Bab 10

     Aku menarik gebar yang berselerak di katilku. Das masih berdiri di hadapan cermin tekun menyapu krim malam di wajahnya. Aku hanya memandang ke arahnya. Rajin betul dia menjaga kecantikannya. Berbeza pula dengan aku. Aku hanya menyapu krim malam atau losen apabila datang 'mood' rajin sahaja. Jenama barangan kecantikan aku pula bukanlah jenama-jenama yang ternama. Produk 'Safi' juga pilihan aku. Dari remaja hinggalah dewasa seperti sekarang.

      "Kenapa kau pandang aku macam tu?" Das bertanya kehairanan apabila melihat aku asyik memandang ke arahnya sejak tadi. Aku tersenyum.

     "Beruntung Acus. Dapat bakal isteri macam kau. Suka menjaga kecantikan diri," aku membalas pertanyaan Das dengan nada mengusik. Acus, begitulah nama yang sering meniti di bibir Das. Nama tunangnya katanya. Nama sebenar tidak pula aku ketahuinya. Das ketawa apabila mendengarkannya.

     "Dengan umur macamni, kita perlu juga menjaga kulit dan kecantikan kita Ida. Bukan untuk orang lain, tapi untuk kepuasan diri kita sendiri," ujar Das sambil menunjukkan losen Mary Kay miliknya. Aku tahu, barangan kecantikan dari jenama itu memang mahal. Ramai guru-guru di sekolahku yang menggunakannya. Ramai juga yang menjadi 'dealer' produk itu. Entah berapa kali promosi yang dilakukan oleh mereka supaya aku turut membeli produk itu, namun aku menolaknya. Aku rasa membazir. Lebih baik aku belikan beg tangan, baju atau kasut. Tapi, ada betulnya juga kata-kata Das sebentar tadi.

      "Betul juga kan Das. Padanlah sampai sekarang belum ada lelaki yang suka akan aku. Tak pandai menjaga kecantikan agaknya," aku membalas selamba seraya tertawa.

      "Kau cantik semulajadi lah Ida. Kening lebat macam Kajol. Kulit cerah tanpa perlu pakai Garnier. Kecantikan alami bak kata minah indon," Das membalas dengan nada mengusik. Aku hanya mencebik bibir. Cantik konon. Aku tidak percaya dengan kata-katanya. Kalau cantik, tidak mungkin sampai sekarang aku masih sendiri. Bukankah orang yang cantik akan menjadi pujaan ramai? Tidak pernah sampai ke pengetahuanku pun ada insan yang memuja aku. Hehe.. Lainlah kalau macam Siti Nurhaliza ke, Neelofa atau Fasha Sandha kan.

      "Kecantikan itu subjektif. Kecantikan adalah hak milik setiap insan," Das bersuara lagi sambil mengajuk kata-kata sebuah iklan produk kecantikan di kaca televisyen. Kami tertawa seketika membayangkan wanita yang berambut pendek di dalam iklan tersebut. Aku kemudiannya bercerita tentang pertemuanku dengan Encik Shark sebentar tadi dan menyatakan kesanggupan aku untuk menyahut cabaran tersebut.

     "Kau yakin cara ini dapat menyelesaikan masalah ini?" Das kembali bertanya.

     "50 % Das," aku membalas pendek. Das menjungkitkan keningnya. Hairan mungkin dengan kesungguhan aku menyampaikan hasrat aku sebentar tadi, namun meletakkan harapan hanya 50 %.

     "Dalam 'add math', kebarangkalian itu akan menjadi satu kalau kita memberi peluang dalam ruang sampelnya. Kalau tiada peluang jawapannya adalah 0,"katakulagi. Das mengiyakan kata-kataku.

      "Tapi, jauh juga perjalanan untuk kau ambil stok tu? Pasir Gudang ke Nilaikan?" Das bertanya lagi. Aku menganggukkan kepalaku. Memang betul. Memang jauh, tapi apa harus aku buat. Kilang syarikatnya memang berada di situ. Takkan boleh dipindahkan ke tempat lain pula.

      "Tapi, Nilai tak jauh sangat dari Seremban. Rumah aku kat Seremban. Kalau kau nak ambil stok, datanglah rumah aku dulu beb. Nanti aku petakan kat mana," ujar Das lagi. Aku memandang ke wajah Das. Aku tersenyum tanda setuju. Ada benarnya juga ya.

     "Okay jugak tu. Bolehlah kita jalan-jalan lagi kat Plaza Ampangan tu kan. Boleh Karaokae lagi," aku menyambung kata. Das memandangku.

      "Karaokae? Huh.." Das memuncungkan mulutnya. Aku tersenyum. Aku tahu Das pasti terbayang akan peristiwa tempoh hari. Aku tinggalkan dia tanpa pamit. Akhirnya, membawa padah pada diriku sendiri.

     "Ala, haritu lain. Ada pasangan menjengkelkan dalam tu. Kalau kita pergi berdua saja kan best," aku membalas kata-kata Das sebentar tadi. Das kemudiannya menatap wajahku.

     "Ida, ada yang perlu kau tahu tentang kejadian dalam 'box' karaokae hari tu," kali ini suara Das lebih serius daripada sebelumnya. Aku mengangkat keningku. Apa yang terlalu serius sehingga wajah Das berubah. Das menarik nafas panjang.

     "Selepas kau tinggalkan bilik kecil tu, suasana dalam tu tegang sangat," Das memulakan ceritanya. Aku mendengar dengan penuh khusyuk.

     "Aku dan Ila berlari-lari mengejar kau, tapi tak jumpa. Engkau menghilang entah ke mana. Cepat benar kau lari masa tu. Kemudian, kami berpatah balik ke dalam bilik itu. Lagipun beg tangan aku dengan Ila masih tertinggal di situ. Apabila kami sampai ke sana, Minah Ketak kelihatan sedang menangis. Aku dan Ila pun turut terpinga-pinga. Encik Yuz pun diam seribu bahasa. Hanya Encik Kacak sahaja yang bersuara," Das berhenti seketika sambil memandangku. Aku tak sabar menunggu untuk mengetahui cerita selanjutnya.

     "Kau nak tahu tak apa yang diucapkan oleh Encik Kacak pada masa tu?"Das bertanya lagi. Aku menganggukkan kepalaku. Das berdiri sambil berlagak seperti seorang lelaki.

     "Apa yang you nak sebenarnya As? Untuk apa you ejek perempuan tu? Siapa yang gedik sebenarnya? You atau dia?Tolong you bezakan mana yang rasmi dengan mana yang tak rasmi. Be professional! Tolong jangan buat salah faham lagi. I madly bosan! Tugas you di Berhulu Camp cukup sampai esok sahaja," aku hanya memandang lakonan Das di hadapanku tanpa berkelip. Suara Das cukup tinggi. Seperti suara seorang guru garang yang memarahi anak muridnya yang tidak menyiapkan kerja sekolahnya. Biar betul Das ni! Takkanlah Encik Kacak yang selalu berpewatakan sederhana itu menengking kekasih hatinya sebegitu rupa. Ada tokok tambah ni. Sumber lisan ni kadang-kadang banyak yang serong. Das kemudian kembali duduk di sebelahku.

     "Lepastu, Encik Kacak keluar. Encik Yuz pun ikut sekali. Aku pun tak tahu mereka pergi ke mana. Minah Ketak tu masih lagi teresak-esak kat situ. Aku dan Ila pun keluar dari bilik tu dan cuba mencari kau lagi," kata Das lagi. Aku hanya mendengar kata-kata Das itu. Seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dituturkan oleh Das sebentar tadi. Patutlah kelibat Minah Ketak tidak kelihatan tadi. Kalau tidak sudah tentu dia akan berada di dalam dewan paling awal dari fasilitator yang lain. Disiplin dia yang itu aku puji.

     "Tapi, salah aku jugak masa tu kan. Aku betul-betul tak dapat menahan emosi. Bahasa aku pun dah berubah. Aku sakit hati betul dia cakap aku gedik. Bukan sekali, tapi dah banyak kali tau," giliran aku pula bersuara.

      "Bukan kau saja yang sakit hati. Aku pun benci tengok muka dia tau. Aku macam peliklah Ida. Mereka berdua tu memang ada hubunganke?" tanya Das kepadaku. Aku menoleh ke arahnya.

      "Eh, kenapa kau tanya aku pulak. Entah! Tapi, kalau tiada hubungan, takkanlah dia nak bincang tentang majlis pertunangan macam yang kita dengar dekat Restoran Ajak tu dulukan. Lagi pula, dia pernah 'warning' aku malamtu, jangan duk tergila-gilakan Encik Kacak tu sebab lelaki tu bakal tunang dia," kataku pula. Das mengangguk-anggukkan kepalanya.

      "Tapi, they are a weird couple lah aku rasa," ujar Das lagi. Aku turut merasakan hal yang sama. Sepatutnya seorang kekasih lebih 'concern' dengan perasaan hati kekasihnya. Mana ada perempuan yang suka akan kekasih hatinya mendekati perempuan lain walaupun atas tiket sebuah pertolongan. Pasti akan ada salah faham nanti. Perbualan kami berhenti apabila melihat jam locengku menunjukkan angka 12 malam. Masa untuk tidur.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh