Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 10

Bab 10

RUMAHPuan Alia diperhatikan dari balkoni bilik tidurnya. Dari belakang hanya beberapa buah kanopi tersusun di ruang tepi rumah itu. Jam menunjukkan pukul 7.00 malam. Ila memusingkan badan dan bersandar di jeriji. Dia mahu mengambil angin sambil membetulkan lehernya yang lenguh.

“Hai, sayang?” tegur Hakimi.

Ila berpusing. Matanya tidak berkelip memandang Hakimi. Hisy! Takkan terpesona pula melihat Hakimi segak berbaju Melayu? Tampan gila...

“Cik Rabbita marah saya panggil sayang ke?” tanya Hakimi lembut.

Ila tersedar dan buat-buat menggaru kepala. Agaknya Hakimi perasan ke dia terjatuh dalam khayalan tadi. Ish, Ila jangan nak buat malulah. Hati kau jangan mengada nak mengatal! Bisik Ila pada diri. “Apa awak cakap?”

“Awak? Saya suruh awak panggil, abang, kan?” Hakimi sengaja hendak menguji Ila merawang ke tidak tadi. Takkan bercakap depan-depan begitu Ila tidak dengar?

Ila buat muka elergik. Hakimi ni perasanlah. Sesuai ke lelaki yang tidak nampak matang itu dipanggil abang? Awak tu sudah dikira panggilan paling mesralah untuk orang yang dia tidak berapa rapat. Kalau ikut hati, mahu sahaja dia berengkau aku dengan Hakimi. “Tak ada maknanya,” balasnya sebelum mencebik.

Hakimi tersengih. Sah Ila berangan tadi. Jika tidak mustahil gadis arnab tu tidak marah masa dipanggil sayang. “Kenapa tak ada makna pulak? Saya lebih tua daripada awaklah. Memang patut pun awak panggil saya abang,” jelas Hakimi sengaja hendak mengenakan Ila.

“Tak ada motif pun,” ejek Ila.

Hakimi tersenyum.

“Siaplah awak, saya tak datang nanti,” ugut Ila.

“Pulak? saya bergurau aje. Itu pun nak period,” protes Hakimi. Dia sudah cakap tadi hati remaja ni sensetif. Maklumlah pemikiran mereka masih keliru, antara dunia kanak-kanak yang mahu ditinggalkan dan dunia dewasa yang sedang menjemput mereka. Namun sikap remaja ini manis, sebab itu orang suka hendak kembali ke alam itu. Dunia gila-gila penuh warna. Bila usia semakin matang pasti kita tersenyum mengenangkan waktu terindah itu.

Ila buat muka garang. “Malas layan awak!” Dia berpaling masuk ke bilik.

“Awakkk...” panggil Hakimi berpura-pura menjerit. Sudah tiada kerja lagi agaknya dia suka menyakat gadis arnab tu. “Rabitta...” jerit Hakimi lagi sambil meletakkan sebelah tangan di dada dan sebelah lagi diangkat ke udara. Ala-ala hero hindustan melaungkan nama kekasihlah pula.

Ila yang berdiri mahu menutup pintu kaca biliknya menggeleng dan tersengih. Hampeh punya Hakimi!

JAM 9.00 malam. Hakimi mula menjenguk-jenguk pintu bilik Ila daripada balkoninya. Mana gadis arnab ni pergi? Risau hatinya kalau Ila mungkir janji. Tetamu yang datang mulai ramai. Takkan dia terpaksa melayan kerenah Juliesa juga? Alah, tak suka betullah dengan orang tak pegang janji ni, rungut hatinya.

Setengah jam berlalu, Ila tidak juga muncul. Hakimi mula terasa hampa. Apa nak buat ni? Firdaus sudah dua kali mengetuk pintu bilik menyuruhnya turun. Tiada pilihan lagi selain melaung gadis itu daripada balkoni. ‘Argh... siapa nama dia? Nak panggil apa?’ gumam Hakimi.

“Rabbita...” Sudahnya nama itu juga yang dilaung. “Rabbita...” Sekali lagi nama itu dilaung.

Langsir bilik Ila diselak.

Hakimi tersenyum. Tetapi senyumnya berubah kerana bukan Ila yang keluar.

“Abang… jerit-jerit panggil siapa?” tanya Siera.

Hakimi tersenyum melihat si cilik yang nakal itu.

“Kakak adik, ada?” tanya Hakimi. Tunggu gadis arnab, budak hamster pula yang keluar.

“Dah tidur,” beritahu Siera serius.

“Hah? Tidur?” tanya Hakimi tidak percaya. Takkan belum pukul sepuluh dah tidur. Sengajalah tu hendak mungkir janji.

Siera mengangguk.

Hakimi mengecilkan mata dan memandang Siera. Rasanya gadis arnab dan budak hamster tu berpakat hendak mengenakan dirinya. “Cakap kat dia, kalau dia tak datang sini dalam masa lima minit, abang akan pergi sana dukung dia bawak datang sini. Tak kisahlah kalau dia pakai baju tidur aje,” arah Hakimi mengugut. Jangan ingat dia takut hendak melakukan semua itu?

“Hah?” Siera buat muka terkejut. Belakang kepalanya digaru.

Hakimi tersengih. Budak-budak... gertak sikit aje, dah takut.

“Tak naklah kacau dia tidur. Abang panggillah sendiri.” Siera buat muka comel.

Hah?” Hakimi tercegang. Ingat tadi senang hendak menakutkan budak hamster. Hisy!

“Bagi nombor telefon dia, biar abang call,” pinta Hakimi. Tiada cara lebih sopan lagi rasanya.

“Kena mintak kat Celcomlah, bang,” balas Siera. Matanya dikenyitkan sebelum terus masuk.

Hah? Kali ini Hakimi betul-betul terlopong. Tak apa... dia bagi Ila satu jam lagi. Kalau gadis arnab itu tidak datang juga, dia pasti akan ke rumah itu menjemputnya. Ke mana gadis arnab tu hendak lari?

GIVE me five,” pinta Ila. Mereka ketawa kerana dapat mengenakan Hakimi.

Hanim menggeleng melihat dua beradik itu menjadi raja buli. Ada-ada sahaja kenakalan mereka bila bersama. Kadang-kadang, dia juga boleh mati akal melayan kerenah dua orang gadis besar dan kecil itu. Namun, itulah penyeri rumahnya, yang selalu mencipta keriuhan setiap kali berkumpul. Pasti ada sahaja hal yang mahu diguraukan.

“Tak baik buat Hakimi macam tu,” tegur Hanim sambil menyisir rambut Ila. Dia mahu Ila kelihatan sederhana sahaja malam itu. Biar sesuai dengan usianya yang masih remaja.

“Biarkan dia rasa,” jawab Ila dengan muka nakal.

Hanim tersenyum melihat sikap Ila yang masih keanak-anakkan. Mungkin sedikit masa lagi dia takkan melihat Ila dengan sikap itu. Kedewasaan akan mengubah Ila menjadi gadis yang lebih pandai menjaga tingkah laku dan harga diri. “Dah siap,” beritahu Hanim. Bahu Ila ditepuk perlahan.

Ila tersenyum sambil memegang tangan Hanim di bahunya. Dia bingkas bangun. Rambutnya yang siap di-blowkelihatan cantik beralun. Dia kelihatan comel dengan solekan semula jadi. Kasut tumit tinggi berwarna hitam disarung.

“Siera, ambil gambar,” arah Ila sambil mencampakkan telefon bimbitnya.

Beberapa saat kemudian mereka bergambar berdua dan kemudian bertiga bersama Hanim. Pecah gelak riang mereka dibuatnya.

“Dah, pergi cepat. Lama Hakimi tu tunggu,” arah Hanim sambil melihat jam yang sudah menunjukkan pukul 9.25 malam.

Ila tersenyum sambil berpusing-pusing di hadapan cermin. Seumur hidup, dia tidak pernah lagi berpakaian seperti itu. Anggun. “Okey, Ila pergi dulu.” Hanim dipeluk. Hidung Siera dicuit sebelum Ila berlalu ke tingkat bawah.

HAKIMI mula terasa bengang. Terbakar pula rasa hati dibuli gadis arnab itu. Kedua-dua tangannya digenggam. Geramnya. Muka Dion dan Rudy tepampang di mindanya. Lagilah dia rasa tidak senang hati. Apa yang hendak dijawab dengan dua orang manusia itu? Tadi dia yang beritahu mereka yang dia sudah ada kekasih baru. Sekarang kekasihnya itu pula buat hal tidak mahu datang.

“Ya ALLAH, apasal budak tu jahat sagat agaknya,” keluh Hakimi. Dia resah. Benarkah gadis arnab tu tidak mahu datang ke partinya?

Pintu biliknya diketuk lagi. Dia bangun dengan malas untuk membukanya. Pasti abangnya. Sebaik pintu dibuka, wajah mamanya menyapa mata.

“Kawan-kawan dah ramai yang datang tu. Kenapa Kim tak turun lagi?” tanya Puan Alia.

Hakimi mati kutu. Apa yang nak dijawab? “Err... hmm... kejap lagi Kim turun.”

“Yalah… tapi cepat sikit,” desak Puan Alia dan terus pergi.

Hakimi menarik nafas. Sudah banyak kali dia tawaf dari dalam biliknya ke balkoni. Tekaknya juga semakin haus.Terbakar hatinya. Gadis arnab tu sedang lena dibuai mimpi indah di seberang sana. Kalaulah dia boleh terbang melayang dan masuk ke dalam mimpi gadis itu, pasti sudah dilakukan. Dia melangkah ke balkoni lagi. Pintu kaca balkoni Ila yang tertutup rapat dipandang.

“Takkan nak buat alasan sakit perut sebab banyak makan petang tadi?” Dia mencari akal lagi. Dia pejam mata seketika dan keluhan dilepaskan. Pintu balkoni Ila dipandang lagi. “Hmm... memang dah tidurlah tu.” Hakimi tiada pilihan, terpaksa turun dengan ‘muka sardin’ sahajalah. Macam ikan sardin yang tidak berkepala dan ekor di dalam tin. Cantik, kan?

Hakimi tersenyum biar pun dalam hati terasa kelat, pahit, masam, payau segala ada. Dia mencari kelibat kawan-kawannya. Ramai betul tetamu yang datang.

Bahu Hakimi ditepuk. “Hei! Kau pergi mana, hah? Lama kita orang tunggu,” tegur Rudy.

“Aku sakit kepala tadi,” dalih Hakimi sambil tangannya diletakkan ke dahi.

“Sakit kepala? Keee… Kau gaduh dengan girlfriend baru kau?” teka Dion. Bertahun mereka berkawan, rasanya dia tahu muka Hakimi itu. Muka orang bermasalah.

Hakimi tersengih. Takkan hendak jawab, ya. Jam di pergelangan tangannya dilihat. Kalau sekejap lagi gadis arnab tu tidak datang, memang dia akan pergi menekan loceng rumah gadis arnab tu dan minta izin daripada ibunya untuk membawa gadis arnab tu ke situ. Tidak kira. Apa hendak jadi, jadilah! Jangan nak main-main dengan Hakimi jika sudah berjanji.

“Mana girlfriend kau ni? Kata nak kenalkan dengan kita orang,” desak Rudy. Badan Hakimi disiku sedikit. Entah benar atau tidak cerita Hakimi kepada mereka itu. Hakimi kata di situ tiada perempuan cantik. Dari mana pula Hakimi bertemu dengan kekasih barunya itu? Entah-entahHakimi sengaja mahu mempermainkan mereka. Sebelum mereka kena main, elok Hakimi yang dimainkan dahulu.

Hakimi buat tidak dengar. Dia mencari alasan lagi. Nasib seakan menyebelahinya. Seorang kawan lama tiba. “Kau orang layanlah diri dulu. Aku nak jumpa kawan aku kejap.” Tanpa lengah, ditingalkan Rudy dan Dion.

“Dua tiga minit ni selamatlah aku daripada dia orang tu,” keluh Hakimi sambil matanya memerhatikan Nathan dan isterinya, Stella.

Hello my friend,” tegur Nathan sambil memeluk Hakimi seketika.

Stella pula menghadiahkan senyuman.

Thanks coming,” ucap Hakimi. Nathan dan Stella dipelawa masuk. Sebelum itu sempat dia menjenguk ke laluan masuk rumahnya. Manalah tahu kalau-kalau gadis arnab itu mengubah fikiran.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.