Home Novel Cinta SHIA
Bab 26

Rutin di rumah batu setingkat itu, awal pagi lagi semua penghuninya dah bangun tidur. Di atas tikar sejadah, tubuh Nedim bergoyang perlahan-lahan. Matanya sebentar terbuka, sebentar tertutup. Rafei meneruskan zikir selepas solat. Hujan masih belum sidang daripada malam tadi. Rafei putuskan untuk solat berjemaah dengan keluarga dan tetamu mengejutnya di rumah sahaja. Tangan ditadah tinggi. Sengaja Rafei kuatkan sedikit suara agar doa yang dipohon dapat didengari oleh jemaah. Mata sepupu Shia itu masih merah ketika dia menghulurkan salam kepadanya dan Rahimah. Lelaki itu dibiarkan sahaja tersengguk di sofa selepas itu. Rafei habiskan sisa subuh dengan membaca Al-Quran.


Shia terus ke ruang dapur, membuka peti ais dan mengeluarkan ramuan untuk sarapan. Rahimah tiba tak lama selepas itu membantu menyediakan makanan.

“Nedim tu sepupu Shia, kan?”

“Ha ah. Anak adik Papa.”

“Dia datang seorang sahaja ke? Nenda tak ikut sekali?”

“Ye lah kot. Dia cakap Nenda halau dia dari rumah.”

Mengekek Rahimah ketawa mendengar alasan Nedim. Terkejut juga dia melihat susuk manusia mengerekot di ruang tamunya pagi tadi. Mujur Rafei ada di sisi. Lelaki itu tenang sahaja memeriksa tetamu malam mereka sebelum mengejutkan lelaki itu.

“Nedim tu nampak macam kelakar orangnya. Mudah mesra dengan orang.”

“Shia pun rasa macam tu Ummi. Tak kekok sangat berbual dengan Nedim tu.” 

Shia melahirkan rasa hati yang sebenar. Kehadiran Nedim di dalam hidupnya sama seperti Nenda, kedua insane itu menambah bahagia. Ketika Shia menjemput Abi dan Nedim bersarapan, kedua-dua lelaki itu sedang berbual-bual di ruang tamu.


“Mari duduk sini Nedim. Jangan malu-malu. Buat macam rumah sendiri je.”

Rafei menarik kerusi di sebelahnya lalu duduk. Nedim menuruti tingkahlaku Rafei. Aroma enak dah menusuk hidung sebaik sahaja melangkah ke ruang dapur tadi. Melihat hidangan nasi lemak dan cucur kembung siap terhidang di atas meja, Nedim lebarkan senyuman. Pecut punya hal malam tadi, dia lupakan makan malamnya. Seawal suara garau Rafei mengejutkan lenanya subuh tadi, perut dah mula minta diisi. Nedim capai senduk dan mengaut nasi ke dalam pinggan. Setelah itu dia kaut nasi sesenduk penuh lagi untuk diisi ke pinggan lain. Wajah terpinga Rafei menghentikan apa yang sedang dia lakukan.

 Pinggan yang dihiasi lukisan ros merah disorong merapati Nedim. Satu senduk nasi memenuhi separuh pinggannya. Wajah serba-salah anak muda itu menggelikan hati. Rafei tak dapat menahan senyuman.


“Minta maaf, Uncle. Saya dah terbiasa buat macam ni dengan Nenda.”

“Tak apa Nedim. Haa… tambah satu senduk lagi. Tak cukup kenyang makan nasi lemak banyak ni.”

Kata-kata Rafei mengundang ketawa Rahimah dan Shia. Nedim turut tersenyum.

“Kamu tinggal dengan Puan Syarifah sahaja di Bangi?”


Nasi yang sedang dikunyah  seenak aromanya. Nedim sedikit kesal terpaksa kunyah laju-laju lantas menelan makanan. Pertanyaan Rafei segera dijawab.

“Ya. Banglo besar tu dah tinggal kami berdua je. Aaa… Bahasakan Nenda sahaja Uncle. Kami bukan orang luar dengan Uncle, Untie dan Shia.”


Rafei tersenyum dan mengangguk. Dia menyukai anak muda sebegini. Tahu membawa diri. Setelah itu perbualan mereka berdua semakin rancak. Shia dan Rahimah hanya menyampuk sekali-sekala.


Hujan dah berhenti sepenuhnya. Langit pagi masih kelam. Dingin mencucuk kulit wajah ketika angin menerjah sebaik sahaja pintu dapur dibuka. Shia berjalan melenggang ke belakang rumah. Di tangannya ada sisa makanan semalam. Senyap-senyap Nedim mengikuti Shia dari belakang. 


“Wah! Habis licin makanan. Sejuk-sejuk ni lapar ye.”

Cara Shia menyapa binatang berkaki dua itu bagaikan menyapa manusia. Kelakuan Shia sebegitu adalah di antara perkara yang dia langsung tak terfikir nak buat. Nedim menegur, “Kalau ayam tu menjawab, mesti awak terkejut macam tengok saya semalam.”


“Macam hantulah awak ni Nedim. Suka muncul tiba-tiba depan saya.”

“Suka betul awak ni dengan hantu. Dah banyak kali awak sebut.” 


Shia menyambung kerja. Habis ditabur sisa makanan, dia tabur dedak dan gandum  pula di bekas yang berasingan. Setelah itu Shia mengisi tangki minuman ayam dengan air bersih.


“Saya dah tahu tentang Sindrom Treachers Collin yang awak cakap tu. Sejujurnya saya bersimpati dengan apa yang awak lalui selama ini. Saya agak penerimaan masyarakat terhadap awak pada awalnya mesti lebih kurang macam reaksi bodoh saya hari tu.”


Tangan dicelupkan sahaja pada air tadahan hujan di dalam baldi. Air jenih itu bertukar keruh. Bayangan gadis hodoh di dalam air itu turut kelam.


“Kalau hanya seorang dalam setiap 50,000.00 boleh dijumpai manusia yang hodoh macam saya, takkan nak letakkan kesalahan tu atas bahu masyarakat. Logiknya sayalah yang kena terima semua itu. Terima hakikat bahawa tingkahlaku sebegitu adalah tabiat semulajadi manusia. Jadi, apa sahaja reaksi mereka adalah normal. Manakala yang tak normal itu saya.”


Nedim mengigit jari, mengolah dan mengingat semula apa yang tertera di skrin komputer kelmarin.

“Awak rasa ada kecacatan genetik dalam keluarga kita?”


Shia berpaling dan menghadap Nedim. Kulit lelaki itu sama putih kemerah-merahan seperti Shia. Mata Nedim nampak besar dengan kelopak mata yang sempurna terbentuk.


“Mungkin ya, mungkin tidak. Mutasi pada gen TCOF-1 boleh berlaku hanya pada bayi dalam kandungan tanpa melibatkan genetik ibu mahupun bapa. Secara teorinya, awak sedang bercakap dengan seorang Mutan.”


Nedim berpusing ke belakang dan lepaskan ketawa. Agak menjengkelkan juga bunyinya. Shia berpura-pura tak dengar suara itu.

“Dalam filem X-men, mutan ni ada kuasa. Awak ada kuasa apa Shia? Boleh scan hati orang?” Nedim berseloka.

“Saya boleh nampak hantu. Ada satu kat depan ni.”

Nedim cepat-cepat beralih ke sisi Shia. Tengkok menoleh ke kanan, kiri dan ke belakang.

“Betul ke Shia? Awak jangan main-main bab ni.”

“Betul la. Saya nampak ada tanduk kat kepala awak sekarang. Tak lama lagi mesti jadi hantu.”

Kali ini Shia pula yang ketawa riang. Puas hati dapat pulangkan paku buah keras. Tak pula Nedim terasa hati. Diapun ketawa sama.


“Sebenarnya, buat apa awak kat sini?”

“Ekori awaklah. Ala-ala spy gitu.”

Cute je jawapan bersahaja Nedim, macam orangnya juga.

“Mahal ke Nenda bayar upah jadi spy? Saya sukarela bagi maklumat. Tapi awak kena berkongsi ganjaran tu.”

Lawak Shia menjadi. Ketawa kuat Nedim berkumandang di seluruh kawasan reban.

“Berkongsi? Jangan harap!”

“Kedekut!” Pantas Shia menyerang. Serang balas Nedim sebelum dia beredar membuatkan Shia terkedu.

“Bukannya kedekut. Tapi Nenda tak bagi saya share ganjaran. Sikit sangat. Dia nak saya share hidup saya dengan awak.”

Belakang tubuh berisi Nedim Shia pandang sehingga tak nampak. Shia telan air liur. Tekak tiba-tiba terasa kering. “Kongsi hidup?”

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.