Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 4

Dari jauh mak dapat melihat seperti ada yang tak kena pada rumpunan ubi kayu yang baru beberapa bulan ditanamnya itu dan tanpa berlengah, kakinya terus diarahkan ke situ.

“Dah ada pulak yang mengorek…ni mesti kerja kerbau pendek. Dah tak betul la tu cara aku menanam.” tutur mak sebelum menghela nafas panjang, sedikit kesal dengan apa yang baru dilihat. Hampir sebahagian daripada rumpun ubi yang ditanamnya itu sudah tercabut daripada tanah, tapi mujurlah ada sebahagian lagi yang masih baik dan tak dirosakkan.

“Tapi kan Bodok lepas malam-malam, dah ada anjing pun tak takut lagi?” soal mak pada diri sendiri, tak percaya setelah teringatkan Bodok, anjing baka kacukan Germand Shepherd dan Golden Retrevia yang dipelihara untuk menjaga kebun itu.

“Syukurlah tak dihabiskan semua, masih ada yang ditinggalkan lagi.” tutur mak perlahan, tak berapa lama kemudian sambil otaknya ligat mencari jalan penyelesaian sebelum dia teringatkan kepingan-kepingan atap zink lama yang ada disimpan di bawah rumah.

“Mak nak pergi mana?” soal Safi yang baru saja sampai.

“Ha?”

“Hmm, mak nak ambil zink kat bawah rumah, nak pagarkan pokok ubi tu, tak besar lagi, tapi kerbau pendek dah menggali. Kalau dipagarkan, susahlah sikit dia nak buat kerja nanti.” balas mak yang tetap juga bergerak, tak boleh berlama-lama kerana hari dah makin berganjak ke senja. Safi yang mendengar berlari-lari membuntuti ditemani dengan perasaan lega di hati.

 

“Safi hari ni kita nak buat apa?” soal Man pada Safi yang ada duduk bersama di atas tangga kayu dengan kaki yang berjuntaian.

“Entahlah, tak tahu lagi. Man ada apa-apa rancangan?” soalnya kembali kerana memang tak ada apa yang dapat difikirkannya saat ini.

“Ina mana?” soal Safi lagi, sedikit hairan kerana biasanya mereka tak boleh nak dipisahkan.

“Tadi Man nampak Ina pergi sungai ikut ateh, ateh mintak Ina temankan dia pergi angkut air.” jawap Man menceritakan apa yang diketahuinya.

“Bosanlah duduk kat sini, jom kita pergi masuk kebun nak?” cadang Safi, tak betah duduk sahaja di situ.

“Nak, tapi kita nak buat apa?” balas Man semula, seperti biasa, tetap menyokong apa yang Safi cadangkan, langsung tak ada bantahan.

“Tak tahu lagi…ha, takpun kita cari buah koko nak? Cari yang masak, lepastu kita bolehlah makan.” ucap Safi ceria, gembira setelah mendapat rancangan untuk menghabiskan masa yang ada.

“Seronoklah kalau macam tu, tapi Safi tahu ke macam mana nak cari yang masak? Man tak tahu.” balas Man pula, jujur dengan diri sendiri kerana dia memang tak dapat nak membezakannya lagi.

“Alah, kita cari je la yang kuning-kuning.” tutur Safi yakin.

“Tapi, kalau tak ada yang kuning macam mana?” balas Man menyatakan kebimbangan.

“Kalau tak ada yang kuning, kita cari yang tak kuning, sama macam abah buat, tapi kenalah jentik-jentik dulu, dengar bunyi dia, lepastu barulah kita ambik.” balas Safi tetap juga yakin, sebab dia selalu melihat abah buat begitu.

“Takpa, nanti Safi tahulah macam mana nak cari, jomlah cepat, nanti ateh balik, lepastu nanti dia tak bagi kita keluar dari rumah, lagi susah. Jom jom!” gesanya sebelum bergegas.

Daripada satu pokok ke satu pokok mereka mencari, tapi buah koko yang dihajati masih tak dijumpai lagi, kalau adapun hanyalah putik-putik yang masih terlalu kecil, perlukan banyak masa lagi sebelum dapat dipetik.

“Ada ke?” soal Man, setelah agak lama mereka mencari.

“Tak ada lagi. Jom kita jalan sampai pokok depan, manalah tahu ada yang masak kat situ.” balas Safi tak mahu menghampakan, dan tanpa berlengah mereka menuju ke arah pokok yang dimaksudkan.

“Ha, ada pun!” ucap Man sambil tersenyum riang, gembira dengan apa yang baru dilihat sambil pantas saja tangannya diarahkan kepada buah yang ada berderetan, mahu dipulas dan dibuat makan.

“Nantilah dulu! Mana boleh ambil macam tu!” tegah Safi dan serentak dengan itu Man mati rentak.

“Kita kenalah jentik dia dulu. Tengok macam ni, tengok macam mana Safi buat.” tambah Safi memberi tunjuk ajar, ataupun lebih kepada percubaan kerana dia sendiri belum dapat membezakannya dengan pasti.

“Jentik-jentik…sambil tu, dengar bunyi dia.” ucap Safi sambil mendekatkan telinga pada buah yang bakal menjadi mangsa.

“Adoi, keras betul kulit dia ni.” tuturnya sebelum mengusap-usap kuku jari.

“Cuba Man buat, jentik, lepastu dengar bunyi dia.” arahnya pula dan tanpa berlengah Man mengikut apa yang disyorkan, sebelum akhirnya dia bertindak sama, mengusap-usap kuku jari sendiri.

“Sakit kan?” soal Safi sambil ketawa dan serentak dengan itu Man mengangguk-anggukkan kepala mengiyakan.

“Takpa, biar Safi yang buat, Man tengok je.” tutur Safi sambil meneruskan kaedah yang sama pada buah yang lain pula, sebelum dia seperti dapat menjumpai apa yang dicari. Bunyi yang dihasilkan berbeza, tak sama dengan yang sebelum-sebelumnya, lebih lantang dan kurang nyaring, tak ubah seperti bunyi yang jari abah hasilkan. Sekali lagi buah dijentik sebelum dia jadi pasti yang mana sudah boleh dipetik.

“Ha, yang ni, yang ni dah masak.” tuturnya sebelum bertindak memulas buah berkenaan berkali-kali dengan dibantu oleh Man sekali.

“Safi, betulke yang ni dah masak?” tutur Man sedikit tak percaya.

“Betullah dah masak, kalau Man tak percaya kita bukak.” jawap Safi setelah buah berkenaan berjaya ditanggalkan.

“Macam mana nak bukak? Kita kan tak bawak parang.” balas Man pula sambil menggaru-garukan kepala.

“Takpa, kita ketuk kat sini.” jawap Safi, setelah jalan penyelesaian dapat difikirkan, sambil melangkah menuju ke pokok durian dan menghentakkan kulit buah pada batang pokok berkenaan.

“Kook! Kook! Kook kook kook kook!” bunyi kulit buah koko dihentak memecahkan kesunyian di dalam kawasan kebun berkenaan. Beberapa kali langkah yang sama dilakukan sebelum kulit koko mula dilihat merekah dan dapat dibukakan dengan mudah.

“Masak tak?” soal Man lagi, masih ada rasa sangsi. Segera Safi memeriksa isi sebelum dia tersenyum puas hati sambil menampakkan barisan gigi.

“Mestilah masak, tengoklah siapa yang ambik.” balas Safi dengan perasaan bangga dan berbahagia.

“Man ambik kepala, Safi ambil ekor.” arahnya, mengagihkan habuan kerjasama berkumpulan sebelum kedua-duanya duduk dan menikmati apa yang dah diusahakan.

“Aukk aukk! Aukk aukk aukkkk!” bunyi salakan Bodok yang datang daripada bahagian belakang memerenjatkan keduanya yang sudah terleka.

“Setan! Tak guna punya Bodok!” marah Safi pada Bodok yang dah datang menghampiri, membuatkan anjing besaiz besar yang bewarna coklat oren itu menundukkan kepala sambil menjelir-jelirkan lidahnya.

“Dah dah! Balik!” tempiknya lagi sebelum mencapai ranting kayu yang ada di situ sambil mengacah-acahkannya ke arah Bodok, sang penyibuk.

“Syooh syooh syooh!” jerit Man pula tak mahu Bodok rapat padanya dan serentak dengan itu Bodok mengundur dengan mata yang terkebil-kebil, beserta dengan jelingan manjanya sebelum memalingkan muka, dah sedih barangkali.

“Dahlah Man, jom kita balik, susah kalau dengan Bodok ni.”

“Bodok, balik! Jangan mengada-ngada nak keluar ke jalan!” arahnya pula sambil menunjukkan arah dengan tangan dan serentak dengan itu Bodok terhinjut-hinjut berlari sampai berombak-ombak bulu perut dan telinga lembiknya demi mengikut arahan yang Safi beri.

“Macam mana Bodok boleh terlepas? Abah tak tambat dia ke pagi ni?” soal Safi pula namun Man hanya mengangkat bahu kerana dia memang tak tahu sambil mulut masih belum berhenti mengulum biji-biji koko yang berjaya dikorek keluar.

 

Baru nak masuk waktu Isyak, tapi Safi dah mula rasa mengantuk sampai kepala pun dah tersengguk-sengguk tak ubah burung belatuk dan keadaan itu telah berjaya meghiburkan hati mak yang melihat.

“Dah, pergi ambil bantal, baring kat sini.” arah mak yang sedang menjahit baju kurung sekolah Safi yang bakal anaknya itu gunakan kerana tinggal kurang daripada sebulan, Safi akan memasuki alam persekolahan.

“Kalau dah mengantuk tidur!” arah mak pula dan tanpa banyak soal Safi menurut. Mata minta tidur, tapi otaknya kata tunggu dulu, sebab dia tak sabar mahu melihat hasilnya, baju sekolah pertama yang dia ada. Sambil berbaring, pandangannya tetap kekal memberikan tumpuan pada gerakan dan lenggok tangan mak yang nampak berombak-ombak, tapi tak lama kerana matanya nampak dah terlalu susah nak menurut kata.

“Sekejap lagi siaplah baju Safi ni. Tinggal nak kelimkan badan dengan tangan.” tutur mak yang masih fokus pada pekerjaan.

“Safi…” kata-kata mak terhenti di situ saat telinganya tertangkap bunyi dengkuran kecil yang terhasil.

“La…dah tidur rupanya.” bisik mak perlahan sebelum mengemaskan rambut ikal Safi yang sudah melepasi paras bahu. Melihat dahi Safi yang kebasahan membuatkan mak sedar yang anaknya itu dalam kepanasan. Surat khabar yang ada berdekatan mak capai sebelum dikipaskan ke arah Safi. Sambil-sambil mengipas mak melepaskan peluang untuk memeriksa keadaan kulit Safi pula.

“Dah ada kurang sikit, tapi kena sapu lagi ni.” bisiknya selesai meneliti kawasan berpanau yang ada di tubuh Safi, muka terutamanya kerana dia tak mahu anaknya itu ditertawakan dan dipandang rendah oleh kawan-kawan. Perlahan-lahan mak mengeluarkan ubat salap berangin yang ada diselitkan di belakang tiang dan dengan berhati-hati ubat diratakan pada kawasan jangkitan. Selesai bahagian muka, mak beralih pula ke ruangan dada yang terbuka, sebab Safi memang jenis yang tak suka pakai baju, bukan tak disuruh, tapi anaknya itu yang susah nak mendengar kata, lebih selesa berlengging setiap masa, serentak mak menggeleng-gelengkan kepala setelah mengingatinya.

Tengah sedap-sedap menyapu, Safi akhirnya tersedar. Serta-merta mak keraskan badan, sebelum segara ubat yang berada ditangan disorokkan sambil menanti apa yang bakal anaknya itu lakukan. Mata mereka bertentang, namun tak lama sebelum Safi menyambung tidurnya semula, membuatkan mak lega, sedar yang usahanya itu telah berjaya. 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.