Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 5

Bab 5

LIMA hari menghilangkan diri, Hakimi pulang ke rumah. Itupun setelah benar-benar pasti papanya tiada. Dia yang baru selesai mandi dan berseluar pendek meniarap di atas katil. Tubuhnya terasa sedikit letih selepas dua hari berseronok bersama Rudy dan Dion di atas bot mewah milik papa Hakimi. Masalah dalam fikirannya lenyap dengan aktiviti memancing. Banyak juga ikan yang mereka dapat, tetapi ikan-ikan itu sudah diberikan kepada pak cik yang duduk memancing di Jeti pagi tadi.

Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Hakimi tahu itu ibunya tetapi sengaja membatukan diri.

Puan Alia mengetuk pintu sekali lagi. Setelah tetap tidak dibuka dia memulas tombol lalu masuk. Dia mengeluh sebaik masuk. “Kim ni kenapa? Apa salah mama?”

Hakimi masih membatu.

“Kim pergi mana? Kenapa suka buat mama risau?” tanya Puan Alia lagi.

Hakimi tetap membisu.

“Mama risau, Kim tahu, tak? Mama telefon Kim tak dapat-dapat. Kim pergi mana? Janganlah buat mama macam ni. Kim nak mama jatuh sakit dengan perangai Kim ni ke?” Puan Alia mengeluh. “Tengok kulit tu, dah gelap dibakar cahaya matahari.” Pandangan mata Puan Alia tersorot ke muka Hakimi. Tangannya menyentuh pipi yang sudah agak gelap itu.

Hakimi menepis perlahan tangan mamanya. Dia mengeluh. “Ma… Kim bukannya kecik lagi. Mama janganlah layan Kim macam tu. Kim rimaslah,” bentaknya.

“Mama sayang, Kim. Mama tak nak Kim salah pilih arah hidup. Mama nak Kim berjaya macam abang-abang dan kakak-kakak Kim. Tolonglah Kim, jangan buang masa lagi,” luah Puan Alia. Dia benar-benar mahukan Hakimi berubah. Tetapi bagaimana? Hakimi tidak boleh dipaksa. Dibebel sangat nanti anak itu akan keluar rumah berhari-hari lamanya. Susah benar dia mahu memujuk hati Hakimi untuk mendengar nasihatnya.

“Kim kerja dengan papa, ya?” pujuk Puan Alia. Dia bukan sengaja mahu menekan Hakimi, tetapi tidak mahu anak-anak yang lain iri hati. Mereka tamat belajar sahaja sudah dipaksa untuk bekerja. Tetapi Hakimi dibiarkan bertindak sesuka hati.

“Kim tahu mama sayang Kim. Tapi... Kim tak minat nak kerja dengan papa. Tengok aje muka papa, hati Kim panas. Macam mana nak kerja?”

“Apa masalah Kim dengan papa? Kim mengelak terus-menerus daripada dia. Cuba Kim beritahu mama. Sekurang-kurangnya kita boleh berbincang. Mama sedih tengok Kim buat perangai macam ni,” kata Puan Alia. Hati ibu manalah yang tidak resah melihat anaknya bermusuhan dengan papa sendiri. Dia tersalah mendidik Hakimi ke? Bukankah anak itu sudah diberikan ilmu agama.

“Nanti Kim fikir. Lagipun anak-anak papa yang lain boleh tolong dia,” jawab Hakimi acuh tidak acuh. Biar beribu kali pun Puan Alia mendesak dia tidak mungkin sepejabat dengan bapanya.

“Anak-anak papa yang lain tak sama dengan Kim. Syarikat tu Kim punya. Yang lain tak ada hak,” beritahu Puan Alia.

Hakimi tersengih. “Kenapa, Kim? Janganlah mengarut mama. Ada ramai lagi anak papa yang lebih berkelayakan untuk jadi pemilik syarikat tu,” balas Hakimi. Dia bukan gila harta. Kenapa syarikat yang sudah ujud sebelum kelahirannya itu boleh menjadi miliknya secara tiba-tiba?

“Hmm...” Puan Alia mengeluh. Belum tiba masanya Hakimi mengetahui segala yang menjadi rahsia selama ini. Biarlah Hakimi bekerja dan bertanggungjawab sepenuhnya pada diri sendiri dahulu. Misinya sekarang memujuk Hakimi bekerja dan belajar tentang dunia perniagaan sebaiknya.

“Mama jangan risau sangatlah. Suatu hari nanti Kim akan berkerja juga. Tapi bukan dengan papa,” ujar Hakimi sekadar mahu menyedapkan hati mamanya. Entah tahun bila dia akan mula bekerja.

Puan Alia mempamer wajah hampa. “Kim fikirlah baik-baik, ya,” ujar Puan Alia kecewa.

Hakimi sekadar mengangguk.

Puan Alia menggeleng. Penat rasanya menasihati Hakimi, ditinggalkan anak itu sendiri.

Hakimi berasa aman dari leteran. Cepat-cepat pintu dikunci. Dia berjalan ke sudut kanan biliknya. Mendapatkan gitar yang tersandar di tepi almari baju. Pintu kaca menuju ke balkoni dibuka.

Dia bersandar di jeriji besi balkoni itu. Jari-jemarinya mula memetik tali gitar. Sambil mengalunkan irama dari gitar dia menyanyi. Hatinya terhibur seketika. Tiba-tiba dia terdengar pintu kaca dari balkoni rumah yang bertentangan dengan biliknya dibuka. Dalam samar-samar cahaya keluar seorang gadis dan terus berdiri di balkoni yang bertentangan.

‘Dah ada orang rumah ni,’ bisik hati Hakimi. Namun, kehadiran gadis itu tidak diendahkan. Habis sahaja dia menyanyi, gadis itu bertepuk tangan. Hakimi berdiri tegak. Gadis itu dipandang dengan muka serius.

“Awak tak malu ke malam-malam macam ni mengendeng depan bilik lelaki?” sembur Hakimi sebelum masuk ke dalam biliknya tanpa memberi peluang gadis itu berkata-kata. Pintu kaca ditutup rapat dan langsir ditarik kasar. Hatinya marah kerana gadis itu mengganggu ketenangan malamnya.

Terkelip-kelip Ila melihat kelakuan pemuda yang membuat dia terperanjat itu. Mukanya dicebikkan. ‘Sombong nak mampus!’ jerkah hatinya. “Biol agaknya. Tak pasal-pasal nak marah orang!” marahnya perlahan sebelum turut masuk ke bilik.

“Ingatkan boleh berkenalan tadi. Tapi tak pasal-pasal aje kena marah,” rungut Ila. Hmm... nak tidur malam masih muda. Sudahnya dia menghidupkan TV.

ABANG buat apa kat sini?” sapa Hakimi sebaik turun dari biliknya bersama gitar di tangan. Dia duduk di atas kerusi batu di halaman rumah mereka, bertentangan dengan Hashim.

Hashim tersenyum tawar. Kepalanya mendongak ke langit, memerhatikan bintang-bintang menghiasi angkasa yang legap. “Kira bintang.”

“Bintang tu sampai kiamat pun tak habis kira, bang,” kata Hakimi mendatar. Jarinya mula memetik gitar.

“Bintang tu macam cinta,” bicara Hashim lagi.

“Cinta? Bintang? Abang ni mengarutlah. Kalau ya pun nak buat perumpamaan, biarlah yang sesuai. Ada pula cinta tu macam bintang. Kamus mana abang pakai?”

“Apa pula mengarut? Jarang-jarang kita dapat lihat bintang yang banyak menghiasi dada langit. Cinta yang baik juga jarang kita dapat,” beritahu Hashim.

“Cinta?” Hakimi tersengih. Cinta itu hanya tipu helah perasaan sahaja. Bertahun dia bersama Juliesa, hari-hari ucap I love you, tapi tak ada makna juga. Dia tak rasa pun perasaan istimewa yang selalu orang mabuk cinta war-warkan. Mungkin cinta itu nampak mengujakan hanya dalam filem Hindustan sahaja. Dalam kehidupan nyata hanyalah kisah biasa yang dibuai perasaan seronok ditemani gadis jelita dan menjadi perhatian orang lain.

“Setiap orang ada cinta sendiri Kim. Abang harap kau tak jadi macam abang. Terima pilihan mama walaupun sudah ada pilihan hati. Sudahnya abang tak bahagia,” luah Hashim kesal. Tahun pertama hidup bersama Farah hanya penuh sandiwara. Perempuan itu hanya mengimpikan kebebasan sahaja. Sebaik mereka berpindah dari rumah itu, Farah mula menunjukkan belang. Rupanya selama ini Farah dipaksa berkahwin oleh bapanya kerana sikapnya yang liar dan suka keluar malam.

“Entahlah, bang. Yang Kim tahu... kalau Kim nak kahwin, Kim nak perempuan tu pilihan Kim. Mama suka ke tak, Kim tak peduli. Kalau mama tak suka pilihan Kim. Kim tak duduk dengan mama. Kim duduk rumah sendiri. Kim tak nak isteri Kim diherdik dan dimarah mama macam Kak Sarah. Kesian,” tegas Hakimi.

Hashim tersenyum. Mudah bercakap pada orang yang tidak melalui.

“Kes cerai abang dah selesai?” tanya Hakimi.

“Esok kot selesai,” beritahu Hashim. Keluhan dilepaskan. “Habis kes ni abang nak pergi melancong. Abang rasa penat.” Senyuman tawar dilemparkan.

“Kalau abang pergimelancong, siapa nak ambil alih jawatan abang dalam syarikat?” Hakimi berhenti daripada memetik gitar. Mula rasa tidak sedap hati.

“Pandai-pandailah papa nanti. Lagipun Kak Mira boleh uruskan tempat abang. Dua bulan lagi Kak Mira dah sibuk dengan program baru. Kerani kat tempat abang tu pulak akan bersalin. Susah dia nak buat kerja kalau ramai kakitangan yang kurang,” jelas Hashim. Jauh di sudut hati, dia rasa Hakimi sahaja yang sesuai mengantikan tempatnya.

Hakimi mengangguk. Apa pun alasan Hashim dia tidak berminat. Pandailah Mira menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai ketua di Maniera.

Hashim memandang Hakimi. “Mungkin Kim boleh bantu Kak Mira.”

What? Sorry... Kim tak minat!” Pantas Hakimi mengangkat kedua-dua tangannya ke atas.

“Kim pertimbangkanlah dulu,” pinta Hashim sedikit memujuk.

Sambil bangun Hakimi menggeleng. “Wow! Kerja memang belum ada lagi dalam kepala Kim,” dalih Hakimi tidak mahu didesak Hashim. Dia berjalan masuk, lari daripada membincangkan persoalan yang tidak mahu difikir. Biarlah abangnya itu mengira bintang sampai ke subuh. Dia sudah mengantuk hendak tidur.

‘Cinta macam bintang?’ Bibirnya mengulang kata-kata itu. Cinta yang dijumpai macam biskut. Kejap ada, kejap tak ada. Langsung tidak kekal. Hakimi tersenyum sinis.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.