Home Novel Cinta SHIA
Bab 20

Petang itu dirasakan lebih indah dari biasa. Panahan mentari laksana renjisan air mawar di wajah. Shia tidak mengelak malah menadah wajah. Gadis itu berlari-lari anak ke pinggir hutan di belakang rumah Nenek Jah. Adam selalu menanti di bawah pohon kekabu.

Walaupun dengan mata yang terpejam rapat, Adam dapat meneka riak wajah Shia. Dari jauh lagi dia boleh mendengar derapan tapak kaki si gadis. Dari berayun-ayun perlahan menjadi tergesa-gesa. Pasti gadis itu sedang berlari ke arahnya. Kebiasaannya langkah sebegitu membawa khabar gembira. Sangkaannya meleset sebaik sahaja mata dibuka. Shia berhenti dalam jarak tujuh langkah. Ada titis jernih sedang berjuraian di pipi gebunya. Mata yang dijamah cahaya petang itu berkaca-kaca bak batu Kristal.

Shia... menangis? Siapa yang berani benar menyakiti hati gadis kesukaannya? Sepintas lalu, Adam membayangkan tangannya sedang mengggenggam kaki Walid. Kepala lelaki itu tertonggeng di gagang perigi buta. Telinganya tiba-tiba berasa panas. Tetapi ada kelainan pada tangis Shia kali ini. Bibir itu mengukir senyum!

"Adam... Aku ada keluarga! Sama macam semua orang."

Shia merapati Adam. Kedua tangan dingin Adam dicapai lalu dihayun-hayun. Perlakuan ini sering dilakukan ketika mereka masih kecil dahulu. Di kala Shia ada cerita gembira yang mahu disampaikan.

Adam masih menanti mulut comel itu memberi penjelasan lanjut. Kata-kata tadi tidak memberi apa-apa erti pada Adam. Keluarga... adalah perkataan biasa. Tidak membawa makna yang mendalam. Tetapi berbeza bagi Shia. Itu mungkin perkataan keramat yang amat membahagiakan sehingga dia berkelakuan aneh selepas itu.

Jari-jemari Adam dilepaskan. Shia undur ke belakang dan mula membuai-buai tubuh. Senyuman semakin melebar sehingga ketawanya meletus. Shia berpusing-pusing dengan tangan sekejap diregang, sekejap diangkat tinggi. Badannya masih berbuai ke kanan dan ke kiri. Adam leka melihat perilaku Shia. Mulutnya sedikit terbuka apabila menyedari apa sebenarnya yang Shia sedang lakukan.

Shia... sedang menari?

Pemandangan itu aneh di mata Adam pada mulanya. Lama-kelamaan ada perasaan indah mula menyusup ke dalam dirinya. Perasaan yang begitu halus dan asyik. Dari berdiri tegak Adam berpeluk tubuh. Anak matanya ralit mengekori gerak tubuh Shia.

Shia dah tak perdulikan sesiapa. Hatinya terlalu riang. Ada rentak muzik terngiang-ngiang di telinganya. Aneh! Alunan indah itu bagai terkeluar dari kotak kepala. Dia benar-benar mendengar lagu itu berkumandang di cuping telinga. Mata juga menangkap satu lagi perkara indah. Dia sedang dihujani salji! Gumpalan kecil berwarna putih tiba-tiba sahaja jatuh dari langit. Shia biarkan sahaja semua keanehan itu. Dia hanya mahu menikmati saat-saat indah ini. Itu sahaja. Bibir mengumam lagu nyanyian Ed Sheeran.

Baby, I'm dancing in the dark
with you between my arm
barefoot on the grass,
listening to our favorite song

Shia bagaikan tenggelam di dalam dunianya sendiri. Jarang benar Adam dapat melihat sisi riang Shia yang terlepas bebas sebegitu. Gadis itu pandai mengawal perasaan. Saat suka dan duka, dia bijak mengawal perasaan. Keindahan di depan mata meresap ke dada. Adam dapat merasakan tubuhnya semakin hangat. Dia juga seperti Shia, tenggelam dengan perasaannya sendiri.

Sekilas, mata dilirik ke arah Adam. Dari celah-celah rintik kapas, Shia melihat susuk asing. Tubuh lelaki itu dibayangi cahaya ungu. Wajahnya lebih matang daripada Adam. Keningnya tebal dan berbibir penuh.

'Eh! Siapa tu?' hati Shia berbisik.

Buat seketika, Shia biarkan sahaja lelaki itu merenungnya. Oleh kerana hatinya tak berhenti berdesahan, Shia berhenti menari lalu membalas renungan. Pandangan mereka bersatu. Riak wajah suram jelas tertera di wajah lelaki itu. Bibir tanpa seri senyuman. Shia sedar pada detik itu bukan sahaja pandangan mereka tertahan, sekelilingnya juga pegun. Graviti bagaikan lenyap seketika. Kepulan kapas tidak jatuh ke tanah. Binatang hutan menyepi. Segalanya begitu hening. Masa seakan-akan telah dihentikan.

Cahaya ungu pada lelaki itu semakin silau sehingga membutakan pandangan. Apabila kelopak mata dibuka semula, lelaki itu telah tiada. Tempatnya berganti Adam. Melilau Shia memerhati ke semua arah. Lelaki tadi telah ghaib begitu sahaja.

"Adam," lembut suara Shia menegur.

"Hmmm."

Kelopak mata Adam silih terbuka dan terkatup dalam beberapa saat.

"Kau ke tadi?"

"Aku memang ada di sini dari tadi. Best tak kesan khas aku. Lagu dan salji."

Shia mengangkat lengan. Kapas kekabu berkumpul di permukaan bajunya. Tanah sekitarnya dah jadi permaidani putih. Suasana tampak dramatik.

"Lagu?"

"Aku buka dari telefon bimbit kaulah." Adam tersengih.

Perlahan sahaja Shia ketawa. Walaupun di matanya terbias wajah Adam, di kepalanya ada bayangan lelaki tadi. Siapa dia?

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.