gembira dari kampung dikongsi
Adira dengannya. Tetapi wajah muram Adira bagai memberitahunya berita gembira
itu memang tidak wujud.
Dia sudah menduga berita baik itu memang bukan untuk Adira.
Bermakna Mia akan mendahului Adira. Dia tidak berani bertanya, takut melukakan
hati Adira. Tiga hari berlalu. Dia menunggu kalau-kalau Adira mahu berkongsi
apa sahaja, tetapi pertanyaannya dijawab sepatah-sepatah sahaja oleh Adira.
“Di, mesti mak abah kau bimbang sangat pasal kau dua beradik,
kan? Kau pun satulah, Di… kenapa tak mau kahwin sampai sekarang. Encik Muzaf
tu, aku rasa dia ada hati dengan kau. Terima sajalah kalau dia ajak keluar.”
Zara mula mengusik.
“Tolonglah, Zara. Takkan aku nak kahwin dengan bos kita. Kau ni
pun…” Adira menjeling Zara. Dia tidak pernah ada hati langsung terhadap Encik
Muzaf itu.
“Apa salahnya?”
Adira menjegilkan biji matanya. Kurang senang dia digiatkan oleh
sahabatnya itu.
Zara tergelak. “Okeylah, Di. Aku ada kerja nak buat. Kalau ada
apa-apa, bagitahu tau?” Dia bangun lalu keluar dari bilik Adira. Dia seperti
mengagak ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Adira. Biarlah dulu. Mungkin satu
hari nanti Adira akan bercerita juga dengannya.