Home Novel Cinta SHIA
Bab 32

Shia mencari tempat yang landai di pinggir tebing. Jauh sedikit di belakang mereka semak samun memagari pinggiran hutan. Dalam fikiran Shia, yang penting pakaian mereka tidak berterusan basah. Itupun tubuh dah mula menggigil kesejukan dek terendam dalam air sungai tadi. Kini sejuk malam dan dingin udara hutan yang bersatu dengan baju basah mula menggigit tubuh.Walid duduk selang dua langkah dari tempat Shia. Tubuh lelaki itu tergoyang-goyang ke depan dan ke belakang. Shia agak Walid juga sejuk macam dia. Tak sampai sepuluh minit mereka berehat di situ, ada bunyi yang menyentak cuping telinga.

Praakk!

Tak kuat manapun bunyi dahan patah tetapi Walid tersentak sampai terangkat punggung. Lepas tu dia tak lepas pandang ke arah Shia dengan wajah yang pucat.

"Kau ni memang sejak azali penakut ke?" Dah tahu tetapi sengaja Shia keluarkan isu itu.

"Kau la yang mula-mula takutkan aku. Sampai hari ini aku ingat lagi kayu yang terbang depan mata aku tu."

Pengakuan Walid membuatkan Shia ketawa mengekek. Lama sangat peristiwa itu telah berlalu. Masakan minda dewasa tidak mampu menolak 'tidak logik akal' walaupun itu bukan khayalan. Lama juga baru Shia sedar ketawanya keterlaluan. Mata melirik ke sebelah. Hurm... tak berkedip kelopak mata Walid memerhatikannya. Wajah itu masih mencuka seperti biasa.

"Yang kau pandang aku lama-lama ni nak apa? Nak suruh aku duduk dekat kau?"

Habis ayat Shia, barulah Walid berpaling ke hadapan. Mata merayap ke langit yang tak berbumbung. Entah apa sialnya hari itu dia terpaksa bermalam di situ dengan Si Hodoh ini.

"Ia la. Takkan aku pula terhegeh-hegeh nak pergi dekat kau. Aku ni kan lelaki. Jatuhlah air muka aku. Kau lain la... dah memang buruk."

Dah tahu penakut masih berlagak! Walaupun hati mengomel, Shia campakkan jauh-jauh hujung kata-kata Walid tadi. Kalau berterusan Walid sebegini lebih menyusahkan. Lalu punggung dikesot merapati Walid.

"Okey? Rapat macam ni?"

Tak ada lelaki yang suka Shia duduk berdekatan dengan mereka. Walid lebih-lebih lagi.

"Eh! Rapat la lagi. Hantu boleh mencelah lagi ni."

Entah datang dari mana, tup-tup wajah Adam yang menyeringai terselit di antara dia dan Walid. Shia mengeleng perlahan, menyangkal kelaku Adam. Setelah itu kelibat Adam tak muncul-muncul lagi. Mahu tak mahu tubuh dirapatkan lagi. Paha Walid hanya bersebelahan sahaja. Barulah manis sedikit air muka Walid. Hati Shia terasa bergetaran.

"Aku ni dah la jatuh hati dekat kau. Duduk rapat macam ni nanti berbenam terus hati aku. Kau tak kesian ke dekat aku?"

"Bukan hati aku, hati engkau. Pandai-pandai la nak hidup."

Haish, Mamat bongkak ni. Aku tak main-main.

"Kau ni... nak kata bodoh, satu sekolah kata kau pandai. Orang macam aku pun kau boleh jatuh hati?"

Shia cuba lihat cahaya dalam mata Walid. Hmm... Sinarnya masih sama seperti yang selalu dia lihat.

"Orang yang macam mana Walid? Yang sengaja pamerkan apa yang kau nak orang lihat? Yang pandai sembunyikan diri kau yang sebenar?"

Haah! Betullah tu agaknya. Diam je tak balas.

"Aku ada rahsia Walid. Mata aku ni special. Aku boleh nampak apa yang orang lain tak nampak. Aku boleh lihat dengan jelas apa yang kau sorokkan dari semua orang. Mungkin sebab itu aku suka kau. Kau tak reti nak bermuka-muka."

Walid masih tak bersuara. Berpura-pura leka bermain tanah dengan gurisan batang kayu. Kuat dia menghembus nafas. Berkali-kali. 

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.