Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 17

Bab 17

HUJAN masih mencurah bumi. Belum ada tanda-tanda mahu berhenti. Ila memandang kaca tingkap yang basah terkena tempias. Keluhan kecil dilepaskan. Mata beralih memandang majalah di tangannya. Tiada minat hendak membaca. Hati terus sahaja mengharapkan hujan cepat berhenti. Telefon bimbitnya berbunyi. Malas betul hendak menjawab. Tetapi dijawab juga. “Assalamualaikum...”

“Hmm...” balas Hakimi.

Ila besarkan mata. “Tak reti nak jawab salam dulu ke?” marah Ila.

“Waalaikumussalam,” jawab Hakimi perlahan di hujung talian.

“Hah, boleh pun,” ujar Ila kasar. “Awak nak apa?” tanya Ila dengan nada sama.

Hakimi terperanjat. Kenapa gadis arnab itu menengkingnya tanpa sebab? “Saya nak beritahu, lusa awak dah boleh mula kerja.”

“Oh, okey,” balas Ila tanpa perasaan.

“Awak...” panggil Hakimi.

“Hmm...” jawab Ila malas.

Free tak?” tanya Hakimi. Manalah tahu andai dibawa bersiar-siar, hati gadis arnab itu akan kembali ceria.

“Tak,” jawab Ila sepatah.

“Awak nak keluar ke?” tanya Hakimi kecewa.

“Ha’ah...” jawab Ila.

“Bila?” tanya Hakimi lagi.

Ila mengerutkan dahi. Tidak suka Hakimi banyak bertanya. Kenapa akhir-akhir ini Hakimi terlalu rapat dengan dia? Tak ada kawan lain ke mamat tu? Persoal Ila di dalam hati. “Kejap lagi. Dalam pukul 2.00,” beritahu Ila.

“Awak nak pergi mana?” tanya Hakimi.

Agaknya kalau tidak dijawab Hakimi puas hati ke? Ila menggaru telinga. “Saya dengan Andrew nak pergi main ice skating kat Sunway Piramid.”

Hakimi mencebik. Tidak suka betul mendengar nama Andrew. “Nak ikut boleh?” pinta Hakimi sengaja hendak mengacau. Dia tidak senang hati Ila dan Andrew meluangkan masa bersama. Dia hendak menjadi orang ketiga. Hendak mencelah sehingga jarak Ila dan Andrew menjadi jauh.

“Kalau tak malu, ikutlah. Lagipun tempat tu bukan saya punya. Awak boleh pergi bila-bila aje.” Ila tahu Hakimi bukannya peduli kalau dia cakap tidak boleh.

“Okey sayang, nanti abang tunggu kat sana.”

“Hah?” pekik Ila. Tetapi Hakimi sudah menamatkan panggilan. “Mamat ni memang nak kena tikam!” marah Ila.

Ila menjerit. Sudahlah dia tidak pandai bermain. Terkial-kial kakinya hendak mengimbangi badan dan membiasakan diri supaya tidak jatuh terduduk di gelangang ais itu. Setiap kali hendak terjatuh, Andrew akan menjadi penyelamat.

Ila semakin penat mencuba. Dia meminta Andrew membiarkan dirinya memapah di palang bahagian tepi lapangan itu sahaja. Andrew tidak kisah. Sementara Ila berehat, Andrew beraksi sendirian di tengah lapangan ais Sunway Piramid seluas 877.5 meter itu. Kehebatan Andrew memukau pandangan Ila. Ah, memang pro bagaikan peluncur dalam kaca TV. Berpusing-pusing dengan cekapnya.

Leka Ila memerhatikan Andrew, Hakimi menyapa. Ila tersenyum memandang Hakimi dan memberi isyarat supaya Hakimi menyertai Andrew. Hakimi tersengih. Ingat dia pandai seperti Andrew ke?

“Kenapa duduk tepi? Jomlah,” ajak Hakimi berlagak. Sempat dia mencuri pandang di mana Andrew berada. Mujur pemuda Cina itu berada di tengah lapangan ais.

Ila menggeleng. Dia tidak mahu terjatuh dan terlentang sorang-sorang di tengah lapangan itu.

“Jomlah,” ajak Hakimi hendak menunjuk kehebatannya.

“Nanti jatuh,” tolak Ila takut-takut. Sedar dirinya tidak sehebat mereka yang sedang beraksi di situ. Dia juga tidak sehebat budak perempuan berusia sembilan tahun yang diperhatikan dari tadi. Hebat juga budak perempuan itu beraksi. Langsung tidak terjatuh. Mungkin sudah terbiasa sejak dari kecil.

“Buat apa saya ada kalau tak boleh tolong sambut awak?”

“Awak pandai main ke?” tanya Ila curiga. Hakimi ni bukannya boleh dipercayai sangat. Dia selalu sahaja tidak yakin dengan Hakimi.

Hakimi mengangguk. Kalau dia cakap tak pandai, mesti Ila tidak mahu mengikutnya ke tengah lapangan.

Ila tersenyum sambil menghulurkan tangan. Perlahan sahaja dia mengikut Hakimi. Hakimi pula kelihatan stabil. Fikirnya Hakimi memang pandai bermain. Yalah... itukan permainan masa lapang golongan seperti Hakimi dan Andrew.

Tidak pasal-pasal seorang pemain terbabas dan melangar bahu Hakimi. Hakimi hilang kawalan dan menarik Ila jatuh bersama. Mereka saling berpandangan. Hendak cover malu, Ila terlebih dahulu ketawa sebelum Hakimi juga begitu. Tetapi babak itu sekejap sahaja. Andrew datang mendapatkan mereka. Dia menghulurkan tangan kepada Ila dan membiarkan Hakimi bangun sendiri.

“Tadikan nak berehat sekejap,” tegur Andrew.

Ila tersengih. “Dia ni nak tunjuk pandai. Ingat dia pandai tadi, tapi tak,” beritahu Ila sambil mencebik kepada Hakimi.

Andrew tersenyum dan memandang Hakimi.

Hakimi tersenyum juga tetapi dalam hati terasa menyampah. Entah kenapa dia merasakan Andrew seolah-olah sedang mentertawakan dirinya dalam hati.

“Awak tak pandai main ke?” tanya Andrew sengaja hendak beramah mesra dengan Hakimi.

Hakimi tersenyum. Malu hendak mengaku kekurangan dirinya.

“Kalau tak pandai main tak apa. Ada Instructor boleh tolong awak,” beritahu Andrew sambil melirik kepada beberapa orang petugas di situ. “Kami pergi dulu.” Andrew menarik Ila mengikutnya.

Hakimi hanya memerhatikan langkah mereka. Takkan dia hendak berebutkan Ila seperti budak-budak main pondok-pondok berebut barang?

Padan muka kau Hakimi. Gatal sangat nak datang sini. Buat sakit hati sendiri aje. Hakimi cuba meluncur perlahan-lahan ke tepi. Tetapi belum pun sampai ke tepi dia terjatuh lagi. Dia memejamkan mata menahan geram sebelum memandang Ila dan Andrew yang sempat menoleh dan tersenyum kepadanya. Argh...

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.