Home Novel Cinta SHIA
Bab 41

Pagi yang indah! Kemarahan Nenda dah mereda. Siap masakan mee sanggul, sarapan kegemaran Nedim pagi tadi. Shia ditinggalkan dengan keadaan baik di Perak dan kini mata sedang menjamah wajah gadis yang dirindui, Raja Syakila Urfiah.


Rambut gadis itu lepas bebas dan terbuai-buai pantas menggamit pandangan Nedim. Dia tahu kepala dah tak mampu berpusing arah lain ketika si gadis perlahan-lahan menghampirinya. Terasa benar hentakan lembut Stiletto merah garang 4 ½ inci di kaki bak model Victoria Secret di hadapan mata menembusi jiwa lelakinya.


"Selamat pagi Tuan Syed Ahmad Nedim Syed Nazri."


Si gadis mula menyapa. Nedim membalas sapaan bersama lembaran senyuman. Sengaja tangan diangkat melindungi mata.


"Selamat pagi. Aduh! Pancaran Lipstick you dah membutakan mata hati I. Serius, terpaksalah I pandang you seorang sahaja hari ini."


Serta merta sebuah senyuman mekar tersimpul. Bibir mongel dengan lipstick merah menyala itu menguntum bagaikan kelopak bunga mawar. Seri yang naik ke wajah Si Dara menambat hati Nedim.


"Ada-ada aje la you ni Nedim." Syakila melepaskan ketawa manja.

 Nedim tarik nafas panjang. Pasti lenanya diingaui ketawa itu nanti.


"I masuk ke bilik dulu. Kita jumpa sebentar nanti di bilik mesyuarat."


Pertemuan singkat pagi itu diakhiri dengan kenyitan manja Syakila. Nedim berdiri sebentar di hadapan pintu bilik sehingga bayangan Syakila hilang dari mata. Senyuman manis yang masih bersisa menyapa ruang kerja. Sebaik sahaja Nedim duduk, seorang lagi gadis memasuki kamar yang luas itu dengan buku cacatan di tangan. Nedim biarkan sahaja setiausahanya itu menyampaikan butir-butir kerja yang telah disusun. Setelah itu Nedim bangun dan membuang pandang ke luar tingkap.


Matahari dah mula menyalurkan tenaga dari ufuk timur. Langit cerah walaupun cahaya pagi tak sampai ke wajah terlindung dek bangunan pencakar langit di sebelah pejabatnya. Dari tingkat 12, deretan kereta yang berpusu-pusu memasuki perut kota raya nampak macam permainan lego yang diatur dalam barisan. Nedim jarang menghadapai tekanan akibat bersesak di jalan raya. Dia memilih untuk menaiki motosikal berkuasa besar bagi keluar dari kemelut lalu lintas. Walaupun sukar untuk mencelah, pergerakannya masih lancar. Kereta yang tersadai di ruang parkir khas hanya digunakan apabila perlu.


Tubuh dialih semula menghadap meja kerja. Dah tiga tahun dia duduk di kerusi itu menggantikan arwah Papa Shia selalu Pengarah Besar Syarikat. Selama ketiadaanya jawatan itu dipangku oleh bapa Syakila. Syarikat Hartanah itu adalah legasi daripada datuknya yang diwariskan kepada kedua anak lelakinya. Kini, amanah itu dipikul oleh Nedim sendirian. Sudah tentu dengan pantauan rapat daripada nenda sebagai pemegang saham terbesar syarikat itu.


Mesyuarat tamat tepat sebelum waktu rehat tengahari. Nedim berpuas hati dengan semua pihak yang terlibat dengan Projek Perumahan Mega yang duduk semeja tadi. Wakil daripada pihak Kontraktor, Arkitek, Pihak Berkuasa Tempatan dan Pembiaya Utama telah membentangkan penyelesaian terhadap perkara yang berbangkit di sidang mesyuarat lepas. Jika kesemuanya berjalan dengan lancar dan mengikut jadual, majlis pecah tanah projek tersebut akan dilaksanakan awal tahun depan. 


Syakila masih duduk di kerusinya lagi. Matanya galak memandang skrin telefon pintar. Nedim biarkan Syakila menyelesaikan urusannya. Gadis itu begitu bersemangat menjayakan setiap rancangan syarikat. Syakila laksana tulang belakang Nedim. Gadis yang mengepalai urusan perundangan di syarikat itu senantiasa bersedia dengan hujah tambahan menyokong setiap usul Nedim. Begitu juga di dalam mesyuarat tadi. Syakila berkali-kali mengingatkan kesemua pihak akan teras perancangan syarikat. Syarikat itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar kontrak yang telah dipersetujui.


"Syabas Cik Syakila. Hasil kerja yang baik tadi. Apa kata you benarkan I balas segala penat lelah you dengan lunch hari ini?"


Semua barang yang dilonggokkan atas meja dah berada dalam dakapan Syakila. Gadis itu menggaris senyuman manis. Pelawaan Nedim ditolak lembut.


"Alamak! Nedim, you terlewat hanya beberapa saat. I baru sahaja terima pelawaan lunch."


Walau hajat hati tak kesampaian, Nedim masih lagi berusaha.


"Tak mengapa Yang Mulia Raja Syakila Urfiah. Selagi matahari masih sudi muncul di langit dunia, selagi itu peluang untuk I untuk belanja you masih terbentang. Dan I pasti tak akan terlewat lagi lepas ini."


Ketawa Syakila bagaikan deraian untaian mutiara. Melantun indah ke cuping telinga Nedim. 


"Kalau begitu Tuan Syed, saya mohon berundur diri dulu."


"Silakan."


Oleh kerana rencananya dah gagal, Nedim hanya menapak keseorangan memasuki kompleks membeli belah. Hajatnya nak ke kedai roti yang terkenal di situ. Perut tak begitu mendesak untuk diisi. Mungkin Creamy Mushroom dicicah Garlic Bread sahaja sudah memadai untuk santapan tengahari. Hajatnya tadi nak ke Restoran Korea bersama Syakila. Gadis itu gemar benar makan bulgogi dengan sup kimchi yang dihidang bersama nasi panas. 


Sebaik sahaja melintasi kedai emas, langkah Nedim terhenti. Hati berbolak balik di antara ingin menjenguk ke dalam kedai atau tidak. Niatnya hanya ingin meninjau sebentuk cincin untuk melamar Si Gadis. Nedim tahu hubungannya dengan Syakila masih samar. Tiada sebarang kenyataan jelas akan isi hati mereka. Yang pasti, dia mahupun Syakila sendiri senang akan kemesraan ini. Syakila mudah mengikut rentak dan karenahnya. Kehadiran gadis itu mahupun bapanya di syarikat itu , amat penting bagi Nedim. Dek kerana itu, tatkala usul Nenda untuk menjodohkannya dengan Shia diperdengarkan, hatinya sakan merusuh.


'Ah! Banyak masa lagi sehingga projek Mega itu berjaya dilaksanakan,' pujuk hati. Dalam perancangannya lamaran itu akan diluahkan setelah bebanan kerja mereka berkurangan. Mungkin dia tidak akan mengambil masa yang lama untuk ke peringkat yang seterusnya, bertunang dan bernikah.


Langkah diatur maju lagi. Kali ini kaki berhenti semula atau sebenarnya detak jantung yang terasa terhenti. Kelibat Syakila bersama seorang lelaki memasuki ruang pandang mata. Nedim cuba tahan gelodak hati. Raut wajah dah mula berkerut. Puas dipujuk hatinya agar tidak mengesahkan apa yang terlihat tadi. Ternyata dia gagal. Kepala menoleh ke sisi. Apa yang disaksikan, ternyata lebih menggores jiwa. Hentakan kaki diteruskan dengan hati luka.


"Nadia, hantar kereta I ke sini. Urgent."


Sebentar sahaja keretanya tiba. Tergesa-gesa pemandu keluar untuk membukakan pintu kenderaan itu buat Nedim. Nedim masih tercegat di tempat yang sama. Dengan wajah mencuka, Nedim berikan arahan, "Saya akan memandu. Sendiri."


Kereta meluncur laju keluar dari perut kota. Terasa kepedihan hati yang menjalar sedikit berkurang saat pedal ditekan kuat. Kenderaan itu dipandu tanpa arah tuju. 


Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.