Home Novel Cinta ~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
usakoprincessz
15/5/2019 14:58:06
15,551
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11


     Pagi itu, rutin berlaku seperti biasa. Sebelum ke dewan seminar semua peserta kursus akan mengambil sarapan pagi di kafeteria kem yang terletak berhampiran hostel itu. Aku dan Das beriringan seperti biasa ke sana. Beberapa kertas yang tercatat laporan tugasan untuk dibentangkan di dalam dewan nanti turut kubawa ke sana. Aku malas mahu berulang-alik dari kafeteria ke hostel lagi. Begitu juga dengan Das. Slot pada hari ini adalah merupakan slot terakhir kursus ini. Seperti yang dijadualkan, slot 1 dan 2 pada pagi ini adalah slot pembentangan dapatan tugasan para peserta, manakala slot pada petang ini adalah acara peyampaian hadiah kepada para peserta yang terbaik dalam menjalankan tugasan yang telah diberikan. Penyampaian hadiah tersebut akan disempurnakan oleh VIP yang telah dijemput. Malam ini pula, setiap kumpulan diwajibkan untuk mengadakan persembahan. Persembahan yang bagaimana? Hal tersebut adalah terpulang kepada idea dan kreativiti setiap ahli kumpulan masing-masing. Namun, seperti yang dimaklumkan oleh para fasilitator beberapa hari yang lepas, sedikit taklimat akan dilakukan mengenai persembahan tersebut selepas slot petang ini. Lagipun, acara penyampaian hadiah petang ini, sudah tentu tidak mengambil masa yang lama. Selesai sahaja persembahan tersebut, aktiviti barbeku pula akan diadakan. Kedengarannya sungguh menyeronokkan. Aku suka akan ayam barbeku. Aktiviti itulah yang selalu diadakan ketika adik-beradikku ramai-ramai berkumpul di rumah mak. Keesokannya, para peserta diberikan masa sehingga jam 12 tengah hari untuk berkemas pulang ke tempat masing-masing.

     "Ida, nanti jam 12 tengah hari kita nak ke pekan tak?" tanya Das sambil menjamah nasi goreng yang tersedia di dalam pinggannya. Aku turut berkelakuan sama menjamah menu yang sama pada pagi itu.

     "Pergi ke pekan?" aku membalas pertanyaan Das dengan persoalan pula.

     "Nak pergi ke pekan?" tiba-tiba suatu suara menyampuk. Ila melabuhkan punggungnya di sisiku. Juga hairan mungkin dengan pertanyaan itu. Das memandang ke arahku.

     "Yalah, tentang duit tu. Semalamkan kita bincang nak keluarkan hari ni," kata Das lagi. Aku baru teringat. Tentang duit sebanyak Rm2000 itu. Tapi, Datin Anita mahukan bayaran sekaligus. Agak-agaknya dia akan terima atau tidak bayaran yang separuh daripada jumlah sebenar itu ya?

     "Duit apa ni Das? Kau orang dapat duit ke? Tak beritahu aku pun," Ila pula mencelah. Kelihatan berkerut-kerut dahi Ila melihatkan kami berdua. Aku dan Das saling berpandangan. Bagaimana untuk menerangkan hal ini kepada Ila? Sedangkan Ila tidak tahu-menahu tentang kes ganti rugi ini.

     "Tapi, bayaran separuh-separuh tu dia nak terimake Das?" aku pula bertanya kepada Das. Masih belum menjawab soalan Ila. Ila memandang lagi ke arahku.

     "Kau orang bincang tentang apa ni? Sampai hati tak nak kongsi dengan aku," kata Ila separuh merajuk. Nasi lemak yang berada di dalam sudunya disuapkan ke dalam mulutnya tanpa memandang ke arah kami lagi. Jauh hati dengan sikapku yang belum menjawab soalannya tadi. Aku memandang Das sekali lagii. Das juga berkelakuan sama. Rasa serba salah mula terbit dalam diriku. Hendak diceritakan padanya, tidak tahu mahu dimulakan dari mana kerana Ila langsung tidak mengetahui tentang kes ganti rugiku dengan 'BB Addicted' ini.

     "Bukan macam tu Ila. Bukan tak nak kongsi dengan kau. Tapi, panjang ceritanya. Tak tahu nak mula dari mana," kataku kepada Ila dengan nada memujuk. Jujur! Memang aku tak tahu bagaimana untuk menceritakan hal ini kepadanya. Mungkin dia juga susah untuk percaya perkara ini. Ila masih tunduk, malas untuk berbicara. Masih merajuk! Das menggeleng-gelengkan kepala. Aku memandang wajah Das meminta bantuannya. Das akur lalu menceritakan segalanya kepada Ila. Aku hanya mendengar dan sesekali menyampuk dan mengiyakan setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Das. Ila kelihatan tekun mendengarnya sehingga selesai Das bercerita.

     "Betulke ni? Macam tak percaya ja," ujar Ila kemudiannya.

     "Itulah kenyataannya Ila. Mak datin tu minta RM4000 dengan Ida secara 'lumpsump!' balas Das lagi meyakinkan Ila.

     "Tapi, setahu aku, Cik Ita bukan macam tu orangnya. Baik. Lembut. Penyayang dan yang paling penting.....pemurah dan tak kedekut. Kenapa dia...." Ila kedengarannya memuji-muji sifat Datin Anita yang hanya dikenali sebagai Cik Ita itu dan kurang percaya dengan apa yang telah didengar sebentar tadi. Aku segera memotong percakapannya. Malas mendengar pujian yang tidak seperti yang dikhabarkan itu.

     "Terpulanglah engkau mahu percaya ataupun tidak Ila. Kami tak bohong," kataku kepada Ila. Ila masih memandang wajah ku. Mukanya masih berkerut seribu. Kelihatan masih tidak percaya. Apakah mak datin itu terlalu baik pada pandangan dia? Kalau betul mak datin itu teramat baik, masakan pula meminta wang ganti rugi sebanyak RM4000 kepadaku terus-terusan begitu. Logik akalku mengatakan bahawa, orang yang baik pasti boleh bertolak ansur dalam hal-hal yang sebegini. Kegagalan dalam jualan 10 pewangi Burberry Brit EDT itu mungkin benar kesilapan yang berpunca dariku walaupun sememangnya adalah kesalahan daripada pembekalku, tetapi terlanggar dia tempoh hari bukanlah suatu perkara yang disengajakan, takkan itu pun dia tidak boleh bertolak ansur. Baik, lembut, penyayang dan pemurah konon. Jangan pandai sembang saja. Ujarku dalam hati. Ila menggeleng-gelengkan kepalanya.

     "Aku cuma tak sangka Cik Ita itu berkelakuan begitu. Bukan tidak percayakan kau orang berdua," ujar Ila lagi. Kelihatan wajahnya agak kecewa.

     "Jadi, macam mana Ida?" Das pula bertanya mengulangi soalan pertama yang diajukan sebentar tadi.

     "Entahlah Das, kalau kita nak cuba. Boleh juga, tapi sebaiknya aku tanyakan dia dulu," aku membalas pertanyaan Das seraya menunjukkan Nokia C3 dalam genggaman ku itu. Jari jemariku laju menghantar pesanan ringkas kepada Datin Anita. Serentak kemudian mesejku berbalas. Laju sekali balasan mesejnya. Telefon sentiasa berada di tangan diakah? Aku membuka pesanan itu.

     'Baiklah. No need to transfer it. Give me your cash today. See me after 3.30 pm at the camp' begitulah bunyi pesanan ringkasnya. Aku membacanya supaya yang lain turut mendengarkannya. Das mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. Ila pula masih menunjukkan wajah yang kebingungan seolah-olah tidak mempercayai pesanan ringkas itu datangnya daripada perempuan yang dipanggil Cik Ita itu. Tangannya mecapai telefonku yang tidak canggih itu dan mengulangi ayat yang telah kubacakan tadi sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

     "So unbelievable," ucap Ila sebaik sahaja mengakhiri bait-bait tulisan pesanan ringkas itu. Aku tersenyum sinis. Tak percaya lagi? Tunggu jam 3.30 p.m nanti ya Ila.

     Setelah menghabiskan makanan masing-masing, kami bergerak menuju ke dewan seminar beriringan. Ila masih bertanya banyak tentang kejadian itu kepadaku. Aku hanya menjawab setiap pertanyaannya. Sesampai di dewan, kami mengambil tempat di belakang sahaja. Aku seolah-olah fobia pula berada di depan. Lebih-lebih lagi aku mengetahui bahawa ada VIP yang akan datang nanti. Entah-entah VIP yang dimaksudkan adalah Datin Anita itu lagi. Aku tidak mahu memandangnya lagi. Kerusi plastik putih itu kuanjakkan ke belakang untuk kududuki. Ila dan Das pun berkelakuan sama. Masing-masing membuka kertas laporan dapatan tugasan masing-masing dan membacanya sebagai persediaan untuk pembentangan nanti. Dapatan untuk jualan perfumes secara atas talian itu tidak kumasukkan di situ. Aku hanya ingin menyatakan bahawa tiada jualan yang berlaku walaupun telah berusaha keras mempromosikan barangan yang ingin kujual itu. Urusan jual beliku dengan BB Addicted akan aku sembunyikan. Berdebar-debar pula aku rasakan. Padahal ini bukan kali pertama aku perlu bercakap di hadapan orang ramai, malah bercakap di depan ratusan ibu bapa pada Mesyuarat PIBG sekolahku pun aku sudah terbiasa. Tapi, kali ini darah gemuruh yang melanda dalam diriku itu lain macam pula. Mula rasa nak terkucil pun ada. Melihatkan aku gelisah begitu, Ila mencuit bahuku.

     "Eh, kau dah kenapa?" tanya Ila. Aku menunjukkan isyarat bahawa aku perlu ke tandas. Das dan Ila hanya tersenyum. Lucu melihat keletah ku yang ketakutan seperti para pelajar sekolah yang ketakutan untuk membuat sesi pembentangan di hadapan kelas.

     Aku melajukan langkahku menuju ke tandas di hujung luar dewan berdekatan dengan pintu belakang dewan. Tandas wanita terletak bertentangan dengan tandas lelaki. Tiada orang di sana. Jadi, tidak perlu beratur. Proses membuang air kecil pun akan berlaku dengan lancar. Tandas di situ agak bersih. Mungkin pekerja yang ditugaskan untuk mencuci tandas itu menjalankan tugasnya dengan baik. Sampah sarap di dalam tong sampah kelihatannya tidak memenuhi tong. Jelas sekali menunjukkan pekerjanya kerap masuk ke situ dan mengawasi kebersihan tandas itu. Tidak sperti di sesetengah tempat yang kotor kerana kebersihan tidak selalu diselenggarakan. Selepas membetulkan selendang hijau 'Keknis' yang ku pakai ala-ala Mira Filzah itu, aku pun berlalu ke luar tandas. Kelihatan dua orang yang kukenali berdiri tidak jauh daripada pintu belakang dewan itu. Encik Kacak dan Kak Erra! Aku masuk semula ke dalam tandas. Harapanku semoga kedua-dua orang itu berlalu dari situ kerana jam di tanganku telah menunjukkan angka 8.00 pagi. Ini bererti slot pembentangan akan dimulakan. Seharusnya mereka berdua telah berada di dalam dewan sekarang. 5 minit kemudiannya berlalu. Kakiku sudah penat untk berdiri sia-sia di dalam tandas itu. Ku jenguk ke luar pintu tandas. Tiada siapa-siapa lagi. Aku memberanikan diri untuk keluar.Saat tanganku menggapai tombol pintu dewan, kedengaran pintu tandas di sebelah kiriku berkeriut disertai dengan sapaan suara yang aku kenali.

     "Ida..tunggu" suara sapaan itu berbentuk arahan. Aku tidak jadi untuk terus menarik tombol pintu dewan itu dan menoleh ke belakang. Encik Kacak berdiri di situ.

     "Ida, apa sebenarnya yang dah berlaku antara Ida dengan mama abang?" ujar lelaki itu dengan nada mendatar. Masih membahasakan dirinya 'abang' denganku. Aku terlalu mudakah untuk dia? Entah-entah sebaya tak? Ataupun lebih muda dariku. Aku mencongak-congak umur Kak Erra, namun tak mampu mengingatinya. Oh..lupa.. dia pernah memberitahu umurnya ketika slot riadah petang dulu. Memang lebih tua dariku..tapi...bukan terlalu tua kot.. Tak perlu berabang-abang pula denganku..

     "Ida, please answer me... apa yang terjadi antara mama dengan Ida sebelum ni?" kali ini nadanya seperti merayu. Aku jadi serba salah. Perlukah aku terangkan kepadanya? Adakah masalah akan dapat diselesaikan dengan cepat jika aku menceritakan hal yang terjadi antara aku dengan Datin Anita kepadanya? Tapi, kata wanita itu tempoh hari dalam pesanan ringkasnya supaya aku tidak memanjang-manjangkan kes ini kepada anaknya sama ada Kak Erra mahupun lelaki yang sedang berhadapan denganku sekarang ini.

     "Ida, abang berhak tahu jugakan apa yang berlaku antara Ida dengan mama. Kenapa mama abang meninggikan suaranya sampai begitu sekali malam tadi?" tanya Encik Kacak lagi apabila aku masih diam tanpa jawapan. Aku serba salah. Kali ini nadanya seperti memaksa pula.

     "Erm, tak ada apa-apa. Cuma salah faham kot," aku bersuara akhirnya. Aku mendengar keluhan yang keluar dari bibirnya. Matanya masih memandangku. Aku memang alah dengan pandangan itu. Surrender! Matanya yang redup bagaikan anak panah yang menikam ke sukmaku.

     "Jangan bohong. Abang kenal siapa mama abang. Dia takkan tinggikan suara macam tu kalau tiada apa-apa yang serius. Tolong ceritakan pada abang," lelaki itu masih memujuk. Lembut sekali nada suaranya. Lagaknya yang prihatin itu membuat aku jadi serba salah. Agaknya, lelaki ini tidak pandai marah kot. Ingatanku terarah kepada cerita Das malam tadi, perihal Encik Kacak menengking Minah Ketak! Tidak masuk akal! Lagaknya yang berbudi bahasa ini tidak memungkinkan dia bertindak sedemikian. Aku mengerutkan dahi tidak percaya.

     "Ida, please....." lelaki itu masih memujuk. Aku makin menjadi serba salah. Hatiku memaksa untuk menceritakan perkara yang berlaku kepadanya, namun bibirku bagai dikunci. Itulah hati. Tak ku sangka ia terlalu mudah tunduk dengan pujuk rayu lelaki ini. Aku mengetap bibirku. Wajahku angkat sedikit. Lelaki tadi masih merenung wajahku meminta jawapan dariku.

     "Memang ada salah faham sikit. Nak ceritakan pun tak tahu nak mula dari mana," ujarku pendek. Jawapan yang sama seperti yang kuberikan kepada Ila di kafeteria tadi. Memang 'compicated' untuk diceritakan. Memerlukan masa yang agak panjang untuk aku sampaikan. Kelihatan Encik Kacak mengangguk-anggukkan kepalanya. Kenapa? Faham? Apa yang dia faham? Aku pula yang bertanya.

     "Abang nak tahu bagaimana mama boleh salah faham dengan Ida?," lelaki itu bertanya lagi. Malasnya aku mahu mengulangi cerita yang sama ini, tetapi nampaknya aku sudah tiada pilihan lagi. Aku menjarakkan sedikit badanku daripada tombol pintu dewan itu supaya suaraku tidak terlalu kuat untuk menceritakan perkara yang telah berlaku antara aku dengan Datin Anita kepada Encik Kacak.

     "Begini, semuanya bermula disebabkan saya gagal dalam urusan jual beli 10 perfumes Burberry Edt 100 ml dengannya. Datin telah membeli dengan saya, namun perfumes tersebut tidak sampai ke tangannya. Tapi.... semua tu bukan seratus-peratus salah saya. Pembekal saya.." sedang aku bercerita kepada Encik Kacak akan hal sebenar, tombol pintu dewan dibuka dan kedengarannya dilepaskan dengan kuat. Aku terkejut dan terhenti seketika dan memandang ke arah pintu belakang dewan itu. Wanita itu berdiri di situ sambil merenung tajam ke arahku. Aku menelan air liur. Habis.. Datin Anita sudah pasti telah mendengarkan perbicaraan ku sebentar tadi.

     "Oh, sekarang awak nak ambil simpati dengan anak teruna saya pula?" wanita itu bersuara sinis seraya merapatiku. Aku memejamkan mata. Silap! Memang silap aku. Tidak sepatutnya aku ceritakan masalah ini kepada Encik Kacak tadi. Inilah padahnya. Aku menggeleng-gelengkan kepalaku menafikan tuduhan melulu wanita itu.

     "Kalau bukan untuk minta simpati, untuk apa perlu awak ceritakan pada dia?" wanita itu bertanya lagi. Makin sinis bunyinya.

      "Mama.. mama jangan salah faham dengan Ida. Diey yang.." belum sempat Encik Kacak menghabiskan ayatnya, wanita itu memotong percakapnnya.

     "Mama tak bertanya pada Diey kan?" ujar wanita itu lagi. Perlahan tapi cukup membuatkan Encik Kacak terdiam. Ku lihat wajah Encik Kacak berubah. Wajahnya merah padam. Pandangannya dialihkan ke tempat lain. Aksi apa pula yang akan berlaku selepas ini? Aku mula rimas. Lebih baik aku berlalu dari sini. Aku bergerak sedikit ke belakang dan berhasrat untuk mengangkat kaki.

     "Ida.."wanita itu pula memanggil namaku. Inilah kali pertama aku mendengar wanita itu menyebut namaku. Aku berhenti dan menoleh.

     "Jika kita dah buat masalah, tak perlulah kita menyuruh orang lain untuk menyelesaikan masalah kita tu," ujarnya lagi. Aku hanya diam. Tiada reaksi. Jelas sekali wanita itu beranggapan bahawa aku ingin menarik simpati Encik kacak dalam menyelesaikan kes ganti rugi ini. Oh..tidak. Dia dah salah anggap denganku.

     "Diey, tunggu apa lagi kat sini? Pembentangan dah mula kat dalam," wanita itu bersuara lagi. Kedengaran Encik Kacak mengeluh. Aku malas mendengarkan perbicaraan kedua-dua beranak itu lantas menarik tombol pintu untuk masuk ke dalam dewan. Das yang baru menyedari kehadiranku terus bertanya.

     "Eh, lama betul kau bertapa dalam tandas? Buang besar eh?" tanya Das berseloroh. Aku menjeling ke arahnya seraya menunjukkan telunjukku ke arah kedua-dua orang yang baru masuk ke dalam dewan itu dari pintu belakang. Das menekup mulutnya. Mungkin terkejut melihatkan Datin Anita bersama Encik Kacak yang baru memasuki dewan itu.

     "Malang betul tadi," aku memulakan perbualan dengan nada perlahan lalu menceritakan hal yang terjadi sebentar tadi kepada Das. Ila yang berada di sebelahku turut mendengarkannya.

     "Tak pasal-pasal mak datin tu ingat aku nak raih simpati anak teruna dia pulak," aku bersuara lagi. Ila mengerutkan dahi. Tak percaya lagilah tu dengan Cik Itanya yang kononnya terlalu baik itu.

     "Tapi, Encik Faidi pun satu, sibuk nak ambil tahu. Kalu dia tak tanya tadi, takkanlah mak datin tu salah faham pulak," ujar Das seraya mencebikkan bibirnya. Kali ini Das berfikiran sama denganku. Memang betul, kalau dia tak sibuk bertanya tadi, tidak mungkin aku akan bercerita tentang kejadian itu lagi. Dan sudah tentu ibunya tidak berprasangka yang bukan-bukan terhadapku pula.

     "Isy, tak baik kau orang cakap macam tu. Encik Faidi tu baiklah. Baik sangat tau. Niat dia nak menolong kau lah Ida. Cik Ita tu pula baik sebenarnya, mungkin ada salah faham ni tak," pro Encik Kacak dan Datin Anita dah bersuara. Aku dan Das memandang ke arah Ila. Memang Ila selalu berpihak kepada mereka berdua. Apalah yang membuatkan Ila begitu yakin terhadap mereka berdua.

     "Yalah tu, Cik Ita dengan Encik Faidi kau tu baik sangat. Macam malaikat," aku mula menyindir. Bosan mendengarkan pujian melampau yang tak terlihat pada zahirnya menurutku. Das tertawa kecil mendengarkan sindiranku. Ila terdiam seketika kemudian bersuara.

     "Tak adalah macamtu. Tapi, betullah. Dia orang memang baik. Encik Faidi tu memang suka menolong orang," ujar Ila lagi tidak berpuas hati.

     "Yalah tu. Tolong menyibuk pun ada," aku membalasnya seraya tergelak. Das pun ikut ketawa. Ila hanya memuncungkan bibirnya tanda protes. Masih tetap dengan pendiriannya yang mengatakan mereka itu orang baik-baik. Ah.. sudahlah.

     Slot pagi itu berakhir tepat jam 12 tengah hari.. Aku sangat bersyukur kerana sepanjang pembentanganku tadi, tiada soalan yang aneh-aneh ditanya oleh para jemputan mahupun fasilitator yang lain. Datin Anita pun kulihat hanya terdiam sahaja walaupun memberi renungan yang tajam terhadapku. Encik Kacak dan Kak Erra pun kulihat hanya memandang dari jauh. Para peserta kemudiannya dibenarkan untuk berehat. Slot petang pula akan dimulakan tepat jam 2.30 petang nanti. Seperti mana yang dirancang, aku dan Das berhasrat untuk ke pekan Jempol pada waktu itu. Das bersedia meminjamkan sejumlah wangnya kepadaku sebagai pendahuluan bayaran bagi ganti rugi ke atas kegagalan dalam penjualan 10 perfumes ku itu serta ketidaksengajaan aku memecahkan perfumes-perfumes yang baru dibeli oleh Datin Anita tempoh hari. Kami berjalan beiringan menuju ke pintu pagar kem untuk menunggu teksi di luar. Makan tengah hari di kafeteria tidak sempat kami jamah dek berkejar ke pekan Jempol lantaran bimbang mengambil masa yang lama di pekan itu nanti. Kami bercadang untuk membeli makanan di pekan Jempol saja nanti. Pengorbanan Das terhadapku itu akan kuingat sampai bila-bila. Syukur kutemui insan yang begitu memahamiku pada waktu itu.

     Aku mendail nombor teksi. Namun belum berangkat. Mungkinkah banyak pemandu teksi yang sedang berehat ya? Ku cuba lagi kemudiannya dengan harapan talian yang bersambung itu dijawab. Das yang berada di sebelahku mengipas-ngipas wajahnya dengan menggunakan selendang yang tersarung di kepalanya. Memang terik matahari pada waktu itu betul-betul membahang. Nasibku baik kerana panggilan aku itu akhirnya diangkat. Kami dibawa ke pekan Jempol. Sesampainya di sana, kami terus menuju ke mesin ATM CIMB kerana Das menyimpan sejumlah wangnya di situ. Aku hanya menuruti Das dari belakang. Tatkala duit telah berjaya dikeluarkan, air mataku menitis tanpa dipaksa. Aku malu dengan diriku sendiri. Das yang tidak bersalah pula terpaksa mengeluarkan sebahagian duit simpanannya hanya untuk menolong atas kecuaian yang telah aku lakukan.

    "Ida, kenapa kau menangis?" tanya Das sebaik sahaja melihat air mataku menitis. Cepat-cepat ku kesat air mataku. Segan dilihat oleh orang lain.

     "Aku dah susahkan kau Das. Duit simpanan kau pula yang terpaksa dikeluarkan," aku membalas pertanyaan dengan nada perlahan. Lirih sekali kedengarannya. Das memegang bahuku.

     "Kau kan kawan aku. Hari ini kau susah. Dah tentulah aku akan tolong," kata Das seraya memujukku supaya berhenti menangis. Aku makin sebak.

     "Tapi, jumlah yang aku pinjam ini banyak sangat Das,"aku tak mampu menahan esakanku lagi. Ya. Siapa yang sudi meminjamkan RM2000 sebegitu sahaja. Sedangkan wanita yang berdiri di depanku ini sanggup walaupun hanya ku kenali dalam masa 3 minggu sahaja. Sungguh baik budinya.

     "Aku percayakan kau. Kau kawan yang baik. Kau tersepit dalam masalah ni. Aku tak kisah Ida. Aku ikhlas pinjamkan kau," ujar Das lagi meyakinkan aku. Aku memeluknya. Terima kasih Das! Akan ku bayar wang ini secepat yang boleh. Akan aku usahakan semampuku. Das menepuk-nepuk bahuku seraya menenangkan emosiku. Aku mengesat sejumlah airmata yang keluar membasahi pipi. Tepat jam 3.30 petang nanti, akan ku tunggu mak datin itu. Aku akan pastikan duit ganti ruginya itu terbayar walaupun hanya separuh sahaja bayarannya. Duit yang diberikan oleh Das itu, aku simpan baik-baik di dalam beg tanganku. Bimbang juga kalau ada mata yang memerhatikan kami sebentar tadi. Hati manusia kita sendiri tidak dapat menekanya.

     Jam di tanganku menunjukkan angka 1.30 petang. Ini bererti kami mempunyai masa selama satu jam lagi unutk kembali ke dewan seminar bagi slot petang ini. Sebelum bergerak ke stesen teksi di pekan Jempol itu, kami mencari-cari warung yang sesuai untuk makan tengah hari. Sedang berjalan melintasi gerai-gerai makanan di situ, aku tertancap pada satu papan tanda 'RESTORAN AJAK'. Ya, restoran yang pernah aku kunjungi pada malam itu bersama-sama Das, Ila, Encik Fairuz dan Encik Kacak. Kelihatan restoran itu turut menyediakan makanan tengah hari yang dihidangkan secara buffet. Banyak betul pilihan makanan yang disediakan. Aku mencuit bahu Das seraya menunjukkan ke arah restoran itu.

     "Jom, makan kat situ nak? Aku belanja," ujarku kepada Das. Das tersenyum sambil mengenyitkan matanya tanda setuju. Kami memasuki premis itu. Restorannya dilengkapi dengan kemudahan pendingin hawa yang memberikan keselesaan kepada pengunjungnya. Kami memilih meja yang terletak di sudut restoran itu. Meja tersebut berbentuk segiempat yang dapat memuatkan seramai 4 orang pelanggan untuk makan di situ. Ada juga meja bulat yang disediakan di tengah-tengah ruang restoran dan bersaiz lebih besar untuk memuatkan lebih ramai pengunjung yang datang untuk menjamu selera. Aku menyuruh Das mengambil makanan terlebih dahulu, sementara aku hanya menunggu di situ. Kelihatan ramai pengunjung yang datang ke restoran yang agak besar ku kira daripada warung-warung yang lain. Premis yang disewakan oleh restoran ini juga mengambil kapasiti 3 buah kedai yang berhampiran. Ketika asyik membuang pandangan ke arah pengunjung-pengunjung yang datang, telefonku berdering menandakan ada panggilan masuk. Tertera nombor yang tidak aku kenali. Aku tidak terus mengangkatnya. Malas! Entah siapa-siapalah yang menelefonku. Deringan itu berbunyi lagi untuk kali kedua. Aku masih tidak mahu mengangkatnya. Akhirnya, sebuah pesanan ringkas yang masuk.

     'Hai, buat apa tu?' pendek saja bunyinya. Siapa pula tuan empunya nombor ini. Lantas aku teringatkan beberapa orang rakan chatting menerusi yahoo messenger ku. Memang sebelum aku datang ke kursus ini, aku memang aktif ber 'chatting' dalam yahoo messenger. Aku memang pernah beberapa kali memberikan nombor telefon ku kepada mereka. ID kenalan aku itu pun aku sudah lupa. Bukan kuberikan kepada semua kenalan di situ, tetapi ada beberapa orang yang aku suka 'chat' dengan mereka sahaja. Saja menambahkan kenalan. Selalunya kenalan lelakilah. Kalau ada yang tahu tentang kelakuan aku ini, pasti ada yang akan mengutukku kan. Hehe..tapi, sebenarnya ini adalah salah satu cara untuk aku mengenali lelaki. Manalah tahu, boleh terjatuh cinta atau terserempak dengan jodoh ketika ber 'chatting' dengan mereka itu. Ini disebabkan terpengaruh dengan cerita-cerita di televisyen lah ni seperti kisah selebriti Wardeena dan suaminya yang bertemu jodoh melalui emel. Haha..kelakar pun ada.. Aku hanya merenung mesej yang masuk itu. Siapa ya? Kalau iya pun, taaruflah dulu. Beritahu dulu akan apa nama ID nya, supaya aku tidak tertanya-tanya. Kalau-kalau nombor telefon itu milik pelajarku atau milik ibu bapanya bagaimana? Tapi, kalau pesanan daripada ibu-bapa atau pelajar takkan berbunyi begini. Siap tanya buat apa tu, tak ada kerja lainke orang tu. Ini mesti salah seorang daripada rakan 'chatting' yang pernah aku berikan nomborku padanya dulu.

     'Assalamualaikum... bagiler salam dulu' aku membalas pendek. Kemudian pesanan ringkas dari nombor itu pula yang masuk.

     'Waalaikumussalam.. oh lupa la. Sorry.. J Dah makan?' mesra pula bertanya. Aku hanya melayan mesej itu sementara menunggu kelibat Das mampir ke meja.

     'Belum. Baru nak tunjuk lauk...kihkihkih' aku membalas lagi. Kenalan yang tidak dapat kuteka itu kemudiannya membalas.

     'Tunjuk? Isy..isy..isy.... ambilla sendiri. Anak dara tak boleh malehh J' aku tersenyum membaca pesanan ringkas itu. Makin dilayan makin menjadi-jadi pula. Sah-sah lelaki. Takkanlah kenalan perempuan nak melayan mesej bodoh ini. Cara dia menjawab pun boleh dapat ku teka. Aku mula ingin tahu siapa empunya nombor telefon ini. ID yang mana ya yang 'poyo' sikit. Ada 2 orang rakan 'chatting' yang selalu aktif ketika aku mengkatifkan yahoo messengerku. Aku mencongak-congak nama ID kenalanku itu, Sepatu Putih atau Lang Merah ya? Seingatku Sepatu Putih agak skema sedikit orangnya, maklumlah bekerja sebagai pembantu perubatan katanya. Lang Merah pula longgar-longgar sikit orangnya. Bekerja sebagai techincian kilang saja. Aku pasti ini mesti nombor telefon milik Lang Merah kot. Lantas aku menyimpan nombor telefon itu dengan nama 'Lang Merah'. Baru hendak membalas mesej tersebut, kelibat Das sudah tercegat di depan mejaku. Das menjungkitkan keningnya ke arahku. Hairan mungkin dengan telatahku yang tersenyum-senyum sendiri.

     "Budak 'chatting' aku mesej," aku memberitahu spontan. Das membulatkan matanya.

     "Kau bagi nombor telefon kau kat budak 'chatting'?" Das bertanya. Aku menggangguk mengiyakannya sambil tersenyum.

     "Usaha. Carik jodoh," aku berseloroh. Das tergelak.

     "Kau hati-hati tau. Rakan 'chatting' ni bukan boleh percayooo sangat," ujar Das lagi.

     "Ala, aku main-main ja lah. Bukan aku pergi jumpa dia betul-betul pun," jawabku selamba. Das masih tidak berpuas hati dan bertanya lagi.

     "Dah tu, kau melayan? Apa faedahnya?" aku tergelak kecil.

     "Saja melayan. Bosan-bosan," giliran Das pula yang tergelak. Aku bingkas bangun untuk mengambil makanan. Mesej Lang Merah kubiarkan begitu sahaja. Aku cepat-cepat menghabiskan sisa-sisa makanan supaya tidak terlewat untuk sampai ke kem nanti.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh usakoprincessz