Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 25

Bab 25

PERTENGKARANPuan Alia dan Encik Harun menganggu fikiran Hakimi. Tetapi jika difikirkan sangat, boleh tersekat akal warasnya. Lebih baik diabaikan sahaja. Lagipun mamanya masih belum pulih untuk menjelaskan segalanya. Papanya pula tidak mahu bercerita, membeku bagaikan batu bata yang disimen.

Setiap kali mereka bertentang mata, ada sahaja alasan dicipta untuk mengelakkan diri. Buat sementara waktu, dia akan memberi tumpuan kepada masalah kerjanya yang masih belum selesai.

Hakimi memandu masuk ke perkarangan Maniera dengan muka serius. Ila yang dari tadi bagaikan patung cendana, ditoleh sekilas. Bisu seribu bahasa. Asyik sangat membuang pandangan ke luar tingkap. ‘Marah lagilah tu,’ gumam Hakimi. Itu lagi satu masalah yang perlu diselesaikan.

Ila mengalih pandangan ke depan. Bosan dari tadi suasana dalam kereta itu bagaikan dalam tanah. Radio pun tidak dibuka. Mulalah dia geram. Bila sudah geram perangai bukan-bukan Hakimi semalam kembali bermain dalam mindanya.

‘Tak pasal aje semalam aku kena jalan kaki,’ gerutu Ila.

Dia menjeling Hakimi dengan ekor mata. Ila sedar Hakimi tersinggung dengan hal semalam, tetapi paling kurang mintalah maaf.

Tapi apasal pulak Hakimi nak marah? Patutnya akulah yang marah,’ gumam Ila. ‘Tapi itu cerita semalam. Hari ni aku dah okey sikit. Boleh aje gelak kalau Hakimi buat lawak bagang macam selalu.’ Ila mencuri pandang Hakimi lagi.

‘Perlu ke aku tegur mamat ni dulu? Semalam dia yang sengaja cari pasal. Begitu luas alam boleh dinikmati untuk terapi minda yang memberat dengan masalah, kenapa kelab hiburan juga yang dipilih?’ Ila berkira-kira dalam hati. Antara mereka salah seorang mesti beralah.

‘Eleh, biarlah. Hakimi lelaki, dialah yang kena minta maaf dulu,’ putus Ila dengan muka tidak berperasaan.

Hakimi memberhentikan Harriernya. “Awak turun dulu. Saya ada benda nak buat. Mungkin saya tak masuk pejabat hari ni. Tapi petang nanti saya akan jemput awak,” beritahu Hakimi.

Ila mengukir senyuman malas. Boleh pun bercakap mamat ni. Ingat dah bisu!’ omelnya dalam hati. Tali pinggang keselamatan ditanggalkan. “Kalau menyusahkan awak, tak apalah. Saya boleh balik sendiri,” ujar Ila. Tiada niat pun mahu mencari pasal tetapi lebih kepada tidak mahu menyusahkan.

Hakimi menoleh dengan renungan tajam.

Faham dengan renungan beramaran itu, Ila buat muka begang. Kemudian dia mengangguk sebagai tanda akan menunggu Hakimi menjemputnya nanti.

Setelah Ila turun, Hakimi memecut laju ke jalan utama. Dia harus menemui seseorang yang mungkin boleh mengantikan tempat model yang membuat seisi fotografi gaun Pasio yang tertunda itu.

Harrier diberhentikan sebaik lampu isyarat berwarna merah. Dia mengeluh. Hatinya serba salah. Mahukah gadis itu menolongnya? Sedangkan selama ini dia memandang rendah pekerjaan gadis itu. Masalah yang dihadapi buat dia sedar. Apapun keburukkan yang dilakukan orang lain, dia tidak layak mencerca, kecuali menasihat.

Kenapa dia tidak mendidik diri untuk selalu bersangka baik? Mungkin gadis itu di situ kerana terpaksa, dan mungkin juga gadis itu menunggu takdirnya berubah dan meninggalkan pekerjaan itu. Selama mereka berkenalan, belum sekalipun dia melihat gadis itu melebihi batas tugasnya.

15 minit kemudian, Hakimi duduk di Alana Kafe, berhadapan seorang gadis. Gadis itu memandangnya sambil tangan diletakkan ke dagu, memikirkan apa yang ditawarkan Hakimi. Hatinya mahu menerima tetapi masih risau dengan sikap sombong lelaki itu. Manalah tahu selepas melakukan pekerjaan yang ditawarkan, dia akan dicampak ke tepi. Apa lagi, untuk menerima apa yang ditawarkan, Hakimi meletakkan syarat supaya pekerjaannya dilepaskan. Hakimi tidak mahu imej buruknya terseret dalam dunia baru penuh glamor itu kelak.

“Awak fikirlah. Saya jamin awak tak rugi. Anggap ni peluang untuk awak ubah corak kehidupan awak,” ujar Hakimi masih mengharap. Kalau ikut akal logiknya, mana ada orang yang akan menolak tawaran seperti itu.

Gadis itu tersenyum. Tanganya mengacau minumannya. Pandai Hakimi memujuk. “Apa yang Encik Hakimi tawarkan ni bersifat sementara. Mana boleh jamin masa depan saya. Sedangkan pekerjaan yang saya ada sekarang nilah periuk nasi saya,” ujar gadis itu cuba menarik tali.

Hakimi memandang gadis itu seketika. “Macam nilah... awak tolong saya, saya tolong awak. Saya akan carikan awak kontrak untuk meneruskan kerjaya sebagai model. Awak tolong saya dulu. Lagipun awak ada pakej yang baik,” pujuk Hakimi dengan janji yang belum pasti.

Gadis itu masih buat muka serba salah. “Susah saya nak buat keputusan,” keluhnya. Andai nanti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran bagaimana? Padahlah dirinya.

“Awak fikirlah baik-baik,” kata Hakimi mendatar. Dia malas hendak memujuk banyak kali.

Mereka diam seketika. Memberi ruang untuk gadis itu berfikir.

Lima minit berlalu gadis itu bersuara semula.

“Hmm... kalau dah rezeki datang bergolek depan kaki, takkan saya nak tendang balik, kan?” ujar gadis itu. Mungkin dia memang perlu melakukan penghijrahan. Sampai bila nak jadi GRO? Nasiblah apa yang bakal terjadi nanti. Lagipun bukan susah sangat hendak kembali menjadi GRO andai Hakimi gagal mendapatkan kontrak model untuknya. Selagi dia masih cantik, mana-mana kelab pun sedia menerimanya. Cuma bayaran yang akan diterima masih tetap begitulah, tidak selumayan bayaran seorang model.

Dia menghulur tangan kepada Hakimi. “Baiklah, saya setuju.” Gadis itu tersenyum lebar.

Hakimi menghembus nafas lega. Huluran gadis itu disambut. Fuh... selesai satu masalah.

SATU penyangkut baju ke satu penyangkut baju diambil dan disangkut semula. Berulang kali buat benda yang sama, mata Ila naik juling. Sudahnya Vinda dan Bella dipandang dengan muka hampa.

“Kak Bella... manalah pergi gaun tu?” tanyanya separuh merengek. Bahu Bella disentuh.

Bella buat muka simpati. Dia juga sudah mencari tetapi tidak jumpa. Ajaibnya gaun itu boleh hilang sendiri.

“Kak Bella dah tanya Cdans?” tanya Vinda simpati. Manalah tahu lelaki lembut yang tidak berapa hendak suka menyibuk itu ada ternampak gaun itu terselit di mana-mana.

“Dah... Tapi dia pun tak tahu,” jawab Bella.

“Lufi?” tanya Vinda lagi.

“Dah. Tapi dia banyak kerja kat luar aje. Lagilah tak tahu,” beritahu Bella.

Ila menjatuhkan tangannya dari bahu Bella. Lemah rasa bahunya. Matilah dia kali ini. Gaun berharga itu sudah hilang. Menurut Bella, kalau pakaian yang diarahkan untuk disimpan dalam almari khas, akan diguna pakai lagi untuk fotografi atau pertunjukan fesyen mini dalam Maniera. Dan tidak mustahil arahan untuk mengeluarkan gaun itu akan diterima tidak lama lagi. Masa itu apa yang hendak diberi? Ila pejam mata dan terus duduk bersila atas lantai beralas karpet. Dia mendongak memandang Bella dan Vinda.

“Kak Bella... Vinda...” panggil Ila perlahan.

“Alah, kau janganlah risau. Aku tolong kau cari lagi. Nanti jumpalah tu,” pujuk Vinda.

Ila tersenyum kelat. Nanti itu bila? Dia sudah mula terasa hendak menangis.

“Cik Ila Nadirah kat bahagian ni ke?” laungan suara dari pintu masuk membuatkan mata mereka bertiga beralih.

“Cik Ila Nadirah Ali kat bahagian ni ke?”

Ila cepat-cepat berdiri sebaik Bella dan Vinda memandangnya. Dengan mata yang bulat memandang pemuda itu, Ila melangkah.

‘Tak pasal-pasal aje datang sini, nak apalah agaknya dia ni? Menyibuk waktu aku tengah kusut macam ni,’ rungut Ila dalam hati.

Vinda dan Bella berpandangan sesama sendiri.

Cdans yang berada di bahagian belakang memerhati dengan muka menyampah.

“Saya... ada apa Encik Fradie?” jawab Ila separuh menjerit. Fradie dihampiri.

Fradie tersenyum. “Saja nak berbual dengan awak,” beritahunya. Dalam hati mahu mencuba mendekati Ila lagi.

“Hah?” Ila terkejut. “Maaflah, Encik Fradie. Saya ada banyak kerja lagi,” tolak Ila sopan.

“Oh, saya tengah lapang ni. Mungkin saya boleh tolong awak,” tawar Fradie mahu mencuri hati Ila.

Ila menjadi serba salah. Alahai... satu per satu masalah. Sudahlah Hakimi tidak suka dia dan Fradie berkawan. Kalau tiba-tiba Hakimi muncul bagaimana? Bergaduh lagilah mereka nampaknya.

“Tak perlulah Encik Fradie. Tak elok rasanya kawan-kawan saya tengok.” Ila memandang Bella dan Vinda yang sudah mula mencari gaun semula.

“Kalau saya tolong, kerja awak cepat siap.” Fradie tidak mahu mengalah. Lagipun apa sangatlah kerja di situ. Bukan dia tidak tahu pekerja di bahagian itu paling tidak banyak kerja.

“Encik Fradie tak boleh tolong saya pun.”

“Awak tak bagi saya tolong, macam mana saya nak tahu apa yang perlu ditolong tu,” ujar Fradie memujuk. Ada masalah rupanya Cik Ila ni, bisik hatinya.

Ila mengeluh. Tidak pasti dia boleh memberitahu Fradie tentang kehilangan gaun itu atau tidak. Dia pejam mata. Satu keluhan dilepaskan sebelum membuka mata semula.

“Sebenarnya saya tengah cari gaun Pasio yang hilang. Itu gaun baru, belum guna lagi.” Akhirnya dengan muka sedih diberitahu juga. Hendak beritahu Hakimi tidak boleh. Hakimi sedang kusut dengan masalah. Mungkin Fradie memang didatangkan untuk menyelesaikan masalahnya.

“Hmm... memang masalahlah nak cari sehelai baju dalam timbunan pakaian macam ni.” Mata Fradie melirik ke segenap kawasan bilik itu.

Ila tersenyum hambar.

“Itulah, saya rasa Encik Fradie tak perlu tolong. Saya boleh selesaikan sendiri,” ujar Ila.

Fradie tersenyum dan mengangguk. “Kalau macam tu saya pergi dulu. Good luck,” ucap Fradie sebelum berlalu pergi.

Ila memandang Fradie. “Penyelamatlah konon. Tadi betul-betul nak tolong. Bila tengok baju ni bertimbun macam gunung, lari,” omel Ila.

Cdans menghampiri Ila. Sengaja bahu Ila dilangar. “Takkan dua-dua kau nak?” sindir Cdans. Dia mahu Ila sedar diri. Jangan terikut-ikut dengan rentak sesetengah perempuan lain yang mahu hidup senang secara singkat sehingga mensia-siakan masa depan sendiri.

Ila memandang Cdans. Dia tidak faham dengan kata-kata Cdans.

“Encik Hakimi tu aku tak kenal sangatlah, tapi kalau Encik Fradie tu kau jangan cari nahas,” beritahu Cdans. Dia sudah lama memerhatikan perangai Fradie. Kerana Fradie dua orang eksekutif wanita di bahagian pemasaran bercakaran. Tapi sudahnya kedua-dua mereka Fradie campak tepi. Fradie mengoda setiausaha di bahagian kewangan pula. Habis manis sepah dibuang, gadis itu ditinggalkan. Kerana malu gadis itu berhenti kerja. Sekarang Ila pula. Cdans tidak mahu hal itu berlaku di situ. Ila masih terlalu muda untuk diperbodohkan Fradie.

Ila memandang Cdans. Adoi... ini lagi satu masalah. Hampir sebulan di situ, dia masih lagi keliru gelaran yang mahu digunakan untuk memanggil Cdans. Hendak panggil apa? Abang atau kakak? Auntie ke uncle?

“Terima kasihlah nyah sebab ingatkan saya,” ucap Ila sebelum berlalu mendapatkan Vinda dan Bella semula.

“Hei, aku bukan pondanlah!” marah Cdans dengan suara kepitnya. Mentang-mentang dia dilahirkan begitu. Sesedap mulut sahaja gadis muda itu melebalnya.

Ila mengangkat tangan dan menolak ke belakang sebagai isyarat tidak kisah siapa Cdans. Dalam hati terasa hendak patah-patahkan sahaja tulang sotong itu. Menyibuk!

Hei, nanti lepas kerja kau selesai, tolong kemaskan tempat aku yang berselerak tu. Aku kena ikut shooting kat luar.”

Arahan Cdans membuatkan Ila menoleh semula. Kenapa dia pulak yang kena? Tukang sapukan ada. “Tengoklah kalau saya baik hati,” balas Ila. Matanya melirik ke meja Cdans.

Nak jadi pereka fesyen pula ke dia ni? Bersepah alat jahitan atas meja tu. Aku tahulah tugas diabesar ataukecilkan baju, keluh Ila dalam hati.

“Hmm... kau pun kenalah tengok juga sampai bila hati aku ni baik nak simpan rahsia gaun mahal Pasio tu dah hilang,” balas Cdans. Dia tersenyum jahat. Sekarang dia sudah ada senjata untuk mengawal Ila. Rasakan.

Ila menjegilkan mata. Tidak suka betul diugut seperti itu. Cdans dijeling.

“Yalah! Nanti saya kemaskan,” akur Ila. Mengadu dengan Hakimi nanti baru tau, gumamnya geram.

Cdans tersenyum. Ibu jarinya dinaikkan.

Dengan muka masam Ila menyertai misi mencari bersama Vinda dan Bella semula.

Fradie menutup rapat pintu bilik itu. Dia berdiri di hadapan pintu itu seketika sambil memandang ke atas. Senyuman penuh muslihat terukir di bibirnya.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.