Home Novel Cinta SHIA
Bab 52
Bab 51


Kereta yang sedang Shia tumpang tak sama dengan kereta Nedim terdahulu. Dalam diam Shia mengintai Nedim. Lelaki itu fokus memandu. Raut kusam Nedim petang tadi telah memudar. Mungkin sekarang adalah masa yang sesuai untuk meluahkan rasa ingin tahu Shia yang tertangguh tadi.

"Awak okey ke Nedim?"

Soalan sebegitu sekadar tebakan. Dalam remang senja, roman wajah Nedim sukar dibaca.

"Tadi tak. Sekarang dah okey. Mungkin nur pada wajah awak telah mengubat jiwa saya. Panas mendidih macamanapun hati ni, kalau dapat tatap wajah awak, terus rasa macam kena siram dengan ais. Awak nampak tak wap yang sedang keluar berkepul-kepul dari kepala saya ni?"

Memang lega dapat lihat senyuman Nedim walau bicara itu sah-sah bernada hiperbola. Nedim yang Shia kenal sering bermulut manis. Sikap Nedim sebegitu penyebab tiada tembok atau jurang yang dia bina dari awal perkenalan mereka.

Jalan membelok ke kawasan rumah Shia sudah hampir. Namun Nedim masih menekan pedal minyak.

"Eh! Awak kata nak hantar saya balik tadi." 

Shia sedikit cemas melihat bumbung rumah hilang dari pandangan.

"Betul. Saya akan hantar awak balik. Tapi bukan sekarang."

"Habis tu awak nak ke mana ni?"

Sebelah mata dikenyit. Nedim hadiahkan senyuman lagi.

"Temankan saya ambil angin malam. Saya nak hilangkan resah hati. Ada lagi saki baki sikit-sikit di sini." Jari telunjuk lelaki itu terarah ke dadanya.

"Jangan risau. Saya dah maklumkan dekat Uncle."

Dengan penjelasan itu, kereta meluncur laju keluar dari kawasan kampung. Mereka singgah sebentar di stesyen minyak untuk menunaikan solat maghrib dan mengisi minyak kereta. Shia turuti permintaan Nedim walaupun dadanya dah mula memalu kuat sebaik sahaja kereta melewati pinggir bandar. Sudah sekian lama Shia berkurung di kampung. Bukan dia tak teringin nak melihat dunia luar, tetapi ketakutan terlebih dahulu menambat kakinya. Justeru, hajat hati dilupakan begitu sahaja.

Dentuman di dada bertambah kuat di saat kenderaan mereka memasuki perut pusat membeli belah. Shia cuba usir ketakutan yang bertandang dengan memeluk tubuh. Minda telah mula menayang beberapa senario yang kurang enak. Kegigilan tubuh terasa menjalar sampai ke kaki.

Kawasan parkir yang penuh memaksa Nedim memandu sehingga ke tingkat paling atas mengikut anak panah papan tanda 'more parking on the roof'.

Nedim mematikan enjin, mencapai cap hitam dan melangkah keluar dari kenderaan. Namun hanya dia seorang yang berbuat begitu. Shia masih bersembunyi dalam guanya.

Cermin kereta diketuk dari luar. Wajah tenang Nedim  terbias jelas disuluh cahaya dari tiang lampu. Pintu kereta dibuka dari luar.

"Kita dah sampai Shia. Keluarlah."
Suara Nedim sedikit mendesak.

Shia hela nafas panjang berkali-kali. Pandangannya terarah ke baju kurung separuh lusuh dan selipar yang berdebu. Shia kerling baju kemeja kosong Nedim. Warna biru tua menyerlahkah kulit putih gebu Nedim sekaligus menonjolkan imej korporat. Lelaki yang segak bergaya itu sedia menantinya di luar.

Nedim pasti tidak mengerti akan keresahannya. Keluhan demi keluhan semakin berleluasa. Shia ingin membangkang, namun dia pasrah setelah lirikan Nedim lama terarah kepadanya.

"Jom."

Sepotong ayat Nedim memaksa Shia mengikuti langkah lelaki itu. Penantian di pintu lif menambah lagi keresahan. Detik masa bagaikan bom jangka.

Tik tok tik  tok

Saat pintu lif terbuka terasa bagaikan bom telah meledak. Tak sengaja jeritan kecil terkeluar dari peti suara Shia. Mujur mereka sahaja berada di situ.

Di ruang yang sempit Nedim mencuri pandang Shia. Wajah Shia nampak pucat. Kedua tangannya tak lepas saling berpaut dengan kepala menekur lantai. Nedim cuba merungkai keadaan Shia. Tak sempat nak buka mula untuk bertanya, pintu lif telah terbuka.

Nedim putuskan untuk penuhi hajatnya di kedai terawal yang dijumpai. Nasib dia baik. Kedai pakaian wanita dua lot dari situ.

"Sebenarnya, last kita jumpa hari tu saya nak belikan pakaian untuk awak. Tapi saya tak tahu gaya dan saiz baju awak. Oleh itu, saya gantikan dengan handphone. Jadi sekarang, bolehlah awak kabulkan hajat saya tu."

Indah ayat berbasa-basi Nedim. Mungkin Nedim bimbang dia menolak permintaannya. Shia sengaja garu-garu pelipis dahulu baru mengangguk. Tepukan kuat tangan Nedim menggambarkan kegembiraannya.

"Pilihlah mana-mana baju yang awak berkenan. Anggap sahaja saya hadiahkan bahagian 'ganjaran' saya kesemuanya pada awak. Saya tak perlukan semua tu. Saya dah tahu apa yang saya nak."

Bunyi macam ada maksud yang terselindung di sebalik kata-kata Nedim. Akan tetapi baju-baju cantik yang kemas berbaris terlebih dahulu menggamit perhatian. Jadi, Shia lepaskan persoalan hati. Mata  riang berlarian serentak dengan jari-jemari. Gembira betul dapat menyentuh pelbagai fesyen pakaian. Ini kali pertama dia menikmati keseronokan membeli-belah. Mungkin kerana privasi yang ada di situ seakan membentuk ruang perlindungan yang diperlukan. Gemuruh yang bertandang tadi dahpun hilang. Walaupun kuantiti pakaian yang dijual terhad, hal sebegitu tidak mengurangkan keterujaan Shia.

Sambil menanti Shia, Nedim duduk di kerusi lalu meluruskan kaki. Sejujurnya, wajah Syakila dah tak mendatangkan kesakitan kepadanya lagi. Nedim yakin itu semua kerana akal sudah tidak lagi dipengaruhi emosi. Maka logik mudah memujuk hati.

Berkali-kali aksi Syakila dengan pemuda tadi terpampang di fikiran. Jelas benar kemesraan di antara mereka. Perkara yang membuat Nedim sakit hati adalah mimik manis Syakila. Gadis idamannya itu membenarkan kelakuan sumbang Si lelaki miang.

Tapi iyalah, siapa aku untuk menghakim Syakila. Entah-entah, aku ni tak wujudpun dalam hati dia.

Bibir Nedim menggaris senyuman sinis. Hati berterusan menggasak diri sendiri.

Salah aku juga kerana gagal berterus-terang. Hah! Nak marah? Aku tak berhakpun.

Keluhan demi keluhan dilepaskan dari rongga dada. Kesedihan terasa menghimpit dalam masa yang sama kekesalan bertali arus. Nedim sedar itu adalah antara kelemahannya; soal hati. Dia terlalu berhati-hati dalam segala tindak-tanduk agar tiada hati yang akan terguris kesan perbuatannya.

Semua itu kerana Nedim tahu akan erti kepedihan. Sengaja atau tanpa sengaja, luka terguris tetap sama. Anak kecil, dewasa mahupun tua, kesakitan tetap membekas. Samada dengan kata-kata tajam, perbuatan kasar mahupun gurisan halus; ketidak perihatinan manusia terhadap perasaan insan lain. Hati yang mendamba kasih, tetapi dibiarkan terpinggir. Jiwa yang berharap tetapi diberi harapan kosong.

Mungkin aku terlalu menghargai secebis kasih Syakila sehingga tidak mahu melihat apa-apa anasir merosakkan kasihnya termasuk cintaku. 

Hati tenang sahaja membuat kesimpulan. Entah bila Shia berdiri di hadapannya, Nedim tak sedar. Shia memegang sepasang pakaian, blouse kain chiffon dengan kemasan lace dan palazzo hitam.

"Dah try?"  Soalan itu bersebab. Nedim telah ada perancangan awal.

"Belum. Tapi saya rasa muat je."

Nedim mencebik dan menggeleng.

"Muat dan padan adalah dua perkara yang berbeza. Pergi cuba, saya nak tengok."

Shia bungkam tetapi menurut. Dia berpatah balik memasuki ruang persalinanan. Di kesempatan itu, Nedim memanggil juru jual. Dua orang gadis cantik yang melayani Shia dari awal tadi menghampiri Nedim.

"Ada pakaian lain yang dipilih Cik Adik tu tadi?"

"Ada beberapa helai Encik. Tapi yang Cik tu berkenan hanya sepasang sahaja."

Nedim lebarkan senyuman sebelum keluarkan arahan, "Bungkus kesemuanya." 

Nedim bangun dan beredar ke kaunter bayaran.

"Boleh buat bayaran sekarang? Aaa... termasuk pakaian yang sedang dicuba tu."

Selepas urusan di kaunter pembayaran, Nedim duduk semula di tempat tadi. Shia keluar semua dengan penampilan yang menawan. Nampak benar Shia tersipu-sipu malu.

"Baju ni memang muat. Awak rasa padan tak dengan saya?"

Nedim angkat jari ibu.
"Sempurna."

Perkataan yang ringkas. Satu patah kata. Tetapi cukup membuat Shia rasa begitu terharu. Air mata menerpa di tubir. Shia cepat-cepat tunduk dan mengelap titis yang mula melimpah.

"Eh! Saya... saya... buat awak terasa hati ke? Maafkan saya kalau tersalah cakap. Saya benar-benar tak bermaksud nak perli atau menyinggung hati awak."

Cepat benar permintaan maaf diutarakan. Shia tahu Nedim cemas dengan reaksinya. Habis pipi dilap dengan tangan, barulah Shia mengangkat wajah menatap pandangan Nedim yang penuh kegusaran. Shia cuba ukir senyuman.

"Jangan risaulah, saya tak kecil hatipun. Cuma, saya rasa terharu. Awak ucap perkataan itu... penuh keikhlasan."

Kini mereka berkongsi perasaan yang sama di atas alasan yang berbeza. Kata-kata Shia menyentuh lembut di kalbu. Malah lama membekas. Shia menghargai perasaannya. Nedim tahan gelora terharu agar tak terbias di wajah.

"Kita makan dulu sebelum balik boleh?"

"Okey, tunggu saya salin baju sekejap."

Tangan Shia diraih. Menonong sahaja Nedim tarik Shia keluar dari kedai. Hatinya berbunga gembira walaupun Shia masih terpinga-pinga. 

Previous: Bab 51
Next: Bab 53

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.