Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 20b

(Sambungan)

‘Khong khong khong…” bunyi papan bertemu papan mendominasi segala-gala. Sampai bunyi tv pun dah kedengaran sayup-sayup sahaja, namun Safi, Man dan Ina tetap duduk terpacak di situ, menyaksikan rancangan-rancangan kegemaran. Mak masih lagi belum selesai dengan rutinnya, menyediakan kayu api untuk menjadi bahan bakaran dapur kayu, tempat mereka menanak.

“Mat mana? Anak awak tu mana?” soal abah sesampai ke rumah pada mak yang sedang membelah kayu di pintu dapur. Safi, Man dan Ina yang sedang tekun menonton segera mengalihkan pandangan pada abah, cuma seketika sebelum mereka kembali memberikan tumpuan.

“Awak cakap dengan saya ke? Apa awak cakap?” soal mak yang baru menghentikan kerja-kerja membelah.

“Anak awak tu mana saya kata? Mat mana!” ulang abah yang sudah naik marah.

“Kalian padam tv tu sekarang! Dari pagi sampai malam, tak habis-habis dengan kartun. Bila tv tu nak berehat!” marah abah, tercampak semangat Safi, Man dan Ina dibuatnya. Tanpa berlengah Safi terus bergegas mematikan suiz tv dan bertindak menjauhkan diri kerana dia pernah dengar pepatah ni…gajah dengan gajah bergaduh…lepastu apa ya? Apa yang mati kat tengah-tengah? Rusa ke kancil??? Ha, lantaklah apa pun yang mati, paling penting dia nak selamatkan diri. Bisiknya di dalam hati. Melihatkan tindakan Safi, Man dan Ina pun segera mengekori.

“Awak ni kalau bercakap, cubalah elok-elok sikit. Susah sangat ke? Setiap masa pun, macam nilah cara awak bercakap. Cubalah tunjukkan contoh yang baik sikit pada anak-anak.” balas mak menegaskan apa yang terbuku di hatinya sejak sekian lama.

“Nak cakap elok-elok macam mana?! Awak tahu apa yang anak awak tu buat?!” soal abah yang belum sudah.

“Apa yang Mat buat? Apa lagi salah budak tu kali ni?” balas mak mahu mengetahui punca kenapa suaminya itu bertukar menjadi singa.

“Awak tahu tak, dia yang pancitkan tayar basikal saya, lepastu dia buat tak tahu je. Bodoh betul saya rasa, awak tahu apa? Memanglah awak tak tahu apa-apa, sebab bukan awak yang merasa!” terang abah dengan perasaan geram sambil mencekak sebelah pinggangnya. Safi, Man dan Ina yang sedang duduk di mata tangga hanya mampu berpandangan sesama sendiri.

“Safi tengok. Kesian Mat, tak pasal-pasal Mat kena marah dengan abah.” tutur Ina berbisik membuatkan Safi dan Man tertunduk, menginsafi kedegilan diri.

“Dah, kalaupun dia yang memancitkan tayar basikal awak tu, apa yang awak nak buat pada dia? Takkanlah disebabkan tayar basikal, sampai ada yang berbunuh-bunuh! Nak awak masuk penjara?” soal mak yang sudah mula hilang sabar, serentak itu wajah abah di pandang, menyatakan ketegasannya. Dia boleh bersabar dalam banyak perkara, tapi pengecualian diberi dalam hal berkaitan anak-anaknya. Bukannya tak boleh marah, tapi selidikinya dulu sebab itulah cara yang paling berkemah dan setiap satu kesalahan ada kadaran.

“Awak macam nilah. Macam nilah perangai awak! Bila saya nak mengajar anak, awak pulak membelanya. Memang patutlah budak-budak tu jadi keras kepala. Semua tu sebab awaklah!” tutur abah, hanya tahu menyalahkan orang lain.

“Semuanya keras kepala macam awak!” tambah abah lagi tak tahu nak berhenti, memang satu keadaan yang sukar bagi mereka-mereka yang suka bertaki.

“Iyalah, semua salah saya, awak tu jelah yang betul semuanya.” balas mak sebelum menyambung kerja-kerja yang tergendala, dah malas nak melayannya, lagipun tak datangkan kebaikan apa-apa. Melihatkan tindakan mak yang mengabaikannya membuatkan darah abah naik sampai ke puncak kepala dan tanpa berlengah abah mencapai dan menyarung pakaiannya dengan kasar, tak sanggup lagi berada di dalam situasi.

“Cuba jangan duduk tengah-tengah jalan ni! Tepi!” tempik abah pada Safi, Man dan Ina yang sedang duduk beratur di mata tangga, melempiaskan baki-baki kemarahan yang ada, membuatkan mak yang mendengar segera menggeleng-gelengkan kepala.

“Sampai bilalah baru awak nak berubah…” bisik mak perlahan menyatakan kekesalan.

 

Kawasan perkarangan sekolah rendah itu dipenuhi dengan pelajar-pelajar yang beratur mengikut susunan kelas masing-masing. Cikgu Robin, cikgu disiplin sekolah sedang melakukan pemeriksaan pada murid-murid, mencari kesalahan yang mereka mungkin lakukan. Dari jauh Safi dapat melihat gelagat Cikgu Robin, sebelum di menjenguk kasut sekolah yang sudah agak lusuh warnanya.

“Habislah…tapi, bukan tak basuh, kapur je yang dah habis…” bisiknya di dalam hati untuk melegakan diri sendiri.

Sesampainya disebelah Safi, Cikgu Robin akhirnya berhenti. Selesai memerhati, dia mendongak pula ke arah Safi.

“Kenapa kasut awak kotor? Awak tak basuh kasut?” tuturnya tegas dengan bebola mata yang sengaja dikeras.

“Basuh cikgu! Saya dah basuh…” balas Safi bersungguh-sungguh membela diri.

“Kalau dah basuh, takkanlah kasut awak warna macam ni!”

“Dah! Keluar! Ikut cikgu, cikgu nak awak pergi basuh kasut awak tu sekarang.” arahnya bersahaja membuatkan Safi tak terkata. Malu pun ada bila pelajar-palajar yang lain turut sama memandang ke arahnya.

“Sekarang!” arahnya tegas, sebelum mereka berdua bergerak menuju ke tandas.

 

“Basuh guna berus tu!” arah cikgu itu lagi sambil memerhatikan setiap satu pergerakan Safi dengan mata helangnya.

“Situ, berus yang sebelah sana tu!” arahnya lagi, menggesa. Tanpa membantah Safi mematuhinya dan keadaan itu membuatkan Cukgu Robin mengukir senyuman tanda kepuasan. Tubuh Safi yang tegap dan tinggi, sedikit sebanyak berjaya menjentik hati Cikgu Robin untuk lebih mendekati.

“Safi!” tegur Talib, sahabat sekelas Usop, yang juga merupakan pengawas sekolah rendah berkenaan, membuatkan Cikgu Robin segera menghentikan apa yang dah terdetik di hati dan dengan segera dia bergerak pergi.

“Awak tengokkan dia. Pastikan dia basuh kasut dia tu bersih-bersih!” tuturnya meninggalkan pesan sebelum segera angkat kaki.

“Safi tak basuh kasut ke semalam?” tutur Talib, simpati dengan apa yang adik kawannya itu lalui.

“Basuh! Orang basuh! Cuma tak kapur, sebab kapur dah habis.” balas Safi menyatakan apa yang disimpan di hati.

“Takpa, Safi basuh pelan-pelan. Abang tak boleh tolong Safi basuh, sebab ni kan tandas budak perempuan, orang lelaki mana boleh masuk. Safi basuh ya, abang tunggu kat luar.”

“Nanti dah siap, Safi bagitahu. Biar abang tolong jemurkan.” tuturnya dah bersedia untuk beredar.

“Ok.” balas Safi patuh. 

Previous: Bab 20a
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.