Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 28

Bab 28

“MACAMmana persiapan?” tanya Hakimi sebaik menjengah ke studio. Penyelia di situ menaikan ibu jari sebagai isyarat okey. Hakimi tersenyum dan menutup pintu bilik itu. Dia berjalan mendapatkan Kirana di bilik solekan. Dua orang stylish sedang berbincang tentang gaya dan warna rambut yang mahu digunakan untuk pengambaran gaun Pasio itu.

“Rasanya elok you tukar pakaian sekarang,” arah pembantu jurusolek di situ.

Kelvin yang menjadi pengurus sementara Kirana membawanya mengikut pembantu jurusolek ke bilik salinan.

“You tunggu sekejap. I dapatkan pakaian,” beritahu pembantu jurusolek itu sebelum menuju ke bahagian khas. Rak tempat menyimpan bungkusan yang sudah diletakan label mengikut waktu dan studio diteliti. Dia mengaru kepala beberapa kali. Hampir semua label kotak dibaca tetapi tiada satu pun berkaitan Pasio ditemui. Dia merujuk buku catatan pula. Ternyata Pasio tersenarai untuk pengambaran hari itu. Penyelia bahagian itu didapatkan. Buku catatan ditunjukan. Pantas sahaja penyelia itu membuat panggilan.

“You kena tunggu sekejap. Bahagian pakaian terlupa hantar gaun tu ke sini,” beritahu pembantu jurusolek itu sebelum berlalu menyambung pekerjaannya yang lain.

Kelvin dan Kirana berjalan mendapatkan Hakimi yang sudah duduk membaca majalah di sudut bilik itu.

Hakimi angkat muka memandang mereka.

“Eh, kenapa?” tanya Hakimi sedikit pelik. Ada masalah lagi ke? Janganlah. Dia baru hendak bersenang-senang.

“Baju belum ada,” beritahu Kelvin.

Hakimi sedikit tercegang. Baju belum ada? Bukan ke dia sudah mengarahkan Carmen supaya memaklumkan bahagian yang terlibat untuk memastikan semua barang yang diperlukan disediakan sebaiknya? Tidak mungkin juga Carmen yang cukup teliti itu cuai menjalankan tugas. Pasti ada yang tidak kena.

“Eh, biasanya dari dulu tak ada masalah macam ini. Kenapa bahagian pakaian tak buat kerja macam selalu? Orang baru yang urus ke?” tanya Kelvin. Tujuh tahun dia bekerja di belakang Maniera, membawa model-model Dello ke situ untuk seisi photoshoot. Baru hari itu masalah tiada persediaan timbul. Hal itu akan merugikan masa.

Mendengar protes Kelvin, Hakimi teringatkan Ila. Dia mula tidak sedap hati. Meluru dia bangun meninggalkan Kelvin dan Kirana. Bahagian pakaian dituju.

Hakimi menolak pintu bilik bahagian pakaian.

Bella yang mula-mula terpandangnya mengetap bibir. Dia cuba menyiku Ila yang masih tekun menjahit manik pada gaun. Langsung tidak mempedulikan keadaan. Hanya itu sahaja yang ditumpunya.

“Ila... Encik Hakimi datang,” beritahu Bella dari celah gigi.

Ila tidak juga mendengar.

“Hmm, saya nak tanya...” Hakimi sudah berdiri di hadapan meja Bella. Sempat matanya menjeling Ila yang tidak memandangnya. Diseriuskan muka.

“Ya, Encik Hakimi.” Bella memaniskan muka. Dia tahu tujuan Hakimi ke situ. Tidak lain kerana gaun Pasio. Ila pula masih belum menyiapkan gaun itu lagi. Bagaimana sekarang? Ila ni pun degil juga, sudah disuruh memberitahu sahaja masalah itu kepada Hakimi, dipilihnya pula untuk memalsukan gaun itu. Sekarang macam mana? Hati Bella menjadi semakin resah.

“Gaun Pasio...” sebut Hakimi.

Mendengar perkataan Pasio, Ila terus angkat muka. Dia terkejut dan menelan liur sebaik terpandang Hakimi. Bella dipandang dengan muka tidak puas hati. Geram betul kehadiran Hakimi tidak diberitahu.

Bella membalas pandangan itu dengan isyarat dia sudah memberitahu Ila tadi, tetapi gadis itu yang leka dengan jahitannya. Bagaimana dia hendak menyelamatkan Ila lagi? Memang sudah tidak boleh. Terima sahajalah kenyataan yang mereka harus bertanggungjawab dengan kehilangan gaun itu.

“Saya nak gaun Pasio. Awak dengar tak?” ulang Hakimi. Bella dan Ila dipandang silih berganti. Dia pelik melihat Bella lambat bertindak sewaktu menerima arahan pertamanya. Bella bukan baru menjadi penyelia di situ. Kalau dia tidak silap menurut Carmen, Bella sudah lima tahun menjawat jawatan itu.

Bella ketap bibir. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Mungkin Ila yang harus terlebih dahulu membuka mulut. Manalah tahu hubungan baik antara Ila dan Hakimi boleh menyelamatkan keadaan.

“Hmm... sebenarnya gaun tu...” Ila membuka mulut. Dia tidak mahu Bella pula dipersalahkan. Tetapi dia cuak juga hendak memberitahu cerita sebenar. Nanti Hakimi marah bagaimana? Adatlah kalau orang yang buat silap kena marah, kan? Ila menurunkan pandangan matanya sedikit ke bawah.

Hakimi merenung Ila. Masalah apa pula yang sudah dibuat gadis arnab ni? “Kenapa? Cakaplah,” kata Hakimi tegas. Bukankah Ila selalu mahu dia berlagak seperti seorang bos. Sekarang dia sudah tunjukkan. Mesti Ila berpuas hati.

“Hilang,” jawab Ila perlahan. Kepalanya tertunduk ke bawah.

“Apa?” Hakimi sedikit terjerit. Bukan ke betul rasa hatinya tadi, ada benda yang tidak kena di situ. Huh, dia fikir masalah Pasio itu sudah diakhir garisan. Tetapi ada ‘balak’ lain pula yang menimpa. Argh... elok dia sudah boleh tersenyum pagi tadi, sekarang dia mula hendak bertukar menjadi rasaksa semula.

“Macam mana boleh hilang?” soal Hakimi tidak puas hati. Begitu banyak baju dalam bilik itu, kenapalah gaun Pasio itu yang hilang? Menguji kesabaran betullah!

“Awak semua ni kerja main-main ke?” herdik Hakimi melepaskan geram.

Ila dan Bella tersentak dan saling berpandangan.

“Saya tahu salah saya, tapi saya dah cari gaun tu. Tak jumpa,” beritahu Ila mengharap simpati. Takut juga melihat Hakimi menunjuk kuasa begitu. Tidak sama dengan Hakimi yang selalu marah-marah sayang di balkoni. Yang ini voltannya lebih sikit. Mungkin sudah dicas penuh dengan beberapa masalah.

“Tak jumpa? Senangnya awak cakap!” tengking Hakimi. Bagaimana dia hendak menangani masalah itu? Ila gadis yang dia paling sayang. Tapi, soal pekerjaan dia tidak boleh berat sebelah. Sukarnya mahu menyelamatkan keadaan dan menjaga hati Ila.

“Tapi saya dah cuba ganti dengan yang baru,” beritahu Ila lagi. Gaun ditangannya dihulur kepada Hakimi. Dia harap Hakimi boleh bertolak ansur dan memikirkan jalan keluar yang lebih baik.

Hakimi menjeling geram. Sudahlah gaun itu dihilangkan, sekarang Ila memalsukannya pula. Dia memang hilang sabarlah dengan tindakan tidak bertanggungjawab Ila ni.

“Awak ingat gaun ni sama ke dengan gaun yang hilang tu?” soal Hakimi. Dia mahu Ila sedar apa yang dilakukan itu kurang bijak dan bakal mengundang masalah yang lebih besar.

Ila menggeleng. Dia tahu tidak sama, jauh sekali serupa. Tetapi seakan.

“Encik Hakimi... mungkin kita boleh beli yang lain dari Pasio,” cadang Bella perlahan. Dia tahu Hakimi boleh buat begitu.

“Nak beli macam mana? Gaun tu belum masuk pasaran lagi. Baru nak diiklankan sebagai gaun musim bunga. Kalau adapun yang dah dijual, kat Jepun sana. Awak nak pergi Jepun beli?” marah Hakimi. Dia rasa Bella seperti baru semalam menjadi penyelia di situ. Hal seperti itu pun tidak tahu.

Bella menelan liur. Dia tahu tetapi mungkin Hakimi boleh ke Jepun untuk mendapatkan gaun itu sebelum kehilangannya disedari. Paling kurang pun sebelum minggu mini fesyen hujung bulan depan dilancarkan.

Ish, susahlah awak berdua ni,” keluh Hakimi.

“Tapi Encik Hakimi, gaun yang Ila dah jahit ni nampak sama dengan yang hilang tu. Biasanya dua minggu lepas gaun tu diiklankan, dah ada di pasaran, kan? Masa tu kita gantilah dengan yang baru,” cadang Bella.

Hakimi merenung Bella. “Awak berdua ni kerja tak pakai otaklah!” cemuh Hakimi. Memang dua orang manusia itu sangat menyusahkan dirinya. Entah alasan apa pula yang hendak diberikan kepada Mira untuk ke Jepun nanti. Semata-mata hanya kerana sehelai gaun. Kerana gadis yang dia suka juga. Hakimi merengus.

Ila angkat muka. Sakit pula telinganya mendengar cemuhan Hakimi. Kalau betul pun dia bersalah, janganlah babitkan Bella sama.

“Macam mana gaun tu boleh hilang?” tanya Hakimi tidak puas hati. Dia rasa tidak masuk akal dengan kehilangan gaun itu. Mungkin mereka tersalah menyimpan gaun itu sahaja kot. Tidak pun salah seorang pekerja di situ sudah mencurinya. Siapa? Hakimi memandang sekeliling bilik itu. Hanya Ila dan Bella sahaja yang kelihatan. Kakitangan lain mungkin sudah lemas ditimbun pakaian yang terlalu banyak itu.

“Masa hari gaun tu sampai sini dah waktu balik. Masa tu saya pun nak cepat...” cerita Ila. Tetapi belum habis lagi dia membuka mulut Hakimi memotong kata-katanya.

“Awak kejar masa balik dan campak gaun penting tu sesuka hati? Macamlah awak nak kena kejar bas untuk balik rumah,” sindir Hakimi.

Ila menghembus nafas. Rasanya Hakimi baru sahaja mencucuh api ke dalam hatinya.

‘Agaknya kalau aku pun sama-sama meletup, panggil bomba pun api tak padam ni. Macamlah aku sorang aje yang salah. Dia pun salah juga. Lepas tu, ada hati nak sindir-sindir aku pulak!’ rungut Ila dalam hati.

“Awak ni kan, saya beri kelebihan dalam Maniera bukan untuk menyusahkan saya. Tapi awak buat kerja main-main. Kalau nak jadi cik puan, pergilah balik!” marah Hakimi tidak peduli lagi dengan perasaan Ila. Rasanya tekanan yang memberat dalam kepalanya memang perlu disasarkan ke tempat lain. Dan sudah nasib Ila yang terpilih menjadi mangsa.

Vinda dan Cdans yang baru keluar dari stor menyimpan barangan yang hendak dikeluarkan dari bilik itu terkejut memandang amukan Hakimi. Perlahan-lahan mereka melangkah ke tempat masing-masing.

Hakimi memandang Cdans dan Vinda seorang demi seorang. Sangkanya mereka berdua itu sudah hilang ke kafe mencuri tulang. Rupanya sedang melakukan kerja di dalam stor.

Bella terus membeku tidak berani hendak membuka mulut.

Ila tarik nafas dalam-dalam. Rasa terhina dimarah begitu.

“Sedap mulut awak salahkan saya, kan? Kalau bukan sebab awak desak saya ikut awak balik cepat petang tu, mesti semua ni tak jadi. Yang buat benda ni bermasalah, awak!” Suara Ila turut tinggi. Ingat dia akan diam ke kalau Hakimi meletakkan kesalahan atas bahunya seorang.

Hakimi memandang Ila dengan muka bengis. Hisy, tak padan. Dah buat silap nak menjawab juga, omel hatinya.

Bella angkat kening. Pertama kali melihat Ila marah. Selama dibuli Cdans, gadis itu tidak pernah pun marah.

“Tadi awak suruh saya balik, kan? Nah! Amek gaun ni.” Ila melemparkan gaun itu atas meja. Dia berpusing mencapai beg sandangnya.

Hakimi memerhati.

“Kalau gaun tu boleh selamatkan masalah awak. Awak guna. Kalau tak campak aje dalam tong sampah! Buang masa aje saya selesaikan masalah ni. Sekarang saya nak balik. Duduk rumah jadi cik puan. Makan tidur aje Encik Hakimi.” Sebaik menghabiskan kata-katanya Ila terus meluru pintu.

Hakimi segera mencapai tangan gadis itu, tetapi ditepis.

“Ila, sorry...” laung Hakimi dengan rasa bersalah. Inilah akibat tembak ikut sedap mulut. Tak pasal-pasal makan diri. Hati Ila disakiti lagi, hati dia lagilah sakit.

Ila buat tidak peduli. Pintu bilik bahagian pakaian dihempas sekuat hati. Dia menuju ke tangga. Sambil menuruni anak tangga dia menekup telinga. Tidak mahu lagi mendengar suara Hakimi yang baru saja memalukan dirinya di hadapan rakan sekerja.

“Ila...” Hakimi terus mengejar.

Pintu menuju ke lobi Ila tolak dengan kasar. Langkahnya dihayun laju.

Hakimi berlari dan memintasnya. “Ila, saya tak bermaksud nak salahkan awak,” ujar Hakimi lembut sebaik dia berdiri di hadapan Ila. Kedua tangannya sudah menahan bahu gadis itu daripada berlalu pergi.

Ila memandang lantai. Menyampah mahu menatap muka Hakimi.

“Ila... cakaplah,” pinta Hakimi. Dia tidak suka melihat Ila diam begitu.

Ila mengangkat muka. Namun, matanya memandang pintu utama Maniera. Dia terpandang Fradie. Tangan Hakimi ditepis dan dia mendapatkan Fradie.

“Encik Fradie,” laung Ila.

Fradie yang baru hendak menolak keluar pintu lobi menoleh dan tersenyum.

“Encik nak keluar ke?” tanya Ila.

Fradie mengangguk.

“Boleh saya tumpang?” pinta Ila. Daripada menunggu teksi dan mendengar Hakimi merayu di situ, elok ditumpang Fradie.

Fradie yang sedar kehadiran Hakimi tersenyum lagi. “Boleh, apa salahnya.” Dia tahu dua orang manusia ini sedang bermasalah. Jika tidak, masakan muka kedua-duanya macam jeruk. Inilah masanya dia memasang perangkap. Untung nasib bolehlah dia membawa gadis itu mengikutnya berhibur malam nanti.

Ila tersenyum dan mengikut Fradie keluar. Biar Hakimi sakit hati.

Hakimi tidak puas hati. Dia mengikut langkah mereka.

“Silakan,” pelawa Fradie yang sudah membuka pintu keretanya untuk Ila.

“Ila...” panggil Hakimi.

Fradie tersenyum mengejek. Dia suka dengan situasi itu. Oh, rindunya mahu mempermainkan Hakimi seperti masa lalu.

“Turun!” arah Hakimi sambil menyeret lengan Ila.

Ila mengeluh dan terpaksa juga menurut.

Fradie mencebik.

Geram betul Ila memandang Hakimi.

“Saya tak suka awak ikut budak ni!” Hakimi menunding jari kepada Fradie.

Fradie tersenyum sinis. Sengaja membakar hati Hakimi.

Ila tidak faham kenapa Hakimi benci sangat dengan Fradie. Apa masalah mereka berdua?

“Kau apa hal nak menyibuk? Dia wifekau ke? Tak, kan? Jadi jangan halang dia nak tumpang aku,” balas Fradie angkuh.

“Kau tu yang jangan menyibuk!” Hakimi semakin hilang sabar. “Ila, kalau awak nak balik sangat, biar saya yang hantar! Jom,” tangan Ila diseret sekali lagi. Hakimi lebih rela meninggalkan masalah Pasio daripada membiarkan Ila mengikut Fradie.

“Tak payahlah. Saya tak nak naik kereta awak tu,” tolak Ila. Tangannya direntap. Sakit pun sakitlah.

Fradie tersengih mengejek. Kasihan melihat Hakimi ditolak kekasih sendiri. “Kau ni tak malulah. Orang tak nak, kau paksa-paksa pulak?” sindir Fradie sambil menolak tubuh Hakimi. Dia memang hendak mencari gaduh. Penumbuknya sudah lama tidak menyentuh pipi Hakimi. Dia rindu... Kenapa lama sangat Hakimi di luar negara? Tidak adil betul. Takdir Hakimi selalu selangkah ke hadapan daripadanya. Hakimi punya ijazah dari luar negara. Dia pula hanya memiliki diploma dari universiti tempatan. Di dalam Maniera pula kedudukan Hakimi sangat selesa. Dia pula terpaksa berkejar ke sana sini untuk menyelesaikan tugas. Selepas ini entah apa lagi kelebihan Hakimi.

Hakimi rasa tercabar. Tidak semena-mena satu tumbukan singgah ke muka Fradie.

Fradie terus jatuh terduduk. Mulutnya digerakkan sedikit. Tulang pipinya terasa sengal.

“Encik Hakimi!” jerit Ila pantas mendapatkan Fradie. Dia mengeluh melihat darah keluar daripada celah bibir Fradie.

“Awak memang teruk!” marah Ila. Kenapalah Hakimi boleh bersikap seganas itu? Tidak boleh bersabar langsung.

“Encik Fradie, saya minta maaf?” Ila menyerahkan tisu yang baru dikeluarkan dari beg sandangnya kepada Fradie.

Fradie tersenyum, lalu mengelap darah di celah bibirnya. Sudah lama bibirnya tidak berdarah disebabkan Hakimi. Tetapi dia terasa menang bila Ila mendapatkannya.

Hakimi memerhati dengan perasaan menyampah. Benci melihat lakonan Fradie yang pura-pura budiman itu.

“Encik Hakimi, tolonglah jangan lepaskan masalah kita kat orang lain,” pinta Ila.

Fradie tersenyum sinis mendengar kata-kata Ila. Dia fikir gadis itu benar-benar kekasih Hakimi. Jika tidak, masakan Hakimi berusaha melindunginya. Dia suka dengan gadis naif itu. Makanan malam yang enak.

Perasaan kesal meresap ke hati Ila. Kerana dia, adik-beradik itu bertumbuk. Tetapi apa lagi yang boleh dibuat, benda sudah terjadi.

“Encik Fradie, saya minta maaf,” pinta Ila sekali lagi sebelum berdiri mendapatkan Hakimi. “Encik Hakimi, ada masalah lain yang perlu encik selesaikan. Jadi janganlah tambah lagi. Saya boleh balik sendiri,” ujar Ila tegas sebelum sebuah teksi muncul di situ kerana menurunkan penumpang. Tanpa lengah, dia berlari mendapatkan teksi itu.

Hakimi memandang tindakan pantas itu.

Melihat Ila pergi, Fradie mentertawakan Hakimi. Dia tidak dapat membawa gadis itu pergi, begitu juga Hakimi. Jadi mereka seri.

HatiHakimi masih meledak. Satu lagi tumbukan singgah ke muka Fradie. Biar padan dengan muka Fradie. Suka sangat cari pasal.

Fradie juga tidak mahu menjadi batang pisang. Tumbukan itu dibalas.

Sepuluh minit kemudian, pergaduhan mereka berakhir. Dileraikan oleh pengawal keselamatan setelah hal itu diadukan kepada Mira. Mira memandang dua orang manusia dewasa yang tidak pernah dewasa itu. Tersirap darahnya. Kenapalah dua orang adiknya itu tidak boleh bersikap profesional sewaktu bekerja? Apalagi yang direbutkan mereka di situ? Bukankah elok kalau seorang berada di Global Raya sahaja daripada menyusahkan dirinya. Tetapi siapa yang hendak mengusahakan syarikat perumahan yang memeningkan kepala itu. Semuanya mahukan Maniera yang penuh glamor.

HAKIMI kembali ke bilik pakaian. Dia mencari Bella. “Saya nak tengok gaun yang Ila buat tu. Bawak sekali gambar asal gaun Pasio tu,” arah Hakimi. Kelvin sudah berkali-kali menghubunginya. Carmen juga begitu. Bahagian studio pula tidak mahu menunggu lagi. Mereka ada jadual pengambaran lain. Mahu atau tidak Hakimi terpaksa beralah. Menganjakan waktu pengambaran agak lewat sedikit. Mujur juga ada yang mahu menukar jadual dengannya. Jika tidak masalah itu bertimbun lagi. Ah, kenapalah kali pertama bekerja di Maniera dipenuhi dugaan?

Hakimi meneliti gaun di tangannya. Dia melihat gambar gaun Pasio pula. Ila memang memiliki bakat untuk meniru. Tetapi, jahitan manik di bahagian hadapan gaun itu masih belum siap. Dia mengeluh. Siapa yang mahu menyudahkan jahitan itu? Ila sudah merajuk. Bella dipandang dengan muka serabut.

“Siapa boleh tolong siapkan jahitan ni?” tanya Hakimi tegang.

“Cdans,” jawab Bella pantas sambil menoleh ke arah Cdans yang sedang sibuk memotong kain yang mungkin hendak dijadikan aksesori kepada pakaian yang bakal digayakan model nanti.

“Hmm... suruh dia buat cepat. Pukul 5.00 petang nanti hantar ke studio,” arah Hakimi.

Bella segera mendapatkan Cdans. Sambil menoleh kepada Hakimi dia menjelaskan situasi yang sedang dihadapi kepada Cdans.

Cdans sedikit mengeluh. Jika bukan kerana bersimpati dengan Ila, pasti dia menolak permintaan itu. Kerjanya itu juga perlu disegerakan. Reben-reben besar daripada kain satin itu perlu dijahit untuk melengkapkan aksesori model yang akan membuat pengambaran di luar beberapa hari lagi.

Bella mendapatkan Hakimi semula. “Encik Hakimi...” panggil Bella perlahan. Takut juga ditengking lagi.

“Agaknya masalah akan timbul lagi, tak?” tanya Bella memikirkan kesudahan masalah itu.

“Kalau awak tutup mulut dan buat macam yang awak beritahu tadi, tak ada masalah,” beritahu Hakimi. Dalam hati hanya boleh berharap sempat membeli gaun Pasio yang lain sebelum kehilangan gaun itu disedari.

SEBAIKmendapatkan rawatan, Fradie kembali ke Maniera. Dia menuju ke bilik pakaian. Yang ada di situ hanya Lufi. Kakitangan lain sudah keluar minum petang.

“Kau tengok dalam rekod, tarikh terakhir Pasio hantar pakaian ke sini bila?” arah Fradie.

Lufi akur dan segera menghampiri meja Ila. Fail yang mengandungi salinan maklumat barang keluar masuk ke situ diambil.

Sebaik keluar dari bilik itu Fradie tersenyum lebar. Langkah keduanya menuju ke bilik kawalan keselamatan. Bukan susah mahu membalas dendam. Orang kata tidak dapat tanduk, dapat pulas telinga pun jadilah. Tetap sahaja akan menyakitkan Hakimi nanti. Dia tersenyum jahat.

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.