Home Novel Cinta AKU BERIKAN SAYANG
AKU BERIKAN SAYANG
Ai Alani
14/7/2019 11:52:48
43,977
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3


Ringgg!

Waktu rehat.

Aku mencari kelibat Umar. Biasanya kalau tiada dikantin mesti dia ada bermain ditepi kelas bersama kawan-kawannya. Biasalah budak-budak, waktu rehat kalau boleh nak cepat-cepat habis makan sebab nak bermain pula selepas itu.

“Umar, sini sekejap boleh?”

Umar berlari kearah aku. Tercungap-cungap dia kerana pada waktu itu dia sedang bermain, seperti yang telah aku jangkakan.

“Semalam, siapa yang hantar Umar datang sekolah?”

“Uncle Raeez.”

“Cikgu tahu nama dia Raeez, tapi dia tu siapa? Pakcik saudara Umar?”

“Buat apa cikgu nak tahu?”

Ish Umar ni.

Aku tanya dia, dia boleh tanya aku semula. Dah tak jadilah nak tanya lagi. Biar sajalah. Baru dua tiga langkah aku berpaling nak kebilik guru, Umar suruh aku tunggu.

“Semalam Uncle Raeez ada juga bagitahu Umar, cikgu ni ada sesuatu kepunyaan dia.”

Apa pula ni. Apa yang aku sudah ambil daripada mat saleh celup kicap tu?

“Umar pun tak faham apa yang Uncle Raeez cakap semalam. Tapi kalau betul cikgu ada sesuatu kepunyaan Uncle, maknanya cikgu ni dah buat kesalahan besar. Ustaz cakap, tak baik ambil hak orang lain. Berdosa. Nanti masuk neraka. Cikgu tak takut ke?”

Terjegil biji mata aku selepas Umar berkata begitu. Main tuduh-tuduh pula. Tak pasal-pasal aku kena tazkirah percuma dengan Umar.

“Apa yang cikgu dah ambil daripada Uncle Raeez tu? Cikgu rasa cikgu tak ada buat kesalahan apa-apa pun daripada dia.”

“Uncle cakap pada Umar, cikgu dah ambil... Ish, apa ya? Peninglah Umar macam ni. Tak ingat apa yang Uncle cakap semalam.”

Umar menggaru kepalanya yang entah betul-betul gatal atau pun tidak itu. Ini yang aku tidak puas hati, takkan aku nak pergi tanya sendiri pada Raeez tu. 

“Tak apalah Umar, nanti Umar tanya sekali lagi pada Uncle Raeez, lepas tu esok Umar bagitahu cikgu, boleh?”

Umar angguk. Loceng pun berbunyi menandakan waktu rehat sudah habis. Aku menyuruh Umar segera masuk ke kelas. 

“Cikgu!”

Aku yang baru hendak melangkah ke bilik guru, berpaling semula memandang Umar.

“Umar dah ingat apa yang Uncle Raeez cakap cikgu dah ambil sesuatu daripada dia tu.”

“Apa dia?”

“Rusuk kiri.”

Umar terus berlari menuju ke kelasnya. 

Aku?

Terdiam dengan rahang bawah yang jatuh.




Lagi sekali kurang asam punya mat saleh celup kicap. Patutlah Umar pun menggaru kepala tadi. Budak Umar tu baru darjah tiga, manalah dia nak faham rusuk kiri ke, rusuk kanan ke...aku membebel sendiri semasa dalam perjalanan balik kerumah. 

Signal kanan. Sampai.

Aku nampak ayah berdiri di beranda rumah sambil menghisap rokok. Cepat-cepat dia sorokkan rokoknya itu sebaik sahaja nampak kereta aku masuk keperkarangan rumah. Takut kena bebellah tu. Jarang ayah merokok jika aku ada di rumah, kalau nak merokok pun, mesti diluar rumah.

Aku menapak naik ke rumah.

“Siapa yang datang tadi mak?”

Aku nampak emak sedang mengemas cawan diatas meja ruangtamu. Terdapat juga beberapa ketul lepat pisang yang masih berbaki didalam pinggan. Memang seperti ada tetamu yang datang sebentar tadi.

“Maklong dengan Kak Ila sekeluarga.”

Pelik. 

Hari raya pun maklong tak pernah menjejak kemari, inikan pula hari-hari biasa macam ini. Kalau Kak Ila sekeluarga yang datang, itu biasa. Tapi maklong, itu luar biasa. Ada hal apa agaknya. Ayah masuk dan duduk di atas sofa.

“Maklong datang nak meminang Seri.”

Ah sudah! 

Ini pelik kuasa dua.

Jatuh lagi rahang bawah aku. 

“Seri tak bagitahu kami pun yang Seri bercinta dengan Hadi.”

“Bila masa pula Seri dengan Abang Hadi bercinta mak?”

“Maklong cakap tadi, Hadi sendiri yang suruh datang sini meminang Seri. Kalau kamu berdua tak bercinta, takkan dia buat macam tu.”

“Jadi, Seri setuju?”

“Ayah setuju?”

Aku tanya ayah balik. Ayah pandang emak, emak pandang ayah.

Aku?

Aku pandang ayah dan emak bersilih ganti.

“Ayah tanya Seri, setuju ke tidak? Kalau tak setuju tak apa, kita tolak saja cara baik.

“Tak setuju.” laju aku menjawab.

"Kenapa tiba-tiba saja datang meminang? Buang tabiat ke maklong tu?" sambungku lagi.

"Ish, tak baik cakap macam tu. Dah maklong bagitahu tadi, Hadi yang suruh. Kamu tak suka Hadi ke?" emak inginkan kepastian.

Aku sayang Abang Hadi. Tapi sayang macam abang sendiri, tidak ada perasaan lebih daripada itu.

Sumpah!

Mustahillah aku nak terima dia jadi suami. 

"Seri tak pernah terfikir pun nak kawin dengan dia."

“Seri dah ada buah hati?”

Soalan maut daripada emak.

“Siapalah yang nakkan Seri ni mak.”

Itu jawapan paling selamat aku rasa. Betullah, aku mana ada buah hati. 

“Hai, tu, Hadi nakkan Seri, Seri tak mahu.”

Betul juga. Nampaknya, jawapan aku tadi tak selamatlah. Aku sengih macam kerang tak cukup zat. Ayah senyum nipis.

“ Tak apalah, jangan dipaksa-paksa. Sampai masanya nanti, adalah tu jodoh Seri. Pasal pinangan maklong ni, nanti ayah khabarkan pada dia, yang Seri belum bersedia. Kalau ayah bagitahu Seri tolak, nanti apa pula kata dia. Faham-faham sajalah perangai maklong tu.”

Tenang kata-kata ayah. Memang dalam kebanyakan hal, ayahlah yang banyak memihak kepadaku. Biasanya emak mengalah kalau ayah sudah menyokong aku.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.