Home Novel Cinta AKU BERIKAN SAYANG
AKU BERIKAN SAYANG
Ai Alani
14/7/2019 11:52:48
44,038
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

BAB 11


ADUH!

Terlewat sedikit sampai ke sekolah pagi ni gara-gara keretaku buat hal. Entah apa sebabnya. Akhirnya, terpaksa juga aku menapak ke tempat kerja. Memanglah tak jauh, tapi basah jugalah ketiak. Menyesal betul tak terima pelawaan ayah untuk hantarkan aku tadi. Nak exercise konon. Tengok sekarang siapa yang semput.

Sedang aku terkocoh-kocoh menuju ke bilik guru, ada pula si dia menegur. Aku mati langkah mencari-cari orangnya.

“Seri, terkejar-kejar nampaknya tu, sampai lewat ke hari ni? Hati-hati, nanti tersadung kaki, jatuh tersungkur pulak. Kalau tersungkur ke hati saya tak apa juga. Saya sambut dengan kasih dan sayang.”

Cet!

Tengok mulut dia, agak-agaklah pun nak berkata-kata. Ini kan kawasan sekolah, tak elok murid-murid dengar. Aku memerhati sekeliling, mujur ramai murid sudah masuk ke kelas masing-masing. Aku nampak Umar berlari menuju ke kelasnya. Dah menjadi rutin pula dia menghantar Umar ke sekolah sekarang ini. Tak ada kerjakah? Atau…

Kena buang kerja?

“Kereta saya buat hal hari ni. Tak boleh start. Tak tahulah kenapa, jadi terpaksalah saya jalan kaki tadi. Itu yang lambat sikit sampai.”

“Patutlah..awak nak saya tengokkan kereta ke?”

Ish!

Kita dah lambat, dia nak panjang-panjangkan cerita pula.

“Tak payah. Terima kasih saja. Ayah cakap tadi nak suruh orang tolong tengokkan nanti. Saya pergi dululah.”

Aku paksa diri untuk senyum. Itupun sebab dia cuba berbuat baik, offer diri nak tolong tengokkan kereta aku. Orang berbudi, kita berbahasalah. Tapi, jaga-jaga kalau terlalu banyak makan budi, takut tergadai hati. Eh!


Dalam kelas tahun tiga..

Aku mengajar seperti biasa. Sesekali aku memerhatikan tingkahlaku Mustaqim. Hairan juga kadang-kadang. Cikgu lain selalu sangat bercerita hal dia. Tapi bila waktu aku mengajar, jarang dia buat hal. Sekali hari itu saja dia letak gam pada pemadam whiteboard. Selepas daripada itu, dia okay saja. Mungkinkah dia malu atau segan dengan aku?

“Mustaqim, nak cikgu ajar?”

Aku menegur Mustaqim yang dari tadi memandang saja ke arah buku aktiviti dihadapannya. Mustaqim mengangguk. Aku ambil sehelai kertas kosong.

“Macam ni, tengok cikgu tunjuk macam mana nak kira ya.”

Aku mula mengajar Mustaqim. Dia tekun memerhati. Suka aku tengok dia begitu.

“Kan dah dapat jawapan. Senang saja kan?.”

Mustaqim senyum dan mengambil kertas jawapan yang aku pegang.

“Mustaqim simpan kertas tu, nanti boleh buat latihan sendiri dirumah ya. Matematik ni kena buat latihan banyak-banyak. Baru cepat faham. Kalau tak faham, tanya cikgu. Umar pun boleh ajarkan, sebab tu cikgu suruh Mustaqim duduk sebelah Umar. Kan Umar?”

Tersengih-sengih Umar memandangku. Daripada apa yang aku lihat, Umar seorang murid yang bijak Matematik. Jadi tak salah kalau dia tolong ajarkan Mustaqim.

Aku pandang murid-murid lain.

“Yang lain boleh buat tak? Siapa tak faham angkat tangan, cikgu nak ajarkan.”

Melilau mataku mencari kalau ada murid yang mengangkat tangan.

Aik..

Tak ada.

“Okay kalau tak ada, jom kita buat sama-sama.”

Aku mencapai marker pen, dan buat jalan kira-kira di dada whiteboard. Hati berasa lega kerana Mustaqim ada reaksi positif tadi. Tidak lagi kaku dan beku duduk dihujung belakang kelas seorang diri.

Ringg!

Loceng sudah menjerit bingit. Tidak lama selepas itu, kedengaran suara riuh murid-murid keluar dari kelas. Semua seronok waktu sekolah sudah habis. Aku mengemas buku-buku diatas mejaku. Cikgu-cikgu lain juga begitu. Selepas itu, aku mencapai beg dan bersiap sedia untuk pulang ke rumah.

Panasnya…payung pula lupa nak bawa tadi.

Aku berjalan perlahan menuju ke pagar sekolah.

“Cikgu!”

Aku menoleh ke arah suara yang memanggilku.

“Umar, ada apa?”

“Cikgu balik naik apa?”

Pelik. Tak pernah-pernah dia bertanya begitu, hari ini sibuk pula nak tahu.

“Jalan kaki. Kenapa?”

“Jomlah balik dengan Umar.”

“Tak apalah. Dekat je rumah cikgu. Umar pergi balik dulu ye.”

“Ala, jomlah. Tu…Uncle Raeez dah tunggu dalam kereta.”

Umar memuncungkan bibirnya menunjuk kearah sebuah kereta yang berada tidak jauh dari situ. Aku dapat melihat jelas seorang lelaki sedang memerhatikan kami dari dalam kereta. Dah agak dah. Memang dia tu dah jadi driver Umar dah sekarang ni. Kalau balik dengan Umar, maknanya kena balik dengan Raeez sekali.

Ah, tak mahulah!

“Tak payahlah Umar. Cakap pada Uncle Raeez, terima kasih ye. Dah pergi balik cepat. Panas ni,” aku cuba mengelak lagi.

“Seri..,” suara seseorang yang amat aku kenal memanggil.

Aku nampak ayah tidak jauh dari tempat aku berdiri.

“Hah, tu ayah cikgu dah datang ambil cikgu. Jadi, cikgu balik dengan ayah cikgu ajelah.”

“Okay cikgu. Tak apalah. Nanti Umar bagitahu Uncle Raeez ye. Umar balik dululah cikgu,” kata Umar sebelum beredar dari situ.

Fuh, selamat…aku melangkah ke arah ayah yang sedang menunggu.

“Ayah datang sini nak ambil Seri balik ke?”

“Habis tu, takkan ayah datang sini nak pergi kelas tuisyen pulak. Eh budak ni. Kereta kamu kan rosak tadi, kesian pulak nak kena jalan kaki balik rumah panas-panas macam ni. Atau kamu memang nak jalan kaki juga macam pagi tadi? Nak exercise katakan..”

“Ala ayah ni, panas-panas macam ni takkanlah nak exercise. Ke ayah perli Seri?”

“Ayah bergurau. Tak sampai hati juga ayah nak biarkan Seri jalan kaki, dah penat-penat mengajar.”

“Sayang juga ayah pada Seri ye.”

“Mana ada ayah yang tak sayang anak. Dah cepatlah naik.”

Aku menurut arahan. Cepat-cepat aku mengambil tempat di belakang ayah.

Tiba dirumah, aku nampak kereta aku bertapa dihadapan rumah. 

“Boyfriend Seri tu dah okay ke yah?”

Ayah mengerutkan dahinya tanda tidak faham dengan soalan aku. Terus aku tergelak.

“Tu, kereta kesayangan Seri tulah. Ayah ni..”

Aku menunjuk ke arah keretaku. Memang kereta itu kereta kesayangan aku. Ayah yang belikan untuk kegunaan aku semasa belajar dulu. Kereta secondhand saja, tapi cukup bermakna buat aku sebab banyak berjasa memudahkan urusan aku. 

“Kamu dah gila? Orang bercinta dengan manusia, kamu bercinta dengan kereta. Hai, macam-macam. Dah okay dah. Raeez yang tolong tengokkan tadi.”

Terkujat aku mendengar nama Raeez.

“Kenapa pula Raeez yang tengokkan?”

“Ada masalah ke?”

“Tak adalah, pagi tadi ayah cakap nak panggilkan orang suruh tengokkan kereta Seri tu apa yang rosak.”

“Laa..Raeez tu bukan orang ke?”

Aku menggaru kepalaku yang tak gatal. Ayah ni melawak pula. Sana Raeez, sini Raeez. Betul-betul nak ambil kesempatan ke mat salih celup kicap tu? Jangan-jangan, dia memang ‘tengokkan’ sahaja kereta aku tu, bukannya pandai repair pun. Aku mula dah nak serkap jarang.

“Raeez tu memanglah orang. Tapi Seri ingatkan ayah nak suruh orang lain.”

“Ayah memang nak suruh orang lain, tapi pagi tadi dia datang sini bertanyakan hal kereta kamu tu. Terserempak dengan kamu disekolah katanya.”

“Tak apalah ayah. Seri ni bukan apa, segan pulak nak suruh-suruh dia. Bukannya kita kenal rapat dengan dia pun sebelum ni.”

“Kalau macam tu, rapat-rapatkanlah cepat.”

“Apa ayah?”

Pertanyaan aku disambut dengan ketawa mengusik daripada ayah.

“Ayah jangan macam-macam ye..,” aku mengugut ayah.

“Ayah bergurau pun tak boleh. Dah ni ambil beg kamu, ayah nak pergi jenguk kebun sekejap. Bagitahu mak tau, ayah pergi kebun,” kata ayah sambil menghulurkan beg yang kuletak dalam raga motor sebentar tadi. Ayah terus bergerak ke kebun. Sejak dua menjak ni, ayah pun dah pandai gurau kasar, macam Raeez juga. Kan dah cakap, Raeez tu banyak penyakit berjangkit. Elok kena kuarantin saja orang macam tu. 

Sebelum naik kerumah, aku toleh ke arah keretaku lalu tersenyum sendiri. Bahaya perasaan yang datang tiba-tiba macam ini. Takut bila kehilangan secara tiba-tiba juga, hati tak dapat nak terima. 

Ish!

Mainan perasaan.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.