Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 22

SUDAHempat hari keluarga Hanim berangkat ke Jakarta. Hanim sudah berpesan dengan adik bongsunya agar menemani Ila di rumah. Tetapi kebetulan pula adiknya itu terpaksa bekerja di luar kawasan.

Mak Leha hendak datang menemankan cucunya itu, tetapi Ila melarang. Dia tidak mahu neneknya berseorangan di rumah sewaktu dia bekerja.

“Awak... malam nanti kita keluar makan,” ajak Hakimi.

Ila kemam bibir. Berfikir seketika. “Hmm... tengoklah nanti,” jawab Ila. Dia tidak tahu kenapa badannya berasa tidak sihat secara tiba-tiba. Dari tadi dia asyik terbatuk dan bersin sahaja. Mungkin dia sudah dijangkiti virus flu.

“Okeylah. Apa-apa nanti mesej tau,” pesan Hakimi sebaik Ila turun daripada keretanya.

Ila tersenyum malas dan mengangguk. Masuk sahaja ke dalam rumah, dia terus berbaring di sofa. Tubuhnya tidak larat hendak meniti anak tangga ke tingkat atas. Tulang dalam badanya sudah mula terasa sengal-sengal.

“Dah lama tak demam ni,” keluh Ila. Dia merasa dahi sendiri. “Panas betul. Harap kejap lagi elok.” Mata dipejamkan dan dia tertidur.

TIGA jam berlalu... Ila tersedar daripada lenanya. Dia membuka mata perlahan-lahan, tetapi semuanya kelihatan gelap. Kenapa? Dia sudah berpindah ke dalam gua ke? Atau sebenarnya dia masih belum bangun daripada tidur lagi. Dia masih di alam mimpi.

Hah, parah! Rohnya tidak puas merayap lagi dan belum mahu masuk ke jasad semula. Ila mencubit lengan sendiri. Sakit. Dia bangun dan terus duduk. Matanya melihat sekeliling. “Memanglah gelap. Lampu tak buka lagi,” omelnya. Dia bangun mencari suis lampu.

Badan yang masih panas dan kepala yang semakin sakit memaksa Ila mencari panadol yang tersimpan dalam kabinet dapur.

“Doktor kata kalau makan ubat dengan perut kosong akan rosakan usus. Tapi aku dah tak larat nak masak ni. Telan ajelah.” Dua biji panadol bersama segelas air kosong meluncur masuk ke kerongkong Ila. Sesudah itu dia naik ke tingkat atas. Bimbang demamnya melarat dan akan menyusahkan orang lain terutama sekali neneknya, Ila hanya membasahkan kepala dan menukar pakaian sebelum menyambung tidur. Pagi esok kalau tidak sembuh, dia akan ke klinik.

BERKALI-KALI Hakimi menjenguk ke balkoni. Ke manalah Ila pergi? Dia mula risau. Mesej yang dihantar tidak berbalas, telefon pun tidak berjawab. Bilik Ila kelihatan gelap. Takkan gadis arnab itu sudah tidur?

Tidak puas hati, nombor telefon Ila dihubungi lagi. Sama juga, tidak dijawab.

Hakimi merengus hampa. Mungkin Ila sudah keluar makan malam bersama Andrew. Pintu kaca ditarik kasar. Tubuhnya dihumban ke atas tilam. Geramnya.

Dia yang mengajak Ila keluar makan tetapi Andrew pula yang diberi keutamaan. Tanganya menghentak tilam beberapa kali. Ila punya pasal, nafsu makannya hilang. Biarlah dia puasa malam itu. Esok pagi-pagi dia hendak menayang muka kasihan pada Ila. Dia hendak memaksa gadis arnab itu mengganti makan malamnya ini dengan menemaninya bersarapan pagi esok.

JAMloceng yang lantang menjerit membangunkan Ila daripada tidurnya. Perlahan-lahan matanya dibuka dan tangan mencapai jam itu. 6.15 pagi. Dia mengeluh. Tubuhnya semakin tidak larat hendak bangun dari katil tetapi digagahi juga.

Usai menunaikan solat, dia bersiap mahu ke pejabat. Teringat gaun baru rekaan Pasio yang masih belum disimpan semalam. Semuanya kerana Hakimi terlalu mengesanya untuk cepat pulang. Agaknya kalau gaun itu hilang, habislah gajinya dipotong sebagai bayaran ganti rugi. Itupun belum tentu cukup.

Ila melangkah ke tingkat bawah dalam keadaan tubuhnya yang mengigil dan terhuyung-hayang. Dia masuk ke dapur, mencari Panadol lagi. Kemudian ke pintu utama. Pintu dibuka. Kasut dari rak kasut diambil. Ketika berpusing mahu duduk di muka pintu, dia terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Hakimi yang agak lewat menjemput Ila pagi itu menekan hon kereta beberapa kali. Tekanan betul dirasakan kerana Ila tidak juga muncul-muncul. Sudahlah pagi itu dia ada mesyuarat bersama anak buahnya. Ingat senang ke tugasnya sebagai pegarah kreatif di Maniera?

“Ya ALLAH, manalah dia ni? Aku dah lambat ni. Karang meletop pulak Kak Mira tu.” Hakimi turun dari kereta dan meninjau ke dalam pagar rumah Ila. Dia memanggil nama Ila. Penat memanggil dia menghubungi telefon bimbit Ila pula. Tiba-tiba dahinya berkerut. Telingnya menangkap bunyi telefon bimbit Ila tidak jauh dari situ.

Ila ni nak main-main ke? Gumam Hakimi. Kepala dijenguk lebih dekat di celah-celah pintu pagar rumah itu. Pandangannya terhenti pada objek yang terselit di antara daun pintu yang terbuka sedikit. Dia mengerut dahi. Dia rasa benda itu seperti tubuh manusia. Dadanya mula berdebar. Ila!

“Apa nak buat ni? Panjat pagar nampak macam pencuri pulak,” tanyanya pada diri.

“Aku tak pernah panjat pagar rumah orang ni.” Hakimi mencuri pandang ke dalam lagi.

“Ah, pagar ni bukan senang nak dipanjat. Licin!” Hakimi memerah otak memikirkan apa tindakan pantas yang boleh dilakukan untuk masuk. Mama! Hakimi cepat-cepat menghubungi Puan Alia.

Dari pintu belakang, Puan Alia terus berlari ke situ. Tercungap-cungap dia mendapatkan Hakimi. “Kenapa, Kim?”

“Ila tak keluar-keluar, ma. Tapi cuba mama tengok tu.” Hakimi menarik lengan mamanya sikit.

“Ya ALLAH,” jerit Puan Alia sambil menekup mulutnya. Apa yang terjadi dalam rumah jirannya itu? Siapakah yang terbaring itu? “Kim, buka pintu ni dulu. Kita masuk tengok,” arah Puan Alia cemas sambil mengeluarkan anak kunci yang ditinggalkan Hanim kepadanya. Hanim berpesan supaya dia menolong menghidupkan lampu jika Ila terlewat pulang dari pejabat.

Hakimi menurut. Seketika kemudian mereka berlari masuk ke dalam. Hakimi medekati tubuh yang terbaring itu.

“Ma, Ila... ma,” ujar Hakimi terkejut. Segera kepala Ila diangkat ke pangkuannya.

Puan Alia mencangkung dan menyentuh tubuh Ila. “Panas Kim. Mama rasa dia demam. Elok bawa ke hospital dulu,” beritahu Puan Alia dengan cemas.

“Mama ikut sekali,” pinta Hakimi yang sudah mencampung tubuh Ila ke dalam kereta.

Puan Alia mengangguk.

PUAN ALIAmemerhatikan Hakimi yang resah gelisah. Anak itu tidak senang duduk langsung. Asyik ke hulu, ke hilir. Rimas dia memandangnya.

Telefon bimbit Hakimi berbunyi. Hakimi menyeluk saku dan melihat skrin telefon bimbitnya. Dia mengeluh. Dalam keadaan begitu, dia memang tidak boleh fokus dengan kerjanya.

“Helo,” jawab Hakimi sedikit menengking. Dia benar-benar terganggu dengan panggilan itu.

“Kim, kenapa tak sampai lagi ni?” Suara Mira.

“Tundakan dulu mesyuarat tu. Kim ada hal kecemasan,” beritahu Hakimi. Dalam kepalanya hanya ada satu perkataan sahaja yang mahu difikirkan. Ila.

“Kim, jangan nak bagi akak masalah. Mesyuarat ni penting. Petang nanti kita kena bagi keputusan kat penaja,” desak Mira.

“Masalah apa? Kim kat hospital. Kalau sekarang tiba-tiba Kim sakit nak mati, nak kena pergi mesyuarat dulu baru mati ke?” persoal Hakimi. Dia tidak peduli apa pun yang akan terjadi dengan mesyuarat itu nanti.

“Taklah. Tapi tak pasal-pasal pagi ni masuk hospital, kenapa?” Mira cuba mencari punca.

“Ila pengsan tadi,” beritahu Hakimi. Rasanya jawapan itu sudah cukup untuk buat Mira mengerti betapa perlunya dia berada di situ.

Mira mengeluh. “Kim, Kak Mira tak sukalah benda bodoh macam ni menjejaskan kerja kita. Kim tinggalkan dia kat situ dulu dan datang pejabat sekarang!” marah Mira.

“Benda bodoh Kak Mira cakap? Kak, dia amat penting buat Kim,” marah Hakimi. Tersentap hatinya mendengar kata-kata Mira. Ila tu benda bodoh ke? Hakimi naik geram.

“Kim, Kak Mira dah cakapkan, akak tak nak hal berkaitan perasaan Kim bawa masuk pejabat. Kim kenalah profesional!” marah Mira.

Hakimi bertambah panas hati. “Okey kalau macam tu, hari ni Kim cuti kecemasan!” Telefon bimbit terus dimatikan. Biar Mira tidak dapat menghubunginya lagi. Sedap mulut sahaja mahu mendesaknya.

Puan Alia menyentuh bahu Hakimi. Cuba meredakan kemarahan anaknya itu.

Hakimi memandang mamanya. “Susah sangat ke Kak Mira nak faham masalah Kim,” adunya.

Puan Alia mengukir senyuman memujuk. “Dia bukan tak faham... dia faham. Tapi ini soal syarikat, Kim. Soal tanggungjawab,” pujuk Puan Alia lembut. Dia sedar sikap ambil berat Hakimi pada Ila itu agak luar biasa. Juliesa yang pernah dimasukkan ke hospital kerana kemalangan kecil dulu pun Hakimi tidak kisah hendak melawat.

Hakimi mengeluh.

“Kim, pergilah pejabat. Selesaikan apa yang perlu. Biar mama tunggu Ila. Ada apa-apa nanti, mama telefon Kim,” pujuk Puan Alia lagi.

Hakimi merengus. Dia memejam mata. Antara syarikat dan Ila, susah betul mahu memilih. Dia berfikir sejenak. Selepas itu, dia mengangguk.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.