Home Novel Cinta AKU BERIKAN SAYANG
AKU BERIKAN SAYANG
Ai Alani
14/7/2019 11:52:48
43,992
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

BAB 12


Aku leka bermain dengan Mutih, kucing kesayangan ayah diberanda rumah. Mutih ni, ayah jumpa dikebun. Putih bersih bulunya, selalu teman ayah buat kerja. Jadi, ayah pun bawa baliklah, sebab tak sampai hati biarkan Mutih duduk dikebun, berhujan panas. 

“Seri, ayah ada cakap ke dia pergi kebun dengan siapa?”

Emak tiba-tiba datang dan duduk disebelahku.

“Tak ada cakap pun. Soranglah kot, macam selalu. Kenapa?”

“Mak tengok ayah tu, asyik dengan budak Raeez tu saja.”

Iyalah. Bukan tak ada orang lain dalam kampung ni.

“Tapi ayah tu kan baik dengan semua orang mak..”

Aku menyedapkan hati emak.

“ Mak rasa, dia berkenan dengan budak tu.”

Aku pandang emak.

“Mak..ayah bukan macam tu lah.”

Kali ni mak pula pandang aku lain macam.

“Kau ni Seri, apa yang kau pikir? Mak kenal ayah tu macam mana. Maksud mak tadi, ayah berkenan nak buat dia jadi menantu.”

“Mengarutlah mak. Nak dikahwinkan dengan sapa? Mutih?”

“Kamu yang mengarut, ada pulak Mutih. Ada anak dara lain ke dalam rumah ni? Dengan kamulah, siapa lagi?”

Emak mencubit lenganku. Iya juga. Takkan dengan Mutih pula. Hah?

Dengan aku?

“Taknaklah mak. Entah siapa-siapa dia tu. Memanglah sepupu Abang Salihin, tapi kita kenal Abang Salihin sekeluarga sajalah. Raeez tu tak termasuk, orang luar. Lagipun kan mak, ayah cakap, ayah takkan paksa Seri kawin dengan orang yang Seri tak suka.”

“Jadi kamu tak sukalah Raeez tu?”

Soalan perangkap terbaik daripada emak.

“Yang Seri boleh cakap, buat masa ni, Seri belum bersedia. Dia tu, buatnya penculik ke apa, nanti lepas kawin dia bawa lari Seri macam mana? Mak tak takut? Seri ni satu-satunya anak mak tau..”

Aku mengugut emak. Tapi lepas sahaja aku menghabiskan kata-kata, satu lagi cubitan berbisa hinggap dilenganku.

“Merepeklah kau ni. Tak ada pun mak dengar dia buat hal dalam kampung ni setakat ni. Tak baik tuduh-tuduh orang macam tu. Jangan buruk sangka sangat, esok-esok dah jatuh sayang, hah baru tahu.”

Aku mencebik mendengar ugutan emak. Amboi-amboi Raeez, sekarang bukan ayah saja yang suka dia, emak pun sama. 

Aku dan emak masing-masing tutup mulut selepas mendengar suara ayah dari bawah rumah.

“Letak saja atas tangga tu Raeez,” suruh ayah.

Aku nampak Raeez meletakkan parang dan cangkul atas tangga. Dah sah, ayah pergi kebun tadi dengan dialah tu. Aku perasan dia sempat menjenguk ke atas, bertentang mata pula dengan aku. Cepat-cepat aku berpaling, kembali membelek si Mutih. Pantang nama disebut, terus muncul. Sandiwara dunia apakah ini..

“Raeez naiklah dulu, minum-minum,” pelawa emak. Aku beredar masuk kedalam rumah selepas Raeez naik ke atas.

“Nah pisang. Gorengkanlah sikit, buat kudapan Raeez ni.”

“Tak payahlah susah-susah.”

“Mana ada susah, duduk dulu ya. Makcik pergi buatkan, sekejap saja.”

Aku mengekori emak kedapur. Emak mengarahkan aku buat air teh sementara dia menyiapkan pisang goreng. 

“Mak, ni air dah siap.”

“Pergilah ke depan hantarkan dulu Mak nak goreng pisang sekejap.”

Aduh mak ni. Macam sengaja tau. Aku bawakan juga air ke depan. Selepas masuk semula kepintu ruangtamu, aku tidak terus ke dapur. Menyorok dibelakang pintu, nak mencuri dengar perbualan ayah dengan mat salih celup kicap tu. Mana tahu ada yang mencurigakan. 

“Berapa lama Raeez duduk sini?”

“Sampai selesai urusan saya pakcik. Itu permintaan emak saya. Lagipun, saya suka duduk sini. Lupa semua masalah. Aman damai.”

“Masalah apa pula tu? Kot-kot tak keberatan nak bercerita pada pakcik.”

“Biasalah tu, masalah orang muda.”

Aku melihat dari celah pintu, riak wajah Evan Raeez yang tersipu-sipu memandang ayah.

“Kalau masalah orang muda, mesti masalah cinta.”

Dengar mereka sama-sama ketawa. 

“Pakcik ni tahu-tahu saja. Girlfriend saya nak kawin dengan orang lain. Itu yang saya patah hati kata orang.”

Selamba Evan Raeez bercerita pada ayah. Patah hati? Tak nampak macam orang patah hati pun. 

“Pakcik pun pernah muda juga Raeez. Bunga bukan sekuntum. Apa yang jadi, mesti ada sebab dan akibat. Manalah tahu, Raeez jumpa bunga yang lain pulak kat sini.”

Ayah..ayah..halus betul kata-kata ayah. Lain macam bunyinya. Bunga yang lain tu siapa? Bunga Ros? Bunga Raya? Tapi bukan bunga Melati kot…

“Pakcik ni ada-ada je. Tapi betullah juga kata pakcik, bunga bukannya sekuntum. Kalau ditakdirkan jodoh saya dengan bunga kat sini, saya terima dengan hati terbuka. Tapi saya tak mahu dah bercinta lama-lama, sekali patah hati, sakit jga rasanya.”

Mereka ketawa lagi.

“Cinta dunia ni Raeez, macam tulah. Tak akan kekal, penuh dengan ujian. Jangan ikutkan sangat hati yang kecewa, takut kita terlupa, cinta yang kekal abadi itu hanyalah cinta Allah.”

“Saya faham maksud pakcik. Sebab tulah, saya nak lupakan saja dia.”

“Allah dah jadikan kita ni berpasang-pasangan. Jodoh, ajal dan takdir hidup kita ni dah ditetapkan dari alam roh lagi. Jangan risau. Percaya pada ketetapan Allah.”

Aku masih tekun mendengar perbualan ayah dan Raeez di beranda rumah. Berhati-hati takut mereka perasan aku bertapa disitu.

“Terima kasih pakcik nasihatkan saya. Rasa malu pula, macam saya ni mempamerkan kelemahan saya pula. Lemahnya saya ni pakcik, baru diuji putus cinta.”

Aku menutup mulut dan tergelak kecil. Cari sajalah cinta yang baru Raeez..

“Buat apa nak malu, lelaki pun ada perasaan. Meluahkan lebih baik daripada terus memendam rasa. Sebenarnya bila kita diuji, tak kiralah dalam bentuk apa pun ujian tu, kita akan jadi lebih kuat, lebih berhati-hati dan yang paling penting, itulah pengalaman hidup.”

“Berdosa ke kalau saya jatuh cinta lagi?”

“Itulah fitrah manusia. Ada hati dan perasaan untuk disayangi dan menyayangi. Allah dah jadikan begitu. Yang jadi berdosa, bila kita melawan fitrah atau bila kita meletakkan cinta pada makhluk melebihi cinta kepada Tuhan.”

Aku lihat Raeez terangguk-terangguk mendengar kata-kata ayah. Ayah memang begitu, kata-kata yang keluar daripada mulutnya menenangkan jiwa. Sebab itulah, aku juga lebih suka bercerita masalah kepada ayah.

“Jadi, dah jatuh cinta sekali lagi ke?” ayah bertanya pula pada Raeez.

 Kali ini aku betul-betul menekap telingaku pada dinding rumah, betul-betul ingin mendengar jawapan Raeez.

“Kalau ikutkan hati, sudah ada rasa cinta pada seseorang. Tapi saya takut juga bertepuk sebelah tangan pakcik. Nanti kecewa lagi, biarlah takdir yang menentukan.”

Aku mencebik. Jawapan selamat dia bagi pada ayah. 

“Seri!” suara emak memanggil dari arah dapur.

“Ya mak..opps.”

Laju aku menyahut sebelum sepantas kilat aku menekup mulut dengan tangan. Kantoi lagi. Mengintai.

“Saya tak tahu pulak pintu rumah pakcik ni boleh bercakap.”

Tak guna!

Dia mengenakan aku depan ayah pula. Malu betul. Mulut dia..

Aku lempang baru tahu. Karang elok-elok jadi mat salih celup kicap, terus jadi mat salih gagap!

“Seri buat apa kat belakang pintu tu?”

Terkulat-kulat aku munculkan diri dari balik pintu. 

“Seri, mak panggil tadi kenapa tak datang, ni mak nak suruh hantarkan pisang goreng ni ke depan. Ish budak ni.”

Belum sempat aku nak jawab soalan ayah, mak pula muncul dari dapur. Aku tersengih-sengih pandang ayah dan emak. Aku sambut sepinggan pisang goreng daripada tangan emak dan hidangkan pada ayah dan Raeez.

“Macam-macam budak ni. Raeez duduk dulu, pakcik nak pergi salin baju sekejap,” ayah bangun dan meninggalkan Raeez dan aku disitu. Emak dah lama hilang semula ke dapur.

“Selain menyamar jadi langsir tingkap, awak terer juga menyamar jadi pintu rumah rupanya.”

Dia buat dah..

“Bila saya menyamar jadi pintu?”

“Habis, buat apa awak duduk belakang pintu tu?”

“Duduk belakang pintu, dengan menyamar jadi pintu langsung tak sama. Lagipun tak menjadi kesalahan. Ini rumah saya, sukahatilah.”

“Duduk belakang pintu, dengar perbualan orang. Itu kesalahan besar.”

Aku yang betul-betul rasa bersalah pula dibuatnya. Alah, bukannya ada rahsia apa-apa pun yang dia ceritakan pada ayah tadi. Soal hati dan perasaan saja.

“ Maaflah kalau saya dah terdengar perbualan awak dengan ayah tadi. Tapi bukannya ada rahsia besar pun, pasal patah hati saja kan?”

“Jadi, awak dah tahu saya patah hati, taknak tolong ke?”

Aku kerutkan dahi. Dia pandang aku, senyum.

“Nak tolong apa? Move on sajalah.”

“Tolong sambungkan hati saya balik boleh?”

“Kan ayah cakap tadi, bunga bukan sekuntum.”

“Tapi, kalau bunga yang sekuntum tu ada dirumah ni, macam mana?”

Dia pandang aku dengan pandangan yang penuh makna. Hint apakah itu Seri?

“Nak kemana kejap lagi Raeez?”

Pandangannya segera dialihkan ke arah lain selepas emak datang membawa sambal kicap untuk dicicah dengan pisang goreng. Tahu takut, aku senyum mengata didalam hati.

“Pakcik ajak saya temankan hantar pisang ke rumah Tok Ketua sekejap lagi.”

Raeez membalas. Selepas itu dia mencapai pula seketul pisang goreng dan disuapkan ke mulut.

“Ohh, iyalah. Anak Tok Ketua nak kawin hujung minggu ni. Maaflah kalau pakcik selalu susahkan Raeez. Selalu boleh aja pergi sorang kesana sini, ni nak berteman pulak.”

“Tak apalah makcik. Bukan susah pun. Saya okay saja. Lagipun, boleh jalan-jalan tengok kampung ni. Seronok.”

Dia ni kalau bercakap, orang tak suka boleh jadi suka. Lebih-lebih lagi dengan orangtua. Lembut gigi daripada lidah kata orang.

“Dah makan dah? Jom kita,” ayah keluar dengan baju yang sudah ditukar.

“Dah pakcik. Jomlah. Terima kasih makcik. Sedap pisang goreng ni. Saya pergi dulu,” Raeez lalu bangun dan menuruni tangga rumah.

Aku memerhatikan dia beriringan dengan ayah ke belakang rumah. Kamceng benar nampaknya dah tu. Ayah ni, kalau orang rajin melayan dia, macam itulah. 

Habislah…

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.