Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 7

Abah menggaru-garu kepala yang terasa gatal sebelum dia melepaskan keluhan lagi dan mak yang memerhati jadi makin tak sedap hati kerana dah terlalu banyak kali.

“Awak ni kenapa? Daripada tadi saya dengar, tak habis-habis mengeluh.” tutur mak perlahan, kerana mengeluhkan sikap yang tak baik untuk diikuti dan janganlah terlalu mengikut hati, bisiknya sendiri. Abah yang mendengar menggaru kepalanya lagi lebih kuat pula kali ini, sampai rambut putih beruban itu jadi terangkat-angkat tinggi.

“Awak ni kan! Semua yang saya buat, semuanya salah! Itu tak betul ini tak betul! Kalau macam tu awak tunggulah kat sini!” balas abah yang sudah mula naik darah setelah mendengus marah dan serentak itu juga dia mula melangkah.

“Awak nak ke mana lagi? Kan ke baru lagi awak sampai.” balas Mak pula tapi tak ada guna kerana abah langsung tak menghiraukannya, sebaliknya basikal tua yang ada berdekatan segera disongsong sebelum dikayuh pergi.

“Ya-Allah…cakap macam tu boleh nak marah.” tambah mak sambil menggeleng-gelengkan kepala, kesal dengan apa yang terjadi dan mungkin sudah menjadi keperluan untuknya mendiamkan diri sahaja dalam kebanyakan perkara.

 

Batang-batang straw minuman yang ada di sisinya dicapai dan dilipat sehinggalah selesai membentuk kuntuman bunga ros kecil buatan, sebesar hujung jari yang nampak cantik bila digandingkan bersama dengan warna-warna yang berlainan. Kuntuman bunga ros kemudian akan dilekatkan pada papan asas yang dibuat juga daripada straw dengan saiz yang lebih besar, disusun secara menegak dan melintang mengikut kesesuaian lalu digubah untuk menjadi penghias dinding rumah.

Mak kena cepat kerana ada beberapa tempahan yang perlu untuk disiapkannya, tak mahu membiarkan pembeli menunggu terlalu lama. Sesekali, ranting kayu panjang yang ada bertanjul plastik beg di hujungnya dicapai dan dilibas-libaskan ke arah susunan ayam dan ikan yang berada di atas meja konkrit jualan untuk menghalau lalat-lalat nakal yang sentiasa mencari peluang untuk menambah jumlah.

Bunyi keriak-keriuk pedal basikal yang diputar berjaya mencuri perhatian mak dan serentak itu, matanya mencari arah punca bunyi. Daripada jauh mak dapat melihat abah berkayuh, tapi nampak macam lain macam, sebab kelajuannya mengalahkan orang berlumba.

“Kenapa nampak macam tergesa-gesa sangat tu?” soal mak pada diri sendiri, curiga menanti.

“Awak, tengok surat ni! Cuba awak baca!” gesa abah pada mak yang baru selesai memakir basikal tua kesayangannya itu di tempat biasa.

“Surat apa? Tentang apa?” balas mak makin curiga sebelum mencapainya.

“Cubalah awak baca!” gesa abah lagi, mahu si isteri membacanya sendiri.

“Bahagian hal ehwal pelajar Sekolah Menengah Sains…surat along ni, kenapa…”

“Ya-Allah, betul ke ni bang, along kena tindakan tatatertip, sebab merokok?” soal mak tak dapat mempercayai apa yang baru dititipi.

“Macam mana along…Ya-Allah, dah tu macam mana sekarang ni? Pihak sekolah suruh datang dan jumpa dengan guru disiplin. Awak pergi ya, awak pergi tengokkan along kat sana.” tutur mak memberi cadangan.

“Sekarang?” balas abah terkejut.

“Iyalah sekarang, takpayahlah tunggu sampai esok. Awak pergi, biar saya jaga kat sini. Pergi cepat, lagipun hari awal lagi.”

“Baru dekat pukul 1, baik awak cepat, sekejap lagi ada bus, kalau tak sempat kena pulak menunggu bus daripada hulu. Itupun belum pasti lagi ada ke tak bus tu.” tambah mak lagi turut sama menggesa, dan serentak dengan itu abah menggaru-garukan kepala tak senang mendengarnya.

“Cepat!” gesa mak lagi, betul-betul membuatkan abah rasa sesak hati.

“Iyalah! Saya pergilah ni!” balas abah sedikit mendengus kerana dia memang tak sukakan gesaan, dan tanpa menunggu lama basikal tuanya itu diraih sebelum ditolak bertemankan perasaan terdesak yang sudah memenuhi ruangan dada dan kepala.

“Bawak bercakap elok-elok dengan cikgu tu. Jangan awak marah-marahkan dia pulak nanti.” pesan mak memberikan peringatan kerana dia tahu benar dengan sikap suaminya yang panas baran.

“Huh!” balas abah sepatah, dah tak mahu berlengah. Mak menghantar pemergian abah dengan pandangan yang tak sudah. Fikirannya bercelaru memikirkan apa yang bakal berlaku. Adakah along akan diberhentikan atau digantung pengajian? Ya-Allah bantulah kami Allah…doa mak tanpa henti kerana hanya Allah yang dapat mengerti kebimbangan hati.

 

Abah masih menanti dengan sabar hati. Menanti ketibaan Along yang baru dicari oleh Cikgu Sazli, guru disiplin sekolah menengah sains berkenaan. Sesudah agak lama menanti, barulah cikgu itu datang semula ke situ bertemankan along yang ada berjalan bersebelahan. Abah menarik nafas dalam, cuba memupuk hatinya supaya dapat rasa lebih tenteram.

“Ijam, duduk.” arah Cikgu Sazli pada along yang kekal berdiri dalam keadaan kepala tertunduk, tak berani mahu bertentang mata dengan abah, takut disergah. Perlahan-lahan dia merapati sebelum duduk di kerusi bersebelahan abah. Nafas abah mula turun naik menahan amarah kerana dia memang tak dapat mempercayai segala yang terjadi. Tak mungkin along merokok, sebab dia langsung tak pernah nampak semua tu. Tak mungkin! Ke sebenarnya ada salah faham di sini. Bisiknya sendiri.

“Betul along merokok?” soal abah tegas pada along yang masih tertunduk.

“Ta..ta..tak abah!” balas along pantas, terpacul laju daripada mulut, dek kerana takut.

“Ha, cikgu dengar, dia kata dia tak merokok. Ke sebenarnya semua ni hanya salah faham? Betul cikgu tangkap dia waktu dia sedang merokok?” soal abah pula, lupa pada keadaannya. Bukankah seharusnya dia yang ditanya, bukannya pihak yang bertanya, tapi tak boleh buat apa, dah jadi kebiasaan, sebab along memang anak kebanggaan.

“Betul Encik Husin, saya jumpa kotak rokok dalam beg sekolah dia masa buat pemeriksaan mengejut di asrama beberapa hari lepas. Bila saya tanya betulke barang tu dia punya, dia senyap, tak nak menjawap.”

“Saya dah tak boleh buat apa, nak tak nak saya kena jalankan tugas saya. Sekolah ni ada undang-undangnya, kalau pelajar lakukan kesalahan dia perlu diambil tindakan.”

“Mengikut kesalahan yang dia dah lakukan, dia boleh…” tutur Cikgu Sazli cuba untuk menerangkan, tapi nampaknya abah dah mula menjalankan rancangan. Cara terakhir yang ada, dengan ‘melembutkan hati’ orang yang berada dihadapannya.

“Songsang nak, songsang belalai, gajah putih seberang laut…” bisik abah dengan mulut yang terkumat-kamit sambil mata tak lepas merenung wajah Cikgu Sazli tanpa henti.

“Saya…saya…” tutur cikgu Sazli terputus-putus, sambil kepala cuba untuk mengingati apa yang ingin diucapkan lagi, tapi hampa kerana ingatannya jadi kosong dengan tiba-tiba.

 

‘Kong! Kong! Kong!’ bunyi blok air batu dihentak kuat kedengaran memecahkan kesunyian di dalam kawasan pasar berkenaan. Sebelah tangan mak memegang guni yang diisi air batu dan sebelah tangan lagi menggenggam kuat kayu bersaiz 3x4 inci yang berfungsi sebagai penukul untuk menghancurkan blok ais berkenaan kepada saiz-saiz yang lebih kecil supaya dapat dijadikan bahan penyejuk dalam polisterin putih, tempat simpanan baki ayam dan ikan yang tak berjaya untuk dijual.

Sambil mengetuk, mak memusing-musingkan guni berkenaan agar setiap pecahan ais yang terhasil menjadi lebih kurang sekata. Kerja yang betul-betul memerlukan kederat, kurang sesuai bagi yang kurang larat. Sesekali mak membuang pandang ke arah jalan, setia menanti kelibat abah, kerana sejak pergi, abah masih belum balik lagi.

“Hai…entah apalah yang jadi…” bisiknya sendiri dan tanpa dipaksa air mata yang mula beransur kering kini sudah bergenangan kembali, sedih memikirkan nasib diri.

Terasa nak mengadu, tapi mak dan ayah dah lama pergi dulu, meninggalkan dia keseorangan dalam dunia yang penuh dengan cabaran, jikalau diikutkan, takut mengundang kemurkaan dan serentak dengan itu mak beristigfar minta ketenangan. Tak berapa lama kemudian abah akhirnya tiba dengan riak muka yang biasa, tak seperti sebelumnya.

“Apa cikgu cakap pada awak? Dapat awak jumpa dengan along? Betul ke along merokok?” soal mak tak henti setelah abah kembali dan serentak dengan itu tangannya berhenti beraksi. Jarak sekolah yang dekat dengan rumah memudahkan mereka berhubung. Kedudukan sekolah yang berada ditengah-tengah jalan utama memudahkan perjalanan kerana ianya hanya memakan tempoh masa 15 ke 20 minit untuk sampai, betul-betul mudah, sampai boleh dikatakan hampir setiap minggu bila diberi pelepasan, along pasti akan pulang menjengah.

“Dah, dah jumpa dah saya dengan cikgu tu. Dia kata dia jumpa rokok dalam beg sekolah along, lepastu dia terus tuduh along merokok. Entah betul ke tidak rokok tu along punya dia pun tak tahu.” balas abah selesai melabuhkan punggungnya.

“Betul ke macam tu? Ha, memang saja nak kenalah! Senyap terus jadinya bila saya ‘baca-baca’ depan dia.” tambah abah lagi sambil tersenyum bangga setelah mempraktikkan ‘ilmunya’. Mak terkejut mendengarnya.

“Apa yang awak buat pada cikgu tu? Awak bacakan dia apa? Awak bacakan dia jampi mentera?” balas mak kecewa, tak menyangka itu cara yang abah guna.

“Tak sepatutnya awak buat macam tu. Awak guna cara tak baik untuk melembutkan hati orang pulak. Awak ni, memang tak pernah nak berubah.” tambah mak, menyatakan kekesalannya.

“Dah tu awak nak saya buat macam mana? Saya dah tanya along, betulke dia buat semua tu. Along dah kata tak, takkanlah awak tak percayakan anak awak sendiri. Kalau bukan nak percayakan anak, awak nak percayakan siapa lagi?” balas abah dengan nada tegang, tak dapat mempercayai apa yang baru didengari. Si isteri memang tak pernah menyokong apa yang diusahakan diri.

“Tengoklah cara awak tanya dia.”

“Awak tanya dia buat ke tak? Mestilah dia jawap tak, sebab dia takut dengan awak. Kenapa awak tak tanya dia, rokok tu siapa punya? Sejak bila dia pandai merokok? Ni tak, awak…” belumpun sempat mak menghabiskan ayatnya abah sudah bangun dan bergerak.

“Binggit! Binggit telinga saya ni sentiasa kena dengar awak berleter setiap hari! Dahlah, saya nak balik! Dah penat dah badan ni! Tak tahan saya duduk lama-lama dekat sini! Panas! Awak selesaikanlah semua kerja ni!” tutur abah marah sebelum segera melangkah meninggalkan mak kesorangan bertemankan ayam dan ikan yang minta disimpan.

 

 

Previous: Bab 6
Next: Bab 8a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.