Home Novel Cinta AKU BERIKAN SAYANG
AKU BERIKAN SAYANG
Ai Alani
14/7/2019 11:52:48
44,015
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

BAB 5


Hisdustan lagi.

Aku mengambil tempat disebelah emak. aku keluar menemani emak diruangtamu setelah gagal melelapkan mata didalam bilik sebentar tadi. Mungkin sebab siang tadi lama sangat tidur petang. 

Aku pandang emak.

Tak berkelip mata emak menonton pelakon Bollywood favourite dia. Kajollah siapa lagi. Aku melayan sajalah malam-malam begini tengok cerita Hisdustan. Melayan mata yang masih segar-bugar. Wujudkah dalam dunia ini hero gagah perkasa macam dalam cerita Bollywood tu?

Hero boleh lawan 10 orang sekali gus!

Sekali si hero sepak, pengsan samseng yang nak kacau heroin dia tu. Bukan itu saja, siap sound effect yang tak boleh tahan. 

Dush! Dush! Dush!

Melayang…

“Mak tak bosan ke asyik tengok Hindustan je?”

“Eh, apa nak bosan, dua dalam satu,”

Berkerut dahi aku. Berlapis-lapis nak fahamkan apa yang dua dalam satu.

“Dalam cerita Hindustan kan ada selingan hero dan heroin menyanyi. Syok lah. Itu yang buat kita tak bosan tengok. Lagu sedap-sedap pulak tu.”

“Bukan depa nyanyi betul-betul pun mak,miming je pun.”

“Tak kisahlah miming pun, yang penting terhibur. Dengan heroin cantik, hero segak.”

“Amboi mak, bukan main lagi,”

“Ish kau ni, mak puji suka-suka je. Dalam hati mak ni tetap ayah kau lah yang paling segak, kacak, bergaya dalam dunia.”

Aku tergelak mendengar kata-kata emak. Mataku kembali melayan cerita di kaca telivisyen. Eh! Hero tu macam…

“Evan Raeez!”

Opps! Aku menekup mulut. Anak mataku memandang emak yang kehairanan melihat telatah aku. 

“Kenapa pulak kamu ni Seri?”

Aku menggeleng-gelengkan kepala sambil terkulat-kulat dihadapan emak. Macam manalah aku boleh terlayan cerita Hindustan ni sampai termasuk watak Evan Raeez tu dalam cerita tu. 

Astaghfirullahaladzim…

Insaf Seri insaf…

Aku melihat jam yang tergantung elok didinding rumah. Selepas itu, aku menjenguk-jenguk pula keluar tingkap rumah.

“Mak, lambat ayah balik. Pukul 11 dah ni.”

Emak pandang jam, selepas itu matanya kembali tertumpu ke kaca telivisyen.

“Ada ceramah katanya tadi. Adalah tu dia bersembang dulu dengan geng-geng surau tu. Sekejap lagi baliklah.”

Aku mengangguk. Tidak lama selepas itu, kedengaran bunyi kereta masuk keperkarangan rumah. Laju kepalaku menjenguk ketingkap ruangtamu yang sengaja dibiarkan terbuka sedikit itu.

“Siapa yang datang malam-malam ni Seri?”

Emak menegur dengan riak wajah tertanya-tanya. Entah bila dia berada dibelakang aku, turut sama menjenguk ke luar rumah. Mataku masih mengintai disebalik daun tingkap.

“Ayah tu Seri.”

Perlahan emak berbisik ditelingaku. Aku mengiyakan. Emak terus menuju kepintu ruangtamu. Aku lekas-lekas membalut seluruh badanku dengan langsir tingkap.

Langsir tingkap?

Dah ini saja yang dekat, malas pula aku nak kebilik ambil selendang. Bak kata Ustaz Kazim, nak guna tudung saji pun boleh, asalkan menutup aurat. Aku terus mengintai keluar rumah. Bukan apa, tertanya-tanya juga kenapa ayah tak balik naik moto saja? Siapa pula yang hantar ayah balik?

Seorang lelaki keluar dari tempat duduk pemandu. Cepat-cepat aku menyorok belakang daun tingkap.

Evan Raeez!

Dia nampak aku tak?

Harap-harap tak.  

“Terima kasih hantar pakcik balik. Menyusahkan saja.”

“Tak susahpun, satu jalan saja dengan laluan saya.”

“Marilah naik, minum-minum kopi dulu.”

Emak pula menjemput. Ayah menyokong.

“Tak apalah makcik, dah lewat sangat ni. Lain kali sajalah. Saya minta diri dulu.”

“Iyalah. Hati-hati.”

Aku hanya menjadi pendengar di belakang daun tingkap. Tak berani tunjuk muka. Amboi, helok tutur kata, sopan bukan main dengan orang tua. Aku terus mengintai dari celah tingkap.

“Eh, yang kamu terhendap-hendap ni dah kenapa Seri?

Terkejut aku bila ayah tiba-tiba menjerkah dari belakang. Bila pula ayah naik kerumah ni? Kantoi..asyik sangat mengintai anak teruna orang.

“Kenapa ayah balik dengan dia? Motor ayah mana?”

Sengaja aku bertanya, nak lari daripada menjawab soalan ayah tadi. Aku mengikut langkah ayah dan melabuhkan punggung diatas sofa disebelah ayah. Ternanti-nanti jawapan bernas kepada soalanku tadi. Emak cepat-cepat tutup dan kunci pintu.

“Motor ayah rosak.”

“Habis tu, yang ayah balik dengan dia kenapa?”

Dahi ayah pula berkerut seribu. 

“Ish, budak ni, dah motor ayah rosak. Ayah nak balik dengan apa kalau tak tumpang budak tu?”

“Iyalah, kenapa ayah tak tumpang Pakcik Leman je? Kan ayah selalu pergi surau dengan dia. Motor ayah dah hantar ke bengkel?”

“Tadi budak tu yang tolong tengokkan motor ayah, tapi tak tahulah apa yang rosak, motornya tak hidup-hidup. Ayah tinggalkan je disurau. Esok baru hantar ke bengkel. Malam-malam macam ni mana ada bengkel yang buka. Itu yang budak tadi tu pelawa ayah tumpang kereta dia tu.”

Iya tak ya juga. Nak dekat pukul 12 malam dah, mana ada bengkel yang buka lagi.

“Ayah telefon ajelah Seri, boleh Seri pergi ambil ayah kat surau tu. Ayah terlupa bawa telefon ke?”

“Eh Seri, yang kamu banyak tanya ni kenapa?”

Emak tiba-tiba bersuara. Itupun sebab siaran iklan sedang menggantikan cerita Hindustan tadi. Kalau tak, kusyuk melayan Bollywood.

“Entahnya. yang kamu marah sangat ayah tumpang kereta dia kenapa? Sebelum ni kalau motor rosak, ayah tumpang budak-budak kampung yang lain, kamu tak ada pula nak banyak tanya. Kali ni dah macam reporter kenapa?”

Ayah dan emak menggeleng kepala.

“ Tak adalah ayah, buatnya dia tu perompak? Hah macam mana?”

“Tak baik tuduh-tuduh orang macam tu Seri.

“Habis tu, yang dia suka-suka tuduh Seri curi…err,”

Aku matikan kata-kataku disitu. Riak muka emak dan ayah ternanti-nanti apa yang aku nak cakapkan.

Ah sudah!

Macam mana boleh nak terlepas cakap ni. Takkan aku nak bagitahu yang Evan Raeez tuduh aku curi tulang rusuk kiri dia pula. Mengarut!

“Curi? Curi apa?”

Emak tertanya-tanya. Masaklah aku. Seri Melati masak kicap. Sepadanlah dengan Evan Raeez mat saleh celup kicap. Eh! 

“Bukan. Bukan curi. Curi..ga. Seri curigalah, ayah tumpang orang yang kita tak kenal. Risau jadi apa-apa dah malam-malam macam ni.”

Fuh…jawapan paling selamat kot tu. Harap-haraplah.

“Kamu tak kenal, ayah kenal.”

“Abang kenal? Kalau tak silap budak tu yang datang beli kuih hari tu, nyaris tak kena baling dengan bekas kuih.”

“Baru kenal tadi. Sepupu Salihin.”

Ohh, sepupu Abang Salihin. Patutlah dia hantar Umar pergi sekolah. Ah, tak kisahlah sepupu siapa-siapa pun, aku masih tak puas hati dengan dia. 

“Seri, nanti pergilah jumpa dia minta maaf pasal kes hari tu.”

“Nak buat apa ayah? Seri bukannya baling lagi pun bekas kuih tu. Nyaris-nyaris. Lagipun, Seri ada je jumpa dia kat sekolah. Dia hantar Umar.”

Aku membantah.

“Jadi kamu kenal dia lah. Dah tu, tadi marah sangat ayah tumpang dia kenapa? Pasal bekas kuih tu ke?”

 “ Tak adalah kenal betul-betul. Kenal macam tu je ayah.”

Dah ayah nak bersoal-soal pula. Ayah pun nak jadi reporter juga kah?

“Seri masuk tidurlah mak, ayah.”

Sebelum reporter versi ayah tanya macam-macam lagi, baik aku melarikan diri dulu. Karang takut terlepas cakap lagi hal rusuk kiri tu pula. Haih! Dahlah tadi sampai termasuk dalam tv jadi hero Hindustan, itu aku tahulah mungkin hasutan syaitan. 

Astaghfirullahaladzim…

Tiba-tiba muncul depan rumah pun jadi hero juga tumpangkan ayah balik, ish pelik. Suratan atau kebetulan? Sandiwara dunia kot…

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.