Home Novel Cinta ~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
usakoprincessz
15/5/2019 14:58:06
11,141
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9


     "Das, tinggal dua hari je lagi kan kursus ni," kataku sambil membetulkan kedudukanku di bawah pohon mempelam rendang di sudut kiri Berhulu Camp. Slot riadah petang itu kuhabiskan dengan melepak di bawah pohon itu bersama Das. Para peserta yang lainnya ada yang menjalankan aktiviti sukan yang lain. Jam di tanganku menunjukkan angka 5.00 petang. Sementara menunggu jam 6 petang, kami menghabiskan masa berborak kosong di situ.

     "Ya lah, macam sekejap ja. Dah nak habiskan. Mesti aku rindu akan kau nanti," balas Das sambil memakan buah mempelam putik yang berjuntaian di bawah pohon itu. Aku pun turut berkelakuan sama.

     "Tapi, masalah aku belum selesailah Das. Macam mana nak bayar duit ganti rugi tu nanti? Adikku juga perlu ditolong juga," ujarku dalam nada yang sedih. Das memalingkan wajahnya terhadapku.

     "Kalau kau nak pinjam duit aku dulu boleh. RM2000 ada ja dalam simpanan aku ni. Tentang duit adik kau tu... Banyak sangat.. aku pun belum ada sejumlah duit tu," ujarDas lagi. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Takkanlah aku perlu meminjam dari Das. Sedangkan dia sendiri pun sedang mengumpulkan wang untuk mengadakan majlis perkahwinan pada bulan November nanti. Mana sempat untuk aku bayar sejumlah wang itu padanya nanti.

     "Tak boleh Das. Kau sendiri pun perlukan duit tu untuk majlis kau nanti," ujarku pula.

     "Aku perlu memikirkan cara lain supaya aku boleh mendapatkan sejumlah wang tersebut dengan caraku sendiri," tambah aku lagi. Tapi bagaimana ya? Aku kembali serius memikirkan wang ganti rugi itu setelah menerima pesanan ringkas malam tadi dari wanita itu. Wanita yang merupakan ibu kepada Kak Erra dan Encik Kacak.

     'Setelah apa yang berlaku, banyak yang terpaksa saya tanggung kerugian. Awak sepatutnya membayar semua ganti rugi seperti mana yang telah awak janjikan. Kalu tidak, saya sendiri tak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis. Awak sepatutnya bersyukur kerana anak saya yang menghalang semuanya hari tu, but kerana awak anak saya kemalangan pula. Please bertanggungjawab' begitulah bunyi mesej itu. Aku mengeluh berat. Ibunya betul-betul marahkan aku. Ini semua disebabkan oleh jualan perfumes Burberry Brit EDT itu. Kedai Aira Comel pula masih belum memberikan kata putus. Aku bagaikan mahu menangis semahu-mahunya, namun tangisan tidak dapat menyelesaikan masalah ini.

     "Kasihan kau Ida. Tak apalah, duit aku tu kau bayarlah perlahan-lahan. Yang penting kita selesaikan dahulu urusan dengan mak datin tu," ujar Das lagi. Duit yang diperlukan bukanlah suatu jumlah yang sedikit. Tuhan telah menemukan aku dengan orang betul-betul baik. Aku sendiripun teragak-agak untuk menerima bantuan itu, tetapi apabila membayangkan wajah mak datin yang dimaksudkan itu, aku jadi gerun. Aku memandang wajah Das. Ada segaris simpati pada wajahnya.

     "Kita dah tak ada masa lagi Ida. 2 hari ja lagi kita ada kat sini. Esok, selepas slot pagi, kita call teksi untuk keluar ke pekan. Lepas tu aku keluarkan duit. Then, kau mesej mak datin tu minta nombor akaun dia. Kita transferkan terus duit yang diminta itu," aku hanya mengangguk-anggukkan kepala. Tapi adakah betul jumlah yang diminta oleh wanita itu sebanyak RM1900 sahaja? Bagaimana pula dengan harga perfumes yang pecah akibat terlanggar denganku dulu? Adakah dia turut mahu menuntut ganti rugi. Dahiku masih berkerut. Das mengangkat keningnya tanda tidak faham kenapa wajahku masih berkerut seribu begitu.

     "Tapi, RM1900 itu hanya jumlah harga perfumes yang aku jual Das. Belum termasuk lagi harga perfumes yang pecah akibat terlanggar haritu," aku menjelaskan kegusaran yang bersarang di benakku itu.

     "Oh, aku lupa tentang tu. Kau tanyalah mak datin tu berapa yang dia mahu? Sebenarnya, kalau yang tu, bukan salah kau sepenuhnya. Kau kan tak sengaja terlanggar dia. Mana tahu dia tak berniat untuk meminta ganti rugi untuk yang itu,"ujar Das lagi sambil menyuruhku menghantar pertanyaan berbentuk pesanan ringkas kepada wanita itu. Aku akur dengan permintaannya. Sebentar kemudian, kedengaran bunyi pesanan masuk ke dalam peti mesej milik Nokia C3 ku. Lantas cepat-cepat aku membukanya, memang pesanan dari BB Addicted @ Ibu Kak Erra dan Encik Kacak @ mak datin.

     'Yes, awak kena bertanggungjawab atas semuatu. Perfumes tu saya ingin gunakan untuk majlis pertunangan anak saya minggu depan. Semua perfumes tu pecah dan harganya lebih kurang dengan jumlah harga yang awak tawarkan itu. Tolak tambah semuanya berjumlah RM4000' aku terkedu membacakan jumlah yang tertera itu. Aku dan Das saling berpandangan.

     "Berkiranya mak datin tu! Padahal bukan salah kau pun! Dia yang tak pegang betul-betul perfumes tu kot. Jatuhlah dan pecah! Salah dia kan," Das membentak tidak bersetuju dengan alasan wanita yang disifatkan sangat mementingkan diri itu. Aku hanya menyepikan diri. Setuju ataupun tidak aku memang perlu menuruti perintahnya. Jadi, amaun yang diminta melebihi jumlah yang mampu aku pinjamkan dari Das. Dari mana lagi harusku kutip duit sebanyak itu? Aku menjadi bertambah gusar. RM4000! Detik hatiku berulang-ulang kali. Das memandang ke arahku sambil menyuruhku bertanya lagi tentang ganti rugi itu perlu dibayar sekaligus ataupun tidak. Kalau nak diikutkan wanita itu hanya memerlukan RM2000 bagi menggantikan perfumes yang telah pecah itu untuk digantikan dengan yang baru, manakala RM2000 lagi mungkin boleh dibayar secara beransur-ansur. Aku hanya menuruti saranan Das. Sebentar kemudian, pesanan ringkas dari BB Addicted masuk ke dalam peti mesej ku. Aku membukanya perlahan-lahan. Cemas juga aku dibuatnya.

     'Saya nak bayaran 'lumpsump'. Banyak benda yang boleh saya buat dengan duit itu. Lagipun majlis anak saya tu dah dekat. Saya tak nak perkara ini awak panjang-panjangkan kepada anak saya. Faham!' balasan mesej itu membuat aku menjadi makin sebak. Air mataku tak dapat ditahan-tahan lagi. Das yang berada di sebelahku memegang bahuku dan cuba menenangkanku. Kedengaran mulutnya terkumat-kamit menyumpah sikap wanita itu yang disifatkan kejam dan berhati batu itu. Aku betul-betul dirundung kesedihan petang itu. Nasi putih hanya kujamah sedikit sahaja. Lauk ikan kembung masak kicap yang merupakan kegemaranku bagaikan tidak membuka seleraku. Yang bermain di benakku hanya RM4000. Di manakah harus aku mendapatkannya.

     Sebelum turun ke dewan malam itu, aku berwirid panjang. Aku panjatkan doa kepada Allah semoga Dia membukakan jalan penyelesaian yang terbaik untuk permasalahan ini. Mungkin terlalu banyak dosa yang kulakukan sehingga terlalu banyak musibah yang datang bertimpa-timpa. Tiada siapa yang boleh membantuku lagi melainkan Dia Yang Maha Esa. Aku dan Das turun agak awal malam itu. Kelibat Ila pun belum kelihatan lagi. Aku mengajak Das untuk duduk di barisan kedua bahagian hadapan dewan. Selalunya tempat pilihanku adalah di belakang dewan. Aku dah fobia untuk duduk di belakang. Nanti tak pasal-pasal lembaga itu datang mendekati lagi. Lebih baik aku memilih tempat duduk di hadapan dewan pula walaupun bukan barisan yang pertama tetapi kedudukanku adalah masih antara yang paling depan. Das hanya menuruti kehendakku.

     "Eh, tak depan sangatke kita ni Ida?" Das mula bertanya. Hairan mungkin dengan sikapku yang tiba-tiba suka duduk di depan. Aku hanya tersenyum seraya mengarahkan Das duduk.

     "Depan ni selamat sikit," aku membalas pertanyaan Das sebentar tadi separuh berbisik. Das menjungkitkan keningnya.

     "Memang dalam dewan ni, ada tempat yang tak selamatke?" tanya Das lagi meminta penjelasan. Aku tertawa kecil.

     "Ada. Kat belakang tu. Ada lembaga," aku menjawab selamba seraya menunjukkan aksi menakutkan. Kelakuanku sebentar tadi menyebabkan kami tertawa seketika.

     "Kalau lembaga tu hensem apa salahnya," balas Das dalam nada mengusik. Aku memandangnya sambil mencebik bibir. Hensem? Mungkin...tapi ibunya... Lantas fikiranku terus teringat akan mesej ugutan ibunya.

     "Tapi, sayangnya ibu lembaga tu kerek sangat kan," ujar Das lagi. Kali ini, Das pula yang mencebik bibir. Aku tertawa seketika. Tahu pun kau... Jadi lembaga tu memang berbahaya untuk didekati kerana di sekelilingnya penuh duri yang berbisa. Jangan cari pasal kalau tak mahu terluka. Perbualan kami terhenti seketika apabila beberapa orang yang memakai blazer masuk ke ruang hadapan dewan. Kelihatan masing-masing sibuk menyiapkan peralatan untuk sesi ceramah pada malam ini. Rakan-rakan peserta kursus yang lain pula kelihatan sudah mula memenuhi dewan. Para fasilitator juga kelihatan turut membantu. Apa tajuk slot malam ini ya? Tentatif programnya entah ke mana aku simpan. Sebentar kemudian, 3 orang lelaki masuk dengan membawa beberapa dulang 'hamper'. Wah, ada hadiah malam ni ya? Aku jadi teruja. Pandanganku lurus ke depan. Sejurus kemudian kelibat yang aku kenali masuk ke dewan. Juga memakai blazer yang sama seperti yang lainnya. Kak Erra! Terpacul nama itu di mulutku. Das yang berada di sebelahku turut memandang ke arah wajah itu. Kak Erra yang terdengar namanya dipanggil, lalu berpaling mengamati suara pemanggilnya. Oleh sebab kedudukan kami yang tidak terlalu jauh, Kak Erra dapat meneka keberadaanku dengan cepat. Dia berjalan menuju ke arahku sambil tersenyum manis.

     "Kak Erra... Alhamdulillah.. Akak dah sihat macam biasa..." aku bangun seraya menghulurkan tanganku berpelukan dengannya. Syukurlah Kak Erra tak apa-apa.

     "Alhamdulillah, akak tak apa-apalah," ujar Kak Erra. Giliran Das pula yang menyalaminya. Aku tersenyum lagi.

     "Nasib baik tak ada apa-apa yang teruk berlaku. Kalau tidak, awak harus bertanggungjawab," senyumanku mati apabila terdengarkan suatu suara mendekati kami. Wanita itu. 'BB Addicted' merangkap ibu kepada Kak Erra. Kenapa dia pun ada di sini?

     "Mama, sudahlah. Ida tak bersalah pun. Erra yang tak fokus memandu. Bukan salah dia," ujar Kak Erra lagi membelaku. Bencinya wanita itu kepadaku. Emosiku yang gembira tadi bertukar sedih bercampur dengan rasa bersalah.

     "Kalau bukan sebab nak hantar dia balik ke kem, Erra takkan terlanggar pohon tu kan," balas ibunya. Aku tertunduk. Das yang di sebelahku memegang bahuku. Seakan memahami gelora yang sedang melanda hatiku. Aku masih kaku berdiri di situ. Das mengajakku untuk kembali tempat dudukku apabila melihat seorang pegawai yang memakai balazer hitam memberi arahan supaya semua peserta bersedia. Aku kembali ke tempatku. Kak Erra dan wanita itu turut berkelakuan sama. Mereka menuju ke depan dewan dan duduk di tempat yang disediakan. Sesekali wanita itu memandang ke arahku dan bercakap sesuatu dengan Kak Erra. Apalah agaknya yang dibicarakan ya? Teringat akan pesanan ringkasnya petang tadi yang menyuruh aku supaya tidak menceritakan hal pembayaran ganti rugi itu kepada Kak Erra. Ya, mungkin kalau Kak Erra mengetahuinya, sudah pastilah Kak Erra tidak bersetuju dengan tindakan ibunya itu.

     Pandangan terus ku alihkan ke arah pegawai yang sedang memegang mikrofon itu. Seperti pernah kulihat lelaki ini. Lelaki yang bergigi cantik itu. Ya, memang tak salah lagi. Dia adalah salah seorang pegawai pemasaran di syarikat Berjaya Megah Holdings yang memberi 'offer letter' kepadaku tentang pemasaran bagi penjualan 10 000 unit perfumes yang baru dikeluarkan oleh syarikat mereka dengan ganjaran sebanyak RM10 000 ringgit, tetapi aku tolak. 10 000 unit itu adalah suatu angka yang terlalu besar untuk dicapai. Akan tercapaikah 'target' yang aku sifatkan di luar jangkaan itu? Tapi jumlah ganjaran yang ditawarkan itu betul-betul mencukupi amaun yang aku perlukan sekarang. Rm4000 untuk membayar ganti rugi wanita datin itu, RM5000 lagi boleh kuberikan kepada adikku yang kehilangan duit. Aku mula berkira-kira. Perlukah aku menemui dia untuk menyatakan persetujuanku untuk menerima kembali tawarannya dulu? Tapi, mampukah aku melaksanakannya. Sudahlah tidak berpengalaman. RM4000 itu perlu aku serahkan padanya secara 'lumpsump' sebelum majlis pertunangan anaknya berlangsung. Sempatkah?

     Slot dimulai dengan teka-teki, ramai kelihatan cuba menjawab. Tidak ketinggalan juga Das yang berada di sebelahku. Malam ini penyertaan peserta lebih positif. Mungkin disebabkan oleh adanya ganjaran yang bakal diterima oleh para peserta yang berupa hamper yang dibawa oleh ketiga-tiga orang lelaki tadi. Kelihatan seorang peserta kursus lelaki menjawab teka-teki yang disampaikan lelaki tersebut. Beruntung betul. Dapat makan jajan free malam ni. Hehe..

     "Malam ini, kita santai-santai saja ya. Saya nak para audiens semua enjoy. Baru tak mengantukkan?" ujar penceramah tersebut seraya tersenyum membarisi gigi cantiknya. Semua peserta kursus bersetuju dengan kata-kata penceramah itu seraya bertepuk tangan. Aku turut mengangguk-angguk mengiyakan ucapan pegawai lelaki itu.

     "Sebelum itu, kita nak ucapkan terima kasih banyak kepada Datin Anita kerana sudi hadir malam ni. Beliau merupakan timbalan pengarah Syarikat Berjaya Megah Holdings," serentak kemudian wanita itu pun berdiri. Oh..rupa-rupanya Ibu Kak Erra ini merupakan timbalan pengarah Syarikat Berjaya Megah Holdings yang bernama Datin Anita. Semua warga dewan bertepuk tangan. Seperti yang telah dimaklumkan pada awal kursus, syarikat inilah merupakan syarikat yang paling banyak menaja kursus keusahawanan di Berhulu Camp ini. Agak-agaknya datin inilah yang merupakan VIP pada malam aku disergah oleh Minah Ketak itu kerana tidak menghadiri Dewan Seminar pada waktu itu. Kak Erra merupakan setiausaha dalam syarikat ini. Jadi, syarikat ini adalah syarikat anak-beranaklah. Kalau macamtu, siapa pengarahnya? Oh, lupa Datuk Tengku Harunkan. Bagaimana pula dengan Encik Kacak? Ingatanku tiba-tiba teralih kepada lelaki itu. Apa jawatan dia dalam syarikat ini ya? Setahu aku dia merupakan pengarah Syarikat Megah Biru Holdings. Entah-entah kedua-dua syarikat ini ada perkaitannya antara satu sama lain. Mungkin Syarikat Megah Biru Holdings adalah anak syarikat ini kot. Kedua-duanya menggunakan nama Megah pada nama syarikatnya. Baru ingatanku teralih padanya, kelibatnya sudah terpacak di hadapan dewan. Panjang umur betul. Selalunya, dia berada di belakang dewan. Malam ini terpacak di depan dewan pula. Aku pura-pura tidak memandangnya. Kelihatan matanya meliar mencari sesuatu. Siapakah yang dicarinya ya? Ibunya berada betul-betul di kerusi yang terletak di hadapan dewan. Takkan dia tak nampak kot. Mungkin kelibat Minah Ketak yang dicarinya kerana aku sendiri tidak nampak kelibat perempuan itu malam ini. Aku cuba bersembunyi di balik tubuh Das yang langsing itu. Mudah-mudahan bukan aku yang dicarinya.

     "Kita persilakan Datin Anita untuk berucap sepatah dua kata. Untuk pengetahuan semua, datin merupakan salah seorang pemegang syer terbesar dalam syarikat ini selain Datuk Harun yang merupakan pengarah syarikat ini. Hadiah-hadiah berupa hamper malam ini juga ditaja sepenuhnya oleh beliau. Dipersilakan datin" pegawai lelaki bergigigi cantik itu kemudiannya bersuara. Warga dewan yang lainnya bertepuk tangan. Wanita itu bangun seraya tersenyum manis. Cantik sekali persis anaknya Kak Erra. Lembut sekali wajahnya. Tapi sayang, dia terlalu benci akan aku. Hanya kerana kegagalan aku dalam penjualan perfumes Burberry Brit Edt tersebut. Kedai Aira Comel patut bertanggungjawab akan hal ini semua.

     "Thank you Encik Syark," wanita itu kemudiannya mengambil mikrofon yang dihulurkan oleh pegawai lelaki bergigi cantik itu. Encik Shark rupanya nama lelaki ini. Kedengaran seperti bunyi nama ikan laut yang digeruni oleh semua orang. Tapi ikan 'shark' memang memiliki gigi yang cantik sperti pegawai lelaki ini. Aku tersenyum-senyum apabila cuba membandingkan gigi 'shark' dengan gigi Encik Shark ini. Senyuman ku mati apabila mendapat jelingan tajam oleh Datin Anita. Aku tunduk.

     "Assalamualaikum tuan-tuan dan puan-puan semua," wanita itu kembali besuara. Bunyinya cukup mesra. Nadanya tidak tegas seperti yang selalu singgah di cuping telingaku.

     "Saya senang berjumpa dengan kalian semua. Saya harap all of you are in the pink of health seadanya ya. Seperti yang telah dijanjikan, pada permulaan kursus dulu, para peserta yang dapat menjalankan tugasan dengan baik dan dapat membentangkan dapatan yang menarik dalam memasarkan produk within 2 weeks ni, kita akan berikan ganjaran yang lumayan berupa satu unit I Phone 5 yang berharga lebih kurang RM3500. Penyampaian hadiah tersebut, insya Allah kita akan lakukan pada hari esok setelah para peserta selesai membentangkan dapatan masing-masing," kata-kata wanita itu disambut dengan sorakan dari semua peserta kursus kecuali aku. Disebabkan ganjaran itulah aku tersasar sehinggakan terpaksa membayar ganti rugi berjumlah RM4000. Melebihi harga I Phone 5 tersebut. Tambahan pula, bukan dengan orang lain, tapi dengan pihak penajanya sendiri. Orang yang sedang bercakap di hadapan dewan ini sekarang. Datin Anita namanya.

     "Tapi, dalam kita mencari peluang dan ruang.... Janganlah kita sampai menganiaya orang lain. Melaksanakan muamalat yang dilarang oleh Islam seperti menipu dan berbohong dengan pembeli hanya semata-mata untuk mengaut keuntungan bagi merealisasikan impian kita," wanita itu berkata lagi. Kata-kata itu seolah-olah berbentuk sindiran kepadaku. Mungkin memang dia menujukan kata-kata itu kepadaku.

     "Pihak kami tidak akan menerima dan menilai jika ada tuan-tuan dan puan-puan yang melakukan tugasan dengan cara tersebut. Itu bukan prinsip kerja dalam syarikat kami," kali ini wanita itu memandang ke arahku. Aku mengalihkan pandanganku.

     "Sebagai contoh ya.. saya akan cuba buat suatu simulasi di hadapan ni. Okay, saya sebagai pembeli... dan you all sebagai penjual. Okay, saya perlukan seorang wakil untuk ke depan untuk sama-sama menjayakan simulasi ini," wanita itu bersuara lagi. Aku tunduk. Silap betul mengambil tempat di hadapan malam ni. Ini yang dinamakan keluar mulut buaya, masuk mulut harimau. Huhuhu... Kelihatan ramai yang mengangkat tangan menjadi sukarela untuk ke depan. Aku hanya membantu diri. Das yang berada di sebelahku sempat berbisik.

     "Sinis betul datin kerek ni," bisik Das. Aku hanya mendengar bisikan itu tanpa mengeluarkan kata-kata.

     "Okay, you. Boleh tolong ke depan?" aku mengangkat wajahku seraya bangun dari tempat dudukku. Datin itu berdiri sejengkal di hadapanku. Ya Tuhan.. jantungku berdegup laju. Apa yang bakal dilakukan oleh wanita ini lagi padaku. Muka ku kemerahan menahan perasaan. Encik Kacak yang duduk di sebelah kiri hadapan dewan tadi turut berdiri dan memandangku. Kak Erra yang duduk di hadapan dewan turut berdiri. Mungkin terkejut dengan tindakan ibunya.

     "Baik.. tuan-tuan dan puan-puan sekalian. This is simulation when a customer approach a seller. You dah sediakan?" wanita itu bersuara sambil bertanya kepadaku. Aku tiada pilihan lain melainkan mengangguk-anggukkan kepala sahaja. Tak berani bertentangan mata dengannya.

     "Sis, semalam I datang sini and I beli 10 perfumes dengan you. You masih ingatkan? Tapi, bila I balik rumah, I check semua defect," ujar wanita itu memulakan lakonannya. 10 perfumes? Betul-betul menyindir aku. Aku perlu berlagak seperti biasa kalau tidak mahu dimalukan di depan peserta-peserta kursus lain ini.

     "Erm, defect yang macam mana ya Datin?" aku memberanikan diri untuk menjawab pertanyaan itu. Dari ekor mataku, kulihat Das mengangkat ibu jarinya.

     "Ada yang pecah dan ada juga yang ada kotak saja. Barangnya tiada," ujar wanita itu. Darahku berderau mendengarkan barang yang tiada dan pecah itu. Ya Allah! Kuatkanlah semangat ku ini.

     "Oh yeke. Maaf datin. Mungkin ada kesilapan pada pembungkusan.." belum sempat aku menjawab soalan itu, wanita itu terus bersuara.

     "Jadi, salah yang membungkusnya. Bukan you ke yang ambil order I?" tanya lagi wanita itu betubi-tubi. Suaranya lebih kuat daripada tadi. Aku kehilangan kata-kata. Airmataku bergenang. Aku cuba menahan kolam mataku agar ia tidak tumpah di sini.

     "Ya, memang saya ambil order Datin. Tapi, saya juga minta bantuan dengan seller yang lain untuk mengambilnya dari stor dan bawakannya pada datin," aku masih berani menjawab. Mataku tidak sanggup menatap wajahnya.

     "Oh, jadi you salahkan seller-seller lainlah. Dan you tak nak bertanggungjawab? Sedangkan komisen jualan, you yang dapat sebab you yang buat resit dan ambil orderkan?" kali ini suaranya lebih tinggi dan merenung tepat ke wajahku. Air mataku seakan mahu menitik. Apakah aku harus mengalah sebelum lakonan ini memakan diri ku sendiri.

     "Tidak datin. Saya tak bermaksud macam tu. Saya minta maaf dan saya bertanggungjawab atas kecuaian ini," akhirnya air mataku tumpah di situ. Aku tak mampu membendungnya lagi. Para peserta kursus lain yang turut menyaksikan 'lakonan' tersebut turut terpinga-pinga. Kenapa aku perlu menangis, sedangkan itu hanya sebuah lakonan. Wanita itu kelihatan tersenyum sinis. Puas barangkali. Mungkin gembira melihat aku menangis dan merayu meminta maaf padanya. Setelah itu, wanita itu kembali bercakap di hadapan tanpa menghiraukan aku yang berdiri di situ. Pegawai lelaki yang bernama Encik Shark tadi kemudiannya mengambil alih mikrofon dan memulakan sesi ceramahnya. Aku tidak lagi berminat untuk mendengarnya. Aku berlalu ke muka pintu dewan dan keluar agar para peserta yang lain tidak melihat aku yang sedang menahan esakan. Aku terduduk di tepi longkang dewan itu. Ya Allah! Kenapa aku dimalukan sebegitu rupa. Kalau aku memilih untuk duduk di bahagian belakang pada malam ini, sudah tentu mak datin itu sukar untuk mengamati wajahku. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu ke depan dan dimalukan sebegitu rupa. Bahuku tiba-tiba disentuh orang. Das berdiri di belakangku. Dia cuba menenangkan aku seraya menyuruh aku bangun dari longkang kecil dewan itu. Kedengaran beberapa suara yang tegang dari hujung sebelah sana. Kami bergerak ke depan sedikit untuk mengamati suara tersebut. Siapa pula yang bergaduh di luar dewan ini.

     "Mama, kenapa mama buat macam tu kat perempuan tu? Dia tak bersalah kan. Just simulation kot. Kenapa nak kena tinggi suara sampai macam tu," suara lelaki yang aku kenali kedengaran di hujung sana.

     "Biasalah tu. Selalunya seorang customer yang tidak berpuas hati dengan seller memang macamtukan," balas suara wanita pula. Aku mula dapat meneka empunya suara tersebut. Sudah tentu suara Datin Anita dan Encik Kacak lantaran panggilan mama yang diucapkan tadi.

     "Tapi, Diey rasa mama tak perlulah tinggikan suara sampai macamtu sekalikan. Kesian dia mama. Menangis dia keluar dewan tadi," kedengaran Encik Kacak masih mempertahankan aku.

     "Diey tak tahu menahu, baik Diey jangan masuk campur. Buat apa Diey nak bela sangat perempuan tu? Diey kenal sangatke dia? Tak kenalkan," ujar Datin Anita lagi.

     "Mama, Erra pun tak setuju mama buat macamtu. Kesian dia mama. Dia kan dah minta maaf dengan mama. Tentang semua perfumes tu, dia tak sengaja mama. Supplier dia yang bermasalah dan dia pun mahu bertanggungjawab atas semua tu kalau mama nak. Buat apa kita nak panjang-panjangkan lagi perkara ni," kali ini suara perempuan lain pula. Sudah tentu suara itu milik Kak Erra.

     Aku menarik tangan Das supaya beredar dari situ sebelum mereka mengetahui akan kehadiran kami di situ. Kami menapak ke dalam dewan dan kembali ke tempat duduk tadi. Aku berbisik sesuatu pada Das.

     'Das, aku nak terima lah tawaran Encik Shark tu. Tentang penjualan 10 000 unit perfumes tu. Ganjaran dia RM10 000. Boleh bayar duit mak datin tu.' aku bersuara perlahan. Das memandangku.

     'Eh, kau biar betul ni? Perfumes tu keluaran syarikat mak datin tu kot. Karang jadi cerita lain pula' Das membalas bisikan ku. Aku baru tersedar. Betul juga. Encik Shark ni memang pegawai pemasaran syarikat ini. Produk yang ditawar untuk dipasarkan juga adalah keluaran syarikat ini. Tapi, aku seperti tiada pilihan lain lagi untuk mendapatkan duit yang segera.

     'Tapi, aku dah tak ada pilihan lain lagi. Kat mana lagi nak cari duit sebanyak tu? Nak buat pinjaman bank pun, aku baru je lakukannya bulan lepas sebab nak beli sebidang tanah kat kampung tu. Takkan nak pinjam Along kot' ujarku lagi.

     'Isy..mengarut kau ni. Takkan dengan Along kot,' Das membalas bisikanku. Aku nekad kali ini. Aku harus berjumpa dengan Encik Shark itu untuk menyatakan persetujuanku untuk menerima tawaran bagi cabaran penjualan 10 000 unit perfumes syarikatnya itu. Selesai sahaja slot malam itu, aku menyuruh Das supaya bergerak terlebih dahulu kerana ada hal yang aku bicarakan dengan Encik Shark itu. Namun,aku tidak terus mendapatkan lelaki itu apabila melihat Encik Shark masih bersama-sama dengan Datin Anita, Kak Erra dan Encik Kacak di ruang hadapan dewan. Aku hanya menunggu di balik pintu dan berdoa semoga Allah memberi ruang untuk aku berbicara sebentar denagn Encik Shark tanpa pengetahuan mereka bertiga.

     Saat dewan telah lengang, kelibat Encik Kacak, Kak Erra mahupun ibunya sudah tidak kelihatan aku merapati pegawai yang bernama Encik Shark itu.

     "Encik, saya nak tanya sesuatu boleh?" aku memulakan perbualan. Lelaki itu kelihatannya sedang menyusun kertas-kertas di atas meja yang terletak di tepi rostrum dewan.

     "Ya, silakan," balas lelaki tadi dengan mesra sambil mengangkat wajah memandangku.

     "You girl yang haritukan? Cikgu kan?" lelaki itu menambah. Aku mengangguk seraya tersenyum.

     "Encik, adakah tawaran untuk menjual 10 000 unit perfumes keluaran syarikat encik itu masih terbuka untuk saya?" aku mula bertanya padannya. Lelaki itu mengangkat keningnya lalu tersenyum.

     "Ya. Kenapa? You dah ubah fikiran untuk menerimanya kembali?" giliran Encik Shark pula yang bertanya.

     "Hmm.. Saya rasa saya mahu mencubanya encik," aku berkata dengan yakin. Lelaki itu melebarkan senyumannya sambil mengangkat ibu jarinya kepadaku.

     "Penjualan 10 000 unit perfumes itu memang perlu dibuat dalam masa sebulanke?" aku bertanya lagi. Encik Shark tidak terus menjawab malah dia menghulurkan sekeping kertas yang bertulis kepadaku. Aku membaca butiran yang tercatat di situ. TERMA dan SYARAT tawaran tersebut tertera di situ. Aku membacanya dengan teliti. Kemudian bersuara.

     "Jadi, kalau kita dah berjaya menjual 10 000 unit perfumes tu, ganjaran yang ditawarkan itu akan kita dapat dengan lebih cepatlahkan?" aku bertanya lagi. Encik Shark mengangguk-anggukkan kepalanya.

     "Start from now, you dah boleh mula memasarkan produk kami, tapi you perlu ambil sendirilah stok di kilang kami nanti. You ada kenderaan sendirikan?," ujar Encik Shark lagi. Ambil di kilang? Di mana kilangnya?

     "Kilang perfumes kami terletak di Nilai, Negeri Sembilan," Encik Shark berkata lagi seolah-olah mendengarkan pertanyaan hatiku tadi. Aku mula mencongak-congak di dalam hati. Lusa, kursus ini akan tamat. Ini bermakna aku perlu berulang-alik dari Pasir Gudang, tempatku bekerja menuju ke Nilai. Bukanlah suatu jarak yang terlalu dekat, tetapi mengambil masa yang agak lama. Laratkah aku begitu setiap hari?

     "Encik, bagaimana prosedur untuk mengambil stok perfumes dari kilang tersebut? Kita boleh ambil banyak-banyak atau kuantitinya atas permintaan saja?" tanyaku lagi untuk mendapatkan penjelasan.

     "Since ini special offer dari syarikat kami, you boleh dapatkan stok dengan hanya menunjukkan offer letter yang kami berikan itu kepada staff kami di kilang tersebut. Tentang kuantiti, tiada had. Terpulang kepada seberapa banyak permintaan ataupun seberapa unit yang you perlukan. Seperti mana yang terletak dalam syarat tersebut, you harus menjaga dengan baik produk kami itu. Sekiranya berlaku kerosakan, pihak agent perlu bertanggungjawablah. Kemudian, pastikan setiap jualan mempunyai resit sama ada secara atas talian mahupun sebaliknya. Resit ini penting sebagai bahan bukti penjualan perfumes tersebut. Segala transaksi duit hanya melalui online banking. Target kami adalah penjualan 10 000 unit perfumes by this month," aku mendengar dengan tekun penerangan yang diberikan oleh Encik Shark itu. Banyaknya target dia? Tercapaikah  sasaran penjualan perfumes itu dalam masa seminggu ini? Sempatkah aku gunakan duit tersebut untuk membayar ganti rugi tersebut kepada Datin Anita?.. Pelbagai soalan bertubi-tubi timbul dalam benakku ataupun usaha ini hanyalah suatu yang sia-sia.

     "Cik? Cik memang betul-betul berminat untuk menyertai kami kan?" tanya Encik Shark lagi apabila melihat aku lama terdiam begitu. Aku tersenyum tanda masih setuju.

     "Adakah 'offer letter' yang dulu masih boleh digunakan encik?" aku bertanya semula apabila teringat akan borang tawaran yang disebutkan oleh Encik Shark sebentar tadi. Encik Shark menganggukkan kepalanya menandakan borang tersebut masih boleh digunapakai olehku nanti. Setelah bertanya panjang lebar, aku mengangkat kaki untuk beredar. Tiba-tiba, aku terfikir bagaimana rupa bentuk perfumes itu ya? Berapa liter agaknya setiap botol? Ada pelbagai saizkah? Berapa harga setiap unit? Bau-bauannya pula bagaimana? Aku berpaling semula ke arah lelaki itu. Kelihatan lelaki itu sudah mula mahu beredar dari dewan tersebut. Aku cepat-cepat mendapatkannya.

     "Encik, maaf. Saya teringin untuk tahu bagaimana bentuk dan bau-bauan perfumes yang dihasilkan oleh syarikat encik itu dan berapa harga bagi setiap unit?," kataku lagi.

     "Oh ya, harga setiap unit perfumes itu ada tercatat pada borang terma dan syarat itu. Kami dah 'fix'kan harga. Esok, selepas slot pembentangan dapatan hasil tugasan dan pemberian ganjaran kepada peserta yang bertuah, cik boleh dapatkan tester-tester perfumes tersebut. Tolong temui saya pada akhir slot petang esok ya," ujar lelaki itu sambil tersenyum membarisi gigi cantiknya lagi. Aku menganggukkan kepalaku tanda faham. Kami kemudiannya membawa haluan masing-masing. Aku bergerak menuju ke hostel manakala pegawai lelaki itu berlalu ke keretanya. 


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh usakoprincessz