Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 19a

Selesai berkebun, Mak Nani merehatkan diri di bawah pondok yang ada di belakang rumah sambil meneguk bekal air yang dibawa bersama. Tekak yang kekeringan segera berganti kelegaan bila mendapat habuan. Sedang duduk melayan lelah, dia didatangi Lina yang rasa dah terlalu lama ditinggalkan.

“Mak tak siap lagi? Banyak lagi ke kerjanya?” soalnya sebelum duduk di sebelah.

“Dah siap dah, cuma mak nak ambil angin sekejap. Terik sangat hari ni, matahari cepat keluar.” balas Mak Nani sambil mengipas-ngipaskan topi daun mengkuang pada badan yang masih rasa kepanasan.

“Mak nak tahu tak mak?” soal Lina memulakan gosip.

“Apa bendanya?” balas Mak Nani semula, ingin tahu.

“Hari tu kan, Liza ada cerita kat Lina yang mak dengan abah dia pilih kasih. Selalu lebihkan kakak dia yang masuk MRSM tu. Liza cakap yang kakak dia tu anak emas mak dengan abah dia.” jelas Lina menyampaikan apa yang dah disampaikan.

“Ish! Takkanlah Mak Timah tu buat macam tu. Mak kenal dengan dia, sekolah pun dulu kami sama-sama, mengaji pun sama, takkanlah!” balas Mak Nani tak percaya dengan berita.

“Iya mak, Liza cerita pada Lina macam tu. Dia cakap, kalau makan, kakaknya tu mesti dapat yang best-best je, lepastu Liza cakap bila kakaknya tu ada kat rumah, mak dia mulalah dah malas nak cakap dengan dia dah, asyik berborak dengan kakak dia tu je, ha, lepastu asyik marah-marah pada dia.” terang Lina lagi mengeluarkan segala isi.

“Mak Timah buat macam tu? Betul ke ni?” soal Mak Nani mahu memastikannya lagi.

“Iya, macam tu lah yang Liza cerita.”

“Kesian Lina dengar, tak sangka mak dengan ayah dia macam tu.” tutur Lina kecewa.

“Nasib baiklah mak dengan ayah tak buat kami macam tu.” tambahnya lagi menyatakan kesyukuran. Mak Nani masih terpana, berteman perkhabaran yang baru disampaikan.

 

“Nak beli apa hari ni?” soal mak pada Mak Nani yang baru tiba.

“Bagilah aku dua tiga ekor ikan selar tu!” Balasnya sedikit tegang membuatkan mak tersentak berteman hati yang tak berapa rasa nak puas.

“Kau ni kenapa? Memuncung je hari ni aku tengok. Kau marahkan siapa?” soal mak lagi sebelum dia jadi pasti.

“Kau marahkan aku ke? Ada aku buat salah pada kau?” soal mak semula, tak sedap hati dengan apa yang dilihatnya itu. Nani nampak macam marah, sampai dah tak sudi memandang ke arah dia dah.

“Memang aku marah! Aku tak sangka kau buat anak-anak kau macam tu Mah.” jawapnya terang.

“Apa yang aku dah buat Nani?” balas mak tak percaya dengan tuduhan yang baru diterima.

“Liza cerita pada Lina yang kau pilih kasih dan beza-bezakan antara mereka. Aku tak sangka Mah, aku tak sangka kau boleh buat perkara macam tu!” tuturnya lagi menegaskan.

“Ya-Allah…tak pernah aku buat macam tu Nani. Aku sayang semua anak-anak aku. Yang kecik, yang besar, sama je, sebab aku yang lahirkan semuanya. Jadi kenapa perlu aku beza-bezakan mereka?” balas mak menidakkan.

“Mengaku jelah Mah, yang angah tu memang anak emas kau kan? Semua yang dia nak, semua kau kasi, tapi yang lain tak pulak. Sebab apa? Sebab dia yang paling cerdik berbanding yang lain?” duga Mak Nani tanpa langsung memberi ruang pada mak untuk membela dirinya dan serentak dengan itu mak menghela nafas panjang menyatakan kekecewaan.

“Tak ada istilah anak emas, anak perak, anak gangsa Nani, semuanya sama! Apa lagi yang Liza cerita?”

“Ada dia cerita aku pukul dia? Ada? Tak ada kan, sebab aku memang tak pernah buat. Kita sama-sama mak, dan tak mungkin kita tergamak.” terang mak menjelaskan keadaan sebenar sambil di dalam hati memikirkan di mana lagi salah dan silapnya.

“Kau tanyalah soalan tu pada diri kau sendiri Mah. Dahlah, aku malas nak berlama-lama. Kiralah berapa ikan aku tu, takpayah bersihkan. Biar aku bersihkan sendiri!” pintanya dengan nada serupa, tegang dan tak ada minat nak beramah mesra, tak macam biasa, membuatkan mak rasa betul-betul sengsara.

 

Baju yang sudah dicelupkan ke dalam air sungai disental dengan sabun buku dan digenyeh dengan kedua-dua belah tangan, sebelum kelajuannya jadi berkurangan. Terhenjut-henjut bahu mak menahan kesedihan yang datang menyapa tanpa amaran yang nyata.

“Sampai hati ateh cakap tentang mak macam tu pada orang…” rintihnya sedih, masih terkilan dengan kelakuan anak yang terlalu inginkan perhatian.

“Tak pernah terdetik kat hati mak nak bezakan anak-anak…apa lagi yang kurang? Apa lagi ya-Allah, apa lagi yang salah…” bisiknya perlahan sambil ditemani air mata kekesalan.

“Mak…” rayunya pada bonda yang telah tiada, minta dibantu.

“Hah!” sergah Safi yang baru muncul di sebalik batang pokok membuatkan mak cepat-cepat membongkok.

“Aik? Tak terkejut ke?” soalnya tak percaya.

“Dah tak ada kerja lain ke?” soal mak dengan suara serak membuatkan Safi tertarik untuk melihat dan serentak dengan itu dia terus mendekat.

“Huh! Mak nangis ke?” soalnya dengan kening yang berkerut. Siapa yang buat mak marah? Rasanya dia tak. Soalnya lagi, sambil menggaru-garu kepala, tapi hanya di dalam hati.

“Mana ada mak nangis…” jawap mak tak nak menambah.

“Tapi tu, mata tu, kenapa mata mak warna merah?” soalnya lagi.

“Masuk habuklah.” jawap mak semula, terus kekal dengan pekerjaannya.

“Masuk habuk? Mana-mana? Biar Safi tengok!” tegasnya sebelum bertindak lebih mendekat dan serentak dengan itu mak segara menolak.

“Tak payahlah, mak dah keluarkan tadi. Yang lain mana?”

“Man dengan Ina mana? Kenapa tak datang sekali? Tak nak mandi lagi?” soal mak mahu mengubah haluan perbincangan.

“Man dengan Ina tengah tengok tv. Man dengan Ina kata nak mandi dengan ateh je nanti.” balas Safi sebelum duduk di atas akar kayu yang terbonjol keluar di permukaan tanah, tempat sesuai untuk berjuntai.

“Dah tu kenapa Safi tak ikut sekali?” soal mak sengaja ingin menguji.

“Sebab Safi nak mandi dengan mak. Kan semalam mak kata mak nak suruh Safi garas belakang mak kan? Ha, sekarang Safi nak buatlah ni? Cepatlah!” gesanya pula dah bersedia mahu menjalankan tugas.

“Sekejaplah, mak tak siap basuh baju lagi ni.” jawab mak sambil mengusahakannya lagi.

“Mak?” seru Safi semula dan serentak dengan itu mak memalingkan mukanya. Selesai diteliti Safi mula jadi sangsi lagi.

“Betulke mak tak nangis ni? Kenapa hidung mak nampak merah je?” duganya semula kerana dia paling tak suka bila ada perkara yang tak beres.

“Iyalah, mana ada. Dahlah, tadi kata nak tolong garas belakang mak kan? Ha, sekarang garas.” tutur mak dah mula malas nak bersoal jawap, kerana tak ada faedahnya pada sesiapa.

Berkeroh-keroh Safi menjalankan pekerjaannya menandakan kekusyukan membuatkan mak yang mendengar rasa terlibur dengan hiburan yang didendangkan dan tanpa dipaksa senyumannya mekar dengan sendiri, merawat sedikit kedukaan di hati.

Previous: Bab 18b
Next: Bab 19b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.