Home Novel Cinta AKU BERIKAN SAYANG
AKU BERIKAN SAYANG
Ai Alani
14/7/2019 11:52:48
43,933
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

BAB 13


Masih terngiang-ngiang ditelingaku tentang perbualan antara ayah dengan Evan Raeez tempoh hari. Kalau aku tak silap dengar, dia cakap pada ayah, ada urusan yang perlu diselesaikan kat kampung ni. Lepas tu, dia cerita lagi pasal dia patah hati. Ada kena mengena ke? Urusan apa agaknya? Permintaan emak dia? Apa?

Aku garu kepala.

Aduh..

Nak menyiasat hal Mustaqim tak sudah lagi. 

Ini nak menyibuk hal Raeez pula.

Lebih baik aku pergi dapur, menyibuk kacau emak buat kuih, lagi bagus.

“Mak, nak tolong boleh?”

Aku duduk memerhatikan emak yang sedang menyusun kuih bingka ubi kedalam bekas. Jarang-jarang emak buat kuih waktu petang, kalau ada, mesti tempahan daripada orang kampung untuk kenduri atau untuk dihantar ke surau.

“Siap dah Seri, nak tunggu kamu tolong, alamatnya tujuh hari tujuh malam belum tentu siap. Ni nanti, tolong hantar sikit ke rumah Salihin. Mak nak pulangkan bekas ni, hari tu kan Kak Kinah ada bagi kita pengat pisang. Hampir terlupa mak nak pulangkan bekasnya balik,” arah emak. Kak Kinah tu isteri Abang Salihin, emak Umar, selalu juga bertukar-tukar makanan dengan keluarga kami.

Rumah Abang Salihin? Aku menelan air liur. Selain Abang Salihin tiga beranak, rumah itu dihuni seorang lagi makhluk iaitu Evan Raeez.

“Boleh tak ni Seri?” emak menyoal setelah dilihatnya aku diam.

“Boleh mak, bagi sini Seri hantarkan.”

Antara rela dan terpaksa, aku turutkan arahan emak. Takut jadi anak durhaka pula kalau membantah. Takkanlah sebab mat salih celup kicap tu ada disitu aku nak bantah arahan emak, ish..tak patut.

Emak hulurkan bekas kuih kepadaku. 

“Cepat balik Seri, hari macam nak hujan ni,” sempat emak berpesan sebelum aku keluar.

Aku pandang langit. Gelap. Kena cepat-cepat ni. Rumah Abang Salihin tak jauh pun daripada rumah aku, jadi aku jalan kaki sajalah.

Sampai dirumah Abang Salihin, terus aku menuju ke dapur.

“Assalamualaikum, Kak Kinah, ada dirumah tak?” aku menyeru sambil mengintai-intai melalui celah tingkap dapur yang terbuka sedikit.

“Waalaikumussalam. Seri, ada apa datang ni?”

Kak Kinah muncul dipintu dapur. Aku terus mendapatkan dia disitu.

“Ni mak bagi kuih, nak pulangkan bekas Kak Kinah sekali.”

Bekas berisi kuih bertukar tangan.

“Masuklah dulu Seri. Lama juga akak tak sembang-sembang dengan Seri sejak jadi cikgu ganti ni. Selalu Umar je bercerita tentang Seri, seronok katanya Seri mengajar. Tak garang.”

Aku senyum mendengar pujian Kak Kinah. 

“Alah, biasa je kak. Saya sama je macam cikgu lain. Ni saya nak balik cepat sebab hari nak hujan. Lagipun Seri jalan kaki je tadi, kalau hujan ni karang, habislah Seri kak.”

“Tak apalah kalau macam tu, nanti senang-senang datanglah sini. Boleh sembang lama. Terima kasih ye bagi kuih ni, cakap terima kasih pada mak juga ye Seri.”

“Baik kak, nanti ada masa Seri datang.”

Aku terus mengatur langkah nak balik rumah tapi, baru dua tiga langkah, hujan pun turun dengan lebatnya. Aku cepat-cepat berpatah balik ke rumah Abang Salihin.

“Hujan dah pun Seri, marilah masuk dulu,” Kak Kinah yang masih menunggu dipintu dapur pelawa sekali lagi.

“Kak, boleh tak saya nak pinjam payung?”

Aku sebenarnya bukan tak mahu terima pelawaan Kak Kinah, tapi takut hujan lambat berhenti, lambat pula pulang ke rumah. Dan lagi satu sebab yang utama, Evan Raeez ada disitu. 

Aduh..menyesal pula tak datang sini dengan kereta tadi. Payung pun tak bawa.

“Seri, marilah saya hantarkan.”

Tiba-tiba muncul dah makhluk Raeez ni, situasi inilah yang paling aku nak elakkan. Tapi nak buat macam mana, dah takdir Tuhan nak kena mengadap juga muka dia. 

“Tak payahlah, sama saja kalau balik dengan awak pun, basah juga kena tempias hujan.”

“Awak ingat saya nak hantar awak jalan kaki? Boleh juga sambil nyanyi lagu Memori Daun Pisang kat tengah jalan nanti kalau awak nak.”

Kak Kinah dah sedia ketawa. Aku pula sedikit pun tidak tercuit dengan kata-kata Raeez itu. 

“Seri, pergilah Raeez hantar dengan kereta. Cepat sampai, tak basah kena hujan.”

Kak Kinah menyokong Raeez.

“Alah kak, saya pinjam payung jelah. Tak payah dia hantar,” aku masih mengelak.

“Jual mahal betul,” Raeez menghentam aku.

Aku pandang Kak Kinah, tapi Kak Kinah memberikan isyarat pula supaya aku setuju balik dengan Evan Raeez.

“Uncle nak hantar cikgu ke? Nak ikut!” Umar pula tiba-tiba tercongok mencelah.

“Tak payahlah Umar, hujan-hujan ni, duduk saja dirumah,” marah Kak Kinah.

Umar mencebik.

“Iyalah duduk dirumah je Umar. Jangan kacau daun,” Evan Raeez pula memberi amaran kepada Umar.

“Kacau daun?” Umar garu kepala.

“Dah Umar tak payah ikut,” Kak Kinah berkata lagi.

“Alaa yelah.”

Panjang muncung Umar merajuk. Lucu pula melihat telatahnya.

“Jadi sekarang ni, awak nak balik ke tak? Kalau tak tunggu sajalah sampai hujan berhenti. Boleh kita sembang-sembang,” Evan Raeez pandang Kak Kinah. Nak suruh Kak Kinah sokong dia lagilah tu.

“ Iyalah, saya setujulah. Kalau tunggu takut lambat hujan berhenti.”

Aku mengalah akhirnya.

“ Tapi ada syaratnya,” aku menyambung lagi.

“Apa pulak?” tanya Raeez.

“Saya taknak duduk depan, saya nak duduk belakang,” 

“Amboi, awak ingat awak ni VVVVIP?”

“Awak nak hantar saya balik ke tak ni?”

Aku menjungkit kening. Evan Raeez pasrah.

Di dalam kereta,

“Bawak kereta pandang depan, yang awak asyik nak pandang belakang kenapa?”

Aku memarahi Raeez setelah aku perasan dia asyik mencuri pandang melalui cermin pandang belakang.

“Saya nak pastikan awak okay kat belakang tu. Itulah, siapa suruh duduk kat belakang, kalau duduk kat depan sebelah saya ni kan senang.”

“Saya tak selesa.”

“Kalau macam tu, apa kata awak duduk je dalam hati saya. insyaAllah awak akan selesa.”

Serta-merta aku balas pandangan dia melalui cermin pandang belakang itu. Satu pandangan maut aku bagi. Kalau beginilah, baik aku tunggu saja kat rumah Abang Salihin tadi hingga hujan reda. Paling tidak pun ada Kak Kinah. Tak adalah aku berdua saja dengan dia ni. 

Hai…menyesal lagi.

“Baik awak diam, kalau awak cakap merepek lagi, saya terjun daripada kereta awak ni,” aku mengugut.

“Eh, jangan macam tu Seri. Jadi apa-apa nanti, susah saya nak jawab dengan Pakcik Lekir. Tapi, kalau awak nak terjun juga, tunggulah saya. You jump, I jump…,” dia membalas dengan mengajuk ayat filem Titanic. Kali ni dengan ketawa seronok mengusik aku.

“Awak bawa kereta ni boleh tak cepat sikit. Sakit hati saya naik kereta awak ni tahu? Baik saya jalan kaki je tadi, biarlah basah kena hujan pun, daripada hati sakit,” aku protes.

“Cik Seri, awak tak nampak hujan lebat kat luar tu? Mana boleh bawa laju-laju.”

Aku diam tak membalas. Secara logiknya, alasan diterima. Lagipun, kami melalui jalan besar yang jauh sedikit. Tadi masa datang ke rumah Abang Salihin, aku jalan kaki ikut jalan shortcut, dekat dan cepat sampai. Tapi, kereta tak boleh lalu jalan itu sebab sempit. Lebih-lebih lagi hujan lebat begini.

“Boleh tak saya nak tanya awak sesuatu?” aku bertanya. Kali ini dengan nada yang lembut. Tidak lagi marah-marah.

“Apa dia?”

“Awak ada urusan apa ya datang sini?

“Kenapa awak tanya macam tu?”

Aku paling tak suka kalau aku bertanya, tapi tak ada jawapan. Lepas tu soalan berbalik semula pada aku.

“Ohh, ni mesti sebab awak dengar saya sembang dengan ayah awak hari tu kan? Masa awak menyamar jadi pintu tu,” dia sambung tapi aku terus rasa nak marah balik sebab dia sebut lagi hal itu. Iyalah, memanglah aku mencuri dengar perbualan dia, tapi tak payahlah nak ungkit-ungkit, sebut-sebut lagi. Malu tahu tak?

Heh!

Malu yang dicari sendiri, yang pergi menyorok belakang pintu tu buat apa? Mendapatlah kau Seri.

“Kalau taknak bagitahu tak apa,” aku merajuk.

“Saya datang sini, ada dua sebab. Yang pertama, nak mengeratkan kasih sayang. Yang kedua, nak ubati hati saya yang dah dilukai.”

“Maksudnya?”

Kali ini dia pula diam tak membalas. Tapi aku betul-betul nak tahu. Rasa nak bertanya lagi, tapi tak jadi sebab kami dah pun sampai diperkarangan rumah aku. Raeez minta aku tunggu sekejap sebelum dia turun mengambil payung dan tolong payungkan aku sampai ke tangga rumah. Terasa sangat janggal situasi itu sebenarnya.

Nasib baik betul-betul dia guna payung, kalau guna daun pisang?

Tak pasal-pasal jadi memori daun pisang pula nanti.

Ish..mintak simpang!

Selepas dia beredar dari rumah aku, emak muncul. 

“Mak ingat Seri terkandas kat rumah Salihin. Baru mak nak suruh ayah ambil tadi.”

“Raeez nak hantarkan. Seri ikutkan ajelah. Kalau tunggu, takut hujan lambat berhenti pulak mak.”

“Nasib baik ada hero. Kenapa tak ajak naik dulu tadi?”

Mak dah mula dahhh..

Aku malas nak layan, nanti panjang cerita. Aku terus kebilik untuk menyalin pakaian yang terkena tempias hujan tadi.



Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.