Home Novel Cinta AKU BERIKAN SAYANG
AKU BERIKAN SAYANG
Ai Alani
14/7/2019 11:52:48
43,995
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4


Pulang dari sekolah tadi, aku terlelap. 

Penat sangat. 

Besar betul tanggungjawab seorang guru. Perlukan ketahanan mental dan fizikal. Kesabaran mesti tinggi, lebih-lebih lagi zaman sekarang ni. Budak-budak sudah tidak takut dengan rotan, bukan sahaja budak-budak, cikgu pun takut. Takut nak pegang rotan, kot-kot anak depa kena tibai tak pasal-pasal mak bapak datang sekolah bawak lawyer. Nasib baik aku ni jenis bertenang. Kalau tidak, tak adalah aku setuju cadangan ayah untuk mohon nak jadi cikgu ganti dulu. 

Sayup-sayup aku terdengar bunyi penyapu diluar rumah. Mesti emak sedang menyapu daun-daun kering. Aku terus bangun sebaik sahaja melihat jam sudah pukul 5.30 petang. Terasa segar badan selepas dapat melelapkan mata tadi.

“Mak, bagi sini penyapu tu. Biar Seri yang sapu.”

Aku menyambut huluran penyapu daripada tangan emak. Emak mengelap-ngelap peluh didahinya dengan hujung tudung.

“Sikit saja lagi ni Seri. Bawah pokok rambutan ni je. Longgokkan je semua kat tepi sana tu.”

Anak mataku mengikut arah jari telunjuk emak terus ke tepi rumah. Terhenti terus tangan aku yang tengah ligat mengayun batang penyapu tadi.

“Sapu bawak ke sana ke mak?”

Emak mengangguk.

“Jauhnya. Longgok kat tepi sini saja pun boleh kan?”

“Eh, budak ni. Memang di tepi sanalah mak selalu longgok sampah, daun-daun kering ni semua. Kejap lagi ayah balik, boleh ayah bakar terus. Kalau longgok kat sini je, nanti angin tiup, habis besepah balik. Kan dah dua kali kerja nak kena sapu semula.”

“Nah, mak sambung.”

Aku hulur semula penyapu pada emak. Niat nak bergurau sebenarnya.

“Anak bertuah, tadi kamu cakap nak tolong mak. Lagipun, tak baik tahu, buat kerja separuh jalan, nanti esok-esok…”

“Okay-okay mak, Seri siapkan. Seri bergurau je tadi, aduh mak ni, orang gurau sikit nak marah.”

“Bila mak marah? Muka mak ni kalau marah pun tak nampak macam marah tahu? Dahlah, mak masuk dulu. Jangan lupa habiskan sapu semua daun-daun ni bawak ke sana.”

“Ya mak, jangan risau. Semua beres.”

Mataku saja mengekori langkah emak ke dalam rumah, tangan terus laju buat kerja. Teringat kata-kata emak tadi, emak tu, kalau marah pun tak nampak macam marah.

Macam mana agaknya tu?

Rasanya sebab wajah emak yang tenang dan sejuk mata memandang. Iyalah. Kadang-kadang bunyi emak bercakap macam tengah marah, tapi riak muka seperti tiada apa-apa yang berlaku. 

“Assalamualaikum.”

Terhenti tanganku yang sedang ligat mengayun penyapu tadi. Suara yang sangat aku kenal memberi salam dari belakang. Penyapu aku sandarkan pada dahan pokok rambutan. Aku menoleh.

“Abang Hadi.”

Aku senyum, dia pun sama. Tapi senyuman dia tu bukan seperti selalu, senyuman yang kali ini, seperti dibuat-dibuat. Aku tahu sebabnya. Mesti sebab kes tolak pinangan tempoh hari.

“Seri tak sayang abang?”

Pula!

Soalan maut, silap jawab kelautlah jawabnya aku.

“Kenapa pulak cakap macam tu? Kita kenal dah lama kan, daripada kecik kita rapat. Mestilah Seri sayang abang.”

“Habistu kenapa tolak pinangan abang?”

“Okay biar Seri jelaskan. Selama ni Seri sayang abang, tapi sayang seperti seorang adik kepada abang. Itu saja. Kita kan sepupu.”

“Jadi selama ni abang sorang sajalah yang cintakan Seri?”

“Seri minta maaf kalau selama ni abang berharap pada Seri. Pasal pinangan abang tu, sepatutnya abang tanya Seri dulu..”

“Abang tak tanya sebab abang yakin yang Seri pun cintakan abang. Sebab tu, abang balik sini hari tu tak bagitahu Seri pun, abang nak surprisekan Seri.”

“Surprise?”

“Masuk meminang.”

Ya Allah. 

Tuhan saja tahu perasaan aku ketika ini. Rasa bersalah pada Abang Hadi. Rupanya selama ini kemesraan dan keakraban kami telah menimbulkan rasa cinta dalam hati Abang Hadi. Ya, mungkin. Tapi sumpah, aku tak sangka.

“Abang, Seri anggap abang macam abang Seri sendiri. Tak lebih daripada tu. Lagipun, maklong boleh ke terima Seri ni jadi menantu dia?”

“Tapi mak abang juga yang setuju datang pinangkan Seri tempoh hari. Baik buruk pun, mak saudara Seri juga kan?”

Betul ke maklong dengan rela hati setuju? Mungkin Abang Hadi yang desak maklong, siapa tahu? Aku kenal sangat perangai maklong tu, Abang Hadi ni anak emas dia. Sejak kecil lagi dah diberi apa saja yang diminta. Jadi, setakat nak suruh datang pinang aku, apalah sangat.

“Abang, boleh tak kita lupakan soal ni? Seri taknak disebabkan Seri tolak pinangan abang, hubungan kita dah tak macam dulu. Seri suka kalau kita kekalkan hubungan persaudaraan kita tanpa ada apa-apa ikatan. Maksud Seri, ikatan perkahwinan. Seri memang tak boleh terima abang jadi suami Seri.”

Aku bertegas.

Berubah riak muka Abang Hadi.

“Kalau Seri perlukan masa untuk terima abang, tak apa. Abang boleh tunggu.”

Ya Allah.

Aku mengeluh berat.

Tak terkeluar lagi kata-kata.

Kalaulah Abang Hadi boleh faham yang aku memang tak ada rasa cinta pada dia, sebesar kuman pun tak ada. Tunggulah berapa lama pun. Jawapan aku tetap sama.

“Abang janganlah buang masa tunggu Seri, ramai lagi perempuan kat luar sana tu.”

“Banyak mana pun bunga dalam dunia ni, mana nak sama dengan Seri Melati.”

“Abang boleh tak jangan buat Seri rasa bersalah?”

Jelas riak pasrah terpampang dimuka Abang Hadi. 

Salah akukah?

Mungkin. 

“Tak apalah Seri. Sekarang baru abang tahu yang abang sorang saja yang cintakan Seri. Atau, mungkin abang belum cukup baik untuk Seri.”

Betul-betul kecewa Abang Hadi dengan aku. 

“Sekali lagi Seri minta maaf. Abang sangat baik pada Seri sekeluarga. Seri yang rasa ada lagi lebih baik daripada Seri untuk jadi isteri abang.”

Abang Hadi membuang pandangannya jauh. 

“Abang balik dulu.” 

Abang Hadi berpaling dan terus mengatur langkah. Aku hanya merenung langkah Abang Hadi yang semakin jauh. Apa lagi nak dikata? Takut kalau aku bersuara lagi, makin kuat rasa bersalah membelenggu diri sendiri.

“Abang!”

Aku memanggil Abang Hadi sebelum dia terus menghilang. Dia berhenti tetapi sikit pun tidak berpaling memandangku.

“Lepas ni kita masih sepupu, dan rapat macam dulu kan? Seri harap abang dapat maafkan Seri.”

Lama Abang Hadi diam, barulah dia menoleh kearahku dan senyum mengangguk. Lega, walaupun masih ada riak kecewa berbaki diwajahnya. Aku masih memandang jejak Abang Hadi walaupun dia telah lama lenyap daripada pandangan. Soal hati memang rumit. Lebih-lebih lagi jika melibatkan orang yang paling dekat dan rapat dengan kita. 

Kalau sahabat karib kita sendiri yang jatuh hati pada kita pun, kita rasa bersalah dan berat untuk tolak. Walaupun kita memang tak ada hati pada dia. Inikan pula hubungan yang melibatkan kekeluargaan, bimbang luka terlalu dalam hingga langsung tak dapat sembuh. Cukuplah maklong saja tak suka keluarga aku, jangan Abang Hadi pula lepas ini. Teringat kata-kata yang pernah aku baca dulu,

Love and hate are such strong words. They also cause so much pain.

Huh!

“Mak tahu Seri rasa bersalah kan?”

Emak bersuara dari arah pintu dapur, tidak jauh dari tempat aku berdiri. Aku agak emak mencuri dengar perbualan aku dan Abang Hadi sebentar tadi. Aku mencapai semula penyapu dan meneruskan kerja yang tergendala tadi.

“Susahlah mak. Nak ditelan pahit, nak dibuang sayang.”

“Kalau sayang, kenapa tolak?”

“Memanglah sayang mak, tapi tak adalah saayang sampai nak kawin. Mak pun tahu kan, kami rapat macam mana? Daripada dulu lagi, Seri bukan rapat dengan Abang Hadi saja, dengan Kak Ila pun sama.”

“Tak apalah Seri, mak paham. Seri tak payahlah rasa bersalah sangat. Mak pun sebenarnya rasa berat juga kalau Seri setuju terima pinangan Hadi tu. Bukan sebab mak tak suka Hadi, tapi maklong tu, kamu paham-paham sajalah Seri.”

“Seri risau Abang Hadi marahkan Seri. Tadi jelas Seri nampak Abang Hadi betul-betul kecewa dengan Seri. Jangan-jangan lepas ni Abang Hadi terus benci Seri. Kalau orang lain, Seri tak kisah sangat, ni saudara sendiri mak.”

“Ish, Hadi tak macam tu. Takkanlah tolak pinangan terus putus saudara.”

Betul cakap emak, tapi ini soal hati.

Soal cintah!

Kalau I love you, I love you too, tak jadi masalah. Nikah, selesai.

Kisahnya sekarang, tidak semudah itu. Rumit.

“Dah nak malam ni Seri, cepat habiskan kerja tu. Jangan risaulah pasal Hadi. InsyaAllah, dia paham tu.”

Aku mengiyakan kata-kata emak. 

Terus laju tanganku menyapu longgokan daun-daun kering ketepi rumah.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.