Home Novel Cinta AKU BERIKAN SAYANG
AKU BERIKAN SAYANG
Ai Alani
14/7/2019 11:52:48
44,025
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

BAB 10


Melangkah sahaja aku kedalam kelas, aku mencari kelibat Mustaqim. Kaku dan beku dia duduk ditempat duduknya, betul-betul dihujung kelas. Tiada siapa yang suruh, dia sendiri yang meletakkan kerusi dan meja dia disitu. Banyak kali sudah dilarang, dia buat tidak endah.

Aku panggil Umar, dan membisikkan sesuatu padanya. Dia buat muka, tapi akhirnya bersetuju juga dengan arahan aku. Dia kemudian kembali semula ke tempat duduknya.

“Akil, boleh tak Akil pindah duduk sebelah Izat? Aku mengarahkan Akil. Sebenarnya tempat duduk Akil adalah disebelah Umar. Sebentar tadi aku memujuk Umar untuk membenarkan Mustaqim duduk disebelahnya. Sebelah Izat pula memang kosong sebab disitulah tempat asal Mustaqim sebelum dia mengasingkan diri kebelakang kelas.

“Taknaklah cikgu. Saya tak suka duduk disebelah Izat,” bantah Akil.

“Kenapa?”

“Izat kentut busuk,” jawapan Akil disambut gelak tawa murid-murid lain, dan aku juga. Malah, Izat pun gelak terbahak-bahak padahal dirinya sendiri yang dijadikan bahan ketawa. Sepanjang aku mengajar, Izat memang budak yang selamba dan ceria. Dialah yang paling banyak bercakap dalam kelas. Bab kentut tu, aduhai..budak-budak memang jujur, tak pandai cover langsung. 

“Betul cikgu, Izat suka kentut. Busuk sangat,” kata murid yang lain pula menyokong Akil.

“Mana ada orang yang kentut wangi. Tapi, Izat baik kan? Akil duduklah sebelah Izat. Atau…Akil nak duduk sebelah Mustaqim?” tanyaku dengan kening terangkat. Bukan sengaja mahu mengugut begitu, cuma mahu Akil setuju duduk disebelah Izat. Sebabnya, aku mahu Mustaqim duduk disebelah Umar. Dengar saja nama Mustaqim, laju Akil mengemas buku dan barang-barangnya dan terus berpindah ke sebelah Izat.

“Kau jangan kentut Izat..,” sempat dia berpesan pada Izat yang tersengih-sengih disebelahnya. Lucu aku melihat telatah mereka. Sekarang, tempat duduk sebelah sudah kosong. Mustaqim membawa beg sekolahnya dan duduk disebelah Umar seperti yang aku arahkan tadi. Aku perhatikan murid-murid lain memandang sambil berbisik sesama mereka.

“Mustaqim, cikgu taknak awak duduk sorang-sorang lagi kat belakang tu waktu cikgu mengajar, faham tak?” aku bertegas. 

Mustaqim mengangguk. Tak tahulah sama ada dia rela hati atau sebab terpaksa. Yang aku tahu, Umar memang terpaksa tapi dia tidak membantah. 

Kenapa aku suruh Umar duduk dengan Mustaqim?

Sebab dengan Umar senang sikit aku nak berunding, aku kenal baik dengan keluarganya. Sudah biasa, kalau murid lain memang tak mahu.


Selesai sesi persekolahan, aku singgah di kedai runcit untuk membeli sedikit barang. Masuk sahaja ke dalam kedai, telingaku menangkap perbualan Pak Husin, tuan punya kedai runcit, dengan seorang budak. Aku mengintai budak yang sedang berdiri ditepi kaunter. Mustaqim rupanya.

“Kali ni, pakcik dah tak boleh bagi hutang dah.”

Tegas kata-kata Pak Husin pada Mustaqim. Aku nampak Mustaqim memegang bakul berisi beberapa jenis barang. Terus aku menju ke arahnya.

“Kenapa ni Mustaqim?”

Tak berjawab. Aku pandang Pak Husin.

“Anak Dollah ni, nak beli barang. Duitnya tak ada.”

“Bagi hutang dulu tak boleh ke Pak Husin? Mungkin ayah dia belum gaji kot.”

Aku cuba berunding.

“Masalahnya sama saja. Dah gaji ke, belum gaji ke. Tetap tak bayar juga hutangnya. Asyik masuk buku, makin hari makin bertambah.”

Kisahnya…

“Kesianlah kat dia Pak Husin.”

“Aku pun kesian juga, tapi aku ni meniaga. Kamu kenalah faham.”

Betul juga cakap Pak Husin. Tapi bila tengok wajah Mustaqim, rasa kasihan.

“Tak apalah. Saya bayarkanlah yang ni. Mustaqim, bagi cikgu bakul tu.”

Aku menghulurkan tangan tanda mahukan bakul yang dipegang Mustaqim.

“Ada apa-apa lagi nak tambah?”

Mustaqim geleng.

“Tunggu sekejap Pak Husin, saya nak cari barang sekejap. Nanti saya bayar sekali dengan Mustaqim punya ya.”

“ Iyalah kalau macam tu,” balas Pak Husin.

Selesai membayar, aku hulurkan bungkusan plastik berisi barang kepada Mustaqim. Dia sambut dan terus mahu beredar, wajah aku sikit pun tak dipandangnya.

“Mustaqim, jom cikgu hantar balik. Panas ni, dengan nak bawa barang lagi,”

Dia tidak membantah. Aku bukakan pintu kereta di bahagian hadapan sebelah penumpang lalu menyuruhnya masuk.

Dipertengahan jalan,

“Mustaqim, boleh tak cikgu nak tanya sikit?” aku teragak-agak membuka mulut.

Mustaqim mengangguk.

“Ayah ada bagi duit?”

“Ada, ayah bagi mak.”

“Habis tu, tadi Mustaqim terlupa bawa duit ke?”

Aku cuba mengorek lagi hal Mustaqim.

“ Memang tak ada bawa duit pun. Tadi mak pesan suruh singgah kedai beli barang sikit, lepas balik sekolah. Mak suruh hutang dulu, sebab tak cukup duit.”

“Ayah dengan mak okay tak?” aku bertanya lagi.

Mustaqim diam. Lama. Aku tahu aku tak patut bertanya lagi.

“Tak apalah kalau Mustaqim taknak jawab. Mustaqim sayang ayah?”

“Sayang. Tapi ayah tak sayang Mustaqim, tak sayang mak.”

“ Tak baik Mustaqim cakap macam tu.”

“Betullah. Ayah selalu marah-marah. Mustaqim takut nak dekat.”

Aku pandang sekilas kearah Mustaqim. Rasa bersalah nak tanya lebih-lebih lagi.

“Mungkin ayah penat kerja. Mana ada ayah tak sayang anak. Mustaqim kena sayang ayah, sebab kuasa kasih sayang ni kuat tau.”

Mustaqim hanya diam merenung ke depan. Aku membiarkan saja dia begitu.

“Cikgu..,”

“Hmm?”

“Terima kasih tolong bayarkan tadi.”

“Sama-sama, cikgu sayang Mustaqim.”

Dia senyum. Pertama kali dia senyum pada aku. Betulkan?

Kuasa kasih sayang sangat kuat.


Sampai di rumah Mustaqim, aku nampak seorang perempuan sedang menyidai kain. Mungkin itu emak Mustaqim. Sebaik sahaja nampak keretaku berhenti, dia terus menyambut dengan senyuman.  

“ Saya Seri, cikgu Mustaqim.”

Wajah perempuan itu berubah sebaik sahaja aku memperkenalkan diri.

“ Panggil Kak Sarah saja. Kenapa dengan anak saya? Dia buat hal apa lagi agaknya disekolah.”

“ Tak ada apa pun kak. Saya terserempak dengan dia kat kedai tadi, jadi saya tumpangkanlah dia sekali. Kesian dia balik jalan kaki panas-panas ni,” 

Aku menjelaskan sambil mataku mengekori langkah Mustaqim masuk ke dalam rumahnya. Sebelum terlupa, aku membuka pintu belakang kereta dan mengambil barang yang dibeli tadi. Aku hulurkan kepada Kak Sarah. 

“ Tadi saya dah tolong bayarkan barang-barang ni. Tapi jangan risau, akak tak payah bayar balik. Saya ikhlas,” aku berterus-terang.

“Kenapa susah-susah. Berapa semua? Nanti akak bayar balik.”

“ Tak payahlah. Saya tak kisah, tak seberapa pun.” 

Kelihatan Kak Sarah serba salah.  

“ Maaflah cikgu, akak tak boleh terima barang ni kalau cikgu yang bayarkan. Karang suami akak tahu, dia marah,” takut-takut Kak Sarah menolak. 

Kak Sarah tidak menyambut barang yang aku hulurkan.  

“ Ambillah kak, saya ikhlas ni. Bukannya mahal sangat pun. Lagipun, Pak Husin tak bagi Mustaqim ambil barang dah tadi.” pujuk aku. 

Kak Sarah masih membatu dengan wajah yang susah hati. Aku letakkan barang tadi di atas tangga rumah Kak Sarah. 

“ Cikgu, akak tak suka susahkan cikgu macam ni. Cikgu baik dengan Mustaqim pun akak dah senang hati. Kalau Pak Husin dah tak bagi hutang, tak payah beli pun tak apa.” 

“ Tak ada susah pun. Kak Sarah jangan risau ye,” aku memegang tangan Kak Sarah. 

Berat hati benar dia nak terima. Kedengaran bunyi enjin motosikal masuk ke perkarangan rumah. Mungkin itu suami Kak Sarah, bang Dollah. Serta-merta berubah wajah Kak Sarah, takut betul dia. Sebaik Bang Dollah nampak aku, terus dijerkahnya. Aku memberitahu tujuanku datang ke rumahnya. Dia memandang bengis. Patutlah tadi Mustaqim cakap dia takut dengan ayahnya.

“ Tu apa tu?” bang Dollah menunjuk ke arah barang yang aku letakkan ditangga tadi.. 

“ Kau nak mintak sedekah pulak ke? Selama ni tak cukup aku bagi makan?” Bang Dollah terus memarahi Kak Sarah. Tersentak aku melihat situasi itu. Kalau dah hutang kedai Pak Husin pun tak berbayar, memang tak cukuplah tu. Takkan itu pun Bang Dollah tak boleh fikir? Aku menyumpah didalam hati, tak berani nak bersuara. Karang, tak pasal-pasal kena hambat dengan parang. Teringat kata-kata ayah yang Bang Dollah ni panas baran.

Ah sudah…

Sarang tebuan jangan dijolok Seri…

“ Bang Dollah jangan salah faham. Biar saya jelaskan…” aku cuba berlembut.

“ Tak payah! Buang masa aku.”

Bang Dollah terus mengambil barang tersebut, dan mencampakkannya ke arah aku. Sempat aku mengelak. Kak Sarah juga tidak berani menghalang. 

“ Ya Allah, ini kan rezeki. Tak baik bang Dollah buat macam ni,” aku bersuara geram melihat kelakuan Bang Dollah.  

“ Aku tak pedulilah. Mulai hari ni kau jangan datang rumah aku, tak payah nak bagi apa-apa, ingat rumah aku ni rumah kebajikan? Aku tahulah nak jaga anak bini aku. Pergi balik!” marah betul Bang Dollah. Kak Sarah memberi isyarat menyuruh aku segera beredar.  

Aku panas hati tapi tak berani nak berlawan kata lagi dengan Bang Dollah. Aku kutip barang yang dicampakkannya tadi dan terus masuk kedalam kereta. Tanpa sepatah kata aku beredar meninggalkan rumah Mustaqim. Tapi sempat juga aku nampak Mustaqim mengintai dari celah tingkap. 

Kesiannya terbayang wajah Kak Sarah tadi. Nampak sangat dia takut, dibiar saja perbuatan suaminya itu.

 

Setibanya di rumah, aku ceritakan apa yang berlaku kepada ayah dan emak. Ayah marah jugalah sebab aku berani sangat ke rumah Mustaqim. Ayah risau kalau Bang Dollah buat apa-apa kepadaku. 

“ Kita ni nak menolong berpada-pada lah Seri, kan ayah dah pesan” kata ayah. 

“ Seri kesian tengok Mustaqim tu ayah, Seri bukan beli apa sangat pun,” 

“ Dollah tu bukan tak berduit. Kalau setakat makan pakai mereka tiga beranak, lebih dari cukup ayah rasa. Rumah tu pun rumah pusaka arwah ayah dia juga. Bukannya menyewa. Tapi itulah, duit gajinya habis dia buat main judi,” 

Aku hanya mendengar cerita ayah.  

“ Mujur jugaklah dia tu tak menghisap dadah, kalau tidak, lagi teruk agaknya,” sambung ayah lagi. 

“ Seri hairan, emak Mustaqim tu sanggup bertahan hidup macam tu. Dia tak ada keluarga, saudara-mara ke ayah?” 

Memang sungguh aku pelik, kuatnya Kak Sarah. Walaupun baru pertama kali aku jumpa dia tadi, aku dapat lihat ketabahan dia. Kenapa dia masih bertahan? Sebab cinta? Kalau akulah, dah lama aku tinggalkan je Bang Dollah tu.  

“ Itulah. Isteri Dollah tu pun bukan jenis bergaul dengan orang kampung. Agaknya mungkin Dollah yang tak bagi. Isterinya tu bukan orang sini. Entah bila mereka berkahwin pun tak tahulah. Dulu lama Dollah menghilangkan diri, bila balik semula kesini, dah dibawanya bini dia tu sekali. Dia balik pun sebab arwah maknya dah meninggal dunia. Sampai sekarang dia duduk dirumah pusaka itulah. Dia seorang saja waris yang ada.” 

“ Kesiannya Kak Sarah.” 

“ Lepas ni Seri janganlah pergi kerumah dia tu lagi. Baran Dollah tu jangan dibuat main,” pesan ayah lagi. 

Aku mengeluh berat.  


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.