Home Novel Cinta Cinta Atas Kertas
Cinta Atas Kertas
Sharifah Abu Salem
18/5/2015 15:04:06
58,262
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

8

BUNYI enjin kereta yang baru dihidupkan, mengejutkan Hajah Salbiah. Dia menjenguk dari tingkap dapur. Nampak Mia sedang memasukkan beg pakaian ke dalam keretanya.

Adira kelam-kabut ke dapur. “Mak, Mia nak balik KL!” Dia mengadu. Wajahnya cemas.

“Sekarang ke?” soal Hajah Salbiah pula yang turut kalut.

“Ha’ah… Dia kata bos dia tak bagi cuti besok. Dia nak balik hari ni juga!” beritahu Adira yang tergopoh-gapah keluar semula untuk memujuk adiknya.

Hajah Salbiah mematikan api dapur. Dia baru sahaja hendak menumis bawang untuk menggoreng sayur, lantas bergegas ke depan.

“Kenapa kelam-kabut nak balik? Tunggulah abah balik kejap lagi. Nasi pun mak dah hidang. Makan dulu baru balik.” Hajah Salbiah menegur Mia yang naik semula untuk mengambil komputer ribanya. “Mia! Dengar tak mak cakap ni?”

Mia tidak peduli dengan kata-kata emak. Dia perlu balik ke Kuala Lumpur segera.

“Marah kat bos, janganlah marah kat mak pulak!” tempelak Hajah Salbiah.

“Mana pulak Mia marah mak,” jawab Mia tanpa melihat ke wajah emaknya. “Tak payah makanlah, mak. Mia kenyang lagi. Pagi tadi makan banyak.”

“Mana ada banyak? Yang kau beli tu banyak lagi atas meja. Siapa yang nak makan?”

Mia meletakkan komputer ribanya di sebelah pintu. Dia hendak bersalam dengan emak tetapi Hajah Salbiah menolak.

“Tak mau. Tunggu sampai abah balik. Makan dulu… baru mak salam.” Hajah Salbiah merajuk dan terus ke dapur semula.

“Mak! Nanti orang lambat sampai KLlah.” Mia cuba membuatkan emak mengerti.

Adira merenung wajah Mia. Wajah yang mendung dan hilang keceriaannya. Tidak seperti semalam atau awal pagi tadi. Wajah ceria dan penuh dengan senyuman. Namun, keceriaan itu menghilang selepas mendengar berita yang disampaikan emak. Serius sangat Mia hendak aku siasat Qhalif. Hanya itu anggapan Adira apabila melihat adiknya beria-ia mahu dia menyiasat Qhalif.

‘Mia ambil berat pasal aku. Mungkin dia tidak mahu aku jatuh ke tangan lelaki yang salah. Kalau Qhalif yang sama, yang pernah mereka kenal dua puluh tahun lalu itu, Qhalif itu memang sempurna segala-galanya. Tidak ada yang perlu disiasat. Tidak ada apa yang perlu diragukan.’

Mendengar namanya sahaja, Adira sudah dibuai angan. Hati yang tertutup rapat untuk lelaki, kini tiba-tiba terbuka luas. Mungkinkah sememangnya Qhalif dikirim TUHAN untuk membuka pintu hatinya selepas dia juga yang menutupnya sejak lebih 20 tahun yang lalu itu?

“Mia, kesianlah kat mak. Mak dah masak banyak. Semua yang kau suka tau. Tunggulah kejap.” Adira menarik tangan Mia, menghalang dia pergi tergesa-gesa begitu.

“Orang dah lambatlah, Kak Di. Balik nanti kena siapkan laporan. Besok nak meeting.”

Alasan Mia tidak boleh diterima akal. Sejak bila pula Mia ambil berat tentang lambat, laporan, mesyuarat? Selama ini tidak ada masalah bagi Mia. Walau serumit mana masalahnya, Mia tidak pernah menganggapnya masalah. Kenapa tiba-tiba sahaja dia ambil berat tentang arahan ketuanya untuk membatalkan cuti? Sudah hilangkah kepakaran Mia memujuk rayu dan memberi pelbagai alasan?

“Tunggu abah balik sekejap. Nanti abah kecik hati Mia balik tak tunggu dia,” ujar Adira lagi.

“Alah, bukan tak balik lagi.”

“Mia berani lawan cakap mak?”

“Mak faham kerja Mia,” balas Mia melangkah terus ke kereta.

Adira kelam-kabut menghalang. “Mia tak kesian emak ke?”

Mia tidak peduli kata-kata Adira. Dia menutup pintu kereta dan mula memandu dan meninggalkan Adira yang terjerit-jering memanggil namanya.

“Biarlah, Di! Dia dah tak nak tunggu abah dia, nak buat macam mana? Kerja dia lagi penting daripada kita semua. Biarlah dia balik!” Hajah Salbiah melaung dari meja makan.

Adira kecewa melihat kereta Mia bergerak laju meninggalkan kawasan rumah.

“Tiba-tiba saja Mia ni nak balik. Biasanya pandai pulak menjawab dengan bos dia,” rungut Adira melangkah masuk ke dalam dan menuju ke dapur.

Kenapa tiba-tiba Mia sebegitu nekad? Jarang dia menghampakan mereka. Tetapi hari ini dia boleh berubah pendirian. Mia ada buat kesalahan besarkah pada syarikat sehingga dia dipaksa balik bekerja? Apa kesalahan Mia sehingga dia tidak berani meneruskan cutinya? Mia akan kena pecatkah? Atau dia sekadar diberi amaran bersyarat?

“Kalau ya pun, bawalah balik lauk. Tunggu seminit saja lagi mak nak ambil bekas. Sampai hati dia pergi tak cakap dengan mak.” Hajah Salbiah menahan hiba. “Mia tak pernah buat mak macam ni. Sampai hati dia.” Air mata Hajah Salbiah mengalir juga akhirnya.

Adira memeluk bahu emak untuk menenangkannya. “Mia ada masalah di tempat kerja, mak. Mana dia pernah macam tu.”

“Masalah apa? Besar sangat ke masalah dia?” soal Hajah Salbiah tidak puas hati. “Sampai tak boleh tunggu langsung abah dia balik. Ni nanti apa kita nak jawab dekat abah?”

Adira menarik nafas panjang. “Nanti Di telefon Karen, kawan kerja Mia. Mesti Karen tahu sebab apa dia diarahkan batal cuti. Di bimbang kalau… Mia ada buat salah,” ujar Adira memujuk.

Hajah Salbiah pantas menoleh.

Adira gugup. “Maksud Di… manalah tau kalau Mia buat silap kat mana-mana.” Dia membetulkan kata-kata.

“Dia kena masuk pejabat besok, kan? Habis, apa hal kalau dia tergesa-gesa nak balik sekejapan ni? Kalau balik malam nanti pun sempat sampai ke Kuala Lumpur tu! Empat jam, takkan tak sampai,” rungut Hajah Salbiah lagi.

Adira kehabiskan kata-kata untuk memberi alasan. Tunggu saja abah balik. Tengok apa pula kata abah bila dia balik didapati Mia tidak ada.

HAJI ISMAIL melenting bila diberitahu Mia sudah balik ke Kuala Lumpur. Ketika dia sampai ke laman rumah sebentar tadi, dia hairan melihat kereta Mia sudah tidak ada. Cepat-cepat dia keluar dari keretanya dan bergegas terus ke dapur lalu bertanya kepada Hajah Salbiah dan Adira.

“Tak tunggu abah pun! Beria-ia dia kirim buah enau. Abah cari sampai kuala! Balik pulak dia!”

Adira masih membisu. Dia mengambil pinggan dan gelas lalu diletakkan di hadapan abah. “Kita makan dulu, abah,” ajaknya.

“Dia sempat makan ke?” soal Haji Ismail lagi. Wajahnya membayangkan penyesalan.

“Tak! Tiba-tiba bos dia telefon. Ada hal mustahak di pejabat.” Adira nampak riak kesedihan dan kekecewaan pada wajah ibu dan abahnya sewaktu menghadap hidangan. Pasti emak paling kecewa kerana penat memasak lauk kegemaran Mia. Ikan baung masak tempoyak memang kegemaran Mia. Selepas subuh Haji Ismail mengajak Mia ke pasar tani mencari baung hidup. Seronok Mia kerana baung segar idamannya ada di pasar tani. Haji Ismail tahu selera anak-anaknya. Kalau Mia suka ikan sungai, Adira pula kurang. Malah ikan laut juga dia tidak begitu gemar.

Air mata Hajah Salbiah menitis melihat hanya Haji Ismail mencuit isi baung yang putih dan lembut itu. Tidak begitu lembut berbanding patin yang banyak lemak. Adira tidak mahu menjamah langsung. Selera Hajah Salbiah sendiri mati dengan kerenah Mia sebentar tadi.

Akhirnya kedua-duanya mendahului Adira membasuh tangan. Dan masih senyap ketika mereka meninggalkan meja makan. Kecewa sungguh emak dengan abah. Sampai hati Mia buat emak dengan abah macam ni.

Selepas solat zuhur, Adira berkira-kira hendak menghubungi Mia dan bertanya sampai di mana tetapi hatinya berat. Ingin juga bertanya Mia apa masalahnya, tetapi tunggulah dia sampai ke rumah.

Adira mengambil keputusan untuk masuk ke bilik Mia. Deretan novel Mia yang banyak di dalam bilik selalu menarik perhatiannya. Salah satu mungkin boleh dibaca menghabiskan masa petang. Adira menolak pintu bilik Mia.

Terkejut dia sebaik membuka pintu bilik. Keadaan di dalam agak bersepah. Ada kotak terkeluar dari bawah katil. Dan beberapa keping surat dan kad terletak di atas lantai. Adira mengemas dan memasukkan semula ke dalam kotak. Tetapi sehelai surat yang hampir lusuh menarik perhatiannya. Dia mengambil surat itu dan membacanya. Adira berdebar melihat nama Qhalif menandatangani surat itu. Dan tarikh tertulis hampir 20 tahun lalu.

Dia termangu seketika! Mia pernah berutus surat dengan Qhalif? Mia pernah meluah perasaan kepada anak muda itu? Mata Adira merenung tajam pada nota yang menjelaskan makna cinta. Dan pandangannya perlahan-lahan kabur. Patutlah!
Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sharifah Abu Salem