7
MIA menyelongkar kotak-kotak lama di bawah katil. Buku-buku
sewaktu sekolah rendah dan sewaktu sekolah menengah masih elok tersimpan di
situ. Sementara buku-buku dan nota pengajian di universiti lebih banyak
disimpan di rumah sewanya. Ada sesuatu yang hendak dicarinya. Sesuatu yang bakal
memekarkan semula ingatannya pada Qhalif. Berita baik yang dikatakan bapanya
untuk mereka ternyata menjadi berita yang melukakan. Berita baik itu menjadi
berita sedih untuknya. Mungkin menggembirakan Adira, tetapi tidak dia. |
Cinta yang berkubur sejak 18 tahun tiba-tiba muncul semula sebaik
sahaja dia mendengar nama Qhalif. Lima bulan selepas pemergian Qhalif ke
Amerika, sekeping poskad yang ditujukan kepada Adira bagaikan pembuka jalan
untuk dia menghubungi Qhalif. Qhalif meminta Adira menulis kepadanya kerana dia
berasa sunyi di rantau orang.
Maafkan saya
mengganggu Adira. Selepas lima bulan, inilah kali pertama saya mengutus berita.
Terasa ingin mendengar perkhabaran dari sana. Kenapa tidak menulis surat kepada
saya? Bukankah Adira pernah berjanji? Mungkin Adira sibuk dengan pelajaran
lantas melupakan saya. Tetapi saya tidak pernah melupakan Adira dan Mia. cuma
baru-baru ini saya ada kesempatan untuk mengutus poskad ini.
Tolong balas
poskad ini. Salam untuk pak cik, mak cik dan Mia-
Qhalif
Lama Mia menggenggam poskad itu. ‘Kenapa dia tulis pada Kak Di,
bukan aku? Rasanya aku lebih banyak layan dia sewaktu dia datang ke sini.
Apa-apa hal dia cari aku. Ajak aku pancing ikan, ajak aku lastik burung, ajak
aku petik manggis. Kenapa dia tak tulis poskad pada aku? Dia sukakan Kak Di
lebih daripada aku ke? Tapi dia ada tulis nama aku. Dia pun tak pernah lupakan
aku. Maknanya dia juga sukakan aku. Tak salah kalau aku yang balas poskad ni.’
Ketika poskad itu tiba di rumah, Adira sudah pun berada di asrama
penuh melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam. Adira jarang pulang ke rumah
kerana sibuk dengan pelajaran dan jarak yang jauh. Lantaran itu, Mia mengambil
keputusan untuk membalas poskad Qhalif tanpa memberitahu Adira tentang poskad
itu. Selama itu, dia berahsia dengan Adira.
Terima kasih
membalas poskad saya. Saya gembira awak tak lupakan saya.
Poskad itu cukup bermakna bagi Mia. Dia terasa Qhalif sendiri
yang datang dan bercakap dengannya. Walaupun pendek sahaja catatan Qhalif
tetapi dia bagaikan mendengar suara Qhalif yang berkata-kata. Suara yang lembut
dan agak perlahan. Setiap kali suara itu dilontarkan, pasti diringi dengan
senyuman. Itulah yang membuatkan Mia terus menyimpan wajah Qhalif di sudut
hatinya.
Qhalif jarang membalas surat-suratnya selepas Mia mengirimkan
gambar mereka di dusun Tok Wan. Dia, Adira dan Qhalif. Qhalif memberitahu dia
akan sibuk selepas itu dan mungkin tidak sempat mengutus surat. Mia menerima
alasan Qhalif.
Meskipun lima tahun berlalu tanpa khabar berita daripada Qhalif, tetapi Mia yakin satu ketika nanti
mereka akan dipertemukan semula.
Sebaik menginjak dewasa, kecantikannya menyerlah. Gayanya yang
lincah membuatkan dia di antara bunga pujaan di sekolah dan kampus. Namun,
mengapa sukar hatinya menerima cinta? Lafaz cinta baginya hanya kata-kata
biasa. Jika ada lelaki yang cuba mendekati, mereka datang tanpa rasa apa-apa.
Semuanya dianggap kawan biasa. Pernah dia bertanya diri.
Inikah juga yang Adira alami sehingga sanggup bersendirian
walaupun usia melangkaui 30-an? Adakah dia dan Adira memang dilahirkan tanpa
rasa cinta? Atau seperti dia Adira juga ada rahsia cinta sendiri?
“Agaknya keturunan kita susah nak jatuh cinta,” ujar Adira
apabila Mia mempersoalkan perasaan mereka suatu ketika dahulu.
“Betullah, kak. Bukan tak ada orang nak Mia, tapi Mia macam tak
minatlah, kak,” adu Mia.
“Kau ada sukakan orang lain sebelum ni tak?” tanya Adira pula.
Mia menggeleng. Tetapi hatinya mengakui dia rindukan Qhalif sejak
perpisahan mereka sewaktu masih remaja dulu. Itukah cinta?
“Rasanya Mia tak pernah pulak jatuh cinta,” jawabnya disusuli
dengan tawa.
“Kalau kau ada sukakan sesiapa, jangan lepaskan, Mia. Nanti jadi
macam Kak Di, dah terlajak macam ini dah susah nak cari cinta,” ujar Adira,
selamba.
“Agaknya Kak Di pun pernah jatuh cinta tak sebelum ni?”
“Tak ada! Nak jatuh cinta kat siapa?” Adira menafikan.
MIA menarik kotak paling kecil di antara kotak-kotak yang
tersusun. Agaknya aku simpan kat sini. Tangan Mia pantas menarik pita pelekat
yang mengemaskan kotak itu. Dia segera membukanya. Betul! Poskad dan surat
Qhalif ada di dalam kotak itu! Dia membaca satu per satu. Dia mula membacanya.
Ada sepucuk surat membuai perasaannya. Qhalif cuba menjelaskannya mengenai
cinta.
Cinta itu tidak boleh dipandang tetapi boleh dirasai.
Cinta yang kita anggap menggembirakan itu sebaliknya menjadi sesuatu yang
paling menyeksa. Kita rindu kerana cinta. Kita sedih kerana cinta. Kita sunyi
kerana cinta. Kita juga bosan kerana cinta. Saya takut untuk melalui semua itu.
Kerana itu saya takut untuk bercinta. Kerana itu Mia jangan berkecil hati jika
saya katakan saya belum bersedia untuk cinta. Mia jangan berkecil hati dengan
saya. Walaupun tanpa cinta, saya tetap sayang Mia dengan Adira.
Surat itu pernah merobek hati Mia. Dia menerima surat itu selepas
tiga minggu dia bertanya Qhalif makna cinta kepada pemuda itu. Ternyata Qhalif
tidak bersedia menyambut cintanya. Cinta seorang gadis yang baru berusia 15
tahun ketika itu, pasti cinta itu tidak meyakinkan sesiapa pun. Seminggu dia
menangis kerana Qhalif menolak cintanya. Bagaimanapun dia tetap yakin suatu
ketika nanti pasti Qhalif membalas cintanya. Biarlah selama mana pun dia harus
menanti, dia yakin cinta itu datang kembali.
Namun penantian Mia semakin panjang. Selama lima tahun pengajian,
ditambah 12 tahun lagi Qhalif bekerja di Amerika, dan khabarnya sudah pulang ke
Malaysia lima tahun lalu tetapi tidak mencari mereka, akhirnya Mia tidak mahu
meletakkan sebarang harapan. Cinta itu bagai berkubur di sudut hati. Dan kini
ia seakan bangkit kembali selepas mendengar nama Qhalif.
Mia menghempaskan kotak surat itu ke lantai. ‘Aku yang penat
tunggu Qhalif, Kak Di pulak yang dapat!’
Mia terasa hendak menjerit. Dia seperti ingin marah. Tetapi dia
hendak menjerit kepada siapa? Siapa pula yang ingin dimarahinya? Kepada Qhalif?
Kerana memilih Adira? Kepada Adira kerana lebih menarik perhatian Qhalif? Atau
kepada dirinya sendiri yang sehingga kini gagal menepis rasa cinta itu?
Meskipun perasaan itu datang dan pergi, tetapi Mia mengakui selepas mendengar
nama Qhalif disebut emak pagi tadi, tiba-tiba sahaja perasaan itu kembali
mekar. Dia sendiri tidak menyangka, selepas 17 tahun, nama itu kembali menjadi
sebut-sebutan mereka sekeluarga.
Dia menyangka Qhalif tidak akan wujud lagi di dalam hidup mereka
selepas Hajah Hafsah menghidap strok dan tidak boleh berjalan selama 15 tahun
itu. Sejak itu Hajah Hafsah tidak pernah lagi berkunjung ke rumah mereka.
Berita tentang Qhalif juga tidak ada. Mia sendiri berasa malu untuk terus
menulis surat. Qhalif pula tidak lagi mengirim sebarang berita. Akhirnya nama
Qhalif hilang begitu sahaja.
“Mia! Mia!” Suara Hajah Salbiah lantang memanggil.
Mia cepat-cepat menolak kotak ke bawah katil. Surat di atas
lantai direnyukkan sahaja ke dalam salah satu kotak tanpa melihatnya.
“Mia!”
Suara Hajah Salbiah semakin dekat. Mia terus naik ke atas katil
dan pura-pura tidur.
“Mana Mia, mak?”
Mia merengus sebaik terdengar suara Adira. Hatinya tiba-tiba
panas. Kemarahannya juga muncul.
“Laa… membuta rupanya,” kata Adira sebaik menolak pintu bilik
Mia.
Hajah Salbiah menggeleng. “Biasalah si Mia ni. Balik saja mesti
nak membuta,” rungutnya. “Kejut dia. Kejap lagi abah balik boleh makan nasi.”
Adira akur arahan emak. Hajah Salbiah berpatah semula ke dapur.
Adira tersenyum, duduk di sebelah Mia.
“Bangun oi!” Dia mencucuk pinggang Mia dengan harapan Mia terjaga
dan terus bangun. “Kak Di ni tak kacau Mia tak boleh ke?”,Mia betul-betul
menengking kakaknya. Tetapi Adira menganggap ia hanya gurauan. Mia enggan
memandang wajah dan tawa kakaknya.
Tiba-tiba sahaja dia benci Adira. Kalau ada yang ingin
menghancurkan hidupnya, mesti tidak ada orang lain kecuali Adira!