Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 63

Berbulan berlalu sejak insiden di sungai berlaku, dan semenjak itu juga, Safi jadi semakin mudah marah. Pantang ada yang tak kena, pasti habis disumpah seranah semua. Dia benci berkeadaan begitu, dia benci bila tahu yang dia kalah pada syaitan.

“Tak boleh ke slowkan sikit radio tu! Tak nampak orang nak sembahyang?”

“Tu, abah dekat depan tu. Mak pun, semua tengah sembahyang.” tegur Safi yang sudah selesai menyarungkan telekungnya.

“Kalau nak sembahyang, sembahyang jelah! Yang bising kenapa?” balas Usop kekal berteman benak yang sengaja dikeraskan. Sambil meniarap, dia membetul-betulkan bantal. Tak perlu menunggu lama, Safi menapak dan memadamkan suiznya sebelum bergerak untuk bersolat pula, meninggalkan Usop yang sudah mula panas hati. Seketika kemudian, Usop bangun dan memasang radio tersebut dengan volum yang lebih tinggi lagi lalu tersenyum sendiri.

“...haruskah, kita mencari…” nyanyian yang binggit menghantam telinga membuatkan Safi berusaha sedaya-upaya untuk terus menjalankan kewajipannya.

 

“Usop ni kenapa ha? Dah teringin sangat ke nak jadi setan?”

“Dahlah sembahyang malas, lepastu kerjanya asyik nak mengacau orang je. Tak malu ke?!” marah Safi selesai membaca doa, seringkas-ringkasnya.

“Suka hati la nak buat apa. Kubur lain-lain!” balasnya bersahaja sambil menjeling ke arah Safi yang baru selesai menggantung telekung pada kayu alang.

“Memangla kubur lain-lain. Tapi, boleh ke bila dah mati, lepastu uruskan sendiri?” sindir Safi bersahaja sahaja bunyinya, sengaja mencabar kesabaran abang yang langsung tak pernah dapat nak dibanggakan.

“Hei, suka hati aku la!”

“Yang kau sibuk kenapa? Kalaupun aku mati, tak mintakpun kau uruskan.” balasnya berteman jelingan separa mata.

“Ye? Boleh pasti ke?” cabar Safi, tak dapat nak kendur lagi.

“Kau ni kan! Memang kurang ajar!” tutur Usop hampir menjerit bila hati sudah rasa tak dapat sabar.

“Pandai-pandai je cakap orang kurang ajar. Dah tu siapa yang ajar?”

“Cerminlah dulu diri tu, sebelum nak mengata orang lain!” jawap Safi berbalas jelingan ‘manjanya’.

“Kau ni kan…” balas Usop tinggi menyatakan sakit hati, namun Safi hanya kekal berdiri sambil menjeling lagi.

“Apa?” balas Safi, langsung tak tergertak hati.

“Apa ke bendanya lagi kalian ni? Apa yang tak betul lagi kali ni?!” soal abah yang baru datang sambil mencekak pinggang dengan mata buntang, membuatkan Usop dan Safi terus menyepi.

“Usop tu…” ingin Safi menjawap, tapi abah dah memangkah.

“Dah sudah! Cuba jangan asyik nak bertekak, tak boleh ke?” balas abah dengan muka bercuka seraya melepasi Safi. Riak wajah itu sudah cukup untuk membuatkan Safi rasa sakit hati, kerana seperti biasa, abah menyebelahi Usop lagi. Sempat Safi menoleh pada Usop yang sengaja bertindak menaikkan ibu jari sambil tersenyum sinis sendiri.

“Tak guna!” tutur Safi perlahan, tapi sudah cukup untuk ditangkap oleh deria pendengaran semua.

“Apa kau cakap!” balas Usop setelah rasa tercabar.

“Sudah! Sudah!”

“Kan abah dah cakap sudah! Ni apa lagi kalian ni? Apa lagi yang tak betulnya!” marah abah sudah turut hilang kesabarannya.

“Safi ni pun! Yang awak tu adik! Dah, kenapa ke keras kepala sangat?! Tak boleh ke belajar cara hormat orang?!” marah abah tak berhenti membuatkan Safi bertambah rasa kecewa. Serta-merta dia membuka langkah untuk turun ke tanah.

“Dah nak ke mana pulak tu?” tegur mak yang ada berlunjur di tengah rumah. Safi tak membalas sebaliknya langkah dibuka lebih deras.

“Hai la anak-anak. Tak habis-habis nak meragam je kerjanya…” keluh mak sambil memeriksa buku lawatan Mat yang sebesar tapak tangan itu. Selepas memeriksa, mak melihat kelender, mencari waktu dan ketika yang paling sesuai untuk dia dan Mat berjumpa.

“Betullah kata orang tua-tua dulu. Menjaga sorang anak perempuan lebih susah daripada membela lembu sekandang!” rungut abah, dan Safi dapat mendengarnya dengan mudah. Serentak dengan itu bulu tengkoknya jadi meremang sebelum kepala dan muka terasa berbahang. Air mata, tak payah kata, bukan sahaja dah bergenang. Segera air mata yang mengalir diseka dengan lengan sebelum dia melangkah laju dalam gelap malam. Abah akhirnya berhenti saat terlihat kelibat Safi, lagak orang nak lari.

“Ha, nak ke mana pulak tu?” soal abah, cuba beramah, namun Safi langsung tak tergerak hati nak menjawapnya.

“Ikut suka hati orang la nak buat apa pun! Kan kata lembu, dah tu buat apa nak ambik tahu!” rungut Safi sambil membuka langkah lebih jauh lagi sebelum dia berhenti di tengah-tengah kebun dan duduk diatas akar pohon langsat yang rimbun. Berteman rasa kecewa, dia melepaskan perasaannya. Tak henti tangan mengesat air mata yang belum juga mahu meninggalkannya.

“Tak guna punya Usop! Memang pandai sangat berpura-pura.” sumpahnya lagi, pada titik puncanya.

“Takpa, tunggulah! Bila orang dah pergi belajar nanti, orang dah takkan balik ke sini lagi.” tuturnya demi menguatkan hati. Dalam pada dia mencari diri, dia seperti nampak ada sesuatu yang bergerak-gerak dan semakin datang mendekat.

“Alben, balik!” arahnya pada anak kucing peliharaannya itu. Segera tangannya menolak, namun Alben kekal juga menghampirinya semula.

“Akak dah kata balik tu baliklah! Apa yang degil sangat! Pergi balik!”

“Nak kena makan dengan benda ke?” tutur Safi lagi bimbangkan keselamatan ‘adik’ berbulunya.

“Miaow…” jawap Alben mahu kekal meneman.

“Ingat, nanti kalau sorang-sorang, jangan jalan jauh sampai sini. Kalau tak nanti, mesti ada benda yang jadi.” pesannya pada Alben yang sudah ada di dalam ribaan. Ular sawa dengan kerbau pendek bukannya boleh dipercaya. Pantang jumpa, semuanya jadi mangsa…termasuklah dirinya.

Kedua-duanya menikmati hembusan bayu malam yang rasa menenangkan. Berteman remang bulan, dia belajar mengenal diri dan belajar akan tujuan dia dihidupkan oleh tuhan. Lama dia berkeadaan begitu, cukup lama untuk membuatkan mak dan abah yang ada di rumah mula rasa bimbang.

“Kemana mana pulak perginya? Tak nak balik lagi ke dia?” tutur abah yang sudah hilang marah sambil menggaru-garu kepala berteman mata yang masih menantikan kepulangan anak perempuan.

“Awak pun satu. Bukannya tak boleh marah, cuma caranya tulah.”

“Anak-anak semua dah besar. Bila kita kata begini, dia kata pulak begini. Lagi kita berkeras, lagi pulak dia membalas. Kalau tak kena gaya, lain pulak jadinya nanti.” tutur mak memberikan sedikit teguran dan serentak itu juga abah melepaskan keluhan yang berat, tanda mendapat.

“Tak ada nampak balik lagi?” soal mak pula dah mula berkira-kira mahu turun mencari.

“Dah dah! Dah ada dah balik tu ha!” jawap abah selesai melihat bayang Safi yang sudah kembali. Lega dan gembira kerana itulah apa yang sedang dirasa.

 

Tingkah-laku Usop diperhatikan dengan ekor mata. Buat seketika dia berusaha untuk menyimpan rasa sebelum hatinya jadi panas seperti biasa.

“Ambik berapa banyak? Kan ramai lagi yang tak makan. Dah tu kang, apa yang tinggal untuk yang lain?!” tutur Safi mempersoalkan gelagat tamak Usop yang memang tak pernah kurang. Bila makan, langsung tak ingat orang.

“Hei kau ni! Aku paling pantang kalau masa aku makan ada yang memekak tau tak!”

“Ikut suka hati akulah nak ambik banyak mana pun. Apa kau kisah!” balas Usop berserta jelingan sengetnya dan Safi memang takkan mudah sudah.

“Tak sedar ke Usop yang mak dengan abah pun tak makan lagi? Tu, ikan tu, cukup seketul sorang je tadi.”

“Dah kalau Usop dah ambik lebih, yang lain nanti nak makan apa?” balas Safi kekal mempersoalkan.

“Makan je la apa-apa!” jawap Usop bersahaja membuatkan bulu roma Safi terus naik tinggi.

“Memang tak guna! Tak malu ke jadi orang besar dengan akal besar kacang hijau? Tak malu?” balas Safi masih belum mahu berhenti.

“Kau ni kenapa ha? Apa yang kau tak puas hati sangat dengan aku!” pekik Usop sambil mencerlung geram.

“Hei hei hei! Kenapa kalian ni?” tegah mak yang sudah naik ke rumah.

“Tu! Usop tu! Bila makan, bukannya pernah nak ingat orang. Ambik banyak-banyak, tahu fikir dia je. Dah tu yang lain nanti macam mana?” balas Safi, membela diri.

“Kau ni kan…” tutur Usop sambil kaki bergegas datang mendekat. Melihat keadaan itu, mak segera bertindak untuk meleraikan mereka.

“Dah dah dah! Sudah!”

“Usop sudah! Safi sudah! Tak payah nak bergaduh-gaduh macam ni. Lari rezeki nanti. Sudah, Usop pergi makan.”

“Safi pun satu. Kan, orang nak makan, buat apa nak bergaduh…” tutur mak menyebelahi dan Usop apa lagi, terus terangkat ekornya, bangga.

“Orang…” belum sempat Safi menambah mak dah memotongnya.

“Dah dah. Sudah sudahlah tu. Tak payah nak bergaduh-gaduh.”

“Usop nanti balik KL petang kan?” soal mak pada Usop yang sedang menjamu makanan, membuatkan Safi rasa betul-betul kecil hati kerana mak langsung tak belajar nak memahami dirinya.

“Ha, petang. Abah kata abah hantar, tapi kalau mak nak ikut, lagi bagus.” jawap Usop sebelum terus bercerita tentang rancangannya.

“Takpalah, kalau abah dah hantar, mak tak payahlah pergi. Nanti jawap periksa elok-elok. Jawap tenang-tenang…” tutur mak memberi galakan pada Usop yang bakal menduduki peperiksaan, sejak pertama kali menjejakkan kaki ke universiti. Safi langsung tak ada minat untuk mengambil tahu akan apa yang berlaku. Selesai di situ, dia turun ke tanah untuk mencari damai yang baru sahaja hilang. 

Previous: Bab 62
Next: Bab 64

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.