Home Novel Cinta AKU BERIKAN SAYANG
AKU BERIKAN SAYANG
Ai Alani
14/7/2019 11:52:48
44,031
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14


Abang Hadi. 

Dah lama dia tidak berhubung dengan aku. Sejak aku tolak pinangan dia, dia seperti orang asing pada aku. Padahal sebelum ini, boleh dikatakan setiap hari kami berhubung melalui Whatsapp. Setiap hari ada saja cerita yang dia sampaikan pada aku.

Abang Hadi bekerja sebagai seorang akauntan di sebuah syarikat yang terletak diibu negara. Abang Hadi ni memang pelajar pandai disekolah dulu. Sebab tu maklong selalu bagi sahaja apa yang dia nak, anak kebanggaan maklong. Kalau ikutkan pakej yang dia ada, petik jari saja ramai perempuan yang mahu jadi isterinya.

Abang Hadi selalu ambil berat pasal aku sejak dulu lagi. Dulu waktu aku nak ambil SPM, dialah yang selalu datang rumah tolong aku buat ulangkaji terutamanya subjek Matematik yang aku lemah sangat. Dia banyak ajar aku sampailah subjek Matematik tu jadi subjek kegemaran aku. Macam mana aku boleh tak perasan yang dia dah jatuh cinta pada aku.

Tiba-tiba aku teringat kata-kata Abang Hadi dulu. Waktu itu Abang Hadi datang ke rumah berjumpa aku sebelum dia akan ke Kuala Lumpur kerana telah mendapat kerja disana.

“Abang rasa berat hati nak pergi KL.”

“Laa, kenapa? Bukan ke cita-cita abang nak jadi akauntan? Mesti maklong lagi bangga dengan abang.”

“Nanti abang jarang ada masa jumpa Seri.”

“Eleh, sebelum ni abang pergi sambung belajar, jarang juga jumpa Seri.”

“Sebab tu lah abang taknak dah jauh daripada Seri. Rindu. Kalau boleh  abang nak selalu jumpa Seri. “

“Sekarang ni zaman teknologi, kalau rindu, call, Whatsapp, video call semua boleh bang. Sekarang ni Seri yang takut abang lupakan Seri. Iyalah, dah sibuk dengan kerja nanti.”

“Mana boleh abang lupakan Seri. Seri sebahagian daripada hidup abang.”

Aku meraup wajah. 

Waktu Abang Hadi cakap macam tu pada waktu itu, aku tidak terfikirkan apa-apa pun. Sekarang bila terkenang semula,  sepatutnya pada waktu itu juga aku sudah faham yang Abang Hadi ada menaruh hati pada aku. 

Tapi..

Aku yang slow sangat.

Tak faham-faham.

Ah!

Abang Hadi pun salah juga. Kenapa tak berterus-terang? Asyik nak berkias-kias. Kenapa tak pernah tanya apa perasaan aku pada dia dulu? Dia tak pernah sekali pun cakap yang dia cintakan aku. Soal hati mana boleh agak-agak. 

Ini tidak...

Tiba-tiba saja datang meminang dan dengan yakinnya yang aku pun cintakan dia.

Bila jadi macam ini, aku tak suka. Aku tak suka Abang Hadi menjauh. Aku tahu aku sudah melukakan hati dia. Tapi macam yang ayah cakap pada aku, cinta jangan dipaksa-paksa. Jangan menzalimi perasaan sendiri. 

Tapi…

Adilkah jika ada perasaan lain yang sedang dizalimi?

Hmm..

Abang Hadi masih marahkah?

Atau..

Aku capai handphone yang terletak diatas meja ditepi katil. Aku mencari nama Abang Hadi di aplikasi Whatsapp.


Aku - Assalamualaikum. Lama abang tak whatsapp Seri. Abang sibuk ke?


Double tick!

Maknanya Abang Hadi tak block nombor aku dan tak tukar nombor telefon.

Aku tunggu Abang Hadi balas.

Lama.

Abang Hadi dah tak sudikah?

Abang Hadi dah buang aku daripada hidup dia?

Arghh!

Aku betul-betul tak suka perasaan yang macam ini. Perasaan yang bersangka-sangka. Aku risau Abang Hadi menjauh bukan sebab aku cintakan dia, tapi sebab dia saudara aku. Saudara yang rapat. Paling rapat. Kalau aku bersangka buruk pada si Evan Raeez tu memang patutlah, dia memang orang asing yang tak boleh dipercayai. Tapi untuk bersangka buruk pada Abang Hadi, yang aku dah kenal daripada kecil lagi, tak..

Tak boleh! 

Aku pandang skrin handphone sekali lagi.

Tak ada bluetick, mungkin Abang Hadi belum baca. 

Mungkin dia sibuk.

Aku menyedapkan hati sendiri. Sampailah aku terlelap.

Aku terjaga ketika jam menjerit menandakan sudah pukul 5.30pagi. Memang setiap hari aku kunci jam begitu. Aku matikan jeritan jam yang membingitkan telinga. Aku pandang telefon dan cepat-cepat aku belek mencari Whatsapp.

Dah bluetick!

Tapi hampa.

Abang Hadi tak balas pun.

Aku menghela nafas panjang. Abang Hadi sedang menghukum aku. Tak apalah, aku biarkan Abang Hadi menenangkan hatinya dahulu. Sebab Abang Hadi patah hati. Samalah dengan Evan Raeez, patah hati sampai membawa diri ke sini. Dan aku sekali lagi membenarkan kata-kata ayah, lelaki juga ada perasaan. Selama ini aku ingatkan lelaki sangat ego dan heartless. 

Heh!

Memang betul pun heartless tu ada pada si Raeez. Mulut tak makan saman sampai aku rasa nak ketuk sampai pengsan.

Helpless!

Aku pandang jam sekali lagi. 

Astagfirullahalazim…

Aku bingkas bangun untuk mandi dan solat Subuh. Karang tak pasal-pasal lambat nak bersiap.

Harap-harap hari ini tak terserempak dengan Raeez lagi disekolah.


Di sekolah, dari jauh aku nampak kelibat Umar sedang berlari anak menuju ke kelasnya. Mataku melilau lagi sebelum tertumpu pada seorang perempuan yang sedang melambai ke arah aku. Aku balas lambaiannya.

Hari ini, Kak Kinah yang hantar Umar ke sekolah seperti sebelum Raeez ambil alih tugas itu.

Raeez tu dah pencen ke jadi driver Umar?

Mungkin dah balik ke Kuala Lumpur.

Dah selesaikah urusan dia kat sini?

Dah terubat hati yang patah tu?

Hai Seri, tadi tak nak sangat terserempak dengan dia disekolah. Ini bila tak ada, tercari-cari, tertanya-tanya pula. 

Ada sesuatukah?

Ah hati, jangan berkias-kias begini. 

Lupakan saja.


Dalam kelas, Mustaqim tunjukkan pada aku latihan Matematik yang telah dia siapkan. Aku berikan pujian. Dia senyum nampak gigi. Berbeza dengan sebelum ini, usahkan secalit senyum, reaksi apa pun tak ada terbit diwajahnya. Malah, latihan yang kuberi langsung tak pernah disiapkan. 

“Macam nilah yang cikgu suka. Cikgu bagi latihan bukan sebab nak susahkan Mustaqim, tapi sebab nak Mustaqim jadi budak bijak. Kalau tak pandai pun tak apa, asalkan kita dah mencuba sehabis boleh. Jangan bila kita tak tahu, kita tak nak langsung belajar. Sekarang Mustaqim rasa seronok tak dapat buat latihan ni?”

“Seronok. Mustaqim suka cikgu puji.”

“Kalau cikgu tak puji, Mustaqim taknak buat latihan ke?”

Dia geleng. Aku cuba fahamkan maksud gelengan dia itu.

“Mustaqim akan buat latihan yang cikgu suruh sebab cikgu baik dengan Mustaqim.”

Aku lega.

“Cikgu nak Mustaqim rajin belajar bukan sebab nak dapatkan pujian cikgu, tapi untuk diri Mustaqim juga. Dah pergi duduk sambung buat latihan yang cikgu suruh tadi pulak.”

Dia kembali ke tempat duduknya. Aku pandang Umar yang memerhatikan gerak-geri Mustaqim disebelahnya. 

“Umar, sini kejap.”

Umar datang ke mejaku yang terletak dihadapan kelas sambil membawa buku latihannya.

“Umar dah siap dah latihan cikgu bagi. Tengok ni.”

“Cikgu tahu Umar mesti siap punyalah. Umar kan pandai dan rajin.”

“Habis tu buat apa panggil Umar?”

“Uncle Raeez tak hantar Umar ke hari ni?” aku bertanya separuh berbisik.

“Tak, Uncle Raeez dah balik Kuala Lumpur pagi tadi.”

Jadi betullah dia dah balik.

“Uncle balik terus ke dia datang sini lagi nanti?”

Umar menjungkit bahu.

“Cikgu dah pulangkan ke belum rusuk kiri Uncle Raeez yang cikgu ambil tu?”

Pertanyaan Umar buat aku terus meletakkan jari telunjukku ke bibir, memberi isyarat supaya Umar rendahkan sikit suaranya.

“Itu hal cikgu dengan Uncle, Umar jangan tanya macam tu dah tahu. Terutamanya waktu dalam kawasan sekolah. Kita bertiga je yang tahu hal tu, Umar, Uncle Raeez dan cikgu. Orang lain tak boleh tahu.”

“Tapi Allah tahu, berdosa ambil hak orang.”

Aku memicit-micit pelipisku. Memang kalah kalau bercakap dengan budak-budak macam Umar ni. Sekali lagi aku ditazkirahnya.

“Dahlah Umar, pergi duduk.”

Umar kembali ke tempat duduknya. 

“Yang lain boleh buat tak latihan? Siapa tak boleh buat atau tak faham boleh angkat tangan atau terus datang depan cikgu ajarkan ye.”

Sebaik saja aku bercakap begitu, terus beberapa orang murid angkat tangan. Aku pandang dan senyum lalu aku terus ke tempat duduk mereka seorang demi seorang.


Petangnya, aku menunggu ayah balik dari kebun. Manalah tahu Raeez ada bagitahu ayah kenapa dia balik Kuala Lumpur hari ini. Kalau nak difikirkan, buat apalah aku nak sibuk-sibuk ambil tahu hal Raeez tu.

Tapi…

Sejak dia bagitahu Umar yang aku dah ambil rusuk kiri dia kononnya tu, aku memang kena ambil tahu. 

Sebab dia dah bahayakan hidup aku. Bahayalah kalau asyik nak terlepas cakap depan emak dan ayah pasal hal tu. Rusuk kiri tu kan sinonim dengan jodoh. Karang tak pasal-pasal emak dan ayah ingat aku bercinta senyap-senyap dengan Raeez.

Jadi, aku kena ambil tahu gerak-geri Raeez tu. Takut lepas ni apa pula yang dia cakap pada Umar.

Selepas lebih sejam aku duduk di beranda rumah, barulah ayah sampai ke rumah. Aku bangun berdiri ditepi tangga.

“Ayah pergi kebun dengan siapa hari ni?”

Aku terus memulakan kerja part-time aku sebagai detektif tak bertauliah.

“Sorang. Kenapa?”

Ayah duduk di atas tangga sambil mencuci kakinya dengan air yang memang tersedia di bawah rumah.

“Raeez tak tolong?”

Ayah pandang aku.

Ah sudah.

“Dia kan dah balik ke Kuala Lumpur. Ada dia bagitahu semalam”

“Kenapa dia balik? Ingatkan nak duduk sini terus, nak jadi pembantu ayah. Kehulu ke hilir dengan dia.”

Ayah ketawa mendengar kata-kataku.

“Seri cemburu ke?”

Aku mencebik. Soalan ayah langsung tak kena.

“Eh, buat apa nak cemburu. Seri ni anak kandung ayah, lagi rapat dengan ayah. Dia tu siapa? Tak ada masalah nk cemburu,” aku menidakkan.

“ Habis tu buat apa tanya pasal dia tadi? Seri suka dia ke?”

Dah ayah pula yang nak jadi detektif pencen sekarang ni.

“Tak adalah ayah. Ayah tu yang suka sangat dengan dia.”

“Kalau kamu suka, ayah lagi suka. Baik Raeez tu. Elok bercakap dengan orang tua. Di surau tu, Pak Imam dah cop dia nak buat menantu.”

Helok sungguh la.

Sampai Pak Imam nak buat menantu.

Huntunglah kau Raeez.

“Itu maknanya dia tu sweet talker. Bahaya tau ayah orang macam tu.”

“Hah? Sawit?”

Aku tergelak. Apa pula sawit?

“Sweetlah ayah. Maksudnya dia tu mulut manis. Macam gula. Banyak sangat boleh kencing manis. Bersemut. Tapi, belakang kita..entah macam mana perangainya.”

“Jangan berburuk sangka. Salihin pun cakap dia baik budaknya. Tak apalah, sawit pun sawitlah.. Jangan sewel sudah!” 

Aku  tergelak. 

Tiba-tiba otak ligat terfikir nak bertanya sesuatu.

“Ayah, Raeez tu sebenarnya ada urusan apa dekat sini? Seri ada jugalah tanya masa dia hantar Seri balik semalam. Dia cakap nak mengeratkan silaturahim. Maksudnya apa ayah?”

“Tanyalah dia. Kenapa tanya ayah?”

“Manalah tahu dia ada cerita pada ayah.”

“Ayah rasa elok Seri tanya dia sendiri. Lebih afdal.”

Ayah terus naik masuk ke dalam rumah. Aku pandang ayah dengan muka tidak puas hati. Apa yang susah sangat nak cakap? 

Besar sangat ke halnya?

Aku nak tahu sangat sebab takut bersangkut-paut dengan  hal tulang rusuk itulah. Mengeratkan silaturahim boleh jadi juga dia nak kawin .

Pelik!

Orang baru patah hati sebab girlfriend nak kawin dengan orang lain,  tiba-tiba bawa diri nak cari pengganti juga. Jangan-jangan dia nak tunjukkan pada ex dia tu yang dia pun boleh cari pengganti bila-bila masa. 

Dia nak aku jadi kambing hitam!

Sah!

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.