Home Novel Cinta SHIA
Bab 34

Agak lama Shia hanya berteman cengkerik, barulah Walid benar-benar terlena. Shia mabil peluang untuk meregang otot leher dan pinggang. Dia memusing tubuh ke kiri. Ketika dia berpusing ke kanan, Adam melambai dan menepuk ruang kosong di sebelahnya. Shia membekukan diri. Atas permintaan Walid, dia dah mengesot ke kiri. Nak kena kesot semula ke kanan ke? Tempat kosong itu dipandang berselang seli dengan wajah kasihan Adam. 

Geram betul bila Adam buat muka sayu macam tu. Memang kalah!


Shia bangun dan duduk di tempat yang Adam tepuk-tepuk tadi. Daun-daun kering kemas tersusun meliputi keseluruhan tanah di situ. Pungungnya hanya berlapik tanah basah di sisi Walid tadi.


"Aku sedar, aku ni memang makhluk yang aneh. Tapi kau lagi aneh la Shia."

Kedengaran terlalu jujur luahan Adam. Shia tak dapat sembunyikan senyuman.

"Walid tu bukannya tahu nak bersopan santun dengan kau. Tapi kau tetap layan dia dengan baik." 


Hujung tudung yang masih lembab dah berpintal-pintal di jari Shia. Dia sedang menyimpul kata-kata yang sesuai. Adam lebih beremosi daripada Walid.


"Geram betul aku lihat Walid ketawakan kau dengan kawan dia tadi. Kalau kau izinkan dah lama aku gigit-gigit Si Walid tu. Biar lebam satu tubuh. Itupun setelah mengenangkan kau la. Ikut aku..."

Daun-daun kering di hadapan mereka tiba-tiba sahaja terangkat dan semakin meninggi lalu berputar-putar bagaikan angin puting-beliung. Pusaran itu terus maju ke arus sungai.

Renungan tajam daripada Adam membuatkan pusaran itu terhenti. Daun-daun kering terawang-awangan di udara seketika sebelum menghempas permukaan sungai.

"Dah lama Walid tu aku layangkan sehingga ke puncak Gunung Agung. Biar tubuh dia meletup bersama letusan larva tu. Takpun aku benamkan separuh badan dia di dalam pasir Sahara. Biar dia keriput kekeringan sampai tinggal tulang di situ."


"Adam." 

Lembut lantunan suara Shia. Adam hanya menjeling. Marahnya masih ada.

"Aku masih belum putus asa lagi dengan Walid tu. Kau ingat lagikan pesanan Nenek Jah yang aku bagitahu dulu?"

Adam mengangguk. Shia telengkan kepala menghadap wajah Adam. 

"Doa aku masih ada untuk dia. Tak pernah putus setiap kali habis solat. Dari dulu lagi..."

Anak mata Adam bersinar, masih merenung Shia.

"Kasih kau ni terhad terhadap manusia sahajakah atau tak terbatas buat semua mahkluk?"

Kali ini Shia siap bertongkat dagu. Mata masih meratah wajah Adam.

"Kau nak tanya aku ni sayang dekat kau ke Adam?"


Cepat benar Adam berpaling bila dengar Shia cakap macam tu. Lepas tu barulah Shia mendengar suara yang dia paling gemari, ketawa kecil Adam. Ketawa dengan bibir yang masih terkatup rapat. Raut wajah Adam paling manis di saat itu kerana bibit bahagia itu nampak jelas di mata yang mengecil dan pipinya yang membulat dan tinggi. Shia tak ada semua keindahan itu. Kalau dia ketawa macam Adam mesti nampak macam tak ketawa langsung. Tulang pipinya terperosok jauh menyembunyikan senyuman.


"Eh! Ihsan macamana? Okey tak dia?"


"Makhluk bedebah tu ada keseorangan depan sikit dari ini. Lepas kau marah aku tadi, aku pergi jenguk dia. Kacau-kacau sikit. Puas hati aku tengok muka jantan nak menangis!"


Shia tahu dia tak sepatutnya ketawa."Tak patut kau usik dia macam tu. Kesian dia."


"Kalau kau ada sekali tadi lagi seronok, kan?"


Adam sambung ketawa. Begitu juga Shia.


"Adam, kau jangan buat perkara tak baik macam ni lagi tau. Sekadar sakit hati, tak luakpun daging aku ni hah."


Adam tahu Shia akan berpesan lagi sebegitu. Shia jarang ambil hati kalau dia menjadi bahan ketawa rakan sekelas atau sekampung. Tetapi gadis itu tak tahu, Adam akan pastikan setiap ketawa mereka berbalas tangis.

Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.