Home Novel Cinta Cinta Atas Kertas
Cinta Atas Kertas
Sharifah Abu Salem
18/5/2015 15:04:06
58,296
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

12

ZARUL meletakkan resit bengkel yang baru diserahkan Zain kepada setiausahanya, Nadia. Dia merenung resit tersebut. Senarai barangan berserta harga serta khidmat pemasangan tercatat pada bil tersebut.

‘Mahalnya! Sampai enam ratus ringgit lebih? Lampu saja yang pecah. Bumper jatuh boleh pasang balik. Kalau nak sembur cat pun, sikit saja tempat yang kemik. Ketuk pun bukan banyak sangat.’ Hatinya mengomel.

“Cekik darah betul perempuan ni!” marah Zarul. “Panggil budak tu, saya nak jumpa,” arahnya kepada Nadia.

“Baik, encik.” Gadis itu segera keluar.

Zarul masih merungut sambil merenung semula resit bengkel tersebut. “Ambil kesempatan betul perempuan ni. Nak kenakan orang pun patut-patutlah. Sampai enam ratus lebih…”

Nadia mengiringi Zain masuk ke bilik Zarul.

Zarul tidak mempelawa Zain duduk sebaliknya terus memarahinya. “Cakap dengan perempuan ni, saya tak mau bayar walau satu sen. Dia dah mengakui kesalahan dia… apa pasal saya kena bayar bil bengkel dia?” soal Zarul kepada Zain.

Zain terkulat-kulat tidak tahu apa yang perlu dibalasnya. Akhirnya dia bersuara, “Cik Adira kata, encik yang minta resit bengkel dihantar pada encik. Bukan ke encik yang bagi alamat dengan nombor telefon encik pada dia?”

“Siapa nama dia?”

“Cik Adira.”

Zarul menghulurkan telefon bimbitnya kepada Zain. “Telefon dia. Saya nak bercakap dengan dia.”

Zain teragak-agak menyambut telefon bimbit daripada Zarul lalu menghubungi Adira.

Adira di hujung talian terus menjawab. “Helo. Siapa ni? Encik Qhalif… err…”

“Cik, ni saya Zain. Encik Zarul nak bercakap dengan cik.”

“Zarul mana?” Adira hairan mendengar nama Zarul.

“Yang cik suruh saya hantarkan resit bengkel tu.”

Zarul meminta telefon bimbit daripada Zain lalu bersuara. “Helo, Cik Adira. Takkanlah setakat bumper jatuh saya nak kena bayar sampai enam ratus. Ini resit betul ke… resit tipu ni? Tak cayalah kalau rosak sikit macam tu sampai enam ratus?” Suaranya agak tinggi.

Adira terdiam seketika.

“Helo, Cik Adira!”

“Saya tak hantar resit tu kalau encik tak pesan minta saya hantar pada encik. Okey, kalau encik tak mampu, encik tak payah bayar apa-apa. Bagi balik resit tu pada budak saya… assalamualaikum!”

Zarul tergamam mendengar kata-kata Adira. ‘Aku tak mampu? Perempuan ni dah melampau. Dia kata aku tak mampu.’ Zarul terkedu.

Zain melangkah ke depan. “Saya ambik balik encik,” ujarnya sambil mengambil semula resit di atas meja Zarul. Dia mendengar kata-kata Adira ketika bercakap dengan Zarul sebentar tadi. Dia melangkah keluar.

Zarul merenung kelibat lelaki itu keluar dari biliknya. Namun, dia gelabah meminta Nadia memanggil Zain.

Malangnya Zain sudah masuk ke dalam lif. Nadia terlambat mengejar. Dalam masa yang sama Zarul sedang memegang kepalanya. Dia terdengar-dengar suara Adira menganggapnya tidak mampu. Tiba-tiba suara Nasreen juga bertingkah mengenai hal yang sama.

“Kalau kau tak mampu, buat cara tak mampu. Jangan berlagak banyak duit. Memang betul kata papa. Orang berniaga, kau nak berniaga. Orang ada duit, kau ada apa? Kau memang tak mampu!”

Zarul menumbuk meja. Semua perempuan meng­anggapnya tidak mampu. Semua perempuan menganggap dia tidak punya apa-apa. Nasreen memang sudah meletakkan dia di tempat paling hina dan tidak bermaruah. Kini Adira pula. Hanya kerana resit RM600 dia dihina oleh perempuan yang tidak dikenalinya?

Tetapi itu memang kesalahannya, berkira sangat soal duit. Bukan hanya dengan Adira, malah dengan para pekerja. RM1 sangat berharga bagi orang sepertinya. Kalau orang seperti Datuk Rahim, RM600 itu hanya untuk bayaran cuci kereta mewahnya. Tiba-tiba dia menjadi begitu berkira selepas bercerai dengan Nasreen. Tetapi mengapa Adira pula yang menjadi mangsanya?

Seminggu berlalu selepas kejadian itu. Dia hampir tidak ingat wajah gadis itu. Tetapi dia seperti seorang gadis polos yang tidak banyak kerenah. Tidak juga punya kemarahan dan senang mengakui kesalahan. Itu yang membezakan dia dengan Nasreen. Kalau gadis lain mesti sudah berlaku pergaduhan besar di lokasi kemalangan. Silap-silap dia diheret ke balai polis untuk membuat laporan. Tetapi gadis itu mengakui kesalahannya.

Dia memang memandu perlahan dan tidak konsisten. Sekejap laju, sekejap perlahan. Ada kalanya ke tengah, ada waktunya ke tepi. Memang salah dia. Undang-undang memang sudah diperuntukkan. Sesiapa yang melanggar belakang, dia yang dianggap bersalah.

Tanpa membuang masa, dia terus menghubungi gadis itu semula menerusi nombor tadi. Agak lama baru panggilannya dijawab.

“Helo… Encik Zarul ke?”

“Boleh bagi diskaun tak?” Zarul terus merayu.

“Tak payah diskaun. Saya tak mahu apa-apa dari encik. Masalah kereta saya ni dah selesai, okey? Saya halalkan.”

Sekali lagi Zarul terkedu. Pedihnya! Bisanya! Perempuan tu nampak lemah lembut tapi kata-kata begitu berbisa.

“Err… jangan macam tu. Saya mampu bayar, bukan tak mampu.” Zarul berterus terang.

“Nak bayar ikhlas ke atau dengan rasa terpaksa?” soal Adira pula. “Kalau terpaksa, saya sedekahkan baliklah duit enam ratus tu. Saya sedekahkan sebelum saya terima…”

Zarul terasa kulit mukanya menjadi tebal mendengar sindiran itu. Tetapi dia tidak ada sebab hendak marahkan perempuan itu.

“Okeylah, saya bayar penuh!” Akhirnya dia mengalah

“Betul?

“Insya-ALLAH.”

“Macam inilah, encik. Encik ingat tak kejadian kebakaran di sebuah pusat tahfiz di Hulu Langat dulu tu? Encik dermakan enam ratus ringgit tu pada madrasah tu. Lebih berkat duit encik nanti. Mudah-mudahan, rezeki encik lebih murah selepas ini. Assalamualaikum.”

Talian dimatikan. ‘Aduh! Pedih! Pedih! Perempuan ni sengaja nak perli aku! Siapa dia yang berani sangat mengenakan aku sampai macam ni?’

SOROTAN lampu kereta menuju ke arah laman membuatkan Haji Ismail terkejut. Siapa datang malam-malam? Haji Ismail masih belum tidur kerana memujuk Hajah Salbiah yang masih menangis. Hajah Salbiah kesal Adira masih tidak menghubungi Qhalif walaupun diminta berbuat demikian. Sudah tiga hari berlalu selepas Qhalif cuba menghubungi Adira. Adira tidak menghubungi Qhalif semula.

Qhalif pun malu hendak menghubungi Adira lagi. Jam sembilan malam Hajah Hafsah menghubungi, memberitahu Adira masih juga tidak menghubungi Qhalif. Lalu Hajah Hafsah mencadangkan supaya mereka mempertemukan secara langsung Adira dengan Qhalif. Tidak kira di mana. Di Kuala Lumpur boleh, di kampung pun boleh.

“Terpulang Kak Hafsah nak buat macam mana pun. Saya ikut sahaja.” Hanya itu yang mampu dikatakan Hajah Salbiah.

Tetapi mahukah Adira berjumpa Qhalif sedangkan suruh bercakap melalui telefon pun dia tolak, inikan pula berjumpa?

“Jumpa lain. Cakap dalam telefon lain. Abang rasa Di lebih suka berjumpa terus dengan Qhalif tu. Ikut Kak Hafsahlah macam mana. Kita ni di pihak perempuan, kita ikut sajalah. Tapi moleknya, biar jumpa kat rumah ni,” cadang Haji Ismail pula.

“Zaman sekarang ni lain, bang. Mana budak-budak nak berjumpa depan-depan orang tua? Biar dia orang jumpa berdua-dua. Kita jangan kacau.”

“Pun boleh…” Haji Ismail setuju apa sahaja rancangan isteri dan bakal besannya.

Hendak dipaksa sangat pun, Adira bukan budak-budak. Dia sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri. Bagaimanapun tiba-tiba Hajah Salbiah teresak.

“Biah risau kalau Di memang tak nak dengan Qhalif! Kalau dia nak, dia tak tunggu sampai seminggu nak bagi jawapan,” ujar Hajah Salbiah penuh bimbang.

“Kalau Di tak mau, Mia kan ada?”

“Kalau Mia pun tak nak?” Hajah Salbiah menangis lagi.

“Kempunan Biah nak berbesan dengan Kak Hafsah,” tangis Hajah Salbiah lagi.

“Insya-ALLAH… awak jangan risau, Biah. Benda yang baik, ALLAH selalu izin.”

Salam dan suara Mia memanggil di laman mengejutkan Haji Ismail. Dia sedang membetulkan kainnya untuk menjenguk ke laman, melihat siapa yang datang.

“Mia balik? Balik pulak? Baru balik minggu lepas, balik lagi? Apa hal budak-budak ni?” Haji Ismail bercakap sendiri.

Hajah Salbiah juga bangun. Dia membetulkan sanggulnya dan turun dari katil. Hajah Salbiah berdebar. Jangan-jangan betul Mia dah kena buang kerja. Jadi, dia balik kampung sementara menanti tawaran kerja lain agaknya.

Hajah Salbiah mengikut Haji Ismail keluar. Pintu sudah pun dibuka. Mia sedang bersalam dengan abahnya.

“Laa… balik pulak? Kenapa balik?” soalnya penuh cemas “Mana kakak?”

“Kak Di tak balik, mak. Err... Mia ada tertinggal barang. Tu terpaksa balik jugak, mak. Mia nak guna cepat,” ujar Mia lalu memeluk emaknya. “Lagipun Mia dah lukakan hati mak dengan abah minggu lepas. Mia nak minta maaf dari mak dengan abah sebab hari tu Mia lari balik KL tak cakap-cakap,” sambungnya menagih simpati.

Haji Ismail menarik nafas panjang.

“Siapa suruh kelam-kabut balik KL? Tu pasal ada barang tinggal. Apa bendanya?” soal Hajah Salbiah mahu tahu.

“Fail Mia. Mia letak atas almari. Mustahak fail tu, mak,” ujar Mia berbohong.

“Kalau telefon kakak hari tu, kakak boleh bawa fail tu balik sana. Ulang-alik macam ni, tak penat ke?” Hajah Salbiah mula membebel.

“Hari tu tak perasan fail ni tertinggal.” Mia berbohong lagi.

“Kalau balik selalu dapat jumpa mak dengan abah selalu. Mak tak suka Mia balik?” soal Mia dengan senyuman.

Hajah Salbiah tidak menjawab.

Mia melihat wajah emaknya begitu serius. Dia meletakkan kunci kereta di atas almari. Emak terus ke dapur. Mia hairan emaknya marah-marah.

“Mak ‘hangin’ saja, abah?” Mia memandang abahnya meminta penjelasan.

“Mana tak ‘hangin’. Kakak kau belum telefon Qhalif. Dah berapa hari Qhalif tunggu nak bercakap dia. Mak kau risau Di tak nakkan Qhalif tu,” beritahu Haji Ismail.

Mia terdiam mendengar kata-kata Haji Ismail. Dia menunjukkan wajah terkejut. “Laa… Kak Di belum bagitahu mak dengan abah ke?”

Haji Ismail mengerut dahi, tanda tidak faham. Beberapa ketika kemudian, tiba-tiba Mia menarik tangannya agar duduk di sofa. Dia hairan.

Mia agak gugup tetapi inilah saat terbaik untuk dia memulakan segala-galanya. Lampu hijau sudah diberikan kakaknya. Dia akan memulakannya. “Abah! Kakak kata dia tak bersedia nak terima Qhalif.”

Haji Ismail ternganga mendengar kata-kata Mia. Agak lama baru dia menelan liurnya.

“Tiga hari lepas Kak Di dah bagitahu Mia. Dia tak setuju pilihan emak dengan abah. Dia dah ada pilihan sendiri, abah,” ujar Mia separuh berbisik.

‘Ya ALLAH, betul ke apa yang aku dengar ni? Di memang tak mahu Qhalif? Patutlah dia berdolak-dalih.’ Haji Ismail merengus. “Di suruh Mia balik, suruh cakapkan perkara ni?” soalnya.

“Tak adalah, abah. Mia memang balik nak ambil fail Mia dengan barang-barang lama Mia bawah katil. Hal kakak ni, kakak sendiri yang nak bagitahu mak dengan abah. Kakak Janji nak bagitahu mak dengan abah. Tak tau pulak Kak Di belum bagitahu.”

Haji Ismail mengucap panjang. ‘Macam mana kalau Biah tahu hal Adira menolak Qhalif? Macam mana pulak Biah nak bagitahu Kak Hafsah yang Adira menolak Qhalif? Bagaimana pulak Kak Hafsah nak bagitahu Qhalif yang Adira menolak dia?’ Dia memegang kepalanya.

Mia bangun untuk ke biliknya.

“Mia! Jangan bagitahu mak. Mau pengsan dia nanti.” Haji Ismail sempat berpesan.

Mia mengangguk. Dia terus masuk ke biliknya. Dia menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Dia puas hati kerana sudah memberitahu Haji Ismail mengenai keputusan kakaknya. Terpulang pada abah sama ada hendak memberitahu emak atau tidak. Atau kalau abah hendak tunggu kakak sendiri yang buka mulut, biarlah. Besok Adira telefon emak dan akan beritahu emak tentang keputusannya. Adira akan beritahu emak dan abah sekali mengenai kesudiannya menggantikan tempat kakaknya.

Dua, tiga hari ini Mia mula memintal angan membina kebahagiaan bersama Qhalif. Inilah lelaki yang memang ditunggu. Sikap dinginnya terhadap lelaki bukan kerana keturunan keluarga. Bukan juga pembawaan dari kakaknya tetapi kerana lelaki lain bukan lelaki yang dicintainya. Sedangkan cinta kepada Qhalif sudah disemai sejak dia berusia 15 tahun! Bayangkan betapa lamanya dia menanti saat cintanya menjelmakan bahagia?

Dia membongkar kotak-kotak surat lama Qhalif. Surat-surat itu akan diperlihatkan semula kepada Qhalif agar perasaan cinta Qhalif juga subur semula apabila mengingati kisah lama mereka. Surat-surat itu segera disimpan ke dalam beg. Surat-surat itu akan lebih menyuburkan cintanya kepada Qhalif selepas perkahwinan mereka. Mungkin dia akan menunjukkannya pada malam pertama perkahwinan mereka. Biar malam itu penuh kenangan yang tidak mudah dilupakan mereka berdua.

HAJI ISMAIL dan Hajah Salbiah menemani Mia makan. Mia makan begitu berselera. Tetapi Hajah Salbiah tidak ceria melihatnya. ‘Tak apalah mak, anak mak ini akan menceriakan hidup mak selepas ini.’ Hati Mia berbisik lagi.

Haji Ismail dan Hajah Salbiah terkejut apabila Mia memberitahu dia akan pulang ke Kuala Lumpur malam itu juga.

“Tak boleh tunggu besok, Mia? Dah malam nak memandu seorang. Kalau bertolak sekarang, pukul empat besok baru sampai. Tak mengantuk tengah jalan? Jangan berani-berani nak balik. Balik besok! Besok kan hari Ahad, bukan kerja pun.” Hajah Salbiah memberi arahan dengan tegas.

Mia akhirnya mengalah.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sharifah Abu Salem