Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 29

KALAU ikutkan hati, di tidak mahu ke Maniera lagi. Tetapi kehilangan gaun Pasio harus dipertanggungjawabkan. Apapun yang bakal terjadi, dia kena bertahan sehingga isu itu benar-benar selesai. Tidak pun sehingga kontraknya tamat hujung bulan depan.

Ila menarik nafas dalam-dalam. Motosikal disorong keluar pagar. Baru sahaja selesai pintu pagar dikunci, Harrier yang dipandu Hakimi berhenti bersebelahan motosikalnya. Mulai hari itu, dia malas hendak menumpang Hakimi lagi. Buat sakit hati sahaja. Ila menunjukkan muka tidak peduli. Topi kaledar dipakai.

Hakimi turun dari Harrier. Dia mempercepatkan langkah, mendapatkan Ila yang sudah bersedia mahu menghidupkan enjin motosikal.

“Awak nak pergi mana?” tanya Hakimi pura-pura tidak faham.

Ila menjeling ke tempat lain, buat-buat tidak dengar apa yang dicakapkan Hakimi. Boleh pula Hakimi menayang muka tidak malu di depannya pagi itu? Ingat apa, dia terhegeh-hegeh sangat ke hendak menumpang ke pejabat?

“Ila...” panggil Hakimi dengan nada bersalah. “Saya tahu semalam saya tak patut marah awak macam tu.”

Belum habis Hakimi bersuara Ila sudah menghidupkan enjin motosikalnya. Dia peduli apa dengan rasa terkilan Hakimi. Apa yang berlaku semalam tidak boleh dibetulkan lagi. Dia memandang Hakimi dengan muka menyampah. “Saya tahulah, saya ni orang bawahan awak Encik Hakimi. Tapi... bukan bermaksud encik boleh marah saya sesuka hati,” kata Ila geram. Dari semalam menahan perasaan yang terbuku dalam hati, elok rasanya dilepaskan sebagai sarapan pagi buat Hakimi hari itu.

Hakimi memandang Ila dengan muka kecewa. Kalau Ila sudah tidak mahu memahami dirinya, siapalah yang hendak diharapkan? Biasalah kalau dimarahi bos. Gadis arnab ini hendak emo berlebih-lebih kenapa?

Ila menolak tangan Hakimi yang memegang pemegang motosikalnya. “Sudahlah, Encik Hakimi. Saya nak pergi kerja. Kalau lambat sampai Maniera karang... encik cakap saya makan gaji buta pulak,” sindir Ila sebelum memecut motosikalnya.

“Ila!” Pekik Hakimi sebelum mengeluh geram. Memang susah mahu memujuk gadis arnab itu. Tak kira, dia mesti cari jalan juga.

DI MANIERA, Ila buat-buat tiada apa yang berlaku semalam. Tugasnya dijalankan seperti biasa. Lagipun kawan-kawannya di situ mengetahui situasi sebenar. Buat apa hendak difikirkan sangat.

Vinda menghampiri Ila. “Nasib tempat kita ni tak teruk sangat nak buat kerja, kan?” ujar Vinda. Dia melirik pakaian yang berbungkus plastik dan tersangkut di penyangkut khas bahagian tengah bilik itu. Sudah terlalu banyak dan sebahagiannya akan dipindah keluar. Kenapa tidak sehelai gaun daripada situ sahaja yang hilang? Banyak juga yang cantik-cantik. Masih baru lagi.

Ila tersenyum hambar. “Hmm, memang tak banyak kerja. Tapi bila puting beliung nak datang, tak terduga,” jawabnya merujuk apa yang terjadi semalam. Tempat yang bagaikan Syurga itu sebenarnya tidak seindah rupa. Bekerja di situ penuh risiko. Sukar untuk bertanggungjawab jika berlaku kehilangan. Apalagi andai yang hilang itu sesuatu yang semahal gaun Pasio.

Vinda mengagguk setuju.

“Dah lama aku kerja kat sini, tapi tak pernah lagi timbul masalah barang yang belum di photoshoot hilang,” beritahu Vinda.

Ila memandang Vinda. Kalau sebelum ni barang di situ belum lagi pernah hilang, bermakna dialah pencipta rekod pertama. Dan bakal menerima hukuman buat pertama kali juga nanti? Memang sejarahlah. Nanti bolehlah namanya dikenang-kenang setiap kali ada pekerja lain yang melakukan kesalahan sama di masa depan.

“Kalau bukan orang yang ambil, takkan tikus?” teka Vinda pelik.

Ila memandang Vinda.

“Kalau tikus dah lama aku tangkap binatang tu dan hempas ke dinding,” beritahu Ila geram. Dia pun boleh meneka gaun itu sudah diambil orang. Tetapi siapa? Memang teruklah orang yang membuat dia teraniaya tu. Ila mengeluh.

Vinda buat muka ngeri. Berani sungguh Ila mahu menghempas tikus ke dinding?

“Kenapa buat muka macam tu?” sergah Ila.

Vinda menggeleng.

Ila tersengih. Tahu Vinda tidak percaya dia berani menghempas tikus ke dinding kerana rata-rata perempuan di dunia takutkan tikus.

“Kau rasa siapa ambil, hah?” tanya Vinda lagi. Kalau Ila berasa tidak puas hati dia juga begitu.

Ila ketuk-ketuk pen ke kepalanya. Dia memikirkan muka-muka suspek. Gayanya sudah seperti Detektif Conan menyelesaikan kes jenayah.

“Aku tak boleh tekalah. Aku tak ada musuh kat sini,” beritahu Ila.

Vinda mengangguk. Masalah itu memang sukar diselesaikan. Pencuri langsung tidak meninggalkan jejak.

“Eh, dahlah jangan fikir lagi. Buat serabut aje. Elok fikir gaji yang nak keluar minggu depan. Kau nak buat apa?” Vinda mengubah tajuk perbualan.

Ila tersengih. “Nak simpan,” jawab Ila. Dia belum ada cadangan mahu menggunakan duit itu lagi.

Vinda angkat kening. Kedekut betul budak ni. Paling tak gaji pertama belanjalah kawan sikit, gumamnya.

SAKIT hati dengan tindakan Ila, Hakimi mengubah haluan pagi itu ke hospital. Lama dia duduk di sisi mamanya. Melihat Puan Alia yang semakin pulih dan bertenaga hatinya terhibur. Menurut doktor, esok atau lusa Puan Alia mungkin dibenarkan pulang.

“Kim kenapa?” tanya Puan Alia apabila melihat muka Hakim yang serabut dengan masalah. Mungkinkah apa yang ditengkarkan bersama Encik Harun tempoh hari masih bersarang di fikiran Hakimi? Puan Alia diburu rasa bersalah.

Hakimi mengukir senyuman. “Penat,” dalih Hakimi.

Puan Alia tersenyum. Mujurlah Hakimi tidak mengungkit apa yang berada dalam fikirannya. Tangan Hakimi disentuh. “Mula-mula memanglah penat, sebab Kim baru nak belajar. Nanti lama-lama, semua tu jadi mudah,” pujuk Puan Alia. Dia tidak mahu Hakimi berputus asa.

Hakimi mengangguk walau sebenarnya dalam hati bukan soal Maniera sahaja yang difikirkan. Ila. Gadis arnab itu menjadi penambah tekanan di dadanya. Kenapa gadis arnab itu bukan perempuan yang fleksibel. Tidak boleh ke semua kata-katanya yang menyakitkan hati semalam Ila simpan di telinga kiri dan mengetuknya ke luar ke dalam bakul sampah sebaik sampai di rumah? Tengoklah apa yang terjadi dengan hubungan mereka bila Ila menyimpan hal itu dalam hati. Jadi keruh dan dia tahu hati mereka sama-sama tidak gembira.

Usai melawat Puan Alia, Hakimi ke Dello melihat Kirana menjalani latihan. Selepas itu baru dia ke Maniera. Semakin dekat waktu pelancaran Classes, semakin dia tertekan. Rasanya semua contoh iklan yang mahu dimasukan ke dalam Classes sudah diberikan kepada editor terbabit. Hanya tinggal Pasio. Iklan yang satu ini harus melepasi Mira sendiri. Hakimi melihat gambar gaun yang digayakan Kirana itu. Sekali pandang gaun itu nampak sama dengan yang asal. Fikirnya tidak ada masalah untuk sementara waktu.

Minggu depan dia akan menghantar gambar itu kepada Mira. Selepas itu dia akan mempertemukan Mira dengan Kirana. Dari pemerhatiannya tadi, Kirana semakin hebat. Hakimi tersandar di kerusi, mengharap masalah itu betul-betul selesai. Penat rasanya mengurus masalah sekecil itu.

Jam atas mejanya dikerling. Sudah masuk waktu makan tengah hari. Kalau diajak Ila keluar makan, pasti gadis arnab itu menolak. Dia mengeluh.

Telefon bimbitnya berbunyi. Ada mesej masuk.

Kim, sejak kerja you langsung tak ada masa dengan I. Jom keluar kejap.

Hakimi merenung mesej itu.

I nak keluar makan. Kalau you dekat-dekat sini jomlah join I.

Balas Hakimi. Sesekali melayan Juliesa di saat jiwanya sesak tidak salah rasanya. Lagipun mereka masih berkawan.

I kat hospital lawat mama you. Sekejap lagi I sampai.

Balas Juliesa.

Hakimi menaikkan kening. Patut Juliesa tahu dia sudah mula bekerja. Mamanya yang membuka mulut rupanya. Mungkin juga Juliesa mencarinya di rumah dan Sarah memberitahu mamanya di hospital. Jika tidak masakan Juliesa tahu mamanya dimasukkan ke hospital.

VINDA menunding jari ke arah Hakimi yang baru masuk ke dalam kereta yang dipandu Juliesa. Gadis bersama Hakimi itu sangat cantik orangnya. Siapa tu? Model ke? Belum pernah pula dia melihat gadis itu di Maniera.

Ila turut menoleh. Hampeh punya Hakimi. Konon aje tak nak layan Juliesa lagi. Tapi keluar juga dengan perempuan tu. Lain kali jangan harap aku nak tolong kau! Marah Ila dalam hati. Selepas memarahinya seenak rasa, ada hati lagi Hakimi hendak keluar berseronok dengan Juliesa. Ila tidak puas hati. Hakimi tidak mungkin dimaafkan!

Vinda menyiku bahu Ila.

“Hei, Encik Hakimi tu bukan boyfriend kau ke?” tanya Vinda. Jika jawapannya ya, bererti Ila sedang berhadapan dengan pesaing yang hebat. Dan mungkin sebab itu jugalah Hakimi tidak mempedulikan perasaan Ila semalam. Dia marah Ila depan pekerja lain seperti hubungan mereka sekadar bos dan orang bawahan sahaja.

Ila mencebikkan muka. “Tak ada maknanya...”

“Kenapa?” tanya Vinda tidak puas hati.

“Perempuan yang dengan dia tulah girlfriend dia. Cik Juliesa. Kami jiran aje,” beritahu Ila, malas dikaitkan dengan Hakimi setiap masa.

Vinda sedikit terpinga. Jiran? Tetapi Ila selalu dilayan baik oleh Hakimi sebelum hal semalam terjadi. Ini mesti kes gaduh pasal perempuan cantik tu. Biasalah tu lelaki. Dapat yang lebih cantik, yang biasa-biasa dia campak tepi.

“Jomlah, aku malas jadi mak guard kat sini pulak,” ujar Ila. Terus sahaja Vinda diseret. Hari itu Bella mengikut Lufi mengambil barang di luar. Cdans memang terang-terang takkan sertai mereka.

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.