Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 36

Seperti biasa, Safi dan adik-adiknya sudah bersiap-siap untuk ke sekolah. Pagi tu bulan gelap, jadi hari lambat terang. Sesampai saja di jalan besar, Safi seperti dapat melihat sesuatu bergerak tak beberapa jauh di belakang mereka. Bila diamati, sah! Memang Bodok.

“Ya Allah…Macam mana Bodok ni boleh ikut kita sampai sini?! Abah lupa tambat lagi lah niiii! Hiss…takkan nak patah balik? Tapi kita dah jauh dah ni!” tutur Safi geram sambil menggaru-garu kepala sendiri. Turun naik tudung kepalanya dilayan sedemikian rupa.

“Syuhh! Syuhh! Balik! Bodok, balik!” pekiknya sambil sebelah tangan mencapai sebatang kayu dan melibaskannya di jalan untuk menggertak Bodok dan serentak itu langkah Bodok terhenti.

“Pergi balik!” pekik Safi, mengulangi. Man dan Ina segera mengutip batu-batu kecil yang terdapat di tepi jalan lalu menghumbannya ke arah Bodok yang tetap menggoyang-goyangkan ekor, tak takut pada apa yang dilihat sebelum beberapa biji batu yang Man dan Ina baling tepat mengenai kepala Bodok yang sangat manja itu.

“Jangan baling dengan batu! Kesian Bodok. Nanti Bodok sakit!” tegah Safi, tak nak Bodok dilukai. Bodok mula buat muka seposen sebelum akhirnya dia bergerak pulang mengikut jalan. Safi, Man dan Ina rasa lega lalu meneruskan perjalanan yang memakan masa hampir 20 minit untuk sampai ke sekolah dengan kelajuan biasa, tapi kalau tahap pertandingan olahraga, bolehlah capai sampai 10 minit, rekod yang terbaik yang pernah dicatat mereka.

 

Sampai di hujung bukit Safi menoleh semula ke belakang dan alangkah terkejutnya rasa hati bila mengetahui bahawa mereka rupa-rupanyanya masih diekori.

“Ya-Allah, tengok! Bodok ikut kita lagi! Eee…Bodok ni, bodo ah!” tuturnya terkejut sambil menggaru-garu kepala, langsung tak dapat nak mempercaya.

“Dah tu macam mana?” soal Man dan Ina serentak sebelum sama-sama menggaru-garu kepala juga.

“Manalah Safi tahu!” balas Safi sambil berusaha untuk mencari penyelesaian bagi permasaalahan.

Dulu Bodok tak macam tu. Anjing baka kacukan german shepherd dan golden retreviar dengan bulu kembang bewarna oren coklat gelap tu sangat baik. Saiznya hampir sebesar anak lembu yang dah pandai berlari. Mendengar cakap dan mudah diajar, tapi semuanya berubah bila satu hari dia balik dalam keadaan terhincut-hincut, mungkin dilanggar orang agaknya.

Sejak daripada hari tu, perangainya berubah. Dia jadi makin garang. Pantang tengok orang, semuanya dihambat sampai tak cukup tanah dibuatnya. Bila ada motor lalu dia kejar. Mungkin Bodok masih ingat apa yang jadi pada kakinya yang tempang sebelah tu. Mungkin juga Bodok tak nak melihat mereka menerima nasib yang serupa dengannya. Mungkinkah tujuan Bodok hanya satu, iaitu untuk melindungi mereka? Siapa tahu?

“Safi…macam mana kita ni?” soal Ina sambil menggoyang-goyangkan tangan Safi yang berada di dalam genggamannya.

“Sekejap la, Safi tengah fikir la ni! Boleh tak kalau tunggu sekejap!” balas Safi, tak tahu mahu melakukan apa lagi.

“Hish…abah la ni! Macam boleh lupa tambat Bodok ni tadi?” gerutu Safi tanpa henti, menyalahkan perlaku yang asli dan serentak dengan itu Safi naik geram sebelum seketul batu yang sebesar telur ayam dikutip dan dibalingkan berhampiran dengan Bodok, bertujuan hanya untuk mengacah. Melihatkan keadaan itu, Man dan Ina mengikut sama.

“Hik! Hikkkk! Hikkk!” jerit Bodok kesakitan bila batu yang Man lemparkan tepat mengenai kepalanya. Seketul batu lagi Man capai, belum sempat Man melontarkan tangannya segera dihadang Safi.

“Dah dah! Kenapa baling betul-betul! Kesianlah Bodok! Sakitlah dia nanti.” tuturnya kesal kerana terbawa-bawa perasaan.

“Dah tu macam mana? Kita dah nak sampai sekolah dah ni! Dah tu, siapa yang nak hantar Bodok balik?” soal Man sambil menggaru-garu dagu, betul-betul rasa terganggu.

Safi pening kepala. Dia tak tahu apa yang hendak dilakukan lagi. Tinggal satu selekoh, sebelum mereka sampai ke sekolah, dah dekat sangat dah. Akhirnya Safi membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan ke pusat pembelajaran. Lagi penting! Bodok??? Lantaklah.

Bila Safi dan adik-adiknya berpaling, Bodok menghentikan langkahnya dan pura-pura memandang ke arah lain. Bila mereka berjalan, Bodok berjalan semula. Begitulah keadaannya berulang kali, sehingga sampailah mereka di hujung pagar sekolah. Safi membuat keputusan untuk mengikut pintu belakang, takut kehadiran Bodok menakutkan pelajar-pelajar yang lain. Bila mereka memboloskan diri di bawah pagar yang menjadi tempat menyusup pelajar-pelajar ponteng tu, Bodok pun ikut sama.

Sampai di kelas, Safi lega. Bodok dah tak dapat nak ikut dia lagi kerana kelasnya di tingkat dua.

“Takkan Bodok nak panjat tangga kan? Hihihi…selamat!” bisiknya lega, namun tak lama bila dia mula memikirkan situasi secara keseluruhan. Masalah utama seharusnya pada Man dan Ina kerana kelas mereka di aras bawah. Sedang dia berfikir-fikir dia tertarik dengan bunyi riuh suara pelajar-pelajar kecil yang jelas kedengaran sampai ke tingkat atas.

“Jangan-jangan…” tuturnya perlahan sebelum cepat-cepat dia menjengah ke bawah dan jangkaannya sememangnya tepat kerana dia nampak Bodok sedang terpacak tegak di hadapan kelas Ina. Terdapat segerombolan pelajar-pelajar kecil yang duduk di satu penjuru sambil tangan mereka ditudingkan ke arah Bodok. Mungkin mereka takutkan Bodok barangkali. Mana taknya, saiz Bodok lebih besar daripada mereka dan haruslah mereka takut.

Cepat-cepat Safi memeriksa jam bertali getah yang ada di tangan setelah sedar jam loceng sekolah belum berbunyi lagi, jadi masih ada masa kerana pagar kekal dibuka dan belum lagi ditutup. Akhirnya Safi membuat keputusan untuk balik semula ke rumah semata-mata kerana Bodok. Setelah mengambil beg, dia bergegas mendapatkan Man dan Ina di tingkat bawah sebelum mereka sama-sama beredar pulang, dan Bodok…tak terkecuali.

 

“La…kenapa tak pergi sekolah?” soal Pak Sohor yang sedang minum teh di kedai tadkala terpandang Safi dan adik-adiknya berjalan menyonsang arah.

“Tu, Bodok ikut sampai sekolah.” balasnya sambil menunjuk ke arah Bodok yang masih setia membuntuti mereka. Sambil berjalan kepalanya ditolehkan ke kiri dan ke kanan.

“Anjing tu! Hui! Garang! Haritu sampai terjun sungai aku diperambatnya, masa pergi menjala!” tuturnya pada Wak Seman yang ada duduk semeja dengannya.

“Besarnyaaaa! Kalau sampai besar macam ni, aku pun sanggup terjun dengan rela hati.” balas Wak Seman dengan kekehan dan Safi tak kuasa nak melayan.

 

“Dah kenapa kalian ni? Kenapa tak pergi sekolah?!” ucap Mak yang baru nak memasang mangga pintu, dah bersedia untuk ke pasar.

“Tu…Bodok tu! Kenapa abah tak tambat? Sampai ke sekolah kami dia ikut mak.” adu Man. Bodok cepat-cepat masuk ke dalam tong dram yang menjadi rumahnya tu sedang mulut Man masih becok bercerita. Mak, tekun sahaja mendengarnya, manakala Ina menambah mana yang kurang.

“Tulah. Mak dah pesan pada abah. Setiap pagi tambat, tapi tak pernah nak dengar. Tengoklah apa dah jadi.”

“Hai…entahlah Bodok ni. Entah kenapalah suka sangat mengikut orang.” tambah mak sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Takpalah, kalian naik, tukar baju tu. Mak dah nak ke kedai dah ni. Safi tengokkan adik-adik. Jangan biar adik main api.” pesan mak, serentak itu Safi mengangguk. Mak menuju ke arah basikal merah yang berada di bawah rumah sebelum menolaknya keluar.

“Ingat pesan mak! Jangan main api! Tak berumah kita nanti!” ingat mak lagi.

“Baik mak!” jawap mereka serentak menzahirkan kefahaman.

 

Kotak mancis yang terselit di atas kepala pintu Man tolak dengan batang penyapu. Senyuman Man sampai ke telinga bila usaha itu ternyata membuahkan hasil seperti yang diharapkannya. Lekuk lesung pipitnya jadi sebesar jari bila ianya terjadi, manakala Ina yang melihat hanya mengelip-ngelipkan mata tak percaya.

“Nak buat apa? Nak buat apa?”

“Kan mak dah pesan, jangan main api! Dahtu, kita nak buat apa ni?” tutur Ina sambil mendapatkan Man yang masih tersenyum tanda dah mula mendapat akal.

“Mestilah nak main. Safi mana?” tuturnya sambil menjengukkan kepala ke luar pintu rumah dapur, membaca situasi sambil sebelah tangan mengoek-ngorek isi mancis yang hanya tinggal tak sebanyak mana.

“Kalau Safi tahu, mesti dia mengamuk.” tambah Man perlahan sebelum meneruskan perancangan, mengeluarkan jumlah batang mancis yang diperlukan.

“Tadi Ina rasa ada…tapi, sekarang dah tak ada! Pergi sungai kot, angkat air. Kita nak main apa?” soal Ina semula kerana dia belum mendapatkan jawapannya.

“Tengok je lah!” balas Man sambil menyelitkan batang mancis di celah kotak, di kiri dan di kanan. Manakala sebatang lagi dilintangkan di bahagian atas keduanya, belerang bertemu belerang, sebelum sebatang lagi dipancis pada permukaan kotak yang berbelerang. Setelah selesai menghidupkan api, maka bermulalah operasi!

“Cisss…” serentak terlancar batang mancis yang terlintang bila mancis mula terbakar, laju dan nampak sangat mengujakan, mengalahkan anak panah berapi mini. Serentak dengan itu, Man dan Ina ketawa berdekeh-dekeh dibuatnya. Seronok, melihat apa yang sedang diperlihat.

“Nak nak nak! Ina nak buat pulak!” minta Ina yang dah mula teruja.

“Nantilah, Man baru sekali! Sekali lagi! Lepastu, baru giliran Ina pulak.” balas Man sebelum tangannya pantas mengulangi langkah kerja yang sama, tapi kali ni belumpun sempat dilancarkan bayang Safi muncul di hadadapan badan dengan baldi air di kedua-dua belah tangan.

“Ya-Allah! Apa yang kalian buat ni ha?”

“Kan mak dah pesan! Jangan, main, api! Kalian ni memang nak kena!” jerkah Safi, memarahi, dan serentak itu, kotak mancis terlepas daripada tangan Man, sebelum kedua-duanya hilang sambil berteman.

“Tengok la…bila mak balik nanti, Safi repot kat mak! Jaga! Nanti adalah yang kena!” tambahnya lagi dan memang betullah pesan mak…adik-adiknya itu, memang tak boleh dibiarkan tanpa pengawasan.

 

Kotak mancis yag kekosongan diteliti satu demi satu, namun tak ada yang berisi lagi. Air di dalam beras yang sudah dibasuh segera dikeringkan semula kerana dia sudah tak punya idea untuk mencari punca kuasa, api, komponan utama dalam proses memasak.

“Hish! Tengok, sebab kalian la ni! Kalau tak sebab kalian main mancis tadi, ada lagi api! Tengok sekarang apa yang jadi!” bebel Safi pada Man dan Ina yang ada duduk bersebelahan dengannya dan serentak dengan itu Man dan Ina mula menyalahkan sesama.

“Bukan Ina! Man tu! Man! Dia yang main, Ina tak sempat main pun lagi.” tutur Ina menyelamatkan diri dan Man hanya membalas dengan jelingan tak puas hati beserta dengan muncung yang dah panjang hampir seinci.

“Ina ni!” balas Man sebelum mengangkat tangan tinggi untuk melepaskan tekanan yang dah meraja di hati, namun belumpun sempat Man bertindak, Safi terlebih dahulu mencegah.

“Dah dah! Sudah! Jangan nak berdolak-dalih pulak. Sama je dua-duanya. Kan mak dah pesan jangan main api, tapi dua-dua degil. Dah tu, macam mana nak buat sekarang ni?”

“Tengok, nak masak nasi pun tak boleh, sebab tak ada api. Nanti kalau mak tanya nak jawap apa?” tutur Safi sambil bergerak ke tanah, sebelum mencari-cari di bahagian bawah rumah, kawasan gelegar, tempat kebiasaan mak menyelitkan mancis, namun usahanya tak berjaya, kerana tiada apa yang dapat ditemuinya.

“Safi, kita pergi mintak kat rumah Mak Tam nak?” cadang Man setelah berjaya memikirkan jalan penyelesaian.

“Man lah mintak, sebab Safi malu nak mintak.” balas Safi sambil menyapu-nyapu tangan pada baju yang kelusuhan.

“Takpa, biar Man yang mintak! Jom lah! Jomlah teman Man.” gesanya lagi sebelum segera turun ke tanah juga.

“Ina tak payah ikut. Ina tunggu rumah!” arah Safi pula, tak perlu melibatkan semuanya.

“Ina pun nak ikut!” rengek Ina sambil menghentak-hentakan kaki tak puas hati, kerana dia juga mahu turut sama menyertai.

“Eeee…Ina ni! Cepatlah kalau nak ikut sangat! Cepat turun!” tutur Safi yang dah mula kehilangan kesabaran dan tanpa berlengah, Ina menurut apa yang dah diarahkan.

“Susah betul macam ni! Hiiii…” bebel Safi, kekal meleteri lagi sebelum naik dan menguncikan mangga pintu.

“Cepat-cepat!” gesanya pula selesai memastikan keselamatan rumah yang bakal ditinggalkan.

“Man, nanti Safi tunggu dekat pokok duku tu je tau, Man pergi mintak dengan Mak Tam. Tak ingat ke hari tu baru lagi kita datang mintak, ni datang lagi. Betul-betul memalukan!” tutur Safi setelah mengingati sejarah lama.

“Nanti Man mintak dua tiga batang je, jangan ambil sekotak macam hari tu. Kesian Mak Tam, sebab dia kan tinggal sorang-sorang, nanti kalau dia tak ada mancis, macam mana? Siapa nak tolong dia?” tambah Safi lagi mengingatkan, supaya adik-adiknya itu tahu apa makna batasan.

“Ok.” balas Man yang sedang mengetuai perjalanan.

 

Previous: Bab 35
Next: Bab 37a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.