Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 47

Petang itu, mak menemankan along ke bandar kerana sesi semester baru sudah bermula. Kurang lebih 6 bulan, along akan menamatkan pengajiannya dan selepas itu, along akan mula bekerja dan sebagai anak sulung, harapan mak pada along menggunung.

Selesai membeli tiket, mak nampak along seperti tercari-cari sesuatu. Mak terkejut bila nampak anak perempuan Zam Mara tu ada di belakang bas sambil ditemani maknya juga. Serentak itu, hati mak jadi makin bimbang, bila along dilihat sudah tidak segan menunjukkan perhubungan mereka. Along menyalami mak sebelum bergegas mendapatkan mereka pula dan keadaan itu telah membuatkan mak seperti mahu putus asa.

 

“Nampak gayanya dah makin menjadi-jadi budak-budak tu. Dah tak rasa segan nak tunjukkan hubungan mereka pada kita.”

“Awak tahu, petang tadi balik KL sama-sama. Siap duduk sebelah-sebelah lagi. Itulah, bila saya cakap awak tak percaya.” ucap mak sambil tangannya sibuk memberus beberapa helai baju yang ada dibawa bersama.

Abah duduk di atas akar kayu, tempat biasanya sambil menghisap rokok. Berkepul-kepul asap rokok menuju ke arah mak dan mak menutup hidung menggunakan muncungnya seperti selalu. Abah mula menggaru-garu kepala yang terasa gatal dengan sendirinya. Pening kepalanya memikirkan kerenah anak-anak. Nak bercinta, tapi tak kena tempat sedang pelajarannya pun masih belum tamat. Keluarga sendiri perlu dibantu, tapi along hanya buat-buat tak tahu.

“Saya rasa baiklah awak cuba carikan ubat. Saya takut yang along tu dah ‘terkena’. Keluarga tu memang tak boleh dibuat main. Bukan saya nak menuduh, tapi kita sendiri dah tengok apa yang jadi dengan anak Kak Lijah.”

“Dah bertahun-tahun tak pernah balik menjengah sejak dia kahwin lari dengan anak Zam Mara tu dulu. Nak dicari tak tahu dimana. Balik kampungpun dah tak pernah. Kesian saya tengok Kak Lijah tu. Dah macam orang nanar.” tutur mak sebelum menghempas kain diatas pelantar berkali-kali. Wajah mak jelas risau.

Dulu memang dia pernah nampak along mesra dengan budak tu. Duduk dekat-dekat sambil berbual-bual, masa dia dan along sama sama bekerja di kedai, waktu along cuti semesta. Bila mak pandang mereka cepat-cepat berenggang, namun dia tak pernah syak apa-apa, tapi tu dah lama dulu, lama…sejak along mula-mula belajar di U.

Abah melepaskan keluhan yang berat dalam usaha mententeramkan jiwa kerana mereka belum membincangkan perkara itu secara bersemuka dan along sendiri juga dilihat masih belum mahu buka mulut mengakuinya. Abah mula bimbang yang along akan memberontak jika cintanya dihalang.

 

Hilaian ketawa jelas kedengaran, mengambarkan kegembiraan akan isi perbualan dan berbincangan.

“Buat apa susah-susah nak hantar anak belajar tinggi-tinggi. Buat habis duit! Buat macam aku, esok bila dah sampai masa, kahwinkan saja. Carikan orang-orang yang baik, yang cerdik-cerdik, senang cerita.” tuturnya sambil ketawa dengan senyuman bangga kerana itulah prinsipnya.

“Amboi…sedapnya bunyi. Bolehlah kalau berani, tapi, kalau aku menang tak adanyalah. Tak berani aku. Tak kena gaya menghidap.” balas Non jiran setamanya, teman ‘membawang’.

“Tu, Nizam tu, anak Timah dengan Husin, aku tengok dah ‘jinak’ sangat dah budak tu kau buat. Pantang ada masa, kesinilah dia. Dah tu, yang tu pun mangsa kau jugak ke apa? Kau nak lekatkan dengan yang mana? Dengan Zai ke Min?” soal Non pula, turut sama teruja.

“Dengan Zai lah. Biar kakaknya dulu. Ha, Min tu boleh dicarikan yang lain nanti.” balas Milah, kekal tersenyum saat menceritakan perancangannya.

“Aku bukan apa Non, suka sangat aku tengok budak tu, dahlah pandai, bersopan pulak tu. Tahu nak hormat orang tua. Calon macam tulah yang aku cari untuk buat menantu. Cari yang tahu hormat kita, macam tu, barulah ‘senang’ hidup kita.” jawapnya sambil menuangkan air minuman ke dalam gelas dan menghidangkan.

“Minumlah, dah sejuk dah air ni. Kita kalau dah berborak, lupa segala.” tambahnya sebelum mencapai gelas yang lainnya lalu menghirup.

“Timah dengan Husin dah tahu ke tentang hal ni?” tutur Non pula, membuatkan Milah terus hilang kemanisannya.

 

“Zam!” tutur Kadir jiran sebelah, ingin bertemu dengan tuan punya rumah.

“Ha, Kadir kenapa?” balas Zam yang sudah menyambut di muka pintu.

“Kenapa kau cakap? Bukan tadi kau kata nak ke bandar sama-sama.” jawapnya pula.

“Oh, terlupa. Sekejaplah, aku bersiap.” balasnya sebelum masuk semula. Kadir nyata terkejut bila matanya tertancap pada susuk tubuh seseorang yang dikenali, sedang gembira menonton tv di bahagian ruang tamu rumah berteman dengan yang lain-lainnya. Bila pandangan mereka bertemu, pemuda itu segera menundukkan muka.

 

“Zam, bukan ke tadi tu anak Timah dengan Husin? Dah buat apa budak tu buat di rumah kau?” soal Kadir yang sedang memandu.

“Hmm. Memang anak Timah dengan Husin.” jawapnya bersahaja.

“Aku dah berkenan sangat dengan budak tu, berkenan nak dijadikan menantu.” tambahnya pula.

“Dahtu, Timah dengan Husin tahu? Mereka setuju?”

“Entah. Aku tak kisah. Setuju ke, tak ke, aku memang dah nak buat along tu jadi menantu. Jodohkan dengan Zai, lagipun Zai dah sayang sangat dengan along tu.” balasnya tak mengira, membuatkan Kadir terkejut mendengarnya.

“Kau biar benar Zam. Jangan dicari penyakit. Bukannya kau tak tahu perangai Husin tu macam mana. Anginnya, tak payah cakaplah, semua orang kampung ni tahu.” bidasnya semula, tak mahu ada yang bersengketa, namun Zam hanya membalasnya dengan ketawa.

 

“Along duduklah dulu ya. Tak payah balik lagi. Ayah dengan mak nak balik ke rumah kampung. Ingat nak pergi cari kelapa dekat rumah nenek.” tutur Zam, yang sudah bergegas mahu keluar.

“Takpalah, kalau macam tu, along nak ikut sekali. Along pun nak jumpa jugak dengan nenek.” balas along yang sudah mula bangun.

“Takpayah, takpayah! Along takpayah ikutlah. Duduk rumah temankan Zai, lagipun ayah dengan mak pergi tak lama. Sekejap lagi baliklah kami.” tegasnya yang sudah berada di muka pintu. Pain, Fatin dan Iman, adik-adik Zai, turut sama bergerak, membuntuti ayahnya itu.

“Kami pergi sekejap je. Along dengan Zai tinggal. Tak lamapun kami pergi. Dapat buah kelapa nanti, kali baliklah. Lagipun kalau semua pergi, nanti tak ada yang menjaga rumah.” sampuk Milah yang baru selesai mengemaskan tudungnya.

“Kami pergi dulu ya.” tambahnya sambil membuka langkah meninggalkan along dan Zai…berdua-duaan.

 

Mat mula rasa tertekan, saat terlihatkan jumlah baki duit yang tertera di dalam buku simpanan.

“Hai…” keluhnya sambil meraub muka dan terus ke belakang kepala. Beg duit yang ada di hujung kepala dicapai dan dengan berhati-hati, dia mengorek gambar Ernie yang ada dia sisipkan pada bahagian poket yang agak dalam lalu menenungnya tak berkelip, tak lama, sebelum dia menghela nafas berat menzahirkan kekecewaan.

“Mat dah masak! Dah boleh makan dah!” tutur Safi memberitahu keadaan kerana itulah kebisaan. Namun gelagat Mat yang nampak terkejut dan kalut membuatkan Safi jadi makin ringan mulut.

“Ha! Apa tu? Mat buat apa tu?” soal Safi pada Mat yang sedang menyorokkan sebelah tangan ke bawah bantal.

“Apa? Mana ada buat apa-apa.” balas Mat, menyembunyi.

“Iyalah tak ada apa-apa. Tu, apa tu…apa yang Mat sorok-sorok dekat bawah tu? Dekat bawah bantal tu apa?” soal Safi kembali sambil menyengetkan kepala dan mengangkat jari.

“Mana ada Safi ni! Dah masak ke belum? Mat dah lambat dah ni.” jawap Mat semula, mengalihkan tumpuan.

“Dahlah. Kan dah cakap tadi. Mat tu yang tak dengar.”

“Nanti, Mat tolong Safi boleh?” pinta Safi yang dah hilang minat nak mengganggu abangnya itu.

“Hmm. Apa?”

“Safi nak pergi sungai, nak basuh baju sekolah. Nanti kalau cerek air tu bunyi, tolong padamkan ya.” balasnya pula.

“Ok.” balas Mat yang sudah mula mengambil pinggan untuk makan.

 

“Laillahaillallah! Bodok lepas!”

“Wei Bodok! Nak ke mana tu?!!” jerit Safi pada Bodok yang sudah berjaya melepaskan diri, namun Bodok hanya menoleh sekali sebelum dia membuka langkah untuk berlari.

“Bodok!!!” panggil Safi yang sudah datang mengejar, tapi dah tak boleh nak buat apa, kerana Bodok dah membulatkan tekadnya.

 

“Mak, Bodok pergi mana? Dah berapa hari Bodok tak balik. Entah makan ke tak.” tutur Safi pada mak selesai memeriksa nasi yang langsung tak terusik.

“Entahlah, entah kemanalah dia pergi. Entah-entah dia pergi mencari makwe yang dia bawak balik hari tu tak? Dekat mana dia jumpa pun kita tak tahu. Anjing siapa? Dekat kawasan kita ni, tak ramai yang membela…”

“Ha, entah-entah anjing beburu yang dah kena tinggal dek tuannya tak? Lagipun kan ke baru lagi hari tu, ada orang datang beburu. Mungkinlah tu.” jawap mak selesai membuat penyelidikan.

“Anjing orang beburu? Dah kenapa ditinggalkan pulak? Sebab dah sesat? Tak jumpa?” balas Safi prihatin padanya.

“Bukan sebab tak jumpa, tapi sengaja. Sengaja tinggalkan anjing tu dekat dalam hutan.”

“Dah kenapa buat macam tu! Nanti dia nak makan apa? Ha, matilah dia nanti.” soal Safi tak percaya sampai terbeliak matanya.

“Ish, Safi ni, mata tu cuba kecikkan sikit! Dah macam rupa burung hantu mak tengok.” serentak itu, Safi menecilkan bukaan mata menjadi separa membuatkan mak tersenyum sambil menggeleng-geleng kepala.

“Macam tulah nasib anjing-anjing berburu ni. Bila dah tak larat, dah tak kuat, biasanya ditinggalkan macam tu je dekat dalam hutan. Samalah macam orang, kalau dah tua, dah tak berguna, mana ada yang nak menjaga.” jawap mak sambil memulas kain yang ada di tangannya.

“Ada! Mana pulak tak ada!”

“Ha, kan mak jaga nenek dengan atuk masa atuk dengan nenek dah tua. Ha, kan ada!” balas Safi tak gembira bila semuanya dipukul-rata, serentak itu mak mengesahkan kebenaran kata-kata.

“Mak, tapi kan, kenapa kita bela anjing?” soal Safi menzahirkan persoalan yang sudah lama didiamkan.

“Entahlah, tapi seingat mak, abah kalianlah yang punya kerja.”

“Tiba-tiba je bawak balik anjing, masa kami duduk menyewa dekat rumah Pak Ngah dulu. Masa tu Safi tak ada lagi.” tutur mak menceritakan sejarah.

“Punyalah mak terkejut dibuatnya, iyalah, kan tak elok ditengok dek orang, tapi biasalah, abah, bukannya nak mendengar cakap.”

“Hmm, kalau dia dah kata a, maknanya a lah. Dah takkan dapat ditukar dah.” tambah mak sebelum membongkok dan mencapai kain lain yang ada di dalam baldi sebelum memulasnya lagi.

“Ni baldi ni. Baru mak perasan. Kenapa dah bertampal? Kan ke mak baru beli baldi ni. Sejak bila pulak pecahnya?”

“Ha?…Entah?” jawap Safi tak mahu membuka cerita.

“Kalian ni…kan mak dah pesan banyak kali, jangan dihentak-hentak baldi tu. Ni tak, kalian…” ngomel mak lagi, dan Safi hanya mampu menggaru-garu bahu sendiri.

 

“Hello…Assalammualaikum.” tutur mak, gembira saat panggilannya berjaya disambungkan.

“Waalaikummussalam.” balas along yang sedang duduk di meja makan berteman Zai yang ada di hadapan. Serentak itu, jarinya diletakkan di bibir, mengisyarat.

“Along ada dekat mana tu? Tak jelas sangat bunyinya. Along sibuk ke?  Takpalah kalau along sibuk, nanti malam mak telifon semula.” tutur mak tak mahu mengganggu anaknya.

“Tak, tak, along tak sibuk. Cuma along tengah ada dekat luar ni, dengan kawan.”

“Ha, dengan kawan. Takpalah, mak saja je telifon, nak tanya, bila along nak balik. Sebab dah lama along tak balik. Banyak kerja ke?”

“Belajar? Belajar macam mana?” soal mak ingin mengetahui perkembanga anaknya. Safi, Man dan Ina segera datang berkumpul untuk mendengar berita.

“Belajar ok. Tak ada masalah. Cuma…”

“Along nak pakai duit? Duit hari tu dah habis? Takpa, nanti sehari dua ni, mak ke bandar masukkan duit. Along hati-hati dekat sana, nanti kalau ada lapang, along balik ya. Budak-budak ni, asyik tanya pasal along, bila along nak balik, bila along nak balik. Hai, entahlah.” tutur mak lagi sebelum mengusap kepala Ina yang ada duduk bersandar di bahunya.

“Tengoklah nanti, kalau along dah tak ada banyak kerja, along balik. Takpalah mak, nanti dah lapang, along telifon. Kirim salam pada semua. Assalammualaikum…” balas along menoktah, biarpun mak masih mahu menambah.

 

Previous: Bab 46
Next: Bab 48a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.