Home Novel Cinta ~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
usakoprincessz
15/5/2019 14:58:06
15,108
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17


     Azan subuh kedengaran jelas kedengaran dari kamar milik Das, lantaran rumah milik orang tua Das ini terletak tidak jauh daripada surau. Dari tingkap, aku dapat mendengar deruman enjin kereta keluar dari pintu pagar. Ibu Das yang berpakaian solat lengkap itu menutup pintu pagar kemudian memasuki pintu kereta di bahagian sebelah pemandu. Pasti ibu dan ayah Das ini mahu ke surau. Aku mengagumi keperibadian orang tua Das. Walaupun tinggal di bandar tapi tidak lupa untuk mengunjungi masjid bagi menunaikan ibadah yang agak payah dilakukan oleh kebanyakan muslim di dunia ini. Sama seperti ibuku juga. Walaupun tidak mempunyai kereta seperti mereka dan jarak antara rumahku dengan masjid agak jauh berbanding dengan mereka, tapi dia tetap mahu menunaikan ibadah solat Subuh berjamaah di sana. Terbayang ibuku mengayuh basikalnya dengan pakaian solatnya itu. Hatiku mejadi sayu. Rindu pada ibu. Hatiku betul-betul meronta untuk menceritakan masalah ini padanya agar beban yang tertanggung dapat diringankan sedikit setelah mendengar nasihat daripadanya, namun apakan daya. Aku tidak mahu membesarkan keadaan dan membimbangkan dia. Lagipun, dia pasti sedang memikirkan masalah adikku yang turut melibatkan sejumlah wang yang besar itu.

     Tuala mandi ku capai dan perlahan-lahan aku menapak ke bilik air Das yang memang telah tersedia di dalam bilik itu. Aku perlu membersihkan diri untuk mengadap Yang Maha Esa. Aku berdoa kepada Allah semoga dipermudahkalah segala urusanku ini. Aku harus yakin akan ada hikmah di sebalik musibah yang melanda.

     "Ida.." Das menyapa. Aku tersentak. Lama aku berteleku di tikar sejadah sehingga tidak menyedari akan kehadiran Das yang turut menunaikan solat subuh di sebelahku. Aku menoleh ke arahnya. Wajah Das kelihatan segar berbanding malam tadi. Semoga hilanglah kepenatannya dek memandu agak lama semalam.

     "Kau dah okay Das?" Tanyaku pula. Das mengangkat keningnya seraya tersenyum.

     "Dah, aku dah tidur lena malam tadi," ujar Das membalas pertanyaanku tadi.

     "Apa plan kita hari ni? Apa kata kalau kita promote dekat member-member aku yang bujang. Mereka ada yang tinggal dalam taman ni. Nak?" tanya Das lagi. Boleh terima juga cadangan Das ini. Mulakan perlahan-lahan. Tapi, kalau nak difikirkan logik akal, nak menjual 100 perfumes tu pun agak mustahil dalam seminggu. Betulkah tindakan yang aku ambil ini? Ataupun tindakan ini hanya sia-sia sahaja.

     Melihatkan aku yang masih diam tanpa memberi jawapan, Das mengulangi cadangannya itu. Aku baru tersedar akan soalan dan cadangan Das sebentar tadi dek terlalu lama termenung.

     "Bagus juga cadangan kau tu," aku membalas pendek. Das merenung ke wajah ku. Mungkin dia menyedari kegusaran yang terpancar di wajahku. Memang riak wajahku tidak pernah menipu. Aku adalah antara manusia yang kurang pandai menyembunyikan reaksi dengan emosi sebenarku.

     "Kenapa Ida?" Das merapatiku. Aku mengangkat wajahku seraya memandang ke wajahnya.

     "Entahlah Das. Kau rasa tindakan aku ni betulke? Logik tak, perfume s tu terjual 2000 unit dalam masa 3 hari ni? Macam tak logik kan? 100 pun macam di luar kemampuan," aku bersuara perlahan. Katak-kataku disambut dengan keluhan berat dari Das. Mungkin dia pu merasakan hal yang sama denganku.

     "Kita cuba ja lah Ida setakat yang termampu. At least adalah habuan untuk kita berikan pada mak datin tu hari Isnin nanti," ujar Das mengembalikan semangatku yang sedang memudar itu. Sudah menjadi sifat seorang guru yang sentiasa menghiasi bibirnya dengan kata-kata semangat walaupun pada hakik atnya sesuatu kejayaan itu tidak semudah seperti yang diimpikan. Aku menganggukkan kepalaku mengiyakan pernyataan yang diucapkan oleh Das sebentar tadi. Ya, ada betulnya juga. Walaupun mungkin amaun yang diperoleh tidak mencukupi seperti yang diinginkan, tetapi sekurang-kurangnya, mak datin itu nampak akan usahaku yang ikhlas untuk membayar segala kecuaian yang berlaku terhadapnya.

     Setelah menikmati sarapan yang disediakan oleh Das sendiri,kami meminta izin dari orang tua Das untuk keluar. Tak sangka Das memang pandai memasak. Memang betul-betul lulus untuk mencadi calon isteri kepada Acus. Aku pula entah bila akan mahir memasak sepertinya ya? Sebenarnya, kemahiran memasak ini datang dari sifat rajin dan berani untuk mencuba sesuatu resepi. Aku sendiri memang agak malas untuk berkunjung ke dapur. Mungkin itulah penyebab besar mengapa aku sehingga sekarang hanya mampu menguasai kemahiran menggoreng dalam masakan. Kalaulah matapelajaran memasak ini aku ambil ketika belajar di bangku sekolah, sudah tentu tahap penguasaan aku tidak akan melebihi Band 3 seperti yang tersenarai dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah itu. Destinasi pertama ialah di rumah teman-teman Das yang turut menyewa di Taman Tasik Seremban itu. Rakan-rakannya yang tinggal di situ kira-kira 5 orang. Sama seperti rumah sewaku di Taman Mawar, Pasir Gudang. Duduk beramai-ramai. Selain menjimatkan kos membayar sewa, hidup akan jadi lebih ceria dan meriah lantaran ada ramai kawan duduk di dalam satu rumah. Tidaklah merasa terlalu kesepian. Tak sangka, sambutan yang sangat positif daripada teman-teman Das itu. Ada yang mengambil sebanyak 4 botol daripada wangian yang dijual itu. Banyak yang memilih wangian 'Meteor Spray' yang bauannya itu tidak ubah seperti wangian Burberry Brit Spray. Agaknya, syarikat ini mengambil inspirasi daripada wangian itu agaknya. Selain itu, ramai juga yang mengambil wangian yang bernama 'Sense of Love'. Wangian ini berbau elegan tidak ubah seperti wangian Beauty keluaran Calvein Klein. Ada juga yang memilih wangian bernama 'Miracle moment' yang berbau seperti Gucci Envy. Ya, memang tepat telahanku. 3 wangian untuk wanita itu bakal menjadi rebutan penggila perfumes. Hal ini jelas terbukti dengan pilihan rakan-rakan Das sebentar tadi.

     Setelah meminta diri, kami menuju ke kereta. Alhamdulillah, hasil lawatan ke rumah rakan-rakan Das tersebut, sebanyak 15 unit perfumes telah terjual. Aku rasa sungguh gembira.

     "Das, kita nak ke mana pula lepasni?" tanyaku sebaik sahaja memasuki perut kereta Persona milik Das. Das tersenyum seraya mengenyit mata ke arahku.

     "Kita ke rumah member-member lelaki aku pulak," balas Das. Kawan lelaki? Isy... takkanlah nak masuk ke rumah lelaki. Tak sopan tu. Tak elok mata yang memandang. Tak mahulah!

     "Tak eloklah macam tu Das. Rumah lelaki tak sesuai untuk kita masuk ke dalam." aku membantah. Das masih senyum seperti tadi. Janganlah bagi idea-idea yang tak masuk akal Das.

     "Laaa..buat apa nak masuk ke dalam rumah mereka? Kita tunjuk sampel kat luar rumah cukuplah. Aku dah mesej mereka tadi. Diorang pun duduk ramai-ramai juga macam kawan-kawan aku yang tadi. Secara tidak langsung, kita boleh tahu wangian mana yang menjadi ramai pilihan lelaki," ujar Das Lagi. Hmm.. betul juga tu. Daripada keseluruhan perfumes tersebut, 6 botol pewangi untuk lelaki manakala 6 botol lagi wangian untuk wanita. Aku mengangguk-anggukkan kepalaku tanda setuju.

     Kereta Das menghala ke arah kiri taman tersebut dan memarkirkan keretanya di hujung jalan. Kelihatan dia menelefon seseorang. 5 minit kemudian, sesusuk tubuh lelaki datang menghampiri dan mengetuk cermin keretanya. Saat cermin kereta dibuka, sebuah wajah terjengul di pintu keretanya. Seperti pernah ku lihat wajahnya.

     "Assalamualaikum.. Selamat pagi abang," Das menyapa mesra lelaki itu. Lelaki itu tersenyum.

     "Mana perfumes tu? Abang nak tengok," tanya lelaki tersebut. Das berpaling ke arahku.

     "Ida, tunang aku minta testernya,boleh?" tanya Das pula kepadaku. Oh, Patutlah seakan pernah ku lihat wajah lelaki ini. Tunang Das yang aku temui di Berhulu Camp semalam rupanya. Aku lupa yang Das pernah ceritakan bahawa tunangnya turut tinggal di taman perumahan yang sama dengannya. Aku ingatkan rakan-rakan yang dimaksudkan oleh Das tadi adalah rakan-rakan yang lain. Aku menghulurkan kotak-kotak tester tersebut kepadanya. Lelaki itu meminta diri berlalu untuk menemui rakan-rakannya di rumahnya.

     "Oh, aku ingat siapalah kawan kau tadi. Kenapa tak beritahu tunang kau saja tadi?" ujarku apabila kelibat lelaki tadi telah memasuki rumahnya.

     "Hehe... memanglah tunang aku. Tapi, kawan-kawan yang tinggal serumah dengan dia tu pun kawan-kawan aku juga," oh begitu rupanya. Jadi, tunang Das juga berkawan dengan rakan-rakan lelaki Das. Aku hampir lupa dengan cerita Das tempoh hari yang dia mula berkenalan dengan tunangnya itu dari seorang kawannya yang turut tinggal di kawasan taman perumahan yang sama dengannya. Kebetulan, tunangnya itu tinggal serumah dengan rakannya itu. Aku tersengih seraya mengingati semula cerita Das yang dulu.

     "Haa.. aku lupa Das. Hehe. Ada yang jomblo lagi tak dalam rumah tu?" aku bertanya dengan nada bergurau. Das tergelak. Pertanyaan aku tadi tidak terus dijawabnya malah didahulukan dengan ketawa.

"Kau nak? Rasanya ada lagi kot. Tapi..." Das menghentikan percakapannya seraya menoleh ke arahku. Aku mengangkat kening. Tapi apa? Buat saspen pula dia.

     "Tapi..lembut sikitlah orangnya. Tapi, pandai masak tau. Beruntung perempuan yang dapat lelaki macamtu. Bijak dan pandai juga dalam urusan bisnes ni," Das masih tergelak dalam nada mengusik. Hisy..lelaki lembut ya? Hmm... risau juga aku dibuatnya. Aku ni agak kasar orangnya. Perbualan kami terhenti apabila kelihatan tunang Das bersama empat orang lagi rakannya menuju ke kereta. Das memberi isyarat kepadaku supaya keluar dari perut kereta. Apakah ada tanda-tanda positif yang mengatakan bahawa rakan-rakan Das berminat untuk membeli pewangi-pewangi yang menjadi jualan hari ini?

     "Hai, bestlah bau pewangi-pewangi yang kau orang bawa ni," kata salah seorang lelaki tersebut. Nada suaranya tak ubah seperti 'Abang Salleh' dalam siri kartun 'Upin dan Ipin' itu. Hmm..agaknya inilah rakan yang dimaksudkan oleh Das sebentar tadi.

     "Kalau best, apa lagi? Grablah Kimi. Banyak pun takpe," Das pula membalas kata-kata yang diutarakan oleh lelaki yang bernama Kimi itu tadi. Aku turut tersenyum. Gurukah mereka ini ya? Lupa pula nak bertanyakan Das tentang perkerjaan rakan-rakan tunangnya yang turut menyewa di situ.

     "Aku pun suka. Bau wangian 'Romantic Inspiration' ni macam 'Hugo Boss' sampuk salah seorang daripada rakannya pula. Bukan setakat bau 'Hugo Boss' tapi bermacam-macam jenis wangian turut ada. Aku yakin, pereka perfumes ini mungkin adalah penggemar perfumes berjenama ini. Mungkin juga wangian yang sama digunakan tetapi hanya dibotolkan semula setelah mendapat keizinan daripada pengeluar sebenar. Mungkin wangian ini tidaklah seratus peratus sama dengan meletakkan beberapa campuran yang lain supaya nampak kelainan sedikit berbanding wangian asal.

     Alhamdulillah. Ternyata rakan-rakan Das tidak mengecewakanku. Lelaki yang bernama Kimi itu membeli 4 botol wangian yang sama. Perfumes yang dinamakan 'Sense of Independet' itu betul-betul menambat hatinya. Bauannya tak ubah seperti wangian Lacoste White katanya. Seolah-olah Lacoste White yang dijual dengan harga yang agak murah daripada biasa. Aku bersetuju dengan pendapatnya. Aku pun mengenali bauan Lacoste White itu lantaran adik lelakiku terlalu suka akan perfumes itu. Aku sempat juga mempromosikan wangian yang bernama 'Magic Spray' yang kusifatkan memiliki bau seperti 'Burberry Brit EDT for man'. Ada juga antara mereka yang suka akan bauan itu termasuklah tunang Das sendiri. Sempat juga aku mencadangkan wangian-wangian tersebut dijadikan hantaran ketika pertunangan mereka apabila melihat keterujaan tunang Das dalam mencuba kesemua wangian tersebut. 10 botol wangian tersebut berjaya dijual lagi di situ. Aku menadah ke langit memanjatkan kesyukuran pada Allah atas kemurahan rezeki yang dikurniakan ini. Jadi, kalau dihitung sekarang, sebanyak 25 botol wangian ini telah berjaya dijual pada pagi ini. Tanpa sedar bibirku terukir senyuman.

     "Tunggu, kau orang ambil stok kat mana ni? Bestla bau kesemua wangian ini. Kalau aku nak jadi ejennya boleh? Ramai penggila perfumes kat ofis aku ni. Lebih-lebih lagi perempuan," ujar salah seorang kawan lelaki Das yang mesra dipanggil Farhan itu. Nak jadi ejen? Hehe.. aku pun ejen kepada orang lain. Ejen yang terpaksa demi mencari rezeki bagi membayar wang ganti rugi kepada Datin Anita. Tapi, kalau aku terima dia sebagai ejen, bukankah itu, lebih menyenangkan aku untuk memastikan semua wangian ini terjual.

     "Aku pun nak jadi jugalah. Boleh letak dekat spa aku nanti. Boleh mark up sikit harga. Sebab bau dia best macam wangian asli tau," kali ini lelaki yang agak lembut bernama Kimi itu pula bersuara. Oh, kerja di spa ya? Spa aku katanya tadi? Jadi, dia memiliki spa sendiri? Masyuk juga ni. Tapi, macam mana nak jadikan mereka ejen? Teringat kata-kata datuk pengarah syarikat ini ketika di kilangnya dulu, segala keselamatan wangian-wangian ini adalah di bawah tanggungjawabku. Kalau berlaku kerosakan seperti pecah dan sebagainya, bermakna aku harus membayar atas segala kecuaian itu. Aku dah serik dengan istilah ganti rugi ni. Dah berapa kali aku terperangkap dengan perkataan ini. Terbaru kata-kata ini pernah menjerat aku ketika bersemuka dengan Encik Kacak di kafeteria Berhulu Camp dulu. Hmm.. aku mengeluh.

     "Sebenarnya, aku pun jual produk orang lain. Bukan dari modal aku sendiri. Segala kerosakan adalah di bawah tanggungjawab aku. Jadi, kalau nak jadikan kau orang ejen tu, aku tak tahulah macam mana," jawabku jujur. Ya, memang aku tak pandai menipu. Aku jual wangian ini pun ikhlas seperti mana yang termaktub di dalam syarat tawaran Encik Shark dulu.

     "Alaa..bolehlah," kata Kimi lagi. Macam merayu pula. Serba salah pula aku dibuatnya.

     "Boleh,Kimi. Tapi ada syarat," Das pula bersuara. Aku menoleh ke arah Das. Biar betul. Kau jangan buat keputusan bukan-bukan Das. Mati aku nak menjawabnya nanti. Das menepuk bahuku seraya menyuruh aku bertenang.

    "Seperti yang Ida terangkan tadi. Kami cuma jual produk orang lain tanpa perlu modal dan segala kerosakan yang berlaku adalah dalam tanggung jawab kami. Jadi, kalau kau nak juga jual wangian best ni, kau kena beli ja lah dengan kami dengan harga yang kami tawarkan tadi. Lepastu kau mark uplah dengan pelanggan-pelanggan kau nanti. Amacam?" jelas Das lagi. Ha... ada betulnya juga cadangan itu. Ini bererti tiada kerugian akan berlaku kepadaku sekiranya terjadinya sesuatu kepada botol-botol wangian tersebut. Kelihatan Kimi dan Farhan sedang berfikir untuk mempertimbangkan tawaran yang telah diutarakan oleh Das sebentar tadi. Dua orang rakan Das yang lain telah meminta diri untuk kembali ke rumah mereka stelah membeli beberapa botol wangian tersebut daripadaku. Hanya, tunang Das, Kimi dan Farhan sahaja yang berdiri di samping aku dan Das di sini.

     "Okay, aku setuju. Tapi aku nak dalam 70 botol sahaja dulu. Kalau aku lihat sambutannya yang menggalakkan, aku akan repeat order," ujar Farhan. 50 botol, bererti RM6300 yang perlu dia bayar kepadaku buat masa sekarang. Banyaknya! Biar betul. Dia kerja apa sebenarnya?

     "70 ja Han? Sikit sangat kot. Hehe.." Das pula mengusik. Sikit kau cakap Das? Aku beristifghfar di dalam hati. Aku menjadi makin ingin mengetahui pekerjaan rakannya ini.

     "Beginner Das. Hehe.. Kalau positif aku repeat lagi. So, aku nak bayar cheque atau pindahan bank je?" Tanya Farhan lagi.

     "Pindahan bank je lah. Tapi, amaun banyak tak boleh juga. Kau pindahkan sikit-sikitlah," aku terus menjawab. Tak perlulah nak buka cek bagai. Sebab aku memang dah kesuntukan masa. Farhan mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju.

     "Balancenya tu kau orang bagi kat aku ja. Aku nak display kat spa." Kimi pula mencelah. Ha? Semua? Biar betul Kimi ni. Kaya-raya betul rakan-rakan Das ni. Spa apa yang dia buka sampai mampu membeli beribu-ribu ringgit dalam satu masa ni. Kimi yang sedar akan aku yang melopong itu memberi isyarat sesuatu kepada Das. Das menyiku ku. Aku tersedar dari lamunan.

     "Oh..Er.. Sorry. Aku terkejut bila kau orang nak beli semua ni dalam satu masa macam ni? Banyak wang ni yang perlu kau orang keluarkan. Kau orang tak kisahke?" terpacul kata-kata itu dimulutku. Sungguh aku hairan. Yang lain kelihatan tertawa kecil. Lucu mungkin melihat gelagat ku.

     "Ida, Kimi ni pemilik restoran dan butik pakaian di Seremban ni. Pada masa yang sama dia pun ada buka spa kat sini. Rumah ni pun dia punya juga. Rakan-rakan yang lain ni duk menyewa dengan dia. Farhan ni pula taukey kedai kasut kat Seremban ni dan ada kedai penjilidan buku dekat dengan kedai kasutnya tu. Sebelum rumahnya siap dulu, dia pun menyewa di sini. Kebetulan pula dia pun datang ke sini pagi ni," Das menjelaskan satu persatu kepadaku. Oh, begitu rupaya. Jadi, masing-masing merupakan orang-orang berada. Antara mereka bertiga hanya tunang Das yang bekerja makan gaji. Jadi, Kimi yang dikatakan lembut itu betul-betul usahawan yang berjaya. Hmm...tapi belum mendirikan rumah tangga lagi. Agak-agaknya kalau aku diberi peluang, adakah aku akan menerima lelaki ini? Aku mula berteka-teki. Ah..sudahlah. Jangan nak perasan. Lelaki miskin pun tak sudi, inikan pula lelaki kaya macam mamat ni.

     Setelah selesai berbicara, aku dan Das meminta diri untuk pulang. Dalam perjalanan, notifikasi mesej aku bertalu-talu berbunyi. Mesej masuk bertubi-tubi ke dalam peti simpanan pesanan ringkasku. Aku membukanya. Mesej yang menandakan duit pindahan daripada Farhan dan juga Kimi yang masuk. Ya Allah! Benarkah ini? Aku bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku sekarang ini. Malam ini, perkhabaran baik ini akan ku salurkan kepada Encik Shark melalui emel yang telah diberi menerusi komputer ribaku. Aku juga akan memindahkan sejumlah kepadanya. Dan kemudian, komisen syarikat akan disalurkan kepadaku melalui akaun bank ku yang telah kuberikan padanya tempoh hari. Hari ini, 200 unit perfumes telah berjaya kujual. Ini bererti ada 800 unit lagi perlu kuhabiskan untuk melangsaikan ganti rugi Datin Anita. Das mengajakku untuk terus ke kilang bagi mengambil stok yang berikutnya untuk dijualkan lagi kepada rakan-rakannya yang lain atau ke mana-mana kedai yang berminat untuk membelinya. Aku menolak. Aku merasa lebih baik kalau kami kembali saja ke rumah untuk berehat serta dapat meredakan rasa terkejutku dengan kelarisan jualan kesemua wangian itu. Lagipun jam telah menunjukkan angka dua belas tengah hari. Memang masa yang tepat untuk khailullah.


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh usakoprincessz