Home Novel Cinta Cinta Atas Kertas
Cinta Atas Kertas
Sharifah Abu Salem
18/5/2015 15:04:06
58,295
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

14

“PAPA tengok Erin bukan main sibuk seminggu dua ni?”

Soalan papanya tidak terus dijawab oleh Nasreen. Dia selamba menuangkan teh O untuk Datuk Rahim yang masih merenung ke arahnya.

“Jangan malukan papa.”

Kata-kata Datuk Rahim mengejutkan Nasreen.

“Jangan ingat papa tak tau Erin kejar Zarul siang malam.”

Nasreen menjeling. Dia menghulurkan cawan kepada Datuk Rahim. “Siapa cakap Erin kejar Zarul?” soalnya. Hatinya berdebar. Dia mengambil dua biji telur, memecahkannya ke dalam mangkuk dan meletakkan sedikit lada dan kicap.

“Papa ada spy. Papa tau apa saja yang Erin buat.” Datuk Rahim menarik mangkuk telur yang disediakan Nasreen.

“Rugilah papa upah spy buta.” Datuk Rahim menjeling sekilas.

Nasreen mengambil dua keping roti bakar dan menyapu jem pula. Roti diletakkan di dalam piring dan ditolak di depan papanya.

“Sebab dia tak buta, dia nampak Erin depan pejabat Zarul,” ujar Datuk Rahim.

Nasreen menahan geram. ‘Papa memang dah melampau. Mana dia tahu aku nak ke pejabat Zarul sampai upah spy ikut aku?’

“Dia tahu ke apa urusan Erin dengan Zarul?” soal Nasreen pula cuba mengelakkan diri.

Datuk Rahim seperti berminat untuk mengetahui tetapi Nasreen lebih pantas membohongi bapanya.

“Papa tau tak Zarul mungkir janji? Dia janji nak bagi Erin 25% keuntungan syarikat setiap tahun. Papa tau berapa saja dia boleh bagi? 18%! Papa ingat Erin tak angin ke bila dia tipu Erin macam tu?!” Nasreen sengaja menghentak meja menunjukkan perasaan marah dan geramnya.

“Ya ke pasal saham syarikat?” Datuk Rahim cuba memancing kata-kata anaknya.

“Habis pasal apa? Erin tak mau dia permainkan Erin, pa. Saham Erin, saham Shasha... walaupun tak banyak, tapi Erin tetap nak hak Erin.”

Datuk Rahim mengangguk. Dia mula percaya kata-kata Nasreen. “Habis, Zarul bagi ke baki 25% tu?”

“Dia kata syarikat tak untung.”

“Apa yang dia tau pasal bisnes? Orang macam Zarul tu buat apa pun lingkup. Nasib baik Erin cepat bercerai dengan dia. Kalau tak, dengan syarikat papa dia lingkupkan sekali.”

Nasreen tersenyum sinis. Bukan kerana menyokong kata-kata itu tetapi kerana berjaya juga memperdayakan papanya. Dia sendiri hairan perasaannya terhadap Zarul. Sejak tiga, empat bulan yang lalu, tiba-tiba kebencian dan kemarahannya pada Zarul bagai berakhir. Selepas dua tahun bercerai, perasaan pada zaman percintaan mereka bagaikan berulang. Dia rindukan Zarul. Dan asyik teringat kenangan lama antara mereka. Timbul penyesalan kerana bercerai. Setelah berminggu-minggu berfikir, akhirnya dia nekad untuk kembali kepada bekas suaminya. Mana tahu Zarul juga masih cintakan dia? Buktinya, sampai sekarang Zarul belum ada penggantinya.

“Tengku Irfan dah balik Malaysia. Erin tau kan?” Datuk Rahim tiba-tiba bersuara.

Nasreen hanya mengangguk. Soalan itu memutuskan lamunannya.

“Ayah Engku bagitahu, Irfan pun belum kahwin sampai sekarang. Rasanya, dia masih tunggu Erin.”

Nasreen mencemik mendengar kata-kata Datuk Rahim. Lagi-lagi Tengku Irfan! Lagi-lagi Tengku Irfan! Memang mereka pernah bercinta tetapi cinta monyet tidak pernah membawa ke mana.

“Erin tak mau kahwin dengan Irfan!” Dia membentak. Dia bingkas bangun, meninggalkan meja makan.

Datuk Rahim menahan sabar dengan kerenah Nasreen. Dari kecil sampai dewasa, sikap Nasreen tidak pernah berubah. Degil dan suka melawan.

Laporan-laporan yang diterima daripada orang suruhannya betul-betul membuatkan darahnya naik. Nasreen ke pejabat Zarul. Nasreen makan bersama Zarul. Nasreen keluar dari bank dengan Zarul. Nasreen melawat tapak projek dengan Zarul. Apa yang digambarkan para pelapornya menunjukkan Nasreen dengan Zarul sudah berbaik-baik. Itu bukan petanda yang bagus untuknya.

Kepulangan Tengku Irfan sudah cukup meng­gembirakanya. Ada peluang dia boleh meneruskan rancangan yang diatur dengan Tengku Malik. Kalau mereka berbesan, dua syarikat akan bergabung menjadi satu. Dan peluang masuk senarai bursa begitu cerah. Keuntungan yang bakal dikaut juga pasti mencurah tetapi dengan syarat, Nasreen mesti berkahwin dengan Tengku Irfan.

Andai Nasreen menolak, harapannya akan lebur! Nasreen dengan Tengku Irfan mesti kahwin!

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sharifah Abu Salem