Home Novel Cinta SHIA
Bab 51

Bab 51


Akhtar mengekori Ratna tanpa sebarang rungutan. Sebaik sahaja mata menjamah perkataan 'Skyline', Akhtar dah rasa nak berpatah balik dan ghaib tanpa diganggu Ratna. Hajatnya terbantut apabila Ratna memberi amaran menerusi goyangan jari telunjuk. Ratna yang sedang beratur di kaunter tiket dijeling tajam.

"Sia- sia sahaja aku ikut kau ke mari."


Akhtar tahu nada sarkastiknya  tidak terkesan langsung pada Ratna. Selamba sahaja lengannya yang memeluk tubuh ditarik lalu didakap Ratna. Terasa diri bagai digari apabila tangan Ratna membelit erat lengannya. Dari celah deretan kumpulan manusia yang sama-sama beratur panjang, keluhan Akhtar masih berbaki.

"Aduhai Ratna! Tak puas-puas lagikah dikau berada di angkasa."

"Ini lain. Tak perlu keluar tenaga."

Jawapan bodoh Ratna terpaksa dia telan. Sekali lagi tangannya ditarik ke arah ruang kosong di hadapan mereka. Kerusi yang tergantung pada kabel tidak berhenti ketika mereka naik.


Kejengkelan hati beransur-ansur hilang apabila lanskap indah bumi yang pernah suatu ketika dahulu bergelar Temasik memasuki ruang pandang Akhtar.

"Kau ingat tak lagi semasa kita beramai-ramai melepak di bukit hadapan istana Raja. Kita bertaruh siapa yang menang, Badang atau Pahlawan Raja Keling."

Hati Rania girang melihat bibir nipis Akhtar menggris senyuman sebaik sahaja dia menyebut nama Badang.

"Hurm, kau pilih Nadi Bijaya Pikrama kan?"

Ratna hamburkan ketawa. Beria-ia dia memujuk rakan yang lain agar sependapatan dengannya melawan Akhtar dan Bawika. Ketika pusingan pertama pertandingan gusti lengan berakhir, Ratna tahu dia telah salah membuat pilihan. Pusingan kedua menghidupkan semula harapannya. Pahlawan dari benua Keling itu berjaya mengangkat batu besar di hadapan istana sehingga ke paras lutut. 

"Hati aku berdebar sungguh kencang ketika Badang berdiri lama menghadap batu itu."

Luahan perasaan Akhtar sama dengan keadaan diri lelaki itu di dalam ingatan Ratna. Aktar bingkas berdiri ketika nama Badang diseru juru acara. Daripad tersembunyi dalam kocek, jemari Akhtar meniti di bibir. Malah kuku lelaki itu turut menjadi mangsa cemas.


"Hebatkan Badang. Hanya sekali angkat, batu besar  telah terjunjung di atas kepalanya. Mudah benar dia melontar beban seberat itu hingga ke kuala sungai."

Ulasan Ratna mengembalikan kenangan silam. Hakikatnya Akhtar telah tahu akan keputusan sayembara terulung itu sebelum keputusan diumumkan. Setelah lama menekur wajah di hadapan bongkah besar, Badang mendongak ke langit seperti selalu. Matanya bagai mencari-cari wajah seseorang di atas sana. Kepalanya mengangguk perlahan sebelum mengukir senyum.


Sayembara kedua dengan Benderang hanya disaksikan Akhtar sendirian. Tenang sahaja dia duduk di tempat yang sama memerhati dua lelaki beradu kekuatan. Firasat Akhtar tepat. Tiada pertandingan yang berlangsung. Sayembara digantikan dengan aksi kedua pahlawan Melayu Temasik dan Perlak menarik rantai gergasi ke tengah lautan bagi menghalang kapal-kapal besar menghampiri daratan. 

"Manusia lebih hebat apabila keluhuran memenuhi hati mereka."

Bibir mengorak senyuman lagi. Apa yang hebat adalah jati diri Badang itu sendiri. Di saat lemah mahupun beroleh kekuatan, diri kerdil itu masih memanjat syukur. Kekuatan itu tidak digunakan untuk tujuan mencari kehebatan nama di dunia. Kerana itu Badang bersetuju untuk tidak meneruskan pertaruhan kedua Raja Melayu  walaupun jelas dia pasti menang. Air muka lawan Rajanya menjadi pertimbangan utama Badang.

Sungguh, betapa Akhtar merasa iri di saat itu. Lelaki kerdil yang telah menerima kurnianya membuatkan dia berasa lebih kerdil daripada Badang. Sekian lama menyedut udara dunia ini dia telah lupa untuk mengucap syukur kepada Yang Maha Memberi Kurnia.


Ketika angin Selat Singapura enak memalu wajah, telinga Akhtar berdesing kuat. 

"Arghh!"

Sebelum tapak tangan Akhtar menutup cuping telinga, dia tahu si empunya gelombang suara yang menerjah gegendang. Serentak, mata Akhtar terbelalak seraya menyebut satu nama.

"Shia!"

Segalanya berlaku amat pantas. Manusia yang menyaksikan Akhtar berdiri di atas kerusi tergantung  mulai menjerit. Hanya sekilas pandangan dilayangkan ke arah Ratna sebelum tubuh tinggi itu menghilang ke angkasa.


Previous: Bab 50
Next: Bab 52

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.