Home Novel Cinta SHIA
Bab 4



BAB 4


Hutan dan semak samun di belakang rumah bagaikan tempat berlibur bagi Shia. Meskipun hanya bersendirian, Shia tetap leka bermain dengan alam. Daun-daun hutan menjadi bahan mainan olok-oloknya. Daun hijau itu dikoyak-koyak halus lalu dicampurkan dengan bunga liar sebelum dimasukkan ke dalam periuk usang Nenek Jah. Shia membayangkan dirinya berada di dapur dan sedang memasak. 


Petang biasanya menghidangkan angin semilir yang berpuput damai. Meskipun asyik bermain, Shia dapat merasakan perubahan angin yang mendadak. Tiupan itu datangnya dari satu arah. Kasar dan kencang sapaannya. Rambut halus Shia terbuai tinggi. Periuk dan daun-daun hijau terbang melayang bagai dilanda taufan.


Sampah hutan berterbangan ke satu arah membentuk satu pusaran yang hebat. Bermula dari kedudukan rendah, daun dan ranting kering berputar semakin tinggi. Shia dapat melihat pusaran itu semakin mempunyai bentuk.


Jantung Shia berdetak amat pantas. Dia dapat merasakan tekanan perasaan yang sama seperti pagi tadi sedang dilalui semula. Tubuh  dah mula terasa seram sejuk. Perlahan-lahan Shia mengundur dan berpaling. Sebaik sahaja kaki mula melangkah, namanya diseru.


“Shia…”


Nama itu tidak begitu jelas sebutannya. Berdesir dari irama daun buluh yang berlaga dek tiupan angin yang masih berterusan. 


Merinding bulu roma Shia tatkala mendengar namanya sendiri. Antara keinginan ingin tahu yang kuat dan ketakutan, Shia cuba membuat timbang tara. Akhirnya Shia putuskan untuk sambung melangkah. 


“Shia…”


Sekali lagi dia dipanggil. Kali ini suara itu lebih mendayu dan lama. Seakan-akan memujuk agar Shia berpaling.


Shia melawan getar hati. Kedua belah tangannya sudah mula menggeletar. Begitu jua dengan suaranya.

“Boleh tak … kau … tunjukkan diri?”

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.