Home Novel Cinta ~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
usakoprincessz
15/5/2019 14:58:06
11,141
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

     Pagi itu, kami bangun awal untuk mengemas barang-barang sebagai persediaan untuk pulang. Malam tadi, setelah naik ke dorm kami tidak sempat untuk mengemas barang-barang dek keletihan. Barang-barang tersebut akan terus dibawa turun ketika mahu bersarapan nanti. Selepas ini, misi yang akan kujalankan ialah menjual pewangi-pewangi tersebut. Semoga usaha yang aku lakukan ini tidak menjadi perkara yang sia-sia. Duit ganti rugi Datin Anita dan duit pinjaman aku daripada Das mesti ku bayar dengan kadar yang segera. Kedengaran deringan telefon kepunyaan Das dari atas meja di tepi almari dorm yang ku duduki. Tertera 'Abang Sayang' di skrin telefon pintar jenama Samsung milik Das. Pasti tunang Das yang menelefonnya. Maklumlah hari ini kan hari terakhir di sini, mungkin tunangnya telah disuruh oleh Das untuk menjemputnya di kem ini. Aku juga akan menuruti Das untuk pulang ke rumah ibu bapanya, lantaran misi penjualan pewangi-pewangi tersebut selama 3 hari itu. Segan juga, tapi apakan daya. Sudah tiada cara lain lagi yang terlintas di hatiku buat masa sekarang. Aku tidak jadi menjawab panggilan tersebut. Lebih baik, ditunggu sahaja Das yang masih di dalam bilik mandi itu selesai. Aku kembali semula mengemas baju-baju kotor yang tidak sempat ku basuh sepanjang berada di sini. Tiba-tiba deringan telefon lagi berbunyi. Kali ini irama 'Unmistakable' nyanyian Backstreet Boys yang kedengaran. Pasti telefon Nokia C3 aku yang berbunyi. Aku mencapai telefon itu. Tertera di skrin nama 'Lang Merah'! Ah! Rakan chatting aku rupanya. Malas aku hendak melayannya. Tambahan pula aku tidak gemar menjawab panggilan lelaki yang tidak aku kenali. Rakan chatting cukuplah sekadar ber 'chatting'di ruang mesej sahaja. 3 kali panggilan yang dibuatnya, aku biarkan sahaja panggilan yang berbunyi itu tanpa jawapan. Gigih betul lelaki itu cuba menelefonku. Apalah yang dimahukan oleh Lang Merah pagi-pagi buta macam ni. Aku mencapai telefon bimbit itu untuk menghantar pesanan kepadanya.

     'Assalamualaikum Encik Lang Merah, apa mau pagi-pagi ni? Ayam belum penat berkokok kot' mesej gila-gila aku itu terus kuhantarkan padanya. Kemudian, pesanan masuk berbunyi.

     'Waalaikumussalam, Cik Merak Kayangan. Saja nak tanya kabar Cik Merak pagi ni. By the way, ayam goreng saja ada kat sini. Yang berkokok tu tak nampak batang hidungnya pulak.' aku tersengih membaca potongan mesej dari Lang Merah itu. Macam lucu pun ada. Amboi, siap panggil aku Cik Merak Kayangan tu. Seingat aku, aku hanya memperkenalkan diriku sebagai Princessz sahaja kepadanya. Aku memang sengaja tidak memberitahu akan nama sebenarku padanya. Bimbang kalau betul-betul terserempak nanti, pasti aku akan malu besar nanti. Baiklah aku rahsiakan identiti aku ini.

     'Memang ayam ada hidung ke Encik Lang? Lukis hidung ayam tu sikit boleh tak? Hahahaha' aku membalas pesanan ringkasnya dengan lelucon. Memang tak logikla kan? Ada pula dia kata ayam ada hidung. Tak patut betul.

     'Lucu juga Cik Merak ni kan..hehehe. Hidung ayam tak seronok nak lukis. Lebih baik lukis hidung Cik Merak. Comel.' aku membaca balasan pesanan ringkas Lang Merah itu sambil tertawa.

     'Mana awak tahu hidung saya comel? Eleh, kenal pun tak. Dekat profil Yahoo Messenger saya, mana saya taruk gambar.' aku membalas dengan jujur. Kadang-kadang, aku ni agak kudus orangnya. Padahal, aku sendiri tahu, kalau ayat Lang Merah itu hanya pickup line sahaja.

     "Huiii!" Sapaan Das dan cuitan Das menyebabkan aku tersedar dari bahasa-basiku dengan Lang Merah.

     "Apa hal kau ni? Sengih, lepastu gelak sorang-sorang?" tanya Das lagi kepadaku. Aku tergelak lagi.

     "Tak adalah. Aku saja melayan mesej rakan 'chatting' aku ni. Adake patut dia cakap ayam ada hidung? Mengarut.." aku membalas pertanyaan Das tadi sambil tertawa lagi.

     "Ooo.. Rakan 'chatting' yang kau beritahu dulu tu ke? Amboi, mesej pepagi ni, ada apa-apake?" ujar Das seraya mengusikku. Aku menjungkitkan bahuku. Ada apa-apa? Mengarutjelah. Kenal pun tidak. Lagipun, aku memang tak percaya dengan rakan 'chatting' ni. Entah betul ke tidak setiap perkara yang diberitahu kepadaku. Aku sendiri pun banyak menyembunyikan perkara sebenar tentang diriku.

     Pintu bilik berkeriut. Wajah Ila terjengul di situ. Kami bersalaman dan berpelukan antara satu sama lain.

     "Aku mesti rindukan kau orang berdua nanti. Jangan lost contact tau," ujar Ila kemudiannya. Aku dan Das mengangguk-anggukkan kepala. Ya, aku pun pasti akan rindukannya nanti. Ila das Das adalah rakan yang rapatku sepanjang aku berada di sini. Cuma, aku lebih berhati-hati apabila bercakap dengan Ila lebih-lebih lagi perihal aku yang ingin menjual pewangi-pewangi keluaran Syarikat Berjaya Megah Holding itu. Aku sengaja rahsiakan daripada pengetahuan Ila. Bimbang nanti segala rahsia aku diceritakan kepada tunangnya nanti. Tunangnya pula mungkin akan menceritakannya kepada Encik Kacak. Oh, tidak! Nama itu lagi yang terlintas di benak fikiranku. Teringat perihal panggilan aku yang tidak berjawab itu. Marah sangatkah dia terhadap aku?

     "Jom, kita turun ke kafe. Kita sarapan dulu, kemudian kita jumpa kawan-kawan lain kat dewan. Ida, tunang aku dengan kawan dia dah on the way nak datang sini dah. Bawa dua kereta. Kejap lagi bolehlah kita round Seremban," kata Das bernada ceria kemudiannya sambil memandang aku dan Ila.

     "Kenapa bawa dua kereta? Maksudnya?" aku bertanya lagi.

     "Yalah. Dia kerja. Dia just jemput kita saja kat sini. Aku kan tak bawa kereta. So, dia bawa kereta aku ke sini. Lepastu, kita berdua boleh meronggeng Kota Seremban nanti, yihuuuu," kata Das lagi sambil terlompat-lompat. Aku tergelak. Memang tak sah kalau dia tak melawak dalam satu hari.

     "Sebentar, maksudnya? Ida ke rumah kau?" tanya Ila pula mengerutkan kening.

     "Aku tumpang Das pergi Seremban. Nanti, aku naik bas ja dari sana ke Pasir Gudang," cepat-cepat aku menjawab soalan Ila. Jangan sampai Ila tahu yang aku ada misi lain selama 4 hari ini. Das menganggukkan kepalanya mengiyakan pernyataanku setelah aku menyikunya dari belakang. Mungkin memahami isyarat badanku itu. Aku memberi isyarat agar masing-masing mempercepatkan langkah turun dari dorm menuju ke kafeteria.

     Sesampai kami di kafeteria, suasana di situ sudah hingar bingar dengan suara peserta-peserta kursus yang lain. Wajah ceria terserlah di wajah masing-masing. Maklumlah selepas ini semua peserta kursus akan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Aku mengambil tempat di ruang belakang kafeteria untuk meletakkan beg yang terisi dengan pakaian itu. Das dan Ila turut berkelakuan sama. Juadah sarapan pagi telah terhidang di situ. Aku dan Das mendahului Ila ke meja buffet makanan tersebut. Aku mencongak-congak makanan apa yang ingin dimakan. Nasi goreng, bihun goreng dan kueytiow goreng menjadi menu sarapan pada pagi itu. Ayam goreng dan keropok goreng turut tersedia di situ. Ah.. ayam goreng.. Hehe.. aku tersenyum seketika apabila mengingatkan mesej yang masuk ke peti pesanan ringkas telefon ku dari Lang Merah tadi. Melawak pula dia pagi-pagi buta ni. Aku mencedok nasi goreng dan mengambil seketul ayam goreng dan berlalu ke meja makan. Kelihatan Ila melambai-lambai seraya mengajak aku untuk duduk di sampingnya. Di sebelahnya, kelihatan ada dua orang lelaki. Seperti aku dapat mengagak akan dua orang kelibat itu. Salah seorangnya sudah pasti kelibat Encik Fairuz, tunang Ila manakala yang seorang lagi sudah pasti Encik Kacak. Aku dan Das saling berpandangan. Peristiwa malam tadi terlayar di pandangan kami. Apakah Encik Kacak masih marah akan aku? Lima kali panggilanku langsung tidak dijawab olehnya. Kalau tidak menurut kehendak Ila, bimbang pula wanita itu terasa. Tambahan pula, hari ini hari terakhir di sini. Aku hanya menuruti langkah Das menuju ke meja makan yang memuatkan lima buah kerusi itu. Kelihatan Das cepat-cepat mengambil tempat di sisi Ila. Ini bererti tempat yang masih kosong adalah kerusi yang berhadapan Encik Kacak. Hisy...sengaja nak kenakan aku ni! Ataupun Das pun risau kalau-kalau Encik Kacak masih marahkan dia kerana gara-gara kalung itu terlepas dari genggamannya malam tadi. Penakut juga kau ya? Aku bercakap di dalam hati. Aku memberanikan diri menarik kerusi tersebut. Encik Kacak kelihatan tunduk khusyuk menjamah sarapan. Encik Fairuz dan Ila meminta diri untuk ke meja buffet makanan untuk mengambil juadah sarapan mereka.

     "Ida, kau nak minum apa? Aku tolong ambilkan," Das pula bersuara seraya bangun dari tempat duduknya. Janggal pula aku rasakan. Kalau Das yang bangun, bererti hanya aku dan Encik Kacak yang berada di meja makan ini. Aku menjeling ke arah Das. Wanita itu seperti tidak memahami pula.

     "Air teh panas boleh?" tanya Das sambil berlalu ke meja minuman. Geram pula aku dengan reaksi dia. Buat-buat tak faham pula. Pandangan aku alihkan ke arah Encik Kacak yang berada di hadapanku. Lelaki tadi masih berkelakuan sama. Tiada reaksi apa-apa. Masih khusyuk menjamah makanan yang berada di dalam pinggannnya. Kelihatannya dia tidak seperti selalu. Selalunya dia seorang yang ramah dan suka menyapa aku. Tapi, pagi ini aneh sekali. Adakah dia memang benar-benar tidak dapat memaafkan aku ya? Apa yang perlu aku buat sekarang? Adakah aku perlu meminta maaf padanya sekarang? Lagipun Ila, Das dan Encik Fairuz masih sibuk mengambil makanan dan minuman di hadapan.

     "Hmm.. Encik Faidi.. Saya nak minta maaf atas apa yang berlaku semalam," aku memulakan bicara. Mataku berani menatap ke arahnya kerana lelaki itu langsung tidak memandang ke arahku.

     "Saya betul-betul minta maaf. Saya tak sangka yang kalung tu boleh terlepas masuk ke dalam bakaran tu," aku bersuara lagi apabila melihat lelaki itu tidak memberi reaksi. Geram juga aku apabila tidak dipedulikan begitu.

     "Encik Faidi marahkan saya ke? Saya minta maaf dan saya sanggup bayar ganti rugi...." percakapanku terhenti apabila lelaki itu mendongakkan wajahnya menatap wajahku. Suapannya dihentikan. Pandangan redupnya itu menembusi anak mataku.

     "Untuk apa ganti rugi tu? Adakah rasa kecewa yang ada dalam diri seorang manusia boleh terbayar dengan duit tu?" aku terlopong seketika apabila mendengarkan ayat yang terpacul dari bibirnya. Jelas sekali dia terlalu kesal dan mungkin marah akan kejadian yang berlaku malam tadi.

     "Hmm.. maksud saya. Saya betul-betul nak minta maaf atas kejadian tersebut. Saya tak tahu apa yang patut saya buat sekarang...," aku masih berkata-kata. Sudu dan garfu di tangan lelaki itu diletakkan di dalam pinggan. Minuman teh panas yang menjadi pilihannya juga pagi ini dihirup perlahan. Matanya kembali menatap wajahku. Jantungku mula berdegup pantas. Aku melarikan pandanganku ke arah lain. Tak sanggup menatap sorotan mata itu.

     "Saya faham. It's okay. Mungkin salah saya juga," lelaki itu menjawab. Aku terpana seketika. Pendek sahaja jawapannya. Bahasa yang digunakan tidak semesra selalu. Tiada lagi ungkapan 'abang' seperti malam tadi. Kenapa ya? Tapi, bukankah ini yang aku inginkan sebelum ini. Tiada juga senyuman manis seperti selalu yang terpamer di wajahnya. Kenapa aku perlu menagih senyumannya? Aku tidak berhak untuk semua itu.

     "Excuse me," lelaki itu terus bangun dan menganjakkan sedikit kerusinya meminta diri dan berlalu dari situ. Aku hanya memandang kelibat itu tanpa bersuara. Aku menjadi makin serba salah dibuatnya. Ada garis kesedihan tercalit di hatiku. Kenapa Encik Kacak berkelakuan seperti itu? Tiada lagi celoteh dan riak mesra yang ditunjukkan kepada ku. Aku mula merasa seperti ditinggalkan. Apa hakku untuk merasa sedemikian. Juadah bihun goreng dan seketul ayam goreng di dalam pinggan lelaki tersebut masih berbaki. Seolah-olah selera makan lelaki tersebut mati tiba-tiba apabila berbicara denganku.

     "Ida, ini air kau," ujar Das yang baru sampai bersama-sama Ila dan Encik Fairuz. Apa yang bakal aku katakan pada mereka kalau mereka bertanya ke mana Encik Kacak?

     "Ida, Encik Faidi mana?" soal Encik Fairuz seperti yang telah ku duga. Aku memandang ke arah mereka.

     "Hmm.. Encik Faidi dah siap makan tadi. Dia bergerak ke sana tadi," ujarku seraya menunjukkan arah ke mana Encik Kacak pergi setelah meminta diri tadi. Encik Fairuz mengerutkan dahinya seraya menunjukkan makanan di pinggan Encik Kacak yang masih berbaki itu.

     "Isy.. takkanlah dah siap makan kot. Makanan dalam pinggan pun belum habis. Biasanya Encik Faidi takkan biarkan makanannya bersisa macam ni," Encik Fairuz masih lagi tidak berpuas hati dengan jawapanku. Tapi, memang betullah Encik Kacak dah minta diri tadi. Tak tahu lah pula aku dia nak pergi ke mana. Ataupun, jangan-jangan dia tak sudi makan berhadapan begini denganku. Betul juga tu. Melihatkan gadis yang berupa tidak komersial seperti aku ini mungkin boleh mematikan seleranya untuk makan. Ya Allah! Kenapa aku berani sangat duduk kat depan dia tadi? Sepatutnya aku tak boleh duduk di hadapannya. Das lah ni! Hatiku menyalahkan Das. Kalau aku duduk di sisi Ila dan Das duduk kat depan Encik Kacak tadi, mesti lelaki itu takkan berlalu meninggalkan juadah sarapanya begitu sahaja seperti tadi. Aku meraba-raba pipiku. Aku betul-betul bodoh sebentar tadi. Malu mula menebal dalam diriku.

     "Ida? Faidi ke mana sebenarnya?" aku tersedar dari lamunanku apabila Encik Fairuz masih bertanya kepadaku.

     "Saya tak tahu Encik Yuz. Dia tak beritahu apa-apa pun. Mungkin dia tak se-le-sa kot sebab saya duduk sini....."aku berhenti tidak tahu menyambung perkataan apa selepasnya. Encik Fairuz tertawa seketika. Aku memandang senyuman yang terukir di bibir Encik Fairuz itu. Ada yang lucu ke?

     "Bila masa pula Encik Faidi tu tak selesa duduk depan awak Ida?" balas Encik Fairuz dalam tawanya. Sumpah tak kelakar! Aku mendiamkan diri mendengarkannya. Tawa tersebut mungkin berbaur sindiran terhadapku. Yalah, apa hak Encik Kacak untk rasa selesa atau tidak dengan ku? Sedangkan dia sendiri tak pernah ambil 'port' pun tentangku. Eh, malu pula aku dengan Encik Fairuz ni. Kata-kata dah memakan diri. Aku tersenyum bodoh sambil menyuap makanan ke mulut. Sudahlah, letak ke tepi sajalah perihal lelaki tersebut. Mungkin benar telahanku tadi. Reaksi Encik Fairuz itu tadi cukup meneguhkan tekaanku sebentar tadi.

     Setelah selesai makan dan berpelukan dengan Ila, aku dan Das meminta diri untuk ke dewan bagi menemui rakan-rakanku yang lain. Tambahan pula, Das mengatakan bahawa tunangnya hampir sampai ke Berhulu Camp. Aku melangkah masuk ke dalam dewan. Kelihatan ramai rakan-rakan ahli dalam kumpulanku yang lain turut berada di situ. Aku menyalami dan berpelukan dengan mereka. Sedih juga ku rasakan saat ini. Aku bertukar-tukar nombor telefon antara satu sama lain. Ada juga yang mengesyorkan untuk membuka group dalam aplikasi whats'app. Aku hanya tersenyum. Telefonku belum cukup pintar untuk menerima pesanan melalui aplikasi tersebut. Entah bilalah aku juga ingin mendapatkan telefon yang pintar seperti rakan-rakan yang lain. Entahlah, aku belum berkehendakkan untuk memilikinya. Suasana di dalam dewan tersebut riuh rendah dengan tawa hilai para peserta kursus. Para fasilitator juga masih ada yang berada di dalam dewan tersebut. Di mana Encik Kacak ya? Adakah dia memang sudah pulang ya? Perlakuannya sebentar tadi betul-betul menimbulkan tanda tanya. Dia memang betul-betul tidak dapat memaafkan aku kah? Perginya begitu sahaja tanpa sempat berbual dengan rakan-rakanku yang lain ketika di meja makan tadi. Mataku meliar mecari sesusuk tubuh tegap dan tinggi itu. Mataku tertancap pada pintu belakang dewan itu. Pintu yang menuju ke tandas yang biasa menjadi laluanku ketika sesi ceramah berjalan di dewan ini. Encik Kacak berdiri di situ. Mataku bersabung dengan pandangan matanya. Kali ini dia mengalihkan pandangannya. Tidak terus memandang ke arahku seperti biasanya. Apakah aku perlu mendapatkannya lagi dan cuba untuk meminta maaf sekali lagi padanya. Ataupun aku biarkan saja begitu. Mungkin dia juga sudah bosan dengan tingkah lakuku. Aku mencongak-congak akan apa yang patut aku lakukan. Tetapi, tidak salahkan kalau aku mencuba lagi. Ya, lagipun ini kali terakhir aku berjumpa dengannya. Selepas ini, mungkin aku takkan bertemu dengannya lagi. Aku berjalan menuju ke arahnya. Kelihatan tiada orang yang berada di sisinya.

     "Assalamualaikum Encik Faidi," aku memberi salam kepadanya apabila tiba di sisinya. Lelaki itu hanya berdiri tanpa reaksi dengan tangan diletakkan di dalam poket seluarnya. Pandangannya pun tidak dihalakan ke arahku. Sungguh aku seperti tidak dijemput ke situ.

     "Waalaikumussalam," pendek jawapannya. Jawapannya yang pendek itu mematikan rasa hatiku untuk berbual panjang dengannya. Mungkin benar telahanku yang dia tidak sudi lagi berbicara denganku. Nampak acuh tak acuh sahaja jawapannya. Aku mula kekok. Apakah sebaiknya, aku tinggalkan saja dan berlalu mendapatkan Das ? Aku mula bertanya di dalam hati. Tapi, kakiku dah terlanjur ke sini.

     "Harap Encik Faidi dapat maafkan tentang perkara semalam. Saya rasa bersalah sangat menyebabkan kalung tersebut hangus....," aku menyambung kata.

     "Stop it," aku belum habis berkata-kata apabila lelaki itu memotong percakapanku. Matanya merenung ke arahku. Pandangan yang sukar ditafsirkan.

     "Tak ada apa yang perlu dibahaskan lagi tentang kalung tu. Sebaiknya, lupakan saja tentang tu," ujar lelaki itu lagi seraya memandangku sekilas dan berlalu dari situ. Aku tertunduk. Mutiara jernih gugur juga akhirnya ke tanganku. Sedih. Hatiku betul-betul meruntun hiba. Aku cuba menahan perasaanku. Lagaknya keras begitu tak ubah seperti Datin Anita, ibunya. Dasar anak dan ibu. Sama saja perangainya. Langsung tidak boleh bertolak ansur dengan kesilapan yang aku sendiri tidak sengaja untuk melakukannya. Sudahlah, jangan membuang masa lagi. Aku berlalu dari situ seraya mengesat air mata. Mataku melilau mecari kelibat Das yang telah berada di luar dewan. Kelihatan seorang lelaki sedang bercakap-cakap dengan Das sambil menyerahkan kunci kereta kepadanya. Mungkin itulah Acus, tunangnya yang diceritakan oleh Das.

      "Hai," aku menyapa apabila tiba di tempat mereka berdua berdiri. Das dan lelaki itu tersenyum memandangku.

     "Abang, ini Ida. Kawan baik sayang kat sini," lelaki itu tersenyum seraya mengangguk-anggukkan kepalanya apabila Das memperkenalkan aku padanya. Aku membalas senyuman mesra mereka. Lelaki itu kemudiannya meminta diri dan beredar dengan keretanya.

     "Das, kita nak ke mana ni?" aku pula bertanya kepada Das apabila bayang-bayang kereta tunangnya menghilang dari pandangan mata. Das tersenyum kemudiannya.

     "Kita ke Seremban lah. Kalau berdua, aku berani sikit nak memandu. Lagipun buat apa lagi nak duduk sini kan?" ujar Das lagi. Aku menganggukkan kepalaku. Benar juga kata Das tadi. Untuk apa lagi terus-terusan berada di sini. Hasrat untuk berbicara dengan Encik Kacak dan bertanya perihal kalung tersesbut kumatikan lantaran sambutan dingin oleh lelaki itu. Kelakuannya betul-betul menghiris hatiku. Kelihatan langsung tidak mesra seolah-olah langsung tidak mengenaliku. Tak ubah seperti kali pertama Kak Erra memperkenalkan dia kepadaku.

     Aku memasuki perut kereta Persona hitam milik Das setelah memasukkan barang-barang ke dalam keretanya. Selamat tinggal Berhulu Camp. Tempat yang tersingkap banyak masalah dan rahsia. Pasti menjadi pengalaman yang tidak akan aku lupakan. Pertemuan semula dengan Kak Erra, perkenalan dengan Encik Kacak yang berperangai aneh, kelancangan mulut Minah Ketak dan kerenah cerewet Datin Anita akan tetap menjadi ingatan terpahat dalam memori ingatanku. Semoga ia menjadi sempadan dalam hidupku kelak.

     "Ida, kau diam ja?" Das memecah kesunyian dalam kereta yang hanya dipenuhi dengan lagu yang kedengaran di corong radio kereta milik Das itu. Aku berpaling memandang ke arah Das. Elok juga kalau aku ceritakan pada Das. Das mungkin belum mengetahui akan perkara sebenar yang berlaku ketika di meja makan tadi serta perkara yang berlaku di dalam dewan tadi ketika aku cuba mennghampiri Encik Kacak tadi.

     "Das, aku macam rasa bersalah lah. Macam sedih pun ada," aku memulakan bicara. Das memalingkan wajahnya ke arahku kemudian kembali fokus ke atas pemanduannya.

     "Serba salah tentang kalung Encik Kacak tu? Sedih kenapa pulak? Sebenarnya, kenapa Encik Kacak tu cepat benar tinggalkan meja makan tadi ya?" Das bertanya kemudiannya. Aku mengeluh sambil menarik nafas dalam-dalam.

     "Aku rasa dia benci kat akulah Das. Masa kau pergi ambil minuman tadi, aku cuba minta maaf dengan dia. Lepastu, dia cakap tak apalah. Mungkin salah dia juga. Then, dia blah macamtu je. Tadi masa kat dewan, aku cuba nak berbual lagi dengan dia. Aku nak minta maaf lagi dengan dia. Tapi, dia cakap, stop it. Tak ada apa yang nak dibahaskan lagi. Then, dia pun blah macam tu ja. Langsung tak pandang aku pun," kataku lagi dengan suara perlahan. Das tidak terus membalas percakapanku itu. Kelihatannya dia turut berfikir akan kelakuan Encik Kacak tadi.

     "Entahlah Ida. Apa yang dia nak sebenarnya ya? Kalau nak diikutkan bukan salah kau juga kan. Siapa suruh dia beri kalung tu kat engkau kan," ujar Das berpihak padaku. Aku mengiyakannya dalam hati. Benar juga begitu.

     "Sudahlah Ida. Tak payahlah nak memikirkan masalah tu. Ada masalah yang lebih penting untuk kita selesaikan. Aku ingat kita terus pergi ke kilang perfumes tu lah. Nilai bukan jauh sangat dari sini. Lagipun, aku teruja juga nak tengok perfumes tu secara real," Das berkata lagi. Aku tersenyum ke arah Das.

     "Tadi kata nak ke Seremban? Sekarang nak ke Nilai pula?" aku bertanya lagi.

     "Kita ambil stok dulu. Manalah tahu terjumpa kawan-kawan aku kat sini. Bolehlah recommend kat dia orang. Cepat sikit terjual perfumes tu. Kan Taukey Perfumes?" Das tersenyum sambil melirik ke arahku. Aku ketawa besar sambil mengeluarkan borang tawaran beserta terma dan syarat penjualan perfumes oleh Encik Shark tempoh hari. Di situ tertera alamat kilang perfumes yang beralamat di Nilai itu yang boleh dijadikan panduan untuk menuju ke kilang tersbeut. Das yang kelihatan fokus ke arah pemanduannya sesekali mengikut alunan lagu yang berkumandang di corong radio itu. Sebentar kemudian, ada pesanan masuk ke dalam peti pesanan ringkas Nokia C3 milikku. Mesej dari Lang Merah lagi.

     'Hai, kat mana tu? Tengah sibukke?' aku menekan papan kekunci telefonku untuk membalas. Bukan aku yang sibuk, tapi kau yang suka menyibuk.

     'Kat jalan raya. Saya tak sibuk, tapi jalan raya yang tengah sibuk' aku membalas pesanan ringkas tersebut.

     'Oh, naik kereta ke? Ataupun naik bas? Ke naik teksi?' Lang Merah terus bertanya. Sibuk ja dia nak tahu aku naik apa.

     'Naik keretalah. Kenapa awak tanya? Awak nak tolong pandu kereta ke?' balasku lagi.

     'Boleh juga nak tolong pandu. Itu bukan awak yang pandu kereta kan?' soalnya lagi. Pertanyaan yang tidak penting. Saja membazirkan kredit telefon.

     'Iyalah. Takkanlah saya memandu sambil main telefon kot' aku melayan saja mesej tersebut.

     'Yalah tu. Siapa yang pandu kereta tu?' tanyanya lagi. Ya Allah! Kalau dah nama tak ada kerja, gitulah kelakuannya. Sampai siapa yang pandu kereta pun nak tahu. Aku tersengih seketika. Boleh juga nak main-main ni.

     'Kekasih yang tolong pandu ni haaa...J' balasku sambil kuletakkan ikon smiley di situ. Sebentar kemudian mesej dari Lang Merah masuk.

     'Bohong...'aik.. suka hati dia aja cakap aku bohong. Ingat aku tak laku sangat ke sampai tak ada kekasih.. Padahal memang aku belum punya kekasih pun. Tapi, takkanlah dia tahu kot.

     'Apa lak? Betullah kekasih.. Jealouslah tu J' aku membalas mesej lelaki tersebut.

     'Tak yah tipulah. Bohong dosa. Tuhan marah' aku tergelak membaca pesanan ringkas lelaki tersebut. Tawa ku yang agak kuat mengejutkan Das yang berada di sebelahku. Das mengerutkan keningnya. Aku membiarkan Das yang seolah-olah bertanyakan sesuatu padaku seraya membalas mesej lelaki tersebut.

     'Betullah..KEKASIH. Awak mesti tak ada kekasihkan..hihihi... Kesian awak' aku menghantar pesanan tersebut seraya tersenyum

     'Yalah tu. Kalau dengan kekasih, takkanlah pegang hanphone lagikan. Saya ada kekasih. Awak aja yang tak tahu' aku tersentak membaca mesej nya itu. Betul juga. Kalau keluar dengan kekasih, takkanlah aku begitu aktif melayan pesanan ringkasnya. Kantoi sudah. Eleh, macam dia seorang saja ada kekasih.

     'Eleh, awak pun mesti jomblo happy ni kan. Kalau awak dah ada kekasih, kenapa sibuk nak mesej saya lagi? Tak marahke awek awak tu?' aku pula bertanya. Sebentar kemudian mesej masuk lagi.

     'Confirm tak marah. Sebab tengah chat dengan dia ni pun.. J..hehehe' aku tergelak membaca ayat pickup line tersebut. Cesss... Itulah lelaki. Lebih lembut gigi pada lidahnya. Belum kenal budi dan rupa terus buat ayat pickup line ni. Tapi, terhibur juga aku membaca pesanan ringkas dari Lang Merah ini.

     "Engkau senyum sorang-sorang ni kenapa Ida? Pelik pulak aku tengok," ujar Das yang sedari tadi kelihatan aneh dengan tingkahku. Aku tersengih.

     "Tak adalah. Aku duk melayan mesej budak chatting aku nih," aku tergelak sambil memandang ke arah Das.

     "Oh, patutlah. Rajin pula kau melayan mesej mamat tu Ida," ujar Das lagi mengusikku.

     "Orang jomblo happy macam aku ni, saja nak rest kan kepala layan mesej mamat ni..hihihi" aku berkata lagi.Das ikut ketawa. Lucu mungkin dengan telatahku yang suka melayan mesej dari rakan 'chatting' ku itu.

     Hampir sejam kami sampai di bandar Nilai. Lebih kurang setengah jam juga kami berlegar-legar di situ untuk mencari bangunan kilang yang dimaksudkan oleh Encik Shark itu. Sebaik sahaja menemui kilang tersebut, Das memberhentikan keretanya di tempat parkir yang berdekatan dengan kilang tersebut. Kilang tersebut sederhana besar. Jelas tertera di kilang tersebut perkataan SYARIKAT BERJAYA MEGAH HOLDINGS. Memang tak silap lagi. Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke kilang tersebut, aku disambut oleh dua orang wanita yang mungkin merupakan pekerja di situ lantaran berpakaian sama dan bertanda nama. Aku memperkenalkan diriku dan memberitahu tujuan kedatanganku ke situ.

     "Oh, saya Maria. Jadi, cik ni yang menerima 'offer' penjualan 10 000 unit perfumes di Berhulu Camp tu ya?" tanya pekerja wanita yang bernama Maria itu dengan mesra. Cantik juga orangnya. Agaknya, syarikat ini hanya memilih orang cantik untuk bekerja dengannya. Aku mengangguk seraya mengiyakan apa soalan yang ditanyakan kepadaku tadi sambil menghulurkan borang tawaran dari Encik Shark tempoh hari.

     "Kebetulan, Ketua Pengarah kita sedang melawat kilang. Cik boleh terus bersemuka dengannya lah ya," ujar wanita itu lagi. Ketua Pengarah? Jangan-jangan Datin Anita tak? Habislah aku kali ni. Nanti banyak pula soalnya padaku nanti. Agak-agak datin itu percaya atau tidak padaku ya. Hmm.. aku merapati Das seraya berbisik.

     'Habislah aku kali ni Das. Jangan-jangan boss dia tu adalah datin Anita.' Das membulatkan matanya.

     'Datin Anita tu penolong ketua pengarah syarikat ni kan,' ujar Das masih dalam nada berbisik. Kelihatan pekerja wanita itu bergerak masuk ke dalam untuk memberitahu bossnya akan perihal kedatanganku ini. Sebentar kemudian, wanita itu keluar dan memberi pesan.

     "Tunggu sebentar ya. Datuk sedang dalam perbincangan di dalam. Cik berdua duduklah dahulu di sini," ujar wanita itu dengan ramah. Aku menarik nafas lega memandang ke wajah Das. Perkataan 'Datuk' yang digunakan oleh pekerja wanita itu benar-benar menjawab persoalanku tadi. Das turut tersenyum lega. Sebentar kemudian seorang lelaki separuh umur yang memakai blazer hitam keluar bersama beberapa orang lelaki yang lain. Orangnya tinggi berkulit cerah. Badan sederhana besar dan kelihatan tegap. Agaknya inilah datuk yang dimaksudkan oleh Maria tadi.

     "Assalamualaikum," lelaki itu menyapa seraya memberikan senyuman manis ke arahku. Mesra sekali wajahnya. Seperti pernah ku lihat senyuman manis ini.

     "Waalaikumussalam," aku dan Das menjawab serentak sambil berdiri tanda hormat. Dia kembali menyuruh aku dan Das untuk duduk.

     "Jadi, cik berdua ini yang menyahut cabaran penjualan 10 000 unit perfumes kami kan?" lelaki itu menyoal lagi. Aku memandang ke wajah lelaki tersebut.

     "Sebenarnya saya seorang saja. Kawan saya ini datang menemani saya," ujarku lagi sambil tersenyum. Lelaki itu mengangguk-anggukkan kepalanya. Masih memandang ke arah kami berdua.

     "Siapa nama ya?" kali ini soalan diajukan kepadaku.

     "Saya Ida. Ini kawan saya, Das namanya," aku memperkenalkan diriku serta Das. Das kelihatan tersenyum memandang ke arah lelaki tersebut.

     "Oh, Ida namanya. Saya puji keberanian yang awak tunjukkan ni. Kalau awk berjaya merealisasikan target kita ni, saya janji awak akan jadi sebahagian daripada syarikat kita," lelaki itu menyambung kata sambil tersenyum. Manis sungguh senyumannnya. Ya, senyuman yang seakan terbiasa ku lihat. Tapi siapa ya? Aku membalas senyumannya. Kelihatan lelaki tersebut memanggil beberapa orang pekerjanya dan bercakap sesuatu dengan mereka. Sebentar kemudian, 2 orang pekerjanya datang bersama dengan 2 kotak yang mungkin berisi perfumes di dalamnya.

     "Baiklah, 3 kotak ini berisi 200 perfumes keluaran kami. Setiap 1 unit perfumes ini berisi 50 ml kesemuanya. Sekiranya kesemua perfumes ini terjual laris, cik boleh datang lagi ke sini untuk mengambil stok lagi di sini ya. Harap cik menjaga perfumes-perfumes ini dengan baik," sambung lelaki yang bergelar datuk itu. Aku mengangguk tanda faham. Datuk itu kembali tersenyum kepadaku seraya bertanya di mana aku meletakkan kereta supaya pekerjanya dapat membantu untuk memindahkan kotak-kotak tersebut ke dalam kereta. Das bangun seraya menunjukkkan arah tempat kereta tadi. Aku menuruti dari belakang.

     "Semua peserta di Berhulu Camp dah pulang ya?" soal datuk tadi lagi menghentikan langkahku. Aku mengiyakan pernyataan itu. Agaknya semua peserta kursus memang sudah pulang ke tempat masing-masing kot. Sudah sejam setengah berlalu. Pasti mereka sudah perlahan-lahan meninggalkan kem tersebut.

     "Semua fasilitator dah pulang ya?" tanya lelaki itu lagi. Fasilitator aku tak tahula pula. Encik Kacak dan yang lainnya tentu dah pulang kot.

     "Tak pasti datuk. Saya rasa mungkin semua dah pulang kot," ujarku lagi. Takkan semua tindakan mereka tanpa makluman ketua pengarah kan. Lagipun, penaja terbesar kursus ini adalah syarikatnyakan.

     "Awak kenal Encik Faidi kan? Dia masih ada di sana tadi?" lelaki itu masih bertanya kepadaku. Encik Kacak? Kenapa dia bertanya tentang Encik Kacak ya? Sikap Encik Kacak yang dingin terhadap ku tadi mula terbayang dalam fikiranku semula. Ah, lagi-lagi bayangan itu pula yang muncul. Datuk pengarah ni pun macam dah tak ada nama lain dia nak tanya.

     "Kenal datuk. Tapi, saya tak pasti dia masih ada di sana atau tidak. Saya ada terserempak dengan dia sebelum memasuki kereta tadi," aku berbicara jujur. Lelaki itu masih memandang ke wajahku. Kenapa? Ada apa yang tak kena ke? Aku ada buat salah ke?

     "Hmm.. oh begitu. Tak apalah kalau macamtu. Lepas ni, awak ke mana pula?" soal lelaki ini lagi. Ramah sekali walaupun kali pertama bertemu. Tidak sombong seperti penolong ketua pengarah syarikatnya, Datin Anita.

     "Saya ikut kawan saya ni. Saya balik Seremban,"jawabku. Ketua Pengarah Syarikat Berjaya Megah Holdings itu tersenyum dan mengangguk-angguk kepalanya. Aku meminta diri untuk beredar dari situ. 


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh usakoprincessz