Home Novel Cinta Cinta Atas Kertas
Cinta Atas Kertas
Sharifah Abu Salem
18/5/2015 15:04:06
58,399
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

11

HAJAH HAFSAH menghulurkan sekeping nota kecil kepada Qhalif.

Senyuman emaknya membuatkan Qhalif bertanda tanya. “Apa ni, mak?” soalnya sambil mengambil nota tersebut.

“Cuba teka.” Senyuman Hajah Hafsah semakin lebar apabila melihat Qhalif merenung nombor telefon yang tercatat.

“Nombor telefon siapa ni?” soal Qhalif, tidak terfikir langsung nombor itu sangat penting di dalam hidupnya.

“Nombor Adira. Cubalah telefon dia,” giat Hajah Hafsah. Dia mengambil telefon bimbit Qhalif di atas almari lalu diserahkan kepada anaknya.

“Nanti-nantilah, mak! Sampai pejabat nanti Qhalif telefon.” Qhalif menolak kerana dia sedang berpakaian dan hendak bersiap ke pejabat.

Hajah Hafsah meletakkan semula nombor telefon bimbit Adira di atas almari. Dia tidak mahu mendesak. Pasti anak bujangnya juga segan menghubungi anak dara orang pagi-pagi begini. Bimbang kalau panggilan itu mengejutkan Adira.

“Nanti kalau dah telefon, bagitahu mak tau?” pesan Hajah Hafsah sambil memegang lengannya.

Qhalif hanya tersenyum dan mengangguk.

“Turun sarapan,” pesan Hajah Hafsah lagi sebelum beredar dari bilik itu.

Qhalif masih tersenyum sambil memandang wajahnya di dalam cermin. Macam mana agaknya kalau Adira nampak aku sekarang? Tentu dia terkejut dengan perubahan selepas terpisah lebih 20 tahun. Tubuh kian berisi, wajah yang semakin matang dan kesan rambut mulai gugur menandakan dia menuju usia emas. Eh! Mana boleh emas? Baru nak masuk 40 tahun! Dia memujuk hati sendiri.

Tetapi Adira memberi tempoh. Qhalif agak kecewa kerana Adira masih meraguinya. Tidakkah Adira tahu, dialah sebenarnya yang bakal mengisi ruang hatinya selama ini. Dialah selama ini yang selalu mengusik mimpi malamnya. Dia jugalah yang sesekali bagai angin menghembuskan kerinduan ke ruang jiwanya. Dia juga bagai ombak yang datang dan pergi,kadangkala menyapa, kadang kala berlari jauh ke tengah laut meninggalkannya bersendiri. Sukarnya untuk menjelaskan perasaan. Dia ada tetapi bagaikan tiada. Ingatan sesekali datang, sesekali terus menghilang. Itulah yang membuat dia sukar meneka perasaannya.

20 tahun berlalu, tidak ada seorang pun gadis yang menambat hatinya. Selama waktu itu, beberapa orang gadis cuba dipadankan Hajah Hafsah untuknya, tetapi hatinya menolak. Ketika nama Adira disebut dia bagaikan terpana. Ingatan pada gadis hitam manis yang pemalu itu segera menerjah. Tiba-tiba pintu hatinya terbuka. Adakah selama ini memang nama itu umpama anak kunci yang bakal membuka hatinya? Diakah yang selama ini dinanti dalam keadaan bawah sedarnya?

“ENCIK QHALIF! Encik nak pindahkan semua fail ke pejabat Kuala Lumpur ke?”

Soalan setiausahanya, Betty mengejutkan Qhalif daripada menung yang panjang. Sudah setengah jam dia sampai di pejabat sehingga tidak menyedari kedatangan Betty. Dari rumah sehinggalah ke pejabat, ingatan tentang Adira tidak pernah padam.

“Betty cakap apa?” soalnya semula tidak dapat menangkap apa yang diucapkan setiausahanya.

Betty tersenyum. “Encik ingatkan siapa ni?”

Qhalif gugup. Dia hanya mampu tersenyum. Dia memandang fail yang sedang disusun Betty, gadis berumur 23 tahun itu.

“Kena bawa semua. Nak buat apa tinggal. Fail tu semua penting,” ujarnya. “Lagipun pejabat di sini tak lama. Siap semua projek di Ipoh ni, kita semua pindah sana.” Dia menjelaskan.

Betty mengangguk. Wajahnya mendung. “Saya seorang saja ke ikut ke sana? Kalau Sofian dapat tukar, alhamdulillah sangat…”

“Kenapa Sofian tak mahu terima tawaran saya?” soal Qhalif.

“Mana dia nak kerja satu tempat encik?”

“Takut syarikat bankrap?” Qhalif menduga kebimbangan setiausahanya.

Betty mengangguk.

“Bukan ke rezeki ALLAH dah tentukan?” Qhalif memandang wajah Betty. Tetapi dia memang tidak berniat memujuk Betty mengikutnya. Betty kena akur keputusan tunangnya itu. Dia tidak boleh mempengaruhi Betty dalam membuat keputusan penting begitu.

HARI berlalu amat pantas. Belum sempat menghabiskan satu perkara, Hajah Hafsah sudah menghubungi Qhalif. Ini menunjukkan sudah jam 12.30 tengah hari. Ibunya bagai jam loceng yang menjaga waktunya. Biarpun soalan yang sama diajukan saban hari, Qhalif sentiasa tersenyum menjawab panggilan ibunya.

“Qhalif tak balik makan kat rumah ya, mak,” beritahu Qhalif sebelum ibunya melontar soalan lain pula.

“Tau. Tadi mak dah telefon Betty. Dia kata Qhalif sibuk sebab nak bereskan hal-hal pejabat sini. Tapi mak bukan nak tanya pasal makan. Hari ni mak nak tanya pasal lain.” Kata-kata Hajah Hafsah penuh bermakna.

Tiba-tiba Qhalif teringat janjinya pada Hajah Hafsah. Dia sepatutnya menghubungi ibunya selepas menghubungi Adira.

“Ya ALLAH, mak! Qhalif lupa nak telefon Adira!”

“Kenapa tak telefon? Kalau Mak Cik Biah bagitahu Adira yang Qhalif nak telefon dia hari ni, kesian Adira tertunggu-tunggu!” Hajah Hafsah marah.

Qhalif berdebar. ‘Mak suruh Mak Cik Biah bagitahu Adira yang aku akan telefon dia hari ini? Ya ALLAH!

“Pasal apa mak nak bagitau dia pulak. Kesian dia kalau dia tertunggu-tunggu.” Dia pula naik bimbang memikirkan kalau andaiannya benar. Dia mencari-cari nota bertulis nombor telefon Adira yang dipegangnya sepanjang ke pejabat tadi, tetapi tidak berjumpa.

“Sebab tu mak nak Qhalif telefon sekarang.” Suara Hajah Hafsah seperti menahan geram dan memberi arahan.

Qhalif hanya ketawa. “Nombor dah hilanglah, mak,” ujarnya masih dalam tawanya. “Entah mana Qhalif letak tadi.” Dia masih mencari-cari nota kecil yang diberikan Hajah Hafsah pagi tadi.

Agak lama Hajah Hafsah baru bersuara. Itu pun disulami sendu dan kehampaan. “Qhalif selalu buat mak macam ni,” ujarnya menahan sebak. “Qhalif tak pernah serius dengan permintaan mak, kan? Ini soal masa depan Qhalif. Soal kahwin bukan perkara yang boleh dibuat main!”

Qhalif terkejut mendengar suara rajuk ibunya. Dia memicit kening. Susahlah kalau mak dah merajuk. Mesti panjang rajuknya, memang susah pulak nak pujuk.

“Qhalif minta maaf, mak. Tadi kemas-kemas fail, agaknya terselit kat mana-mana. Tadi dah nak telefon, budak-budak keluar masuk mengemas, dah lupa pulak.” Dia cuba membela diri.

Hajah Hafsah terus menyebut nombor telefon Adira yang sememang disimpan.

Qhalif kelam-kabut mencari pen. “Kejap, mak. Mana pulak pen tadi?” Akhirnya dia menemui pen di bawah susunan fail. Dia meminta Hajah Hafsah mengulanginya sekali lagi.

Hajah Hafsah mengulanginya pantas dan memberi amaran terakhir.

“Kalau hilang juga kali ni, maknanya Qhalif memang tak serius dengan Adira. Satu saja mak nak minta kat Qhalif. Tolong jangan malukan mak! Assalamualaikum!”

Qhalif termangu sebaik sahaja Hajah Hafsah memutuskan talian. Hai! Sampai merajuk macam tu sekali mak kali ini? Agaknya tinggi sungguh harapan mak pada Adira! Kalaulah mak tahu aku juga menaruh harapan yang sama tinggi dengan harapan mak, tentu mak menjadi ibu yang paling gembira. Haruskah aku menghubunginya sekarang?

ADIRA melangkah masuk ke Restoran Cempaka sambil matanya mencari-cari Mia. Akhirnya Mia dapat dipujuk untuk diajak makan tengah hari bersama. Meskipun Mia tidak berjanji, dia yakin adiknya akan datang. Dari jauh Adira melihat Mia duduk di sebuah meja di suatu sudut.

“Mia dah lama tunggu?” Soalan biasa bagi yang lewat sampai.

Mia menoleh tetapi tersenyum pahit. “Baru saja. Dalam satu jam.” Dia menjawab acuh tak acuh.

“Mia dah pesan apa-apa ke?” soal Adira lagi. Entah kenapa tiba-tiba dia berasa begitu formal walaupun dengan adik sendiri.

“Mia tak rasa nak makan. Kakak makanlah,” jawabnya sambil melihat jam tangannya.

“Nak cepat ke?” soal Adira pula. Dia merenung wajah adiknya yang mendung dan seolah-olah tidak sudi memandang wajahnya.

“Kakak nak bincang apa, cakap sajalah. Memang Mia tak boleh lama-lama. Nanti bos Mia marah.”

Adira gugup. Sepanjang malam semalam dia sudah berfikir mengenai masa depannya. Dia tidak mahu bersengketa dengan Mia andai benar Mia membencinya kerana Qhalif. Dia akan mengalah, tanpa memberitahu dia sudah tahu punca Mia berjauh hati. Surat lama yang ditemui bawah katil Mia tetap menjadi rahsia.

“Nilah pasal mak ni… pasal nak jodohkan kakak dengan Qhalif. Hati ni macam berat sajalah, Mia.” Adira mula meluahkan perasaannya. Dia berharap Mia akan tertarik apa yang akan dikatakan. Ternyata andaiannya menjadi. Mia mula merenung dan memandang wajahnya.

“Berat macam mana?” soal Mia mula berminat.

“Mia tahu kan, kita dah berpuluh tahun tak jumpa Qhalif. Tiba-tiba mak nak jodohkan Kak Di dengan dia. Kak Di tak suka macam tu… ni nak terus-terus meminang pulak. Entah dia suka kakak entah tidak,” adu Adira.

Mia menarik nafas panjang. “Jumpalah dulu. Mana tahu kalau dia suka!”

“Kalau dia tak suka?” Adira merenung ke dalam mata Mia. Kelihatan sejalur harapan memancar dari matanya yang galak. Adira dapat meneka hati adiknya. Pasti harapan mulai membunga. “Sebab tu Kak Di nak tarik diri awal-awal,” Dia berterus terang.

Mia tersentak. “Kak Di, mak dah beria-ia tau. Takkan Kak Di nak tolak. Kak Di nak jadi anak derhaka ke?” kata Mia bersungguh-sungguh.

Adira tersenyum. “Mia ada.” Adira tersenyum merenung adiknya.

Mia menarik nafas panjang.

“Kakak nak pass baton Qhalif kat Mialah ni?” soal Mia pula. Namun, hatinya sedang bersorak gembira. Memang inilah berita yang paling menggembirakannya. Nampaknya, kakak sudah ada keputusan dan dia orang pertama yang tahu keputusan itu. Bagaimana kalau emak mereka dapat tahu? “Kak Di, mak nak bagi Kak Di kahwin dulu. Takkan Mia pulak, kak? Kak Di dah…” Mia cuba memancing ketegasan kakaknya.

Adira menggeleng dan menyambung. “Kak Di dah dekat empat puluhan?”

‘Ah, adik! Kakak tahu kau gembira dengan keputusan ni. Memang ini yang kau tunggu-tunggu, kan?’

Wajah muram Mia bertukar cerah semula. “Kak, Mia tak cakap tau. Kak Di yang cakap macam tu. Kak Di baru tiga puluh tujuh. Muda lagi.” Tawanya juga bertukar ikhlas.

“Mia tolong Kak Di.” Adira pura-pura merayu. “Kahwin dengan Qhalif demi Kak Di?”

Mia buat-buat terkejut dan menolak.

“Kalau Mia tak terima, lagilah mak mengamuk nanti. Mak tak mahu kita malukan mak kat Mak Cik Hafsah. Apa kata Qhalif kalau kita berdua tak sudi terima dia?” Adira masih merayu.

Mia pula pura-pura bertegas. “Tak boleh! Qhalif mesti dah berangan-angan nak kahwin dengan Kak Di. Tak ada makna kalau tiba-tiba mak kena bagitahu Mak Cik Hafsah yang Mia pulak nak kahwin dengan anak dia!”

“Kan mak dah cakap, Qhalif ikut saja cakap Mak Cik Hafsah? Sebelum mak jumpakan Kak Di dengan dia, elok Kak Di berterus terang dengan mak. Nanti kalau dah jumpa baru cakap, mesti Qhalif ingat Kak Di tak suka dia pulak,” ujar Adira dengan wajah berkerut seolah-olah serius dengan rayuannya.

“Entahlah, Kak Di. Susah nak cakap. Masalahnya… Qhalif suka ke dengan Mia?”

“Sekarang ni, Mia… dia suka siapa saja pilihan Mak Cik Hafsah. Kalau Mia suka, Mia terimalah dia. Kak Di memang… err… entahlah…nak kahwin pun tak ada hati tau…” ujar Adira dengan suara merayu.

Mia merenung kakaknya. “Betul Kak Di tak boleh terima dia?” Adira mengangguk.

“Kak Di dah ada pilihan ke?” soal Mia ingin meneka.

Adira gugup Dia menundukkan kepalanya lalu tersenyum. “Mungkin…” Perlahan suaranya mengakui. Mudah-mudahan jawapan itu melegakan Mia. Sedang dia sendiri tidak pasti siapa orangnya.

“Siapa, kak? Mia kenal ke?” Mia mendesak.

“Nanti-nantilah dulu. Kalau dah pasti nanti, Kak Di bagitahu,” ujar Adira meyakinkan adiknya. Sedang hatinya juga berbisik, tak mungkin ada sesiapa yang boleh menerjah hatinya selepas ini.

“Kak Di kena berterus terang dengan Mia. Nanti kalau mak tanya, Mia kena ada jawapan. Tapi, Mia tak bolehlah bagitahu mak yang Mia terima cadangan Kak Di. Kak Di sendiri kena bagitahu mak,” pinta Mia, merenung sedih wajah kakaknya.

“Itu dah semestinya. Takkan Kak Di nak biarkan Mia pulak yang cakap? Thank you, adik.”Adira bangun, memeluk Mia.

Mia membalas pelukan itu erat. “Mia akan buat apa saja untuk Kak Di. I love you, kakak.”

Adira memejamkan mata merasai hangatnya pelukan Mia. Pelukan yang penuh harapan dan kegembiraan. Namun, dia sendiri membiarkan air matanya mengalir. Nampaknya dia merelakan suatu perpisahan sebelum adanya pertemuan.

Air matanya mengalir sepanjang perjalanan ke pejabat. Entah mengapa alirannya bagai tidak mahu berhenti. Mengapa dia harus menangis melepaskan Qhalif sedangkan dia sendiri belum pasti Qhalif betul-betul menyukainya atau menyukai Mia? Pasti Qhalif lebih memikirkan Mia berbanding dirinya. Mungkin dulu dia menolak cinta Mia. Tetapi sekarang sangat mengharapkan agak cinta itu masih kekal untuknya. Bukankah lebih baik dia berundur diri sebelum hatinya terlanjur parah mencintainya?

HAJAH SALBIAH menghubungi Adira selepas solat maghrib. Adira agak lama di atas sejadah. Doanya juga lebih panjang daripada biasa. Minta ALLAH teguhkan iman dan pendiriannya.

“Mak Cik Hafsah kata Qhalif banyak kali telefon. Di matikan telefon ke?”

‘Qhalif telefon aku?’ Kata-kata emak sangat mengejutkan.

“Bila, mak?” soal Adira bersama debar di dada.

“Tengah hari tadi. Banyak kali dia telefon. Kenapa matikan telefon?” soal Hajah Salbiah bertubi-tubi. Dia begitu teruja memberitahu Adira kehampaan Hajah Hafsah.

“Ya ALLAH. Minta maaf, mak. Tengah hari tadi ada lunch date dengan pelanggan. Terpaksa matikan telefon,” ujar Adira berbohong.

“Dah hidupkan ke belum?”

“Ni mak dah dengar suara Di ni?” Adira ketawa.

“Di! Kesian Qhalif. Nanti dia ingat Di tak sudi bercakap dengan dia. Cuba Di telefon dia pulak. Dia nak sangat bercakap dengan Di.”

Adira tergamam. Dia memang perasan ada lima nombor missed call yang tidak dikenali dalam senarai panggilan, namun dia tidak menghubungi semula nombor itu. Ah, itu mesti nombor Qhalif.

“Betul ke Qhalif nak cakap dengan Di mak?” soal Adira gugup.

“Ya! Cuba telefon.” Hajah Salbiah mendesak.

Adira tidak keruan. Haruskah dia menghubungi lelaki itu atau berterus terang sahaja dengan emak yang dia menolak lamaran Qhalif?

“Ni dah malamlah. Takkan Di nak ganggu dia malam-malam? Lainlah kalau dia yang telefon Di.”

“Kalau macam tu, mak minta Mak Cik Hafsah suruh Qhalif telefon Di sekarang.” Hajah Salbiah semakin teruja.

Adira gabra. “Janganlah, mak. Nampak sangat kita beria-ia. Di tak maulah macam tu. Biar Di tunggu saja. Mak jangan suruh-suruh Qhalif telefon. Malulah Di, mak.”

“Hah, yalah. Jangan lupa telefon.” Hajah Salbiah mengingatkan sebelum talian diputuskan.

Adira rebah ke atas katil. Tangisnya berderai. ‘Qhalif menghubungi aku? Mengapa dia semakin dekat saat aku mahu menolaknya jauh-jauh?’

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sharifah Abu Salem