Bab 7

Pagi itu hujan renyai-renyai membasahi bumi Berhulu Camp, Jempol. Aku meluaskan mata bundarku itu. Malasnya nak mandi. Sejuk! Katil Das di sebelahku telah kosong. Das memang selalunya awal mandi. Berbeza dengan aku. Lebih-lebih lagi kalau sedang 'off' ni...hehe. Lagi liat bangun kerana tidak perlu menunaikan solat subuh. Pintu dorm berkeriut, sebuah wajah terjengul sambil tersengih. Ila! Berbaju kurung ungu hari ini dan bertudung sedondon.

"Idaaa!" aku hanya membalas panggilan Ila dengan senyuman sambil mengerutkan kening. Ada apa pagi-pagi buta ni masuk ke bilik aku. Jam baru menunjukkan angka 7.00 pagi. Awal betul bersiap kalau teruja nak dengar ceramah pun. Das yang dari bilik air pun belum tiba lagi.

"Kau ni dah kenapa pagi ni? Awalnya bersiap? Tak sabar-sabar nak 'dating' ngan Dewan Seminarke?" Aku mengecilkan mata sambil menarik gebar yang berselerak di atas katil sambil menegangkan cadar. Ila yang duduk tadi tiba-tiba terus bangun dan membulatkan matanya!

"Eh, kau dah lupake? Pagi ni kita kan ada 'fieldwork'. Bas dah tunggu kat bawah tu.Pak Cik Driver tu dah standby dengan stereng dia dah tu." Ooopss!! Aku baru teringat. Semua peserta akan dibawa ke Bandar Seremban untuk melaksanakan sedikit tugasan berkaitan pemilihan tempat dan konsep kedai atau butik. Dapatan tersebut perlu dipersembahkan dalam slot LDK yang seterusnya. Beria-ria benar kursus ini.. Padahal aku bukanlah orang bisnes. Hmmm...sekadar menambah pengalaman bolehlah..

Sesampai di dataran hadapan kafeteria, dua buah bas telah tersedia untuk semua peserta. Kami diarahkan untuk menaiki bas mengikut kumpulan masing-masing. Kebetulan, kumpulan aku ditempatkan bas yang sama dengan kumpulan Das. Dalam perjalanan tersebut, aku hanya diam membantu diri. Fikiranku masih berserabut mengenangkan RM1900 tersebut! Hari ini hari penentuan..sekiranya Kedai Aira Comel tidak dapat memberi apa-apa maklum balas berkaitan 'parcel' BB Addicted itu..bermakna Alternatif B wajib aku lakukan! Namun, di manakah aku harus mencari wang sebanyak itu? "Kepalaku kugeleng-geleng berulang-ulang kali mencari idea. Perlukah aku meminjamnya dari seseorang? Tetapi harus dengan siapakah? Eh, cikgu Bahasa Melayu cakap 'kah' untuk soalan yang berada di hadapan.. salah nahu!!... Oh.. Siapakah yang sudi meminjamkan duit sebanyak itu?? Nokia C3 kubuka...sambil membanci nama-nama 'contact' yang tersenarai di situ. Sesekali aku menjeling ke arah wajah Das yang asyik melayan lagu dalam 'Discman'nya.. Mulutnya kadang-kadang terkumat-kamit mengikut lirik dan melodi lagu yang didengarinya kadang-kadang kedengaran sumbang, kadang-kadang kedengaran merdu.. Aku hanya tersenyum.. Kelihatan dua kerusi di hadapan Ila dan Encik Fairuz duduk sebelah-menyebelah. Rancak betul nampak mereka berbual. Entah apa yang dibualkan oleh mereka, aku sendiri pun tidak mampu menekanya. Mataku meliar mencari sesusuk wajah.. Encik Kacak? Di mana ya? Puasku toleh ke kiri dan ke kanan. Mungkin bukan di dalam bas ini..aku meneka dalam hati.

Bas kemudiannya berhenti di sebuah hentian ketika jarum jam tangan ku menghampiri jam 8.45 pagi. Di mana ni?.. Aku mula berteka-teki. Maklumlah inilah kali pertama aku berada di Nogori.

"Yeaahhhh!! Dah sampai ko tompat den!!" aku terkejut apabila Das sedari tadi terlentok di bahuku menjerit! Suka sangat sampai kat tempat dia..Hehe.. Memanglahkan.. Kalau bas ni berhenti di Kuala Terengganu pun, mungkin aku pun sepertinya sekarang. Semua peserta di dalam bas tersebut turut tergelak dengan tindakan spontan Das. Ada juga yang turut menyambung ucapan Das sebentar tadi. Mungkin juga mereka datang dari sini juga agaknya.

Aku membuntuti gerak kaki Das yang berisul-siul girang. Sedang aku pula hanya melayan kaki tanpa perasaan. Jiwa dan fikiranku hanya terkenangkan RM1900 tersebut sahaja. Daun-daun yang berjuntaian di sepanjang jalan seolah-olah berbentuk kepingan wang. Bertuahnya kalau daun-daun tersebut bertukar menjadi wang..hehe.. Mat Jenin pun tiada angan-angan bebal seperti ini.

"Das, kita nak ke mana ni?" Aku mula bertanya Das apabila melihat langkah kami agak ketara menyimpang berbanding perserta-perserta yang lain.

"AEON!" Das menunjukkan ke arah sebuah bangunan besar di hujung sebelah kiri kami berdiri. Aku memandang lama ke arah Das. Hairan! Baru jam berapa sudah mahu menapak ke pusat beli belah itu yang sah-sah dibuka jam 10 pagi. Memanglah setiap perserta diberi kebebasan untuk mengunjungi mana-mana tempat yang disukai. Pada masa yang sama setiap peserta perlu mengkaji apakah kriteria yang perlu dipertimbangkan dalam pemilihan tempat dan konsep kedai atau butik dalam melariskan produk atau barangan yang dijual. Masa yang diberikan adalah sehingga jam 3 petang. Lama! Membuat tugasan sambil 'merended'. Bagi orang yang kurang berjiwa bisnes macam aku ini, masa yang lama begini boleh masuk panggung menonton wayang dulu..Hehe..

"Aih, awal benar nak ke AEON? Pak Guard baru nak ambil kunci kot," kataku separuh memerli sambil menjeling ke arah Das. Wajah Das berkerut sambil mengiyakan kataku sebentar tadi. Kami kemudiannya tergelak seketika.

"Apa kata kalau kita makan-makan dulu," ajakan Das ku angguk laju-laju. Perutku masih belum beralas lantaran bas bertolak awal pagi tadi. Kami beriringan menuju ke deretan gerai makan di medan selera yang terletak tidak jauh dari tempat kami berdiri sebentar tadi. Kelihatan ramai peserta kem yang telah berada di sana. Gerai-gerai makanan di sini banyak, namun kelihatan penuh. Padat. Meriah sungguh medan selera di sini. Bermacam-macam lagu yang berkumandang apabila melewati setiap gerai. Aku dan Das mencongak-congak kedai mana yang ingin dipilih. Dari kejauhan, seorang gadis melambai-lambai tangan ke arah kami berdua. Aku mengecilkan bukaan anak mata mengamati pemilik wajah tersebut. Ila rupanya. Meja di kedai yang dipilih Ila kelihatannya masih kosong. Cukup untuk kami berdua. Aku menganggukkan kepala tanda bersetuju seraya memandang wajah Das sekilas dan berlalu mendapatkan Ila.

"Awal kau sampai sini Ila?" Tanya Das sebaik sahaja kami sampai di meja kedai tersebut.

"Mana ada awal sangat.. Kau orang berdua yang menonong ke depan. Aku panggil pun tak dengar," jawab Ila. Aku tergelak sambil menyiku Ila. Mataku sengaja kukebil-kebilkan. Das pula tersenyum-senyum.

"Kenapa pula dengan kau orang berdua ni?" Tanya Ila kehairanan apabila seorang tergelak, manakala seorang lagi tersenyum-senyum.

"Minah ni nak menapak ke AEON pagi-pagi buta!" Ketawa yang kutahan-tahan tadi meletus juga akhirnya. Hilang sekejap tekanan memikirkan RM1900. Gelagat Das tadi betul-betul melucukan aku. Ila pun turut ketawa. Das yang tadi hanya tersipu-sipu kehilangan kata-kata turut tergelak besar.

"Amboi, cerianya masing-masing ya..," Deraian ketawa kami terhenti apabila dua suara yang turut melabuhkan punggung di sebelah kami menyapa. Encik Fairuz dan Encik Kacak! Air mata lucu ku kesat. Spoil..

"Apa yang lucu sangat ni?," Encik Kacak bersuara lagi sambil tersenyum mesra. Keningnya yang seperti perisai itu dijungkitkan ke atas. Matanya dilirikkan ke arahku. Wajahku tiba-tiba berubah. Tiada riak kelucuan lagi. Bukan marah, tapi rasa menyampah. Ada tugasan untuk bercerita tentang kelucuankah? Hatiku bertanya sinis.. Memang aku tak pandai menyembunyikan riak wajah dengan emosi sebenar. Itulah kelemahan aku dari kecil. Meja makan tadi yang riuh sebentar tadi bertukar sunyi sepi. Das dan Ila yang ketawa tadi pun turut terdiam membantu diri apabila melihat perubahanku yang 3600 itu. Pelayan yang datang mengambil pesanan tadi pun agak 'skema' kerana masing-masing berwajah serius umpama wajah-wajah pegawai pemeriksa kebersihan gerai. Cemaskah?.. Kalau dapur dah macam sarang tikus memang wajib takut.. Kedengaran Encik Fairuz memulakan perbualan melenyapkan kebisuan meja bulat itu seketika. Aku hanya tunduk menikmati nasi lemak sambil melayan lagu penyanyi kegemaranku, Tasha Manshahar yang berkumandang merdu sekali dimainkan oleh peniaga gerai tersebut. Tidak berminat untuk menyampuk mahupun bercerita tentang topik-topik yang dibincangkan oleh mereka. Sesekali kakiku dipijak oleh Ila apabila melihatku membisu sunyi sepi. Entah kenapa bibirku bagaikan dikunci pula. Kelihatan riak Encik Kacak pun sedikit berubah apabila pertanyaannya tidak berjawab. Maaflah.. Aku memang betul-betul tidak berminat untuk berbual panjang dengannya.

"Lepasni, kau orang nak ke mana?" giliran Encik Fairuz pula bertanya. Matanya meliar memandang ke arah aku, Das dan tunangnya, Ila.

"AEON!" pantas pula Das menjawab. Aku dan Ila hanya mengangguk tanda turut ke destinasi yang sama.

"Bagus! AEON dekat Plaza Ampangankan.. Dalam bangunan tu banyak kedai dan butik yang mempersembahkan pelbagai konsep dan barangan. Nanti banyak dapatan yang boleh dibentangkan di kem," ujar Encik Fairuz dengan penuh semangat. Aku hanya mengiyakan dalam hati sahaja. Yang penting, di situ ada panggung wayang, pusat karaokae dan pusat beli belah. Tentang tugasan tu..dah jadi nombor dua kot...hehe..

Jam di tanganku kini menunjukkan angka 9.55 pagi. Rasanya masanya dah sesuai kalau perlahan-lahan menapak ke bangunan Plaza Ampangan tu. Aku memberi isyarat tangan kepada Ila dan Das untuk berlalu.

"Abang, 'baby' nak gerak dulu. Nak join kita orang?" Ila kemudiannya bangun seraya mendekati tunangnya, Encik Fairuz. Baby gitu..hehe.. Aku tergelak dalam hati cuba membayangkan sekiranya aku membahasakan baby kepada seseorang.

"Boleh jugakan Diey?" Encik Fairuz seraya memandang sekilas ke arah Encik Kacak. Alaa.. ini yang tak best ni. Kalau Encik Fairuz turut serta, ini bermakna Encik Kacak pun akan menyaingi kami juga. Emosi aku semakin bermasalah. Ila pun satu. Asyik nak berkepit dengan tunang dia saja. Apa kata kalau Ila saja yang berjalan dengan lelaki berdua tersebut.

"Boleh. Aku no problem," Encik Kacak menyahut seraya mengangguk sambil menghabiskan makanannya. Hmmm... aku mendengus malas. Moodku yang tertekan dengan angka RM1900 makin menjadi-jadi dengan emosi kurang stabil. Apakan daya, aku bukan supergirl yang boleh mengubah keadaan.

Suasana di dalam bangunan AEON di Plaza Ampangan masih lagi lengang. Maklumlah, masih awal pagi. Kedai-kedai dan butik-butik sekitar pun kelihatan baru dibuka. Wajah penjual-penjual pun masih lagi ceria dengan solekan tipis yang dikenakan oleh mereka. Das yang di sebelahku menekan-nekan perutnya. Kenapa pula ni?

"Ida..aku sakit perut ni.. Aku nak pergi 'toilet' ni.." ujar Das. Kesian pula. Aku memimpinnya menuju ke arah papan tanda tandas perempuan seraya memberi isyarat kepada Ila dan yang lain yang kami ingin ke tandas. Sesampai di tandas, aku hanya menunggu di luar. Tak berminat untuk mencium bau tandas lagi pagi-pagi ini.

Aku memandang ke sekeliling. Kelihatan Ila, Encik Fairuz dan Encik Kacak masih menunggu di ruang hadapan tadi. Sebentar kemudian, kelihatan seorang gadis berambut ketak melewati mereka. Sah! Minah Ketak! Aku mencapai telefonku lalu menghantar pesanan kepada Ila.

'Ila.. Kauorang semua, jalan-jalanlah dulu. Kita orang lambat sikit ya.'

Biarlah mereka jalan-jalan ke mana-mana pun. Aku sebenarnya kurang selesa apabila terpaksa menyaingi Encik Kacak. Janggal betul rasanya. Apa lagi ada Minah Ketak! Kata-katanya yang dulu masih terngiang-ngiang di telinga. Malupun kadang-kadang terbit dalam diriku. Apalah nasib aku...aku mengeluh beberapa kali.

"Hoi! Berangan!" aku terkejut. Das sudah berdiri di sebelah ku. Aku ketawa kecil.

"Kita nak ke mana ni Das?" Aku mula bertanya. Buku nota sudah kukeluarkan sambil ku catat beberapa nama butik yang berada di situ serta konsep yang digunakan dalam memperagakan produk yang dijual oleh mereka. Walaupun malas nak melakukan tugasan, namun sudah menjadi lumrah guru seperti aku. Memberontak dan memprotes pun, tetap membuat perintah yang disuruh. Huhuhu...

"Entahlah Ida. Aku pun tak tahu nak ke mana," jawab Das selamba. Mungkin dia juga seperti aku. Tiada arah tujuan. Mengikut hayunan kaki sahaja.

"K.A.R.A.O.K.E." terpacul perkataan tersebut daripada bibir kami berdua sambil tergelak. Bagus idea tersebut. Duduk lelama kat situ pun tak apa. Sesekali basahkan tekak menderma suara yang memang sedap ni.. Hahaha... Bak kata rakan-rakanku, suaraku memang memukau. Boleh jadi artis. Hahaha. Kat mana lah yang sedapnya suara aku ni. Aku pun tak pasti.

Setelah mendaftarkan nama, kami terus meluru ke 'box' yang telah diberikan. Das memberi isyarat untuk memesan makanan dan minuman dahulu. Aku terus masuk ke dalam 'box' tersebut dan meletakkan beg tanganku di sudut kiri 'box'. Tak banyak beza dengan 'box karaokae' di Aeon Tebrau City, yang sentiasa menjadi kunjungan ku dan teman-temanku sekiranya ada waktu terluang. Tangan ku laju menekan papan kekunci dalam bilik karaokae tersebut. Pelbagai jenis lagu ku simpan untuk dinyanyikan bersama-sama dengan Das nanti. Aku mencuba mikrofon yang tersedia di situ sambil berangan menjadi penyanyi tersohor. Lagu pertama yang ku pilih... Ke Pintu Kasihmu.. Lagu lama.. Lagu nostalgia...oleh allahyarham Shamrin Fotograf.

'Lagu istimewa ini..ditujukan khas buat insan yang berada di jendela pintu kasihku' aku tergelak seketika. Jiwang dan syok sendiri.

'Kira kau mendengarkan lagu ini, harapanku agar.... kau mengatakan aku juga berada di jendela pintu kasihmu'..aku menyambung ketawa. Persis orang gila bercakap sendirian.

Lagu dimulakan.. aku berdiri dan mula menunjukkan bakat seni suaraku yang terpendam. Seolah-olah terbayang Dato' Ramli MS dan para juri lain yang hendak mengkritik persembahanku nanti.

'....dan kerna saktinya...cintaku teguh.. tidakkan luruh....oooo' aku mengakhiri bait2 lagu tersebut dengan penuh perasaan. Tepukan gemuruhpun berkumandang. Aku tersenyum. Tepukan tadi disertai dengan sorakan pula. Aku mula tersedar dari khayalan lantas memadang ke belakang. 4 orang kelibat manusia tersengih macam kerang busuk. Arhhh....!! Das, Ila, Encik Fairuz dan Encik Kacak berdiri di sana. Malunyaa......

"Uishh...tahniah! Tak sangka, Ida ni ada bakat jadi penyanyi ya" Encik Fairuz yang baru memasuki 'box' menyaingi yang lain mula mengusik. Mukaku merah padam. Aku menjeling ke wajah Das. Das menjungkit bahu.

"Sedap suara Ida. Lagu tu pun best" Encik Kacak menyambung kata sambil tersenyum. Matanya terarah kepadaku. Emosiku mula bercelaru. Semangat tinggi untuk terus berkaraokae tadi merudum turun hingga ke angka 0. Kenapa mereka ni pun turut berada dalam 'box' yang sama. Aku memang pantang datang karaokae dengan lelaki. Kalaulah aku tahu ada lelaki-lelaki ini di belakang tadi, sumpah! Aku takkan menyanyi. Ternoda sudah suara emas aku.

"Ok..sekarang..turn siapa pula?" Das memecahkan kebisuanku. Sesekali dia memandang ke arah ku. Mungkin dia menyedari bahawa aku tidak suka akan situasi ini. Aku menguis-nguis kaki ke lantai.

"Penyanyi yang berikutnya, kita datangkan khas penyanyi versetile juara top smuler!" Encik Fairuz kemudiannya bersuara. Tangannya menggapai mikrofon lalu dihalakan ke arah Encik Kacak. Das dan Ila tergelak melihatkan reaksi Encik Fairuz yang ingin mengenakan Encik Kacak itu. Aku hanya memandang sekilas. Hmmm... Penyanyi versetile? Hamboih... Kerlass sangat kah suara kawan dia tu? Aku mengutuk dalam hati.

"Tak yahlah Yuz. Suara aku bukan best pun" Encik Kacak membalasnya perlahan. Aik? Macam tahu-tahu jer aku duk mengutuk kat dia dalam hati. Ada 'Jurus Pamukak Batin'ke dia ni? huhuhuhu

"Alaaa... jangan nak merendah diri sangat lah Diey. Come on.. tunjukkan bakat terpendam kau tu. Takkan tak tercabar dengan suara tadi?" Encik Fairuz terus memujuk seraya mengenyit mata ke arah wajahku sekilas. Suara aku ke? Encik Kacak memandang ke arah ku.

"Ida, apa judul lagu yang Ida nyanyikan tu ya?" Encik Kacak kemudiannya meyoal aku. Hmmm.. Nak jawab ke tidak ya. Macam dia sengaja jer nak cari topik nak berbual dengan aku. Melihatkan aku masih tak bersuara, Das cepat-cepat menekan papan kekunci lagu bagi memutarkan lagu yang telah aku nyanyikan tadi.

"Nah, ini dia lagu yang Ida nyanyikan tadi," ujar Das. Encik Kacak mengangguk-angguk perlahan seraya menyebut judul lagu tersebut. K.E. P.I.N.TU. K.A.S.I.H. M.U.

"Susah tak nyanyi lagu ni, Ida? Key dia tinggi tak?" Encik Kacak masih lagi bertanya. Naif benar kedengarannya. Menyampah pun ada. Pertanyaan pertama tadi telah diselamatkan oleh Das. Nampaknya kali ni, aku tak boleh mengelaklah kot. Aduhai, malasnya nak berkata-kata dengan orang ini.

"Alaa, kalau key tinggi pun, penyanyi versetile takkan tak boleh. Johan top smuler tu," aku membuka mulut. Terpaksa walaupun nampak agak canggung. Kedengaran sinis juga. Encik Kacak tergelak kecil.

"Percaya sangat dengan Encik Yuz tu. Bohong semua tu. Lagipun saya kurang tahu lagu Melayu ni sebab jarang nyanyikannya," Encik Kacak menyambung gelak. Matanya masih terarah kepadaku. Aku pun pura-pura gelak.

"Das, tukar lagu lainla. Ko ni, memandai jer pilih lagu-lagu kampung macam ni. Pilihla lagu international sikit. Lagu camtu, aku jek yang layan," kataku sambil menyiku Das. Ambik kau.. Kang dah kena sebijik. Bak kata kekasih dia, aku ni kan kampungan. Ya, memanglah.. Aku bangga apa jadi budak kampung. Kuli-kuli sahaja... Bla.. Bla.. Bla.. Das melangkah ke depan seraya mahu menekan punat-punat kekunci untuk menukar lagu yang lain.

"Nope.. Das, stay with that song. Tak, lagu tu sweet sangat. I love it so much. I mean, saya suka gak lagu Melayu camtu. Saya pernah dengar lagu tu, but kurang tahu untuk nyanyikannya and... and.. I think why not kan.. I try to sing it... but together.. kita nyanyi sama-sama.. saya duet dengan Ida. Boleh kan?" Encik Kacak cepat-cepat bersuara seakan menahan supaya lagu tersebut tidak ditukar. Ila dan Encik Fairuz yang sedari tadi tidak bersuara bertepuk tangan dan mengangkat ibu jari masing-masing. Das pun turut berkeadaan sama.

"Ida... cepatlah.. suara kau best sangat tadi. Nanyilah sekali lagi. Duet dengan Encik Faidi lak," Ila pula mencelah dengan nada suara memujuk. Rasa macam nak keluar dari 'box' karaoke ni. Pantang aku menyanyi kalau ada lelaki. Duet pulak tu? Heiii.. salah alamat ni. Das tiba-tiba menarik tanganku seraya berbisik. 'Ida... ayuhlah. Tengoklah Encik Kacak tu. Duk try nyanyi lirik-lirik tu sorang-sorang. Bersungguh benar nampaknya. Kesian pulak aku tengok. Kau nyanyi sekali ni jer.' Ya, memang kelihatan Encik Kacak sedang mencuba-cuba setiap lirik tanpa mikrofon menyanyikan bait-bait lagu Shamrin itu. Nyanyiannya kedengaran sumbang. Seperti orang yang tak pernah menghayati lagu jiwang ini.

"Best lagu ni, Ida" kedengaran suaranya memuji melodi dan lirik lagu tersebut sambil memandang ke arahku seraya tersenyum. Seterusnya, masih mencuba untuk terus menyanyikan lagu tersebut. Aku hanya memandang ke skrin. Melihatkan aku yang tidak memberikan sebarang reaksi, dia bersuara lagi.

"Bestlah lagu ini Ida. Saya sebenarnya suka juga akan lagu Melayu. Lagu ni, saya pernah dengar... macam.. memang suka gak lagu ni dulu. Cuma macam lama dah tak nyanyi. Best kan," dia mengangguk-anggukkan kepalanya seolah-olah ingin memberitahuku bahawa lagu itu memang disukainya sambil memandang ke arah ku. Seperti ingin menarik perhatianku. Terasakah dia dengan kata-kataku tadi? Hmmmm... Rasa bersalah mula bersarang di hatiku. Nak nyanyi ke tak ya.. Catat sejarah ni kalau aku duet dengan dia ni. Tak pernah dalam hidup aku menyanyi apatah lagi berduet dengan lelaki. Aku mencongak-congak dalam hati.

"Nah," Das menghulurkan mikrofon sambil memberi isyarat kepadaku seraya menekan butang 'play' pada papan kekunci lagu. Aku menjarakkan sedikit kedudukanku dengannya. Muzik mula dimainkan. Aku tiada pilihan. Sekali ni jer kot. Encik Kacak tersenyum sambil mengucapkan terima kasih. Beria-ria benar ku lihat wajahnya. Aku hanya memandang sekilas ke arah wajahnya yang asyik memandangku. Tak lekang di bibirnya memuji kelunakan suaraku dan keterujaannya untuk berduet denganku. Rasa menyampah pula bersarang di benak fikiranku. Jujur atau acah-acah saja. Nampak macam plastik sangat. Nasib dia baik. sebab ada Das dan Ila di sini. Kalau tidak, dah lama aku cabut.. Aku memulakan bait bait pertama lagu..

'Jernih berkilauan bagai titisan embun menghujan....

'Hening alam rasa bila nama mu akan lafazkan...

'Ku saksikan dengannya hati penuh rindu yang syahdu

'Dan berbisik tentangnya hasrat jalinan cinta kasih..

Aku berhenti.. seraya memberi peluang 'part chorus' kepada Encik Kacak. Wajahku masih ku hadapkan ke skrin tanpa menoleh. Dari sudut pandanganku, ku lihat Encik Kacak mula berdiri menghadap ke arahku sambil menggenggam mikrofonnnya tanda bersedia. Semangat bebenor..

'Dan dari pintu ke pintu jangan dilangsiri..

'Dengan tabir kelam buka luaskan dengan cahaya...

'Segala dan semuanya tetapkan kugenggam..

'Penuh kepasrahan dan tanpa resah terhadap cinta..

Part chorus berlalu... (Suara boleh tahan...tapi nyanyian memang sumbangla.. melodi dan temponya ke laut.. memang seperti orang yang tak pernah mendengar dan menyanyikan lagu ini.. FAILED.. aku mula memberi komen di dalam hati ). Muzik kemudiannya interlude sementara menunggu ulangan 'chorus' untuk kali kedua.

"Ida, nanti part chorus and seterusnya nanti kita nyanyi sama-sama ya. Saya macam lupa-lupa dah gitu melodi dia. Kalau kita nanyi sekali, ingat balik kot" Encik Kacak bersuara. Das kemudiannya mencelah

"Eh, best apa suara Encik Faidi tadi kan Ida?" tangannya menyiku ku. Aku mengangguk angguk konon mengiyakan. Ambil hati. Mataku tetap ku arahkan ke arah skrin. Jujur aku tak pandai menipu. Nyanyian dia hancuss.. Huhu

"Taklah Das. Tempo ngan melodi macam lari-larijer kan Ida" ujar Encik Kacak. Seolah-olah mendengar kritikan hatiku. Aku diam membisu seraya meyambung nyanyian yang seterusnya sehingga meneruskan bait-bait akhir. Kedengaran Encik Kacak dan yang lainnya turut menyambungnya.

'Di saat bercinta, datang berbagai bayang-bayang menjelma...

'Dan kerna saktinya, cinta kan teguh tidakkan luruh....

Masing-masing bertepuk-tangan di sambut dengan hilai tawa kegembiraan. Tepukan yang memanjang itu seakan aneh apabila di hujung-hujungnya berakhir dengan tepukan berselang-selang dari belakang.

"Kat sini you all ya.. Cinta teguh bagai.. Apa ni?" kelihatan seorang wanita tercegat sambil bercekak pinggang di pintu bilik karaokae itu. Rambutnya yang mengurai disekanya.

"You menyanyi Diey? I macam tak percaya. Seriously you yang menyanyi lagu entah apa-apa tu tadi?" wanita itu mampir. Sesekali matanya mengerling tajam ke arahku. Menyesal pun ada bersarang dibenakku. Ada baiknya aku tolak mentah-mentah permintaan duet tadi. Aku mula rasa jengkel. Minah Ketak ni memang betul-betul membuatkan aku merasa sebal. Suasana di dalam bilik karaokae itu menjadi tegang. Hilai tawa yang memenuhi ruang tadi terus menghilang.

"As, bukan papa you jemput you kejap tadi?" Encik Fairuz berani mengubah topik perbincangan. Minah Ketak membalas pertanyaan Encik Fairuz tadi dengan jelingan tajam. Tegang sekali wajahnya. Sebelum ini berlarutan, lebih baik aku cabut. Pandai-pandailah aku bawa kaki aku ni ke mana sementara menunggu jam 3 petang ni. Daripada mengadap muka pasangan ni dalam bilik kecil ni. Aku bangun berlalu ke pintu.

"Eh, you nak ke mana? Berapa kali I nak cakap kat you ha? Simpanlah gedik you tu sikit boleh tak?' Minah Ketak kemudiannya bersuara. Berdesing telingaku mendengarkan perkataan 'GEDIK'. Pantang betul aku. Kali ini baru aku dengar suara Encik Kacak bersuara.

"Apa ni As? Siapa yang gedik ni?. She's very good and talented singer" Cehhh, konon memuji-muji aku pula di depan bakal tunangnya.

"Talented? Ooo.. I tak tau pulak. Tapi, orang yang talented selalunya mahal sikit nak ajak berduet dengan orang lain kan," Kedengaran suara sinis Minah Ketak membalasnya.

"Sejak bila you pandai nyanyi lagu jiwang-jiwang kampung ni? So funny. Well, maybe she's talented in singing. Biasalah, orang kalau wajah dah tak seberapa haraplah nak menggedik pada suara", Ya rabbi!!!! Sakitnya hati aku! Siapa yang terhegeh-hegeh sangat nak berduet dengan jantan tu! Aku tak mampu menahan diri lagi. Ini sudah berlebihan sampai ke tahap menghina aku.

"Eh, tolong sikit ya. Sebaiknya kau tanya dengan bakal tunang kau tu dulu. Siapa yang kepingin sangat nak berduet dengan aku tadi. One more things, aku tak heran cowok macam kekasih kau ni. Kau tak percaya? Kau tanya dengan diorang ni semua. Jaga sikit mulut kau tu lain kali ya," ambik... dah tak ada lagi kata-kata sopan yang keluar dari mulut aku. Meluat betul aku melihatkan wajah kedua-dua pasangan tersebut. Ada riak terkejut pada wajah Encik Kacak. Mikrofon yang di tangannya kelihatan terlepas ke bawah. Wajahnya berkerut dan matanya yang redup terus menatapku seolah-oleh ingin memberi penjelasan. Aku terus meluru ke pintu dan keluar. Kedengaran suara Das dan Ila memanggil-manggil namaku. Ini semua gara-gara mereka jugalah. Gara-gara memenuhi permintaan merekalah, aku terpaksa menyanyi dengan Encik Kacak. Padahnya, aku juga yang terkena. Sindiran yang cukup tajam buat aku. Aku ni memang seorang yang gedikkah? Tak..bukan! Aku bukan perempuan yang terhegeh-hegeh inginkan perhatian dari lelaki. Ya, memang betul rupa aku ini tak seberapa, tapi aku tak pernah menggedik dengan lelaki. Kenapa Minah Ketak tu sampai hati berkata begitu padaku. Aku cepat-cepat berlari ke hujung bangunan supaya tidak dikesan oleh mereka untuk mencari pintu keluar. Biarlah walau mungkin aku terpaksa berjalan sendirian. Asalkan tidak lagi bertembung dengan kedua-dua manusia yang menjengkelkan itu. Inikan kawasan bandar. Banyak lagi pasaraya dan kedai-kedai lain yang boleh aku kunjungi. Sesekali mataku menoleh ke belakang untuk memastikan mereka tidak dapat mengesanku lagi.

'BIKK!' Kedengaran ada sesuatu yang terjatuh. Aku terkejut lantas berpaling. Seorang wanita bergaya berkaca mata hitam berdiri di hadapanku. Di sebelahnya ada dua orang lelaki. Salah seorang yang berdiri di sebelah kirinya kelihatan cuba mengutip sesuatu dari bawah.

"Ada seseorang mengejar awakkah? Jalan menonong tak tengok depan?" Wanita itu mula bertanya. Suaranya perlahan tetapi agak sinis. Apa yang jatuh ya? Maaf..

"Maafkan saya Puan... Err.. Saya tidak sengaja..errr...." aku tergagap-gagap meminta maaf.. Wanita yang tidak dapat ku teka wajahnya dek tertutup dengan kaca matanya itu hanya mengerling sekilas terhadapku. Tiada senyuman terungkap di bibirnya. Aku masih tercegat di situ.

"Datin, nah, barang-barang ni macam dah pecah," lelaki yang yang terbongkok-bongkok mengutip sesuatu dari bawah tadi kemudian bersuara sambil menyerahkan sesuatu kepada wanita itu. Datin? Aku tak salah dengarkan... Patutlah kelihatan bergaya sekali.. Tapi, apa yang pecah? Wajahku mula cuak. Wanita tadi menyambut huluran lelaki tersebut.

"Lihat," barang yang berbalut dengan plastik sederhana besar itu kemudiannya diajukan oleh wanita itu kepadaku. Wajahku makin pucat.

"You dah pecahkan barang-barang yang berharga ni. How so careless you are," wanita itu bersuara lagi sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Aku menjadi tak keruan.. Apa isi kandungan plastik itu ya? Sesuatu yang mudah pecah.. Kaca? atau Kristal? Bukkk.. Habislah aku kali ini. Kena bayar ganti rugilah.

"Maafkan saya Pu... Datin... Saya..." belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, wanita itu terus memotong percakapanku.

"Maaf? Mungkin.. Tapi, adakah dengan maaf boleh mengembalikan semua tu kepada keadaan yang elok seperti sebelumnya?" ucapan maafku dijawab dengan suatu pertanyaan. Aku hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala.

"Ya, memang salah saya datin. Saya mengaku dan saya sanggup membayar ganti rugi atas kecuaian saya tadi," naïf benar ucapanku kali ini. Tapi, berapakah nilai barangan tersebut? Mampukah aku untuk membayar keseluruhan nilai barangan tersebut?.. Huhu... Wanita itu kemudiannya memalingkan wajahnya ke arah lelaki yang berada di sebelah kanannya. Wanita itu kelihatannnya bercakap sesuatu dengan lelaki itu dengan nada yang perlahan. Aku cuba mengamati bunyi percakapan mereka.

"Mama, tak perlulah. Mungkin bukan rezeki kita kot. Kita cari yang lain je la, ya," terdengar suara lelaki tersebut memanggil wanita itu dengan panggilan 'mama' berkata sesuatu kepada wanita itu. Mungkin lelaki itu anaknya.

"No, mama dah banyak kali rugi Zam," wanita itu kemudiannya membalas.

"Tapi, bukan salah dia juga. Dia kan tak sengaja," lelaki itu seakan membelaku sambil menarik bahu wanita itu menyebabkan badan wanita itu terdorong sedikit ke belakang. Jarak yang jauh dan suara mereka yang perlahan itu menyebabkan aku tidak dapat menangkap butir-butir percakapan mereka lagi. Aku jadi serba salah. Hasrat untuk terus meneruskan perjalananku terhenti di situ. Mudah-mudahan mereka bertiga masih belum dapat mengesan keberadaan aku di sini. Seketika kemudian, wanita itu berjalan menuju ke arahku.

"You nak bayar gunti rugikan?" dia kembali menyoalku. Aku mengangguk tanda bersetuju.

"Ya datin. Boleh saya tahu berapa nilai yang harus saya bayar?" Aku kembali bertanya padanya. Kali ini pertanyaanku dijawab dengan keluhan. Wajahnya dipalingkan sekali lagi ke arah lelaki tadi. Kelihatan lelaki itu menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mulutnya terkumat-kamit mengatakan sesuatu seolah-olah memberi isyarat supaya menghentikan kesalahfahaman ini. Kemudiannya wanita itu melemparkan padangannya jauh ke depan.

"Lain kali, tolong hati-hati kalau berjalan. Jangan menonong sesuka hati," wanita itu bersuara lagi. Aku menganggukkan kepala berulang kali sambil mengangkat kedua-dua belah tanganku ke dagu. Kali ini suara wanita itu lebih kendur daripada sebelumnya. Aku menarik nafas lega. Mungkin wanita ini sudi untuk memaafkan kesalahanku. Tanpa sengaja, bibirku menguntum senyuman. Wanita itu kemudiannya bersuara kembali apabila menyedari senyuman yang terukir di bibirku.

"Tapi, barang-barang yang you pecahkan itu bukan bernilai RM10. I nak you ambil pelajaran daripada kecuaian ini." aku cepat-cepat mematikan senyumanku. Aku terkebil-kebil menunggu arahan.

"Pin, ambil nombor telefonnya," ujar wanita itu kepada lelaki yang berdiri di sebelah kirinya. Wanita itu mula menghayunkan langkahnya bergerak ke hadapan disaingi oleh lelaki yang dipanggil Zam itu tadi. Bagaikan seorang murid yang patuh kepada gurunya, aku memberikan nombor telefonku kepada lelaki yang dipanggil Pin tadi sebagaimana yang dikehendaki. Serentak dengan itu, wanita itu yang sudah bergerak ke depan beberapa jarak kembali memalingkan wajahnya dan merenungku. Aku kaget. Dia kembali merapatiku.

"Apa? Plesae mention your number phone again?," wanita itu bersuara lagi. Aku mengangkat wajahku memandang ke arahnya. Ada apa pula dengan nombor telefon ku? Terlebih digit atau terkurang satu digitnya ya? Belum sempat aku mengulanginya, lelaki yang bernama Fin tadi mencelah.

"Ini datin, saya dah catat," kata lelaki itu sambil menyerahkan sekeping nota kepada wanita itu.

"Is that your number phone?," wanita itu kembali bertanya kepadaku seraya membuka kaca mata hitamnya dan merenungku. Sekarang, jelas sekali wajahnya. Cantik. Sesuai dengan status datin yang dimilikinya.

"Ya, datin. Itu memang nombor telefon saya," aku mengangguk-anggukkan kepalaku mengiyakannya.

"See... Zam, mama takkan biarkan perempuan ni macamtu saja. She's too much!" kata wanita itu separuh menjerit. Aku terkejut. Orang-orang yang berada di sekeliling ku turut memandang ke arah kami. Wajah wanita yang berkulit cerah itu kemerahan seakan menahan amarah yang menggunung. Aku makin tidak faham akan situasi ini. Sudahlah jalanku disekat. Lama-lama berdiri di sini, lambat-laun Encik Kacak dan yang lainnya pasti dapat mengesan keberadaanku di sini. Ikutkan hati ingin saja aku cabut lari daripada wanita dan lelaki-lelaki ganjil ini. Telah aku turuti arahannya untuk memberikan nombor telefonku, tetapi masih aku ditengking sehinggakan semua orang memandang ke arah aku. Malu tahu...

"Maafkan saya... Tapi,..." aku cuba mententeramkan keadaan namun percakapanku dihentikan oleh telunjuk kasar wanita itu. Tidak hanya itu, badanku yang kecil ini terus didorong ke depan dengan kuat. Badanku ditarik dan dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta mewah yang tak sempat kuteka jenamanya. Aku terpinga-pinga sebentar. Tidak memahami akan situasi yang berlaku. Kes penculikan kah ini? Apa sudah jadi pada aku ini? Tak mungkin aku diculik. Untuk apa menculik aku? Tolong... Aku menjerit di dalam hati..

"Datin.. Saya minta maaf atas kesalahan saya tadi, tapi kenapa saya diperlakukan macamni?" suaraku seakan menjerit.

"Shut up you! Kita selesaikan kat balai polis nanti," wanita itu membalas sambil merenung tajam.

"Tapikan, saya sanggup untuk membayar ganti rugi datin.." aku masih cuba memberi keyakinan kepadanya. Aku tidak mahu sampai masalah ini menjadi kes polis. Terlalu berat aku rasakan.

"Ganti rugi?" wanita itu kemudiannya memandang sinis ke arahku . Matanya dihalakan ke arahkku. Sekejap ke atas dan sekejap pula ke bawah. Pandangan itu cukup sinis. Mungkin wanita itu menyangka bahawa aku terlalu miskin untuk membayar ganti rugi barang-barangnya yang disifatkan mahal itu. Kemudian wanita itu menyuruh lelaki yang bernama Fin yang menurutku adalah pemandu peribadinya tadi melajukan panduannya menuju ke balai polis berdekatan. Lelaki yang bernama Zam tadi hanya diam membantu diri. Tiada riak mahu membelaku namun tidak juga memaki hamunku. Aku menjadi makin tidak faham. Mataku melilau memerhatikan bangunan Plaza Ampangan yang baru kulewati tadi daripada cermin tingkap kereta. Di manakah mereka berempat? Dek melarikan diri dari mereka aku terpaksa menempah bahaya sehingga menjerumuskan aku hingga ke balai polis. Memang apa dosa aku Ya Allah?. Serentak kemudian, Nokia C3 di tanganku menjerit menandakan ada panggilan masuk. Aku menatap ke skrin telefonku. 'BB Addicted'. Lantas aku teringat akan RM1900. Sudah tentu BB Addicted sedang menagih janjiku padanya. Aku memejamkan mata. Hatiku hiba. Mengapakah ujian datang bertimpa-timpa ke atasku. Masalah ini amat menghimpit jiwaku. Air mata ku seka perlahan-lahan.

"Hello" aku menyapa suara itu perlahan. Dalam hatiku mula mencongak-congak apa lagi alasan ku kali ini. Ya. Alternatif B pasti akan kukatakan padanya. REFUND.

"Why you are so late to pick up your phone?" ujar suara dari telefon itu. Anehnya terasa terlalu dekat dengan kupingku.

"Kenapa you diam?" pertanyaan itu membuatkan aku terus berpaling ke arah kananku. Pandanganku bertembung dengan pandangan wanita itu. Lututku bergegar. Jantungku bagaikan ingin luruh. Tanganku terketar-ketar. Nokia C3 terlerai dari peganganku. Jadi, datin inilah BB Addicted! Allahuakbar.. Kecilnya dunia ini Ya Allah! Yang aku takutkan memang benar-benar akan terjadi. Polis? Aku pasti akan ditangkap oleh polis. Aku pasti akan dituduh melakukan jenayah siber kerana menipu padanya. Sesungguhnya aku tidak pernah menipunya, tetapi hanya kerana 'Kedai Aira Comel' yang belum benar-benar memastikan penghantaran 10 perfume Burberry Britt EDT itu kepadanya. Aku betul-betul tersepit dalam masalah ini. Patutlah wanita itu terlalu murka terhadapku tadi setelah mengetahui nombor telefon itu adalah milikku.Aku memang bernasib malang. Selepas ini, rekod jenayah ku yang bersih ini pasti akan terconteng dengan suatu laporan kes jenayah siber yang melibatkan jualan atas talian perfumes Burberry Brit EDT. Tidak.. Aku menggeleng-gelengkan kepalaku. Siapa yang harus aku salahkan sekarang.

Aku membuka pintu kereta sebaik sahaja kereta mewah milik wanita ini diparkir berhadapan dengan Balai Polis Sikamat. Bagaimana aku harus menjelaskan kepada pihak polis nanti. Nampaknya wanita ini sudah berkeras untuk membawa kes ini kepada pihak polis. Perlahan-lahan aku menapak mengekori wanita itu. Aku cuba menguatkan hati ku untuk berbicara dengan wanita itu. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu kes ini sampai ke pengetahuan pihak polis.

"Datin, tunggu dulu," aku bersuara perlahan. Nadaku separuh merayu. Wanita itu seakan tidak mendengarkannya malah melajukan langkahnya merapati pintu utama balai polis tersebut. Lelaki yang bernama Zam itu pula yang menoleh.

"Encik, tolonglah. Dengarkan saya dulu," aku tiada pilihan lagi. Kalau terpaksa aku jelaskan kepada anaknya pun, tidak mengapalah. Langkahan lelaki itu terhenti. Aku tahu, anaknya itu baik. Mungkin dia kasihan melihat wajahku.

"Encik, saya tahu. Saya yang bersalah atas penjualan pewangi-pewangi tersebut. Sebenarnya saya langsung tak berniat untuk menipu datin. Saya memang menjadi agen dropship kepada seorang supplier saya dan saya selalu membeli dengannya. Sebelum ini tiada masalah dan barang-barang dihantar dengan baik serta dalam waktu 3-7 hari bekerja. Namun, kali ini saya tidak tahu mengapa. Saya berjanji akan bertanggungjawab atas kecuaian ini." aku menerangkan keadaan itu bersungguh-sungguh padanya.

"Dik, awak tahu tak apa yang awak buat ini sangat berbahaya?" lelaki itu sejurus kemudian bertanya kepadaku. Aku mengangkat wajahku. Tiada jawapan yang terkeluar dari bibirku.

"Mungkin, adik rasa perkara ini seperti perkara yang remeh. Tapi ia melibatkan duit dan barang yang adik jual itu bukanlah suatu yang murah," lelaki itu menyambung kata. Wajahnya dihadapkan ke arahku. Ada secebis simpati pada wajahnya.

"Tidak bang. Saya tidak anggap perkara ini remeh. Tapi, saya serius menjualnya. Namun, pembekal saya pula belum benar-benar memastikan penghantaran bungkusan itu," airmataku tumpah di situ. Aku malu. Mungkin lelaki ini menyifatkan aku seperti budak kecil yang baru mengenali dunia atas talian dan mencuba sesuatu perkara yang di luar kemampuanku. Sesekali lelaki itu kelihatannya memandang ke arah wanita yang merupakan ibunya itu. Wanita itu kelihatan melambai-lambaikan tangannya seolah-olah memberi isyarat supaya kami melajukan langkah ke arah sana.

"Mama abang tu baik sebenarnya. Dia pernah bercerita dengan abang yang dia dah belikan pewangi-pewangi itu daripada adik secara atas talian. Harga yang adik tawarkan juga lebih murah dibandingkan harga jualan di pasaraya. Tapi, dia rasa sungguh tertipu apabila barang-barang tersebut tidak sampai dalam waktu yang telah adik nyatakan. Pewangi-pewangi itu sebenarnya ingin dijadikan sebagai hantaran pertunangan abang dengan anak perempuannya nanti," lelaki itu bersuara lagi. Aku mendongak wajahku ke arahnya. Jadi, lelaki ini bakal menantu wanita itu. Dan, pewangi-pewangi itu ingin dijadikan hantaran. Agaknya, bungkusan yang jatuh tadi juga merupakan pewangi jugakah? Aku mula mejadi serba salah.

"Oh, begitu. Jadi, bungkusan yang pecah tadi itu pun pewangi yang sama jugakah?" aku memandangnya mencari penjelasan. Lelaki itu mengangguk-angguk mengiyakannya. Aku menjadi makin serba salah atas apa yang telah berlaku.

"Baiklah, saya berjanji akan membayar ganti rugi itu bang. Semuanya bernilai RM1900. Dan, pewangi-pewangi yang pecah tadi bernilai berapa ya?" tanyaku. Naif sekali kedengarannya. Lelaki itu memandangku. Belum sempat lelaki itu memberitahu nilai anggaran pewangi-pewangi yang pecah tadi, wanita tadi menghampiri.

"Zam, kenapa berdiri kat sini? Jom kita ke dalam. Bawa perempuan ni sekali," tegas sekali suaranya.

"Tunggu dulu mama. Sebaiknya kita selesaikan perkara ni kat sini je ma," ujar lelaki itu. Wanita itu mengerutkan dahinya.

"What? Tak, Zam. Mama tak nak. Mama nak selesaikan kes ni dengan polis jugak," wanita tadi tidak berpuas hati. Aku hanya tunduk. Apalah daya aku sekarang.

"Mama, Zam tahu. Mama sakit hati sebab adik ni macam dah tipu mama. Tapi, dia pun tak sengaja dengan kecuaian ini. Dia pun dah berjanji nak bayar ganti rugikan," lelaki itu masih memujuk.

"Nak bayar macam mana Zam? Dia kerja apa? Entah-entah masih bersekolah kita pun tak tahu," aku tersentak mendengarkan jawapan wanita itu. Aku macam budak sekolah lagi ke? Aku meraba-raba wajahku. Petua kecantikan apa yang dah aku pakai hinggakan umur 27 tahun pun masih dianggap 17 tahun ni?

"Saya dah kerja datin.." aku memberanikan diri bersuara.

"Kerja apa?" wanita itu pula bersuara. Alamak... Nak cakap kerja apa ya? Cikgu? Hisyy.. malu pulak nanti cikgu dianggap penipu. Rosak nama profesion aku. Kerja apa ni?

"MMMmenjahit ..." perkataan itu yang terkeluar dari mulutku. Sumpah! Aku memang tak pandai menjahit. Pegang jarum pun tercucuk-cucuk tangan. Betullah mulut memang kuat berbohong.

"See.. menjahit. Macama mana nak bayar ganti rugi yang beribu-ribu tu?" wanita itu masih bersuara tegang. Lelaki itu kemudiannya memegang telefonnnya seperti sedang bercakap dengan seseorang. Aku makin tak keruan memikirkan nasib yang akan menimpaku nanti. Kalaulah begini, lebih baik kalau aku duduk je diam-diam di dalam 'box' karaokae tu tadi. Tahan saja telinga mendengar kata-kata sinis Minah Ketak tu daripada ketakutan menerima hukuman di balai polis ni. Sejurus kemudian kereta Perodua MyVi berwarna kuning memasuki perkarangan Balai Polis Sikamat itu. Seorang wanita berselendang coklat cair keluar. Seakan kukenali gaya dan langkahnya.

"Abang Nizam, mama. Ida pun ada kat sini?" Kak Erra menyapa kami bertiga. Kak Erra? Kenapa dia ke sini? Sepertinya, dia mengenali kedua-dua orang ganjil ini. Kelihatan Kak Erra menyapa lelaki itu dengan lembut dan mesra serta memanggil dengan panggilan 'abang'. Setahu aku, Kak Erra pernah bercerita bahawa dia merupakan anak pertama dan hanya mempunyai seorang adik lelaki iaitu Encik Kacak. Dia turut menyalami wanita itu dengan penuh kasih sayang. Mungkinkah ini ibu kepada Kak Erra? Jadi, ini ibu Encik Kacak? Astaghfirullah. Cukup pakej. Lari dari anaknya. Terserempak dengan ibunya pula. Ya Allah! Macam bersambung-sambung pula masalah aku ini.

"Sebenarnya, apa yang berlaku ni ya?" Kak Erra bertanya lagi.

"dan.. Ida kenapa ada kat sini? Bukan ke hari ni ada kerja lapangan?" aku bingung. Sekejap lagi tembelangku pasti pecah. Wanita yang merangkap ibu kepada Kak Erra ini mesti akan mentertawakan aku.

"Jadi, Erra kenal dengan adik ni?" lelaki itu kemudiannya bertanya kepada Kak Erra.

"Kenal. Ida namanya. Kawan Erra masa sama-sama ambil kelas mandarin dulu kat Pasir Gudang. Dia juga peserta Kursus Keusahawanan di Berhulu Camp tu," jelas Kak Erra.

"Dia menjahit kat mana?" giliran wanita itu pula bertanya. Sudah.. Habis..

"Menjahit apa?" Kak Erra kebingungan.

"Dia bekerja menjahit di mana?" wanita itu mengulangi pertanyaannya.

"Menjahit? Dia bekerja sebagai cikgu kat Pasir Gudang," penjelasan Kak Erra itu membuatkan aku tertunduk. Tidak. Sudahlah menipu. Siap terkantoi lagi. Apalah nasibku.

"Hmm.." wanita itu mula berdehem. Mungkin telah mengesan akan penipuanku yang tak berjaya itu. Kemudian dia menceritakan segalanya kepada Kak Erra. Terbit rasa malu yang teramat sangat pada Kak Erra lantaran Kak Erra sendiripun mengetahui akan hasrat aku untuk menjual perfumes berjenama dari USA itu. Alih-alih ibunya pula yang menjadi pembeli pertamaku. Sudahlah begitu, pembekalku pula bermasalah dalam penghantaran barangan kepadanya. Bungkuslah sudah semua harapan untuk memiliki I Phone 5 tu.

"Ooo.. Jadi yang ni yang mama duk cerita kat Erra tu ya?," Kak Erra kemudiannya bersuara.

"Mama, kalau yang ni, Erra jamin. Dia tak tipu mama. Dia pun mungkin mangsa dalam kejadian ni. Tentang perfumes tu, kita beli yang lain jelah kan mama," aku hanya mendengar pengucapan mereka. Tidak tahu apa lagi mahu berkata-kata. Rekod buruk telah tercatat dalam minda ibu Kak Erra. Ibu juga kepada Encik Kacak. Wanita itu pada mulanya masih tidak berganjak daripada kedudukannya, tetapi setelah dipujuk berkali-kali oleh lelaki itu dan juga Kak Erra, akhirnya kelihatannya mengalah dan berlalu memasuki perut kereta mewah miliknya. Aku hanya kaku berdiri di hadapan pondok pengawal balai polis itu. Sebentar kemudian, Kak Erra merapatiku.

"Ida, akak minta maaf bagi pihak mama ya," aku mengangkat wajahku menghadap wajah Kak Erra.

"Bukan, memang Ida yang salah. Tapi...," aku sebak.

"Akak tahu, ini kesilapan supplier tu. Bukan salah Ida jugak," kata-kata Kak Erra membuatkan aku menangis. Terima kasih kerana memahamiku Kak Erra dan telah cuba mententeramkan hati ibumu.

"Ida tahu, mama Kak Erra belikan perfumes tu semua untuk majlis pertunangan akak kan? Abang tu yang beritahu tadi," kataku seraya menunjukkan ke arah lelaki yang bersama wanita tadi.

"Ida minta maaf atas apa yang terjadi dan Ida janji walau macam mana pun Ida akan bayar ganti rugi atas kecuaian semua ini kak," aku menyeka air mataku.

Aku sepertinya terjerat dalam kes pertunangan orang. Pertunangan adikku. Pertunangan Kak Erra. Mungkin juga pertunangan Encik Kacak. Encik Kacak? Tiba-tiba ingatanku terarah padanya. Boleh jadi perfumes itu juga untuk majlis pertunangan Encik Kacak dengan Minah Ketak. Aku meraup wajahku. Astaghfirullah. Aku penyebab atas segalanya. Kalau nak difikirkan wanita itu membelanjakan sebanyak 10 unit Burberry Brit EDT for men and for women. Ada logiknya di situ. Aku melirik jam tanganku yang menunjukkan angka 3.15 petang. Ini bererti waktu untuk membuat kerja lapangan di bandar Seremban ini sudah tamat, tapi aku masih berada di balai polis ini. Sudahlah aku tidak tahu menahu selok belok jalan di sini. Bagaimana caranya untuk ke tempat Plaza Ampangan pun aku tidak ingat. Inikan pula ingin sampai ke tempat parkir bas tadi.

"Ida, tak usah fikirkan sangatlah tentang tu. Nanti akak akan slow talk lagi dengan mama. Mama tu baik dan lembut je orangnya. Takyah risau sangatlah ya," Kak Erra masih memujuk.

"Ida, jom kita balik ke kem. Kawan-kawan lain mesti semua dah ada dalam bas," ujar Kak Erra. Hmm... Nafas kuhela berat. 5 hari lagi bakal aku tempuhi untuk meneruskan kursus itu. Bagaikan hari ini juga aku mahu pulang ke kampung. Lantaklah apa jadi. Tapi, kalau sampai pihak sekolah mengetahui aku cabut dari kursus ni macam mana? Kaki ku sudah terlalu berat untuk kembali ke kem. Nanti, pasti cerita ini sampai ke pengetahuan Encik Kacak. Kenapa mesti ibu kepada Encik Kacak yang menjadi pembeli pertamaku itu? Kalaulah aku tahu akan semua itu, pasti aku akan membatalkan sesi jual beli itu.

"Kalau saya 'quit' macama mana ya?" aku tiba-tiba bertanya kepada Kak Erra. Kak Erra mengerutkan dahinya sambil mengangkat kening tipisnya. Persis wajah ibunya tadi. Kenapa aku tak perasan dari tadi. Patutlah Kak Erra cantik. Mewarisi sungguh genetik ibunya.

"Kenapa pulak? Isu perfumes ni tak ada kaitan dengan kemkan?" ujar Kak Erra. Aku mengeluh. Kalaulah Kak Erra faham. Hendak ceritakan pun tidak tahu dimulakan dari mana. Lebih-lebih lagi hal ini bersangkutan dengan adiknya. Tentu dia akan berpihak kepada adiknya. Aku ini entah siapa-siapa. Hanya kawan biasa.

"Entahlah Kak Erra. Ida macam dah pening kepala. Macam-macam masalah dah berlaku," aku membalas pertanyaan Kak Erra seraya menuruti langkahnya menuju ke kereta Perodua MyVi berwarna kuning miliknya itu.

"Masalah apa? Ida ceritalah kat akak. Akak pun bukan orang lain, kita kan dah pernah jumpa dulu," ujar Kak Erra. Tidak mungkin aku akan menceritakan kepadanya tentang apa yang sudah berlaku tadi. Tentang adiknya. Tentang Encik Kacak.

"Emm.. akak guess ya. Tentanggg.. Encik Kacak kot," Kak Erra menyambung kata seraya mengenyitkan matanya. Nak pengsan aku mendengarkannya. Encik Kacak? Bagaimana pula dia boleh tahu tentang istilah yang aku gunakan dengan Das tu? Tidak mungkin.. Aku salah dengar ni. Aku menampar pipi mulusku. Aku mimpi mungkin. Tindakan itu menyebabkan Kak Erra tertawa besar.

"Buat apa tampar pipi tu? Sakitkan? Jangan selalu sakitkan diri sendiri Ida. Parah nanti," Kak Erra masih tertawa.

"Kak Erra ni semacamlah. Siapa Encik Kacak tu?" aku memalingkan wajahku ke arahnya pura-pura tidak tahu.

"Orang. Orangnya baik. Very sentimental person. Orang yang pernah belikan Pizza Hawaian Supreme untuk orang tu," Kak Erra memuncungkan mulutnya ke arahku. Ligat otakku menangkap butiran percakapannya. Encik Kacak dengan pizza? Pizza mana pulak ni?.. Hah,, ingatanku terarah kepada pizza yang ku makan pada malam selepas kejadian petang itu. Ya, memang pizza Hawaian Supreme. Aku sangat mengenali bentuk dan rasanya kerana pizza itulah merupakan pizza kegemaranku. Lantas aku terus menoleh ke arah Kak Erra.

"Apa maksud Kak Erra? Pizza?," aku kehairanan. Kak Erra masih tersenyum-senyum.

"Ya, pizza. Ida makan tak pizza malam tu?" aku masih tidak percaya. Takkanlah pizza itu Encik Kacak yang belikan. Padahal mati-matian aku fikirkan Das yang belikan utukku.

"Ada makan. Tapi, itu pizza Das yang belikan," aku membalas pertanyaan Kak Erra dengan yakin. Mata kecil Kak Erra dibulatkan seketika.

"Isy.. Bila pulak Das yang belikan? Depan akak kot adik akak tu call Pizza Hut suruh hantarkan ke kem," Kak Erra bersuara lagi. Sah! Encik Kacak yang dimaksudkan oleh Kak Erra ialah Encik Faidi. Tapi, bagaimana pula dia boleh mengetahuinya? Das? Tidak mungkin Das yang menceritakannya. Persoalan kedua, tentang pizza, masakan pula Encik Kacak yang memesan pizza tu untukku. Huhuhu. Banyak tanda soal mula timbul di benakku.

"Ermm.. tapi kenapa akak tahu?" aku memalingkan wajahku ke arah Kak Erra yang khusyuk dengan sterengnya.

"Tahu tentang panggilan macam tu..." ayat tak sempat ku habiskan apabila terdengar ketawa kecil Kak Erra.

"Guess?" dia tersenyum-senyum memandangku. Aku kaget. Memang apa yang dah terjadi? Kenapa Kak Erra boleh tersenyum-senyum. Hal ini melibatkan adiknya kot. Eh, malu pula aku dibuatnya. Wajahku berubah seketika. Kehilangan kata-kata. Melihatkan aku yang terdiam begitu, Kak Erra kembali bersuara.

"Das yang tersasul sebutkan panggilan tu. Akak terkejut jugak. Ingatkan siapalah Encik Kacak tu. Masa tu akak bertanyakan Ida ke mana, sebab akak tak nampak kelibat Ida turun ke Dewan Seminar untuk slot ceramah malam tu. Rupanya Encik Kacak yang suruh Ida rest kat dorm," Kak Erra mengulas panjang. Lagi panjang senyumannya kali ini. Hisy.. aku dah agak. Mesti Das yang tersasul dan terberitahu... Spoil... Malu jugak aku.. Macam mana nak berlagak biasa ni ya? Agak-agaknya, Kak Erra dah tahu ke belum aku meminati Encik Kacak ya.. Mudah-mudahan tidak.

"Sudahlah, semuatu salah faham je. Akak pun tak faham kenapa As tu macam tu. Kadang-kadang over jugak dia tu. Nak tegur lebih-lebih sensitive pulak dia nanti," Kak Erra menyambung kata apabila melihat aku diam seribu bahasa. Banyak perasaan bercampur-baur dalam benakku.

"Entahlah kak. Ida ni sebenanya macam terjerat dalam situasi pertunangan orang. Pertunangan situ, pertunangan sini, pertunangan sana," terpacul kata-kata spontan itu dari bibirku. Kening nipis Kak Erra dijungkitkan ke atas. Seolah-oleh tidak memahami apa yang cuba aku katakan. Aku hanya mengerling ke wajah Kak Erra.

"Explain please... Pertunangan akak maksudnya?," Kak Erra masih belum berpuas hati. Masih inginkan penjelasanku.

"Yalah, pertunangan akak, pertunangan adik akak," aku membalas pendek. Pertunangan adikku juga. Pening. Memang otakku sekarang berselirat dengan perkataan yang sama. PERTUNANGAN!

"Wait.. Pertunangan akak mungkin disebabkan perfumes tu kan?.. Tapi pertunangan adik akak?," Kak Erra kembali bertanya kepadaku. Keningnya berkerut.

"Yalah, secara tak sengaja mama akak membeli perfumes dengan Ida. Kemudian bermasalah pula dari segi penghantarannya. Yang adik akak pula, bakal tunang dia salah faham dengan Ida. Fikir yang bukan-bukan. Padahal Ida tiada apa-apa pun hubungan mahupun perasaan dengan adik akak tu," aku bersuara lagi. Kali ini lebih berani dari sebelumnya. Kali ini Kak Erra berpaling sejenak ke arahku. Panduan keretanya di perlahankan. Tambahan pula kami sudah sampai ke simpang ke perkarangan masuk Berhulu Camp.

"Maksudnya? Siapa..." belum sempat Kak Erra menghabiskan ayatnya, aku menjerit supaya Kak Erra membrekkan kereta lantaran bumper depan kereta hampir-hampir mencium pokok besar di tepi jalan. Bagai nak luruh jantungku. Wajahku tersembam ke atas 'dashboard' kereta. Sakit betul kepala aku rasakan. Seperti ada luka tercalar di dahiku. Kemalangan apa yang berlaku ini? Kereta dibrekkan secara mengejut. Kulihat wajah Kak Erra tersembam ke atas stereng kereta. Aku bungkam.

"Kak Erra, akak okay tak?," aku bertanya sebaik sahaja kereta sudah berhenti sambil mengangkat wajahnya ke atas. Ada kesan luka sedikit di dahinya. Pucat kulihat wajah Kak Erra. Mungkin juga disebabkan dia tidak fokus ke depan tadi dek ralit berbual denganku sebentar tadi. Aku menjadi serba salah dibuatnya. Aku menggoyang-goyangkan bahunya.

"Kak Erra... Kak Erra okay tak?," aku bertanya lagi. Tangan dan kaki Kak Erra kulihat terketar-ketar. Mungkin terkejut dengan insiden yang berlaku seketika tadi. Aku mula cuak. Apa harus aku lakukan. Serentak dengan itu, bunyi deringan telefon dari dalam tas tangan milik Kak Erra kedengaran. Lantas ku buka, dengan cemas. Tertera perkataan 'LOVE' di situ. Mungkin lelaki tadi yang merupakan bakal tunang Kak Erra yang sedang membuat panggilan. Aku menekan butang hijau untuk menjawab panggilan tersebut.

"Hello sayang," suara di hujung sana kedengaran menyapa. Aku memegang bahu Kak Erra seraya memberitahu tentang panggilan dari kekasih hatinya. Namun, Kak Erra masih berkeadaan sama. Wajahnya kelihatan makin pucat. Aku menjadi makin diburu ketakutan. Apa sudah terjadi ini? Apa harus aku lakukan. Ya.. Aku perlu ceritakan apa yang berlaku kepada lelaki ini.

"Bang, ssaya.... ssaya.. perempuan yang tadi. Saya sekarang bersama Kak Erra dalam kereta. Kami terlanggar pokok besar bang. Di tepi simpang masuk ke Berhulu Camp. Kak Erra terketar-ketar dan pucat lesi bang..." aku bersuara dalam keadaan terketar-ketar. Takut! Ya, aku takut akan terjadi sesuatu pada Kak Erra.

"Apa? Sekejap abang sampai ke sana," talian terus diputuskan. Sementara Kak Erra masih berkeadaan begitu. Bukan sahaja tangan dan kakinya yang terketar-ketar, kelihatan bibirnya juga. Aku mula bimbang. Sawan! Terpacul perkataan itu di mulutku. Mungkinkah Kak Erra diserang penyakit sawan ya? Aku cuba memegang tangan Kak Erra. Sejuk betul. Kak Erraaaaa!!!!!! Apa dah jadi ni? Tolong sedar kak... Aku menangis. Ya Allah! Apa yang terjadi ini.. Tanganku meraba-raba mencari sesuatu untuk kumasukkan ke dalam mulutnya. Aku bimbang lidahnya nanti tergigit seperti terkena kancing gigi. Teringat akan peristiwa seorang temanku ketika di bangku sekolah dulu. Kes berlaku ketika di asrama. Lebih kurang beginilah keadaannya. Nasib baik kejadian berlaku di tepi dewan makan asrama. Ada yang sempat memasukkan sudu ke dalam mulut temanku itu. Kunci kereta yang masih tersangkut di leher stereng cepat-cepat kucapai laluku masukkan ke dalam mulut Kak Erra supaya terhalang daripada lidahnya tergigit buat seketika. Dalam hatiku tidak putus-putus berdoa agar ada yang melihat kami di sini. Seketika kemudian, kedengaran suara riuh rendah di luar. Dua buah bas sedang menyusul di belakang kereta ini. Alhamdulillah, mungkin bas-bas ini merupakan bas peserta-peserta kursus tadi. Aku dapati beberapa orang mengetuk pintu kereta kami. Aku tak mampu membukanya dek memegang sekujur badan Kak Erra yang sejuk dan menggeletar itu. Sebentar kemudian, terjengul sebuah wajah yang aku kenali.

"Ida? Kak Erra? What happened?" Encik Kacak bertanya. Aku tidak terus menjawab. Tanganku terketar-ketar menunjukkan Kak Erra yang sedang menggeletar. Kelihatan ramai yang turut membantu memapah Kak Erra keluar daripada kereta itu termasuklah Encik Kacak. Aku turut cuba untuk keluar dari perut kereta itu. Ketakutan tadi masih lagi terpancar di wajahku. Jalan pun masih terhoyong-hayang. Aku mengangkat wajahku tatkala suara Das menyapa di sebelahku sambil memegang bahuku. Seketika kemudian, kereta mewah tadi berhenti di hadapanku. Wanita itu lagi bersama dua orang lelaki yang sama keluar.

"Mana Erra?" terdengar suara lelaki yang bernama Abang Nizam itu bertanya. Wanita itu pun turut bertanyakan hal yang sama. Suaraku bagai tersekat di kerongkong. Hanya jari yang mampu aku tunjukkan kepada mereka. Kelihatan lelaki itu terus berlari mendapatkan Kak Erra yang sedang dipangku oleh Encik Kacak sedangkan wanita tadi mampir kepadaku sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Ini semua sebab awakkan..." aku tertunduk. Air mataku tumpah juga. Bukan datin... Saya tidak bermaksud untuk mencederakan anak datin. Tapi, mungkin benar katanya. Aku dalang segala kemalangan ini. Aku hanya mampu menangis. Das yang berada di sebelahku cuba menenangkan aku. Tanganku ditarik dan bahuku dipegang. Das mengajakku pulang ke kem dan berehat di sana. Aku tidak mampu untuk melakukan apa-apa lagi melainkan menuruti permintaan Das. Ya Allah, inilah hari yang paling malang seumur hidupku. Musibah datang bertimpa-timpa tanpa belas kasihan.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh