Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 2

Bab 2

Hakimi yang baru sampai di salah sebuah kelab hiburan Bukit Bintang tercari-cari di mana kawan-kawannya berkumpul.

Rudy yang terlebih dahulu melihat Hakimi melambaikan tangannya sambil melaung. “Kim... Sini.”

Hakimi mengangkat tangan sebaik sahaja terpandangkan Rudy. Dia terus menghampiri. Hakimi dan Rudy bertukar salam dan ketawa riang. Rindu juga rasanya setelah hampir dua minggu mereka tidak bertemu.

“Woi, duduklah! Lama tak jumpa. Kau buat apa?” sapa Dion sambil menarik tepi baju Hakimi.

Hakimi memandang Dion. “Lamalah sangat. Baru dua minggu, bro,” balasnya. Punggungnya dihenyak ke atas sofa.

Dion tersengih. Dua minggu tidak bertemu buat sahabat serapat mereka memang agak lama. Apalagi tanpa Hakimi mereka seperti tidak cukup ahli hendak bergurau senda. Lagipun Hakimi tidak loket hendak berbelanja. Jaranglah mereka mendengar Hakimi membantah untuk mengeluarkan duit, kecuali jika Hakimi benar-benar kekurangan duit. Beruntung menjadi Hakimi. Semenjak mereka kenal sehingga ke hari itu, Dion tahu akaun kawannya itu tidak pernah kering daripada duit. Bapa Hakimi akan memasukan duit dua kali sebulan untuk perbelanjaan bulanan Hakimi. Dan pastinya jumlah wang yang Hakimi dapat sama banyak dengan gaji seorang pengurus.

“Aku bosanlah. Tak tahu nak buat apa kat situ?” keluh Hakimi.

“Menari jom?” ajak Kiki, pelayan kelab malam yang duduk di sebelah Hakimi.

Hakimi mengelak sedikit. Rimas dengan aksi mengoda gadis itu. “Nantilah, I baru sampai. Lepaklah dulu... banyak lagi masa,” tolaknya.

Kiki tersenyum, mengoda tanpa memaksa dan setia menunggu di sebelah Hakimi. Manalah tahu untung nasibnya malam itu, boleh mendapatkan tip lebih.

“Tempat baru kau tu okey ke?” tanya Dion sambil matanya melirik nakal bahu seorang lagi pelayan kelab itu yang terdedah.

“Belum ada yang menarik. Bosan!” jawab Hakimi. Coke yang baru terhidang dicapai dan diteguk. Dari dahulu hanya minuman itu sahaja yang sesuai dengan tekaknya andai berkunjung ke kelab-kelab hiburan. Biar dia berkawan dengan Dion dan Rudy yang agak nakal, namun dia tidak pernah terpengaruh dengan mereka.

“Kat situ tak ada perempuan cantik ke?” Rudy menjungkitkan keningnya beberapa kali. “Kalau ada yang cantik, kenalkanlah dengan aku.”

“Hmm...satu-satunya perempuan cantik yang aku jumpa kat situ, mama aku ajelah. Yang lain belum turun dari langit lagi agaknya,” balas Hakimi. Memang dia belum nampak perempuan lain di situ. Orang gaji rumah jiran pun dia tidak boleh pastikan cantik ke tidak. Manakan tidak kalau dia asyik menyorok dalam bilik sahaja.

“Mama kau nak buat apa?” sampuk Dion yang sememangnya lebih romeo daripada Rudy.

Hakimi tersengih. Tiba-tiba dahinya berkerut. “Dion, kau ajak dia sekali ke?”katanya kurang senang ketika melihat gadis itu tersenyum meleret dan menghampiri mereka.

Dion memandang ke arah yang ditunjukkan Hakimi. “Mana ada. Buat apa ajak dia? Dah tak fresh,” katanya dengan muka mengejek. Habislah Hakimi terpaksa melayan kerenah bekas kekasihnya itu. Perempuan degil dan keras hati seperti itu bukan peduli dirinya ditolak. Perangai degilnya lebih kurang Hakimi juga. Apa yang dia mahu, itu juga yang cuba didapatkan. Biar seribu kali Hakimi menolak, beribu kali dia akan cuba mendekat.

“Kau cakap elok sikit. Aku tak pernah buat benda tak senonoh dengan dialah!” kata Hakimi. Dion ingat dia tidak takut dosa ke hendak membuat perangai bukan-bukan.

Dion hanya tersengih.

Gadis itu sudah berdiri di hadapan mereka. Gadis seksi berskirt pendek separas peha dan hanya mengenakan baju ala barut menutup dadanya itu tersenyum memandang Hakimi.

Hakimi buat tidak peduli. Seolah-olah tidak perasan dengan kehadiran gadis itu.

“Hei, perempuan! Bangun! Cantik rupa kau duduk meleseh sebelah boyfriendaku,” Juliesa menarik lengan Kiki dengan kasar.

Kiki merengus geram, namun akur. Belum sempat Hakimi digoda, Juliesa sudah datang memotong jalan. Dia bukan takut, tetapi tidak mahu mendapat padah selepas melawan. Maklumlah gadis cantik itu anak VVIP, bapanya bekas diplomat, ada nama dan harta. Memang nahaslah siapa-siapa yang mencari pasal dengannya.

Melihat Kiki sudah beralih di sebelah Rudy, Juliesa tidak berlengah, terus menghenyak punggung di sebelah Hakimi. Mulalah dia cuba merapati Hakimi.

“You... Lama you tak callI. You ni teruk tau,” rengek Juliesa manja. Sewaktu mereka bercinta dulu, Hakimi memang cair dengan rengekan manjanya. Apalagi andai dibelai dan terus digoda, cair hati Hakimi.

Hakimi buat muka menyampah. Dia sudah tidak berasa apa-apa dengan gaya mengedik Juliesa itu. Pintu hatinya tertutup. Semakin Juliesa mengoda begitu, semakin benci dirasakan. “Kalau I cakap you tak pergi sekolah, you marah. Tapi fikir sendirilah. Jawapan ada pada you,” balasnya sebelum meneguk Coke lagi.

“Itahu... Tapi kita masih boleh berkawan, kan?” rayu Juliesa. Menyesal pula memutuskan hubungan mereka dulu. Sangkanya, andai ditinggalkan Hakimi seketika lelaki itu akan terkejar-kejar dan merayu dirinya, tetapi hampa. Hakimi langsung tidak mahu menoleh ke belakang.

“Hmm...” Hakimi malas mahu melayan. Juliesa hanya layak menjadi teman berhiburnya sahaja, bukan teman sehati sejiwa. Apalagi dahulu dia memang tertunggu-tunggu Juliesa memutuskan hubungan mereka.

“Geng... Let’s dance,” ajak Hakimi lalu mula berjalan ke ruang tari tanpa mempedulikkan renungan geram Juliesa kepadanya.

Hakimi berhibur sepuasnya. Dari awal tadi dia sudah bercadang mahu menumpang tidur di rumah Rudy. Sengaja dia buat begitu kerana tidak mahu bersua muka dengan papanya di rumah. Dia sendiri tidak tahu kenapa hatinya begitu jauh hati dengan papanya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.